Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Walau pun ramai yang tuduh saya mandul tapi saya tak kisah asal bukan suami yang kata begitu.
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir? Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah sangat kerana memikirkan mungkin dia ingin rasa seperti anak sendiri. Tapi saya dapat rasakan sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.
.
Ads
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Ads
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya. Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangan-Nya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Ads
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, senantiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini, pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solat malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan hati ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita rata-rata tak kisah apa bentuk hadiah suami berikan. Tak kiralah hadiah mahal atau murah tetapi ianya pemberian ikhlas daripada suami tercinta. Jadi suami tidak perlulah berkira beri hadiah pada isteri.
Betul ke bagi hadiah pada isteri dapat pahala? Iya bagi hadiah dapat pahala, rupanya banyak fadilat suami gembirakan hati isteri atau beri hadiah.
Ikuti perkongsian Hafizul Hakim dan fahami penjelasannya tentang fadilat memberikan hadiah kepada isteri.
Rupanya Banyak Fadilat Suami Gembirakan Hati Isteri
“Eh, beri isteri hadiah dapat pahala tak?”
“Ish mestilah. Ko senyum pun dapat pahala. Apalagi mengembirakan pasangan hidup.”
Nah, ingin saya kongsikan harini sedikit ilmu tentang fadilat memberikan hadiah kepada isteri. Moga dibaca dengan hati yang tenang dan jiwa yang besar.
Ia simbol kasih suami terhadap isteri. Menggembirakan hati isteri. Mencetuskan rasa hormat dan taat dalam hati isteri terhadap suami. Mewariskan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati. Sabda Nabi, “Hendaklah kalian saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat menghadirkan rasa cinta dan membersihkan berbagai kekotoran hati dan jiwa.” Mendatangkan rasa saling cinta-mencintai, menyatukan hati dan memunculkan kasih sayang.
Bagi Hadiah Dapat Pahala
Imam Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Biasakanlah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai.” Juga diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrad, no. 594. Ibnu Hajar berkata, “Sanadnya shahih.”
Melakukan kebaikan kepada isteri adalah sebahagian tanda Muslim sejati.
Suami baik sedar bahawa dirinya menanggung amanah besar dalam soal menjaga kepentingan isteri.
Sabda Rasulullah saw bermaksud:
“Orang yang baik di antara kamu ialah orang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang paling baik terhadap isteri daripada kamu.” (Hadis Riwayat at-Tarmizi).
Hadis lain dalam Riwayat at-Tarmizi bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan paling lemah lembut terhadap isterinya.”
Rasulullah juga suka memberi hadiah kepada isteri-isteri baginda. Apabila pulang dari mana-mana perjalanan, baginda sering membawa pulang hadiah untuk isteri-isteri baginda.
Pernah suatu ketika, baginda terlupa membawa pulang hadiah, baginda berpatah semula ke pekan lalu membelikan hadiah untuk isteri baginda.
Sweet kan. Role model kita sebagai seorang orang mukmin. Insyallah. Begitulah.
MW: Wahai suami, apa salahnya gembirakan hati isteri dengan memberi hadiah. Bila isteri bahagia, rumah tangga pun semakin ceria. Insyallah.
Nak menegur anak pun kena biasakan guna ayat baik-baik dan wajib elak menggunakan perkataan JANGAN walau niat anda untuk mendidik si kecil.
Ya, ramai mak-mak tak sedar bila sebut “Jangan buat itu, jangan buat ini”… seolah-olah kita mengarah tanpa sedar. Yang dengar pun, rasa kurang seronok.
Jadi, kalau nak tukar perkataan jangan kepada ayat macam mana, mak-mak boleh ikut tip Puan Shuhadah Khalil ini.
Semenjak dua menjak ini saya sering ditanya soalan,
“How to say No without saying No to the kids?”
Dan seminggu dua ini juga saya banyak melihat situasi di mana ada ibu kerap berkata “No no no” pada anaknya, sambil jari telunjuk bergerak ke kiri ke kanan.
Kesiannya si anak.
Tak dinafikan, dulu masa anak soleh kecil lagi saya kerap guna perkataan NO.
Sehinggalah saya baca satu artikel Inggeris (websitenya saya tak ingat), tentang kesan sebutan No pada anak.
Kesan Guna Perkataan No Atau Jangan Pada Anak
Sebenarnya apabila kita kata NO atau JANGAN..
1. Anak hanya dengar ayat selepas perkataan NO atau Jangan itu. Contoh, “jangan lari” anak dengar lari. “Jangan sentuh”, anak dengar sentuh. “Jangan pukul”, anak dengar pukul.
Sebab itu lagi kita kata NO, lagi anak buat. Betulkan?
2. NO ini membantutkan perasaan seronok si anak yang ingin mencuba sesuatu. Fasa anak-anak kecil adalah fasa mereka teroka semuaaaa perkara di sekeliling mereka.
3. Kita bertambah stress! Setuju atau tidak, kita memang akan rasa stress lepas sebut NO atau Jangan. Yang ini, penulis itu tak sebut. Cuma dari pengalaman saya, memang boleh rasa level stress naik sikit demi sikit bila kita kerap sebut No/Jangan.
