Dalam hubungan perkahwinan, sikap tolak ansur dan bertimbangrasa antara suami isteri sangatlah penting. Kita tidak perlu mengharapkan pasangan memenuhi setiap kehendak yang diinginkan, sebaliknya berusahalah memahami keperluannya serta apa perkara yang kita boleh lakukan untuk meringankan kerja-kerja mereka.
Buat para suami, meskipun selayaknya memiliki darjat yang tinggi, fahamilah tugasan dan bebanan yang para isteri dalam menguruskan rumahtangga. Bertimbang rasalah, dalam membantu para isteri dan memudahkan mereka. Bukan hanya sekadar tahu ‘memberi’ arahan dan minta ‘dilayan’ bagaikan seorang raja.
Jemput baca perkongsian pesanan oleh Muhammad Hassan ini sebagai panduan dalam menambah lagi ilmu rumahtangga kita.
Saya cuba didik diri sendiri, jika balik kerja isteri tidak hidangkan air atau lambat masak untuk sedangkan saya lapar, saya akan cuba ke dapur buat air sendiri dan pelawa isteri nak minum air apa atau makan apa, saya akan cuba sediakan. Kadang-kadang kita(suami) juga perlu memahami keadaan isteri lebih-lebih lagi isteri yang bekerjaya dan mempunyai anak kecil.
Mereka bukanlah malas untuk sediakan semua itu setiap hari. Ada yang dah kahwin 10 -15 tahun, suasana akan banyak berubah. Anak mungkin 3 atau 5. 5 orang anak 5 ragam. Saya adik beradik 12 orang, pasti ragamnya tidak sama. bayangkan kalau 5 orang semuanya masih kecil. 2 serang diruang tamu, 2 lagi serang di bahagian dapor, 1 lagi jadi sniper dalam bilik mak ayah,saya sudah boleh bayangkan keadaan seorang ibu ketika itu.
Kadang-kadang kita suami tidak perlu buat apa-apa lagi hatta ubat gigi tidak payah lagi picit, langsung gosok gigi sahaja. Sekarang mungkin isteri terlalu penat dengan kerja rumah, lagi penat jika isteri bekerjaya, balik rumah langsung perlu buat apa yang patut untuk suami dan anak-anak.
Ads
Didik Diri Fahami Beban Isteri
Hari ini Saya didik diri saya bukan lagi untuk isteri perlu memahami kehendak saya, sebaliknya saya perlu berusaha untuk memahami apa yang dapat mengurangkan beban isteri. Masak, sediakan air, menyapu, mop lantai, kemaskan katil, basuh baju, bukan lagi tugas wajib isteri, sebaliknya saya perlu faham itu juga tanggungjawab saya.
Salah satu keretakan rumahtangga adalah disebabkan masing-masing tidak mahu memahami pasangan, masing-masing cuba untuk pasangan memahami kehendak diri sendiri. Sebenarnya ini salah,ini punca keluarga tidak bahagia. Saya dan kita semua perlu berubah, perlu berusaha memahami pasangan, memahami dalam hal yang positif dan tidak bertentangan dengan agama. Letak jiwa pasangan dalam jiwa kita. Sebagaimana awal berkenalan dahulu.
Ads
“Mana air? aku balik penat2 dari kerja kau tak faham ke ? masak pun Lambat!”
Saya selalu dapat PM begini, suami balik kerja marah isteri, lepas marah , pukul , langsung keluar rumah cari kawan. Ini salah , cukup salah. Kita perlu faham kenapa lambat masak, kenapa lambat sediakan air. Cuba satu hari ‘mengintip’ isteri dirumah. Apa dia buat dari pagi sampai petang. Jika anak sorang mungkin boleh terima, jika anak 5?. Ada kita pergi dapUr tengok keperluan untuk memasak? Ikan, ayam, sayuran dan barang-barang lain.
Ini cukup salah jika saya tidak belajar bagi masa untuk ke dapor tengok apa perlu dibeli, bukan tunggu isteri yang senaraikan.
‘Gaduh’ Hal Akhirat
Masalah perut jangan jadikan satu isu besar, kadang-kadang lucu jika suami isteri bergaduh sebab lambat masak, lambat hantar air. Yang kita kena ‘gaduh’ kenapa hari ini tidak solat dhuha, kenapa abang hari ini tidak solat berjemaah di masjid, kenapa hari ini isteri tidak tutup aurat dengan sempurna dan banyak lagi kita perlu ‘gaduh’ dalam hal yang lebih besar terutama tentang akhirat.
Ads
Kata orang lama, “suami isteri perlu ‘gaduh’ , sebagaimana lidah lagikan tergigit, tetapi ‘tergigit’ jangan sampai jadi ulcer, lambat nak baik nanti, perlu jumpa doktor untuk rawat.
BERSYUKURLAH PUNYAI PASANGAN YANG SANGAT MENGHARGAI KITA.
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Kebanyakan isteri, dialah menteri kewangan dalam rumah tangganya. Setiap rekod belanjawan keluarga, isterilah yang rancang dan kawal. Tapi sejauh mana betulnya cara isteri menyimpan rekod belanjawan?
Perkongsian daripada Founder SuriCergas, Fadzielah Ayubmemudahkan tugasan isteri dalam membuat rekod belanjawan. Tip simpan rekod belanjawan dengan sistem envelop ini juga disertakan dengan panduan bergambar.
“Penting ke nak simpan rekod/resit belanjawan kita ni? Of cozlah penting supaya hujung bulan kita tak salahkan toyol curi duit kita sebab tak tahu mana duit kita menghilang kan?”
