Penyanyi, Sufian Suhaimi, 33, selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihan hatinya, Rania Al Sadat, 25, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Majlis akad nikah berlangsung sekitar jam 9.30 pagi dengan hanya sekali lafaz daripada Sufian, disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Majlis meraikan mereka akan diadakan secara tertutup.
“Majlis resepsi akan diadakan dalam suasana sederhana dan tertutup, khusus untuk ahli keluarga terdekat sahaja di ibu kota, dengan jemputan yang terhad,” katanya.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Syaraff Al Sadat, dengan mas kahwin satu dinar emas serta tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat Rania.
Mereka kemudiannya sepakat untuk disatukan sebagai suami isteri hanya dua bulan selepas bertunang, selepas mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
Sebagai tanda istimewa sempena hari bahagianya, Sufian turut melancarkan sebuah lagu baharu bertajuk Saksi, hasil ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen.
Lagu itu yang membawa naratif kisah cinta mereka turut dilancarkan bersama muzik video eksklusif menampilkan Rania sendiri sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka.
Muzik video rasmi Saksi boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Sufian Suhaimi bermula jam 2 petang.
Terdahulu, khabar angin pasangan tersebut bakal bernikah hari ini bertiup kencang selepas Rania memuat naik foto majlis bersiram.
Sebelum ini, Sufian pernah mendedahkan putus tunang pada April tahun lalu selepas penyanyi itu memberitahu cincin risik yang diberikan kepada Rania sudah dipulangkan.
Bagaimanapun, cinta mereka kembali bertaut beberapa bulan lalu selepas dilihat keluar meluangkan masa bersama.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE