Kecurangan dalam rumah tangga ini makin tenat. Ada saja berita sensasi pasal suami curang, isteri makan hati lama-lama tawar hati. Aduh! Pilihan untuk curang itu sebenarnya suami yang tentukan.
Bukannya takdir bertemu jodoh untuk mencintai wanita lain. Apooo.. kalau bukan suami dan pihak ketiga yang cari pasal, takkan terbitnya cinta terlarang. Sudahnya mengabaikan rumah tangga yang sekian lama dibina dengan korban perasaan dan air mata.
Kalaulah suami memilih untuk curang, wahai isteri jangan lah kalah dengan emosi sendiri. Itu jalan mati yang suami ambil. Isteri, teruslah bangkit pilih jalan selamat untuk diri dan anak-anak.
Pesan Intan Dzulkefli menyedarkan wanita diuji suami curang agar segera bangkit dari beban emosi yang menyakitkan. Kerana anda layak sebenarnya untuk memperoleh bahagia.
Isteri.. Suami Curang, Berhenti Salahkan Diri Sendiri
Wahai isteri, Berhenti salahkan diri sendiri…
Banyak terjadi, apabila suami curang, Isteri menyalahkan diri sendiri, ‘ni semua salah aku tak pandai jaga suami, salah aku tak perfect.’
Apabila suami ketagih pornografi, Isteri menyalahkan diri sendiri, ‘ni semua sebab aku dah gemuk, banyak stretchmarks, kendur, tak cantik.’
Ads
Apabila suami culas solat, Isteri salahkan diri sendiri, ‘semua ni salah aku sebab banyak dosa sebab tu tak layak dapat suami soleh.’
Isteri Tak Sempurna, Itu Bukan Tiket Mencari Salah
Berhenti menjadi ‘racun’ kepada diri sendiri. Berhenti juga membanding orang lain dan suami mereka. Jalan mereka tak sama dengan jalan kalian.
Lihatlah suamimu wahai isteri, mereka bukannya budak kecil.
Ads
Jangan salahkan diri atas pilihan yang seorang dewasa telah buat. Kerana kalian takkan dipersoalkan atas dosa suami sekiranya kalian sebagai isteri sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik, sudah menasihati dengan hikmah serta tidak putus mendoakan kebaikan untuk suami.
Suami berbuat demikian itu kerana itu keputusan diri mereka sendiri. They are big enough to take care of themselves, yet to decide what is the best for their loved ones.
Sekalipun isteri tidak sempurna dan banyak kekurangan, bukanlah ‘tiket’ untuk menyalahkan sesiapa atas kesilapan yang dibuat oleh diri sendiri.
Oleh itu para isteri, katakan kepada diri sendiri, ‘semua ini berlaku sebab itu pilihan dia.’
Ramai lelaki lain memilih jalan sebaliknya tetapi suami kalian memilih untuk jalan dosa. maka, itu bukan salah kalian.
Ads
Untuk menjayakan rumahtangga yang sakinah mawaddah dan rahmah memerlukan kerjasama kedua pihak.
It takes two to tango.
Usap air matamu itu dan berhenti menyalahkan diri sendiri.
Sumber/Foto : Intan Dzulkefli
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mustahil menuntut anak mencintai kita sebagai mana kita mencintai mereka! Reda dan doakan saja. Anak-anak zaman sekarang ramai yang tak kisah jerih payah dan jasa mak ayah. Yang penting, mereka hidup senang dengan dunianya sendiri.
Pulang cuti dari jauh, duduk seminggu di rumah sibuk dengan telefon, tak pedulikan perasaan ibu yang mahu rindunya berbalas, tak kisah soalan dan pertanyaan tentang ‘apa khabar’ daripada ayah yang tak berjawab.
Senyap bila duduk bersama, pandang telefon lama-lama. Bila perlu minta duit saja satu-satunya percakapan yang digunakan. Anak yang sudah berkahwin, bila ziarah asyik cerita kesusahan mereka, bila mereka senang hilang tak datang berminggu-minggu lamanya.
Kadang-kadang timbul soalan dalam hati ayah ibu, dosa apa yang kami buat dulu sampai jadi begini keadaan anak-anak sekarang?
Nabi Ya’kub as contoh ayah dengan kesabaran paling sempurna. Baginda masih menerima pulang anak-anaknya yang derhaka, menipu dan bersekongkol membunuh adik mereka sendiri, mereka fikir ayah mereka tidak tahu kejahatan itu. Padahal ayah mereka adalah seorang Nabi yang diberi wahyu oleh Allah SWT.
Kemarahan ditekan dalam hati hanya ucapan kesabaran yang indah di lisan Nabi Ya’kub as sehinggakan al-Quran merakamnya untuk abadi. Fashobrun Jamil, aku hanya mampu bersabar, sabar itu sebaik-baik keindahan di sisi Tuhanku.
Kita akui amat sangat susah bersabar, anak-anak didera dengan lidah lebih banyak daripada didera dengan tangan oleh orang tua mereka. Menuduh anak tanpa usul periksa, mengomel atas satu kesalahan dan melupakan seribu kebaikannya, membandingkannya dengan anak yang cemerlang padahal kita tidak mendidik seperti ibu bapa anak yang cemerlang itu. Kita lalai, letih akhirnya mengabaikan anak.
Bersabar itu berat kerana pahalanya pun berat, satu-satunya amal yang dinyatakan dalam al-Quran yang pahalanya terlalu banyak sehingga tak dapat diukur adalah sabar. “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada batas. (Surah al-Zumar ayat 10) Bila hati hendak meletup marah banyakkanlah berzikir dengan ayat ini semoga Allah beri ketenangan.”
Jangan berhenti menasihati walau seribu kali tidak berjaya mungkin nasihat kita yang ke seribu satu kali dia baru mahu berubah. Suruh anak solat, setiap datang waktu solat ingatkan, nasihat dengan ayat al-Quran dan hadis untuk melembutkan hatinya. Kadang kita suruh dengan cara mengherdik, memaksa dan mengancam yang membuat anak rasa benci bila dinasihati.
Bila anak tak buat, kita putus asa akhirnya tak mahu lagi menasihati lagi. Anak bergaul bebas, kita buli dengan kata-kata kasar, anak memberontak lari, kita marah tak mahu lagi nasihat biarkan dia tersesat. Bahayanya jika ibu bapa dijangkiti penyakit putus harapan kepada Allah, kita berhenti menasihati seolah-olah kita putus asa kepada Allah.
Di antara tanda kita berputus asa adalah kita berhenti mendoakan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: “Doa seorang hamba sentiasa akan dimakbulkan selama dia berdoa bukan untuk kejahatan atau memutus silaturahim dan selama dia tidak tergesa-gesa. Iaitu seorang yang berkata: Sungguh aku telah berdoa dan berdoa namun tidak juga dimakbulkan kemudian dia berputus asa dan meninggalkan doa.” (Hadis riwayat Muslim)
Tiada siapa boleh lari dari bayang-bayangnya sendiri, begitulah seharusnya kita menganggap anak sebagai bayangan diri kita. Apa yang kita buat dia akan ikut, menyerap segala yang dia lihat, rasa dan dengar dari ibu dan ayahnya. Kalau ibu kacau emosi anak pun akan jadi orang yang tak pandai kawal emosi. Kalau ayah malas ibadah, lalai dengan hiburan tak bagi teladan dalam beragama tak hairan jika anak-anak semua perangainya sebiji macam ayah.
Mereka bagai kertas putih, kita yang mencorakkannya. Dan bahayanya di akhirat nanti adalah kita mempunyai saham di atas segala maksiat mereka kerana mereka mencontohi apa yang kita buat dan mengikuti apa yang kita suruh. Tak payah tudunglah kak, tak cantik. Abang, bawalah girlfriend datang rumah, ayah nak tengok. Bukan dihalang malah disuruh dan diajar anak-anak bermaksiat kepada Allah SWT.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menunjukkan kepada manusia jalan kebaikan, baginya pahala sama seperti orang yang mengerjakan tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Barangsiapa yang menunjukkan jalan kesesatan maka dia mendapat dosa seperti dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Hadis Muslim)
Anak adalah harapan kita bila jasad menyatu dengan tanah, saat itu kita menunggu dia datang setiap pagi dan petang mengirim amal jariah yang tak putus-putus sampai hari kebangkitan. Berjuanglah untuk mendapatkan anak soleh walaupun hanya dengan satu kata terakhir sebelum nafas yang terakhir. Sesungguhnya nasihat itu tanda cinta paling agung!