Ini kelebihan yang isteri akan peroleh sekiranya simpan rekod belanja dengan cara yang betul
1. Mengetahui ke mana duit itu dibelanjakan
2. Dapat mengurangkan perbelanjaan pada barang yang tidak penting.
3. Dapat memfokuskan duit hanya membeli barang yang perlu sahaja.
4. Supaya tidak menggunakan duit secara berlebihan (over budget)
“Yes, dekat hp pun boleh install macam-macam apps nak rekod belanjawan kita, tapi Ilah ni jenis mudah lupa nak update.
“Apa Ilah buat, recycle dan guna apa yang ada je. Malas nak beli file, kena tebuk lubang bagai sebab resit tesco kadang-kadang tak lepas nak tebuk lubang.”
TIP SIMPAN REKOD BELANJAWAN KELUARGA
1. Jangan buang envelope bil astro ke, wifi ke.. korang guna balik envelope tu.
2. Label envelope tu mengikut bulan. So kita hanya perlukan 12 envelope sahaja setahun. Tak banyak pun kan?
3. Lepas tu masukkan je segala bil-bil, resit pergi tesco, giant, kedai runcit dalam tu. Tak payah rajin sangat simpan dalam purse. Ni orang perempuan selalu suka buat kumpul resit dalam purse.
4. Masukkan dan susun sahaja dalam bekas atau kotak terpakai supaya nampak tersusun dan mudah dicari. Suami isteri harus rajin dan bekerjasama jangan sesekali buang resit belanjawan kita tu.
5. Hujung bulan, buat summary berapa belanjawan setiap bulan dan bandingkan dengan sebelumnya. Kenalpasti kalau ada kebocoran dalam belanjawan kita.
6. Selain tu, sekarang ada kemudahan bayar bil online.. Jangan lupa letak remark ‘PAID’ supaya tiada tunggakkan bayaran. Isteri pun senang nak check samada suami dah bayar ke belom.
Nak Lagi Faham Rujuk Panduan Bergambar
Recycle 12 envelope dan label mengikut bulan. Isi segala jenis bil atau resit belanjawan.
Gunakan kemudahan bayar bil online untuk jimatkan masa. Lepas tu letak remark ‘PAID’ lepas bayar untuk elakkan ada tunggakan. Bila ada tunggakan, boleh kacau bajet belanjawan setiap bulan. Jangan biasakan bil tertunggak. Isteri boleh tolong check dan ingatkan suami untuk bayar bil.
Simpan atau letak dalam bekas atau kotak terpakai supaya mudah dicari. At least kita simpan rekod selama 3 tahun sebelum dilupuskan. Ehh.. dah macam kerja office pulak kan.
Sumber/Foto : Facebook Fadzielah Ayub
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Berikut merupakan ulasan dan pandangan oleh Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu ini.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
BAYAN LINNAS SIRI KE- 125: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT DOULA
Definisi
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis Doula
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Hukum Menggunakan Khidmat Doula
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Nyawa Lebih Penting
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Rujukan Hadis
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi Kaedah iqh menyebut:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Menyelamatkan Dari Mudharat WAJIB
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Ada anak yang baru kahwin, masih kekok masuk dapur. Bukan nak kata lelaki sahaja, perempuan pun masih ramai yang kurang mahir di dapur. Maklumlah zaman sekarang anak dara lebih fokus dengan dunia belajar, akhirnya nak beli barang mentah pun kurang mahir.
Bila berlaku situasi ini, nak salahkan siapa? Haaa… di sinilah mak ayah kena mainkan peranan. Macam yang saudara Ahmad Affzan Abdullah biasakan anak-anaknya, lama-lama bila ajak ke pasar pun anak tak rasa geli.
Cuba tengok caranya didik anak-anak…
Ajak Anak Beli Barang Basah
Hujung minggu atau cuti begini, memang seronok kalau pergi beli barang dapur sekeluarga.
Aku akan cari ikan, ayam atau daging dan segala kudapan yang lain, sementara isteri aku akan pilih sayur.
Anak-anak pula, kami akan ajar jenis-jenis ikan dan sayur serta bagaimana nak pilih mana yang elok. Kalau pergi ke Mydin, biasanya mereka dah tahu lokasi semua benda yang nak dibeli.
Paling aku suka tekankan, jangan geli dan jijik nak pegang ikan.
Pegang dengan tangan, tanpa lapik. Baru kau tahu tekstur dia macam mana. Tak payah nak geli. Ikan itu nanti kau juga nak siang, masak dan telan.
Biasakan hidung itu dengan bau makanan laut. Takkan kau nak cuci ikan dengan sabun. Dah memang dari kecil sampai besar ikan tu duduk dalam laut, macam itulah baunya.
Itu makanan kita. Mesrakan diri dengan bahan mentah ini semua. Jadi nanti dah besar, nak pergi pasar beli barang pun tak kekok. Tak adalah sepuluh kali kau whatsapp gambar pada pasangan sebab tak tau macam mana rupa ikan jaket.
Kesannya Inilah!
Dan kau juga insya-Allah tak kekok beraksi di dapur. Barulah pasangan kau sayang terlebih. Tidaklah kau tinggal dia seorang diri gaul ikan dengan kunyit dan garam. Sekurang-kurangnya, bagilah kuku kau tu kuning sikit. Baru nampak macho.
Ha, begitulah aku selalu pesan pada anak-anak. Setakat ini berkesan nampaknya. Kalau aku lepaskan dekat tempat ikan tu, dah tau nak beli ikan apa dan cari yang molek-molek.
Ini kemahiran hidup, mungkin tak ada dalam silibus di sekolah. Namun di ‘sekolah kehidupan’ kami, ‘subjek’ ini mereka harus lulus cemerlang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...