
Isi Kandungan
ToggleSuami kadangkala tak sedar atau sengaja buat tak sedar akan perubahan emosi isteri. Hubungan di antara suami isteri cukup erat sehinggakan segala baik buruk pasangan akan diketahui. Sebagai suami, sejauh mana anda benar-benar ‘kenal’ dan dapat menyelami perasaan isteri anda? Apakah cukup dengan bahasa tubuh yang ditunjukkan itu?
Suka Pendam
Wanita sering kali dikaitkan dengan sikap yang suka memendam perasaan. Walau pun mereka sedang berduka, tapi jarang ditunjukkan kepada suami. Mungkin disebabkan tidak ingin menyusahkan suami. Tapi, sebagai pasangan yang prihatin, anda perlu ambil peduli dan peka dengan perubahan emosi isteri.
Tanda-tanda
Antara tanda yang menunjukkan isteri sedang dalam keadaan berduka, dia banyak mendiamkan diri dan kurang berkomunikasi dengan anda. Walau pun mungkin dia cuba tersenyum, tapi perhatikan betul-betul, pasti anda dapat kesan rasa duka di wajahnya.
Atau bila pulang dari kerja, tiba-tiba lihat matanya merah seperti baru menangis, sudah pasti ada yang tak kena. Sebagai suami, jangan buat tak tahu sedangkan anda dapat kesan signal yang telah diberikan oleh isteri.
Suami Tanyalah Dengan Lembut
Kemudian, bertanya dengan lembut, apa yang membuat dirinya berduka. Apakah ada kegusaran atau masalah yang sedang melanda hatinya kala itu? Entah-entah, dia terluka dengan sikap anda yang tanpa sedar membuatkan dia bersedih. Jika ya, minta maaf andai itu memang salah anda.
Jangan bersikap ego dan tak bertanya apa yang sedang dialami oleh isteri. Walau pun mungkin pada mulanya isteri tak nak berkongsi atas sebab tertentu, tapi percayalah, jika anda tunjukkan sikap prihatin pasti mereka akan luahkan pada anda.
Cuba Hiburkan Hati
Setelah diketahui punca yang menyebabkan duka si isteri, cubalah hiburkan hatinya dengan melakukan sesuatu yang disukai. Atau yang paling mudah, berikan pelukan sayang seraya luahkan kata-kata pujukan.

Suami Cubalah Bantu Jika Mampu
Sekiranya ia melibatkan soal kerja dan di luar hubungan suami isteri, anda boleh cadangkan jalan penyelesaian buat isteri. Pasti si isteri akan menghargai pendapat anda itu walau pun mungkin tidak diikutinya. Yang penting, ia menunjukkan rasa prihatin dan peduli anda terhadap dirinya. Itu lebih bermakna buat isteri. Dengan cara itu juga, isteri akan rasa selesa untuk meluahkan dan berkongsi perasaannya dengan anda kelak. Ia adalah satu hal yang positif dalam hubungan anda suami isteri.
https://www.facebook.com/mingguanwanita/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Realiti Mak-mak Yang Sanggup Berhenti Kerja, Bila Dah Lalui Semua Ini Pasti Hati Lebih Sado!

Isi Kandungan
ToggleBila wanita sanggup berhenti kerja, itu dikira rezeki kaum suami sebab tak semua mak-mak rela melepaskan dunia kerjaya, tambah pula kalau sudah bergaji besar. Emosi pula kejap rasa OK, kejap rasa tak Ok.
Untuk pulihkan semangat mak-mak yang sudah berhenti kerja yang kadang rasa menyesal sebab duit dalam beg duit tak tebal macam dulu, baca perkongsian Puan Natasya Azwin ini…
Ini kisah Awin.
Kisah seorang ibu muda yang meninggalkan kerjaya dengan gaji RM4k-RM5k ++ pada tahun kedua kerja demi anak tercinta.
Adakah aku menyesal berhenti kerja?
Ada masa bila stress kerana terlalu penat seharian menghadap kerja rumah, atau bila aku kene BERJIMAT TAKLEH BELI BARANG KEHENDAK, aku mempersoalkan tindakan aku.
Sudah terbiasa ‘pegang duit’, aku memang suka duit. Gila tak suka duit??
Dengan duit aku boleh bagi duit setiap bulan untuk ibu bapa, mertua tidak dilupa.
Dengan duit aku boleh belikan adek-adek kelengkapan hari raya, dengan duit aku boleh dengan senang hulurkan pada saudara, dengan duit aku boleh beli barang rumah ikut suka hati, dengan duit aku boleh beli barang niaga adek dan kawan aku dengan senang hati.
Duit tak boleh beli bahagia, tapi ia mampu membahagiakan mereka yang tahu erti menghargai ❤️
Aku geram dan sedih.
Ada suatu masa sampai duit sepuloh ringgit pon takde dalam purse. Sedih tau tak? Kene guna credit card sebab nak makan.
Nak makan pakai credit card ni of course kene masuk kedai mahal. Kedai biasa tak accept. Makanya aku masuk Nandos. Bongok tak bongok? Dulu time kerja, Nandos tu mcm gerai tepi jalan jer (bongkak angkuh bunyinye tapi kene cakap laguni baru korang paham mcm mana life style aku dulu)
Takdelah miskin papa. Masih banyak aset. Tapi takkan la i nak jual semua rumah tu dan benda lain pada tempoh “susah” tu? atau korek saving? Saving is saving. Tapi elok elok aku buat saving pastu aku silap langkah habis lebur semua duit. Cerita nya aku pernah share sebelum ni. Korek cari kalau rajin.
Bila susah bukan orang tahu pun. Kita pepandai lah sendiri. Time aku mula senang balik amboi kemain siap ada pm pinjam duit. Aku suruh start berniaga cara halal taknak. Main phone bukak fb memanjang boleh pulak? Tau tak ngan fb ni ko boleh buat duit? Jangan malas sangat boleh tak? Eh tetiba aku emo.
Nak cari duit ingat senang ke?
Usaha la dulu.
Banyak alasan.
Memang susah sangat.
Kalau usaha padu, kacang bean yang amat!
Nampak macam best fuyohh ade brand sendiri. Tapi aku tak mampu lakukan semuanya seorang diri. Ada benda aku terpaksa pass. Aku tak mampu.
Kerja hakiki seorang suri rumah seperti memasak, basuh/lipat baju, sapu sampah, cuci pinggan……ini semua aku kene amek turn.
Anugerah suri rumah mithali? Memang aku takkan pernah berpeluang dapat anugerah ni. Tercalon pon belum tentu uols.
Ada masa aku nak jadi mcm octopus. Ada 8 kaki tangan. Tapi itulah…..tak semestinya ada lebih kaki tangan, ko mampu setelkan semuanya. Hakikatnya, soul and emotion semuanya terkandung dalam satu jasad.
Alhamdulillah rezeki dari Allah sentiasa ada. Aku tekadkan hati all out fokus buat betul-betul biz from home ni.
Start small, but progressive!