**Artikel ini dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, yang juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ketika keluarga lain sedang kalut membuat persiapan akhir menyambut Aidil Adha pada 10 Ogos 2019 lalu, siapa menduga keluarga kecil ini dikejutkan dengan insiden yang mengubah seluruh kehidupan mereka sekeluarga. Sehari sebelum kejadian, sekitar jam 2 pagi masih terbayang lagi susuk tubuh lelaki yang dipanggil papa; Muhammad Khairul Abdullah (38) tiba-tiba muncul di depan pintu bilik. Dia mengadu mulutnya sukar bergerak dan badannya kebas.
“Tak sampai seminit dia mengongoi, dia rebah dan tidak boleh bergerak. Sebaik mengiringkan dia ke sisi, suami terus memuntahkan segala isi perut. Tanpa berlengah saya terus hubungi ambulan dan maklumkan adik ipar. Dalam situasi mencemaskan itu, saya sempat menyambar beberapa dokumen penting walaupun ketika itu kaki dan tangan menggigil mencari kekuatan.
“Anak kedua kami, meraung ketakutan melihat situasi panik itu. Setibanya ambulan di hospital, suami terus dihantar ke zon merah. Doktor mengesahkan suami diserang strok akibat tekanan darah tinggi. Dalam keadaan kritikal itu, doktor terpaksa komakan suami bagi mengelakkan keadaan lebih serius.
Setelah melalui pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ditemukan ketulan darah besar di dalam teras otak, letaknya betul-betul di belakang tengkuk (tempat suami selalu mengadu sakit),”cerita Norashikin Md Nor ketika dihubungi menerusi emel tempoh hari.
Keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup
Bukan mudah untuk kita membuat satu keputusan besar yang impaknya meninggalkan kesan yang bukan kecil. Doktor memaklumkan tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat bagi meredakan kondisi si suami. Jika perpisahan itu, lebih baik…meskipun nyawa terpaksa berpisah dari jasad, Norashikin nekad melepaskan sang suami ‘pergi’ dari terus melihatnya terseksa.
“Tiada rawatan atau pembedahan boleh dibuat. Boleh on-tube untuk dua minggu tetapi pengakhirannya tetap sama. Ketika menandatangani surat keizinan untuk membuka mesin pernafasan itu, fikiran ketika itu kosong sambil mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Kemudian suami dimasukkan ke dalam wad dan menggunakan bantuan pernafasan manual yang dipam oleh jururawat bergilir-gilir. Kami kemudian menghubungi ambulan persendirian untuk menguruskan membawa pulang suami ke rumah. Ketika di dalam ambulan itu, air mata saya tidak lagi mengalir. Ketika itu macam-macam perkara berkenaan kehidupan saya dan anak-anak selepas ini bermain di fikiran.
“Setibanya di rumah ibu mertua, saya sempat bisikan ke telinga suami, “abang pergilah…saya redha. Saya akan jaga anak-anak kita sebaik mungkin, abang jangan risau”. Selepas selesai mengajar dia mengucap, suami terus ‘pergi’ dengan linangan air matanya membasahi di pipinya, petanda dia faham pesanan terakhir yang didengari.
Air mata bukan lagi pilihan, kerana ia tidak lagi menenangkan
Seperti yang pernah dikongsikan dalam laman muka buku (facebook) peribadinya, wanita ini menjelaskan air mata bukan lagi pilihan kerana ia tidak lagi menenangkan. Demi meredakan emosi dua puterinya; Khayla (5) dan Keisha (1), Norashikin berjanji dengan dirinya jangan sesekali menumpahkan air matanya di hadapan mereka.
“Saya tekadkan hati dan berjanji untuk tidak lagi menangis di depan anak-anak kerana bimbang mereka ketakutan. Sebaik melihat jenazah papa mereka, kedua-duanya trauma dan tidak mahu mendekati arwah. Khayla masih keliru dan hingga kini memaklumkan yang papanya sakit, papa tidur, papa tak bangun tidur lagi. Ada ketikanya dia minta saya buat video call untuk dia bercakap dengan papanya…katanya rindu nak tengok papa.
“Paling sayu apabila melihat hasil lakarannya yang pastinya berkaitan dengan momen akhirnya bersama papanya. Sebagai contoh lakaran stetoskop yang dilihat digunakan oleh doktor ketika membuat pemeriksaan ke atas papanya. Ada juga lakaran yang berkisar mengenai ambulan, kereta jenazah dan pusara papanya. Saya biarkan dia melakar apa saja yang terlintas di kepalanya, dengan harapan medium itu mampu merawat emosinya.
“Keisha pula masih terlalu kecil untuk memahami. Ada ketikanya dia menangis tak keruan, menunggu waktu petang waktu lazim papanya pulang dari kerja. Kadang deruan enjin motosikal yang melepasi hadapan pagar rumah kami, membuatkan anak-anak ini bertempiaran lari menuju ke pintu rumah… menunggu kemunculan papanya. Sebagai ibu, saya tahu mereka terlalu rindukan arwah papanya. Mereka juga perlu masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru tanpa papa yang begitu memanjakan mereka,”kongsinya yang dalam proses berpindah ke Melaka, memandangkan sekarang mereka kini masih menetap di Johor.
Kehilangan yang tiada galang gantinya
Mengenang kembali memori tentang suaminya. Menurut Norashikin lagi, arwah merupakan lelaki yang mendahulukan keluarga dalam kehidupannya. Ibunya adalah sosok yang paling dia sayangi. Bekerja menguruskan pemasangan jalur lebar, menjadikan gaji yang diterimanya tidaklah sebesar mana bagi menampung keluarga kecil kami.
“Dia seorang lelaki yang ‘family man’. Apa-apa saja dia buat, keluarga akan diutamakan dahulu. Paling dia sayang ibu dia. Nak pergi ke mana-mana atau nak buat apa-apa aktiviti dia mesti pelawa ibu n adik-beradik join sekali. Pesan arwah lagi, dia bimbang nanti ada yang kecil hati kalau tak diajak.
“Bab menjaga hati orang sekeliling juga salah satu sikap murninya. Kehilangannya yang mengejut membuatkan ramai kenalan, pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya dan ahli keluarga jauh dan dekat masih terkejut mendengar perkhabaran pemergiannya. Itu sebabnya ramai yang terasa dengan kehilangannya secara tiba-tiba.
“Hingga ke hari ini, masih ada lagi client yang hubungi atau mesej nombor telefonnya bagi mendapatkan khidmat nasihatnya. Paling menyentuh hati sempena raya haji baru-baru ini dia dah ambil cuti panjang sebab nak bawa kami holiday, tapi hajatnya tak kesampaian. Gaji dia pun bukannya banyak, tetapi dia tak pernah lokek dengan keluarga dan sedaya upaya nak happykan anak-anak. Kadang-kadang sekadar keluar makan-makan ataupun keluar ambil angin luar sebab dia tau kami asyik terperap kat rumah bila dia keluar kerja. Sejak berhenti kerja beberapa tahun lalu, saya tidak lagi bekerja dan fokus pada keluarga dan anak-anak.
“Seperkara lagi yang pastinya saya rindukan, adalah penilaiannya bak juri profesional terutamanya ketika saya memasak menu baru. Apa saja yang saya masak dia akan makan tanpa banyak soal. Kalau sedap nanti dia minta kita masakkan lagi. Sejujurnya, ketika baru berumah tangga dulu… saya tak pandai memasak. Goreng nugget pun hangus, tetapi sikapnya yang pandai ambil hati isteri membuatkan kita teruja nak masak untuk dia dan anak-anak. Secara tak langsung kita jadi minat untuk memasak. Saya juga bercadang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan memanfaatkan skill memasak yang ada bagi menampung keperluan anak-anak,”ceritanya optimis.
Sebelum menutup bicara Norashikin juga menitipkan luahan bagaimana mengharungi saat perpisahan tak di duga ini.
“Tak menangis bukan bererti tak sayang. Meraung dan meratap bukan menyelesaikan masalah tapi cuma akan membebankan jiwa. Jangan biarkan diri terlalu lama dibalut emosi kesedihan. Pepatah ada juga berkata…ikut hati mati, ikut rasa binasa. Positifkan diri adalah pegangan saya kini. Pastinya rasa sedih itu akan datang dan pergi. Tanpa adanya Khayla dan Keisha, saya tak akan sekuat ini. Sesukar mana pun hari yang mendatang nanti, saya berjanji akan mendidik kedua amanah terbesar Allah ini sebaik mungkin. Doakan kami kuat mengharunginya,”kongsinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bagi memastikan isu keruntuhan akhlak dapat dibendung, peranan ibu bapa penting. Malah menurut Pensyarah Kanan, Perunding Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Dr Kartini Ilias juga ibu bapa merupakan tunggak kepada anak-anak dan agen yang penting dalam membendung masalah sosial dan membentuk sahsiah dalam diri anak-anak. Ikuti 4 tip yang diberikan Dr Kartini untuk panduan ibu bapa dalam mendidik anak-anak daripada terlibat dalam masalah sosial.
1) Luangkan Masa Dengan Anak-Anak
Dalam kesibukan urusan harian dan pekerjaan ibu bapa perlu mencari inisiatif untuk meluangakan masa bersama anak-anak. Secara tidak langsung akan membuatkan mereka merasakan lebih dihargai dan disayangi. Cuba luangkan masa untuk makan malam bersama dan bercerita antara satu sama lain.
2) Disiplin
Ibu bapa juga haruslah mendisiplinkan anak mereka. Ini kerana bagi membuatkan anak mereka sentiasa berkelakuan dengan baik. Tetapkan peraturan untuk semua ahli keluarga patuhi. Perlu ada ketegasan sekiranya ahli keluarga melanggar peraturan yang ditetapkan. Tidak semestinya hukuman, tetai menggunakan Teknik lain seperti “reinforcement” secara positif dan negative.
Ibu bapa juga perlu mengawasi pergerakan anak mereka. Ini kerana kita dapat menegur anak kita sekiranya mereka melakukan perkara yang tidak betul. Ibu bapa perlu tahu siapa kawan anak-anak. Apa laman web yang selalu mereka layari, permainan dan aplikasi yang mereka gunakan. Perlu ambil tahu.
3) Didikan Agama
Ibu bapa haruslah memberi didikan agama yang cukup kepada anak-anak.Ini dapat membuatkan anak mereka akan dapat membezakan yang mana baik dan buruk. Seperti contoh, agama islam, telah menggariskan mengenai batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bagi mengelakkan berlakunya hubungan bebas dan yang tidak sihat. begitu juga dengan panduan mengenai aurat bagi lelaki dan juga perempuan untuk menjaga hak dan kehormatan individu daripada dicabuli dan dirosakkan.
4) Role Model Terbaik
Bak kata pepatah, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Begitu juga kita ibu bapa, sekiranya kita tidak menunujukkan contoh dan teladan yang baik, mana mungkin anak-anak kita bisa berkelakuan baik. Ianya lahir dari kita ibu bapa.
Ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu yang cukup. Merekalah guru yang terbaik untuk mengajar anak-anak mengenai Pendidikan seksual, oleh itu, mereka perlu pastikan mereka perlu mempunyai ilmu dan juga skil untuk menyampaikan ilmu seksualiti tersebut. Jangan marah ketika anak-anak bertanya mengenai seksual.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Saat sebelum isterinya dijemput Illahi, arwah yang berusia 27 tahun sering memuat naik video kenangan bersama anak syurga mereka termasuk menyatakan kerinduan terhadap Wan Hayder sebelum mengikut jejak anaknya itu asbab masalah sakit yang sama.