4. Bila kita stress, kita mula marah anak. Dan apabila kita marah, maka kita rugi 60 saat untuk rasa bahagia. Malah, kita ragut 60 saat rasa gembira si anak.
Itu kalau kita marah dalam tempoh 60 saat. Kalau lebih dari itu, maka kita dah rugi banyak masa untuk rasa bahagia.
Jadi, apa saya buat dan apa yang dicadangkan oleh penulis adalah berikan arahan yang kita nak anak buat untuk kita. Bukan arahan yang kita nak anak buat untuk diri dia.
Dan selebihnya, ibu-ibu bapa-bapa kena lebih kreatif cipta ayat arahan positif.
Nota 1:
Beri arahan yang mudah, ringkas dan padat.
Nota 2:
Otak ibu atau ayah kena lebih cepat dari mulut yang mahu berkata-kata. Saya memang pening kepala memikirkan ayat sesuai dengan situasi anak, supaya saya tidak sebut NO. Mencabar!
Nota 3:
Nak latih tukar ayat ini bukan sehari dua, seminggu dua, sebulan dua. Berbulan-bulan lamanya baru biasa. Jadi, sabar wahai ibu ayah.
Silakan SHARE post ini untuk manfaat semua. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa insyaAllah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dari masa bercinta sampailah berkahwin, nama panggilan manja itulah yang sering dipanggil. Tak kurang juga masa bercinta awak saya, tapi bila sudah kahwin, barulah bertukar pada sayang bagai. Beruntunglah.
Namun, tak kurang juga bila dah kahwin dan mempunyai anak, panggilan manja terus hilang. Hanya yang ada saya awak, mama, papa.
Kononnya, malu bila keluarga atau orang dengar dengan panggilan manja itu. Pelik. Masa bercinta tak pula malu, tapi bila dah sah suami isteri lain pula jadinya.
Begitulah. Tidak semua pasangan yang ‘berjuang’ dengan kekalkan panggilan manja itu. Kalau ada, bahagianya rasa. Itulah rasa cinta dan kasih sayang yang tak pernah luput.
Antara yang disarankan oleh Fadzli Aziz dalam perkongsian tentang panggilan manja ini adalah keistimewaan yang dirasakan oleh pasangan. Malah, walau apa pun panggilan yang diberi, itulah yang mengingatkan pasangan rasa tanggungjawab.
Siapa panggil isteri dia “sayang, b, baby, anja, dinda “ & seumpama dengannya?
Best kan. Bahasa panggilan yang sangat menarik dan mengujakan.
Bayangkan budak darjah 6 pun kalau bercinta terus di ‘upgrade’ nama panggilan. Bermula dengan awak, saya terus kepada ayang, b dan lain-lain.
Kenapa?
Kerana dirasakan panggilan itu penuh dengan keistimewaan dan juga perasaan cinta yang mendalam.
Maksud perkataan panggilan itu sendiri adalah menggambarkan cinta dan sayang.
Panggilan yang bersifat memanjakan dan dimanjakan.
Tahniah bagi anda yang berjaya mengekalkan dari sebelum kahwin sampai beranak-pinak panggilan manja anda.
Tahniah bagi anda yang telah upgrade panggilan selepas kahwin. Alhamdulillah.
Moga panggilan ini akan membugarkan perasaan sepertimana makna panggilan yang digunakan.
Panggilan Penuh Kasih Sayang
Lihatlah bagaimana Rasulullah menggelarkan Sayyidatina Aisyah dengan Humaira’, gelaran yang memanjakan dengan penuh kasih sayang.
Bayangkan panggilan manja yang anda berikan kepada pasangan diniatkan untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW, pahala pun dapat.
“Salahkah ke kalau saya panggil isteri saya maknya?”
Mungkin sesetengah orang kata kena tukar nama panggilan tu.
Pada saya panggilan seperti “ayahnya, maknya, abinya, umminya dan seangkatan dengannya juga adalah panggilan yang bermakna.
Panggilan yang akan mengingatkan pasangan tentang tanggungjawab dan amanah yang dipikul sekarang.
Panggilan yang menyatakan “hidup kita bukan antara abang dan sayang sahaja, tetapi ada anak-anak yang perlu kita tunjuk contoh dan didik”.
Walau apapun panggilan (perkataan baik), yang penting apakah perasaan yang ‘triggered’ daripada panggilan itu.
Mungkin perkataannya tiada makna tetapi perasaannya dirasa, maka ia tetap bermakna.
Apatah lagi dengan perkataan yang baik dan perasaannya dirasa. Risaulah kita dengan panggilan sayang yang tiada lagi sayang di dalamnya. Malah, risaulah kita dengan panggilan abang @ hubby tetapi tiada lagi hormat di dalamnya.
Apabila ini berlaku, isunya bukan lagi pada perkataan lisannya tetapi jauh di dalam sudut hatinya.
Kerana rumahtangga BUKAN SEKADAR CINTA.
Mingguan Wanita : Bila panggil nama sayang bagai buat hati pasangan berbunga-bunga tau!
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor merayu siasatan terperinci dijalankan berhubung tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa beliau. Ibunya, Rohani Saad, reda dengan ketentuan Ilahi namun mempersoalkan mengapa anaknya ditinggalkan di puncak gunung tanpa laporan polis atau bantuan segera.