HARINI AKU SEBAK TENGOK ANAK-ANAK TEMAN AKU BUAT KERJA DALAM BILIK JAHIT NI.
Anak-anak aku hidup dalam timbunan habuk kain….
Maafkan mommy, idris.
Maafkan mommy, suraya.
One day mommy dah lebih berjaya, mommy akan bawa idris dan suraya ronda tengok dunia. One fine day will come. Soon ❤️
Ladies,
Create your own mantra!
Ulang setiap hari. Suatu booster semangat!
“I work hard to get to the top”
This is my mantra, what is yours?
PS: Kalau sharing ni buat korang rasa sebak sedih pastu ehhhh tetiba bersemangat waja, silakan #SHARE. Hahaha. Moga lebih ramai wanita bangkit dan usaha ubah nasib diri dan keluarga!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Walau Cerewet, Selesai Je Buat SEMUA 10 PERKARA Ini Mak Ayah Boleh Bertenang Tinggal Anak Rumah Pengasuh

Isi Kandungan
ToggleAl-Fatihah! Sekitar 10.30 malam rabu, bayi lima bulan Adam Rayqal Mohd Sufi sudah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu. Sayu sungguh setiap kali membaca kisah anak sulung pasangan Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28 dan Farrah Madihah Othman, 28.
Tragedi Adam Rayqal disorok pengasuh dalam peti sejuk beku di rumahnya memberi impak yang besar pada mak ayah. Namun, bukan semua pengasuh bersifat kejam sebegitu. Ramai lagi yang berhati mulia.
Cuma segelintir kes yang terjadi ini membuatkan mak ayah yang sedang mencari atau baru menghantar anak ke rumah pengasuh perlu ‘ALERT’ berjaga-jaga. Ini pesan Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi dalam facebooknya.
Awas! Pada Pengasuh Berjiwa Baran
ALERT! Sekali lagi kita digemparkan dengan insiden menyayat hati melibatkan bayi yang dihantar kepada pengasuh. Jika tak lama dulu kes patah tulang peha, awal pagi ini pula bayi yang didakwa diculik di rumah pengasuh rupa-rupanya ditemui mati di sana. Innalillah.
Sekarang ini saya perasan iklan mencari anak asuhan bersepah-sepah bukan sahaja dalam media sosial tetapi juga di tiang-tiang tepi jalan. Betullah itu usaha untuk jana pendapatan sambil membantu ibu bapa yang ada anak, tapi kalau jiwa puan-puan dan suami puan-puan tak suka budak-budak atau baran berapi, tolong sedar diri untuk tidak berbisnes mengasuh kanak-kanak. Jadi punching bag pulak anak-anak syurga tu.
Tapi itu bukan apa yang saya nak cerita sebenarnya. Orang kalau dah terdesak nak sara hidup, pasti ada juga yang akan degil nak mengasuh budak-budak walaupun dialah makhluk paling buas kepada kanak-kanak. Jadi, poin saya dalam status ini ialah untuk ibubapa di luar sana, terutamanya yang dua-dua orang kerja dan ada anak.
Dilema biasa, siapa nak jaga anak kita kalau dua-dua kerja? Ah, kang ada la tu yang kata si ibu pentingkan diri sanggup kerja daripada jaga anak. Aduhai. Tu saya taknak panjang cerita sebab ada banyak sebab untuk mereka kena kerja.
Kalau dua-dua doktor, pