
Suami Miera Liyana berdepan pertuduhan pernyataan palsu, diikat jamin RM500,000. Suami kepada Miera Liyana, Rosland Othman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal syarikat lima tahun lalu.
Kes ini turut menarik perhatian ramai kerana Rosland merupakan suami kepada pelakon popular Miera Liyana yang sering menjadi tumpuan dalam dunia hiburan tempatan.
Rosland, 52, yang juga bekas pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Rosland didakwa menyebabkan satu pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia yang terkandung dalam laporan “Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 June 2021.”
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, Kuala Lumpur pada 30 September 2021.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Perenggan 369(b)(B) dibaca bersama Subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM3 juta.

Pendakwaan Tidak Tawar Jaminan Kepada Suami Miera Liyana
Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali sehingga kes selesai.
Tanggung Tujuh Anak, Jaga Dua Warga Emas
Peguam bela, S Shastidaran memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya menanggung tujuh orang anak hasil dua perkahwinan, selain menjaga ibu kandung serta ibu mentuanya yang sudah berusia.
Menurutnya, Rosland juga telah diisytiharkan muflis pada 2023 serta menghidap beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis, glaukoma dan masalah saraf.
Beliau turut memaklumkan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Bagaimanapun pihak pendakwaan berpendapat jumlah jaminan RM5,000 yang dicadangkan pembelaan terlalu rendah dan boleh menyebabkan tertuduh melarikan diri.

Mahkamah Tetapkan Jaminan RM500,000
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin, selain perlu mematuhi syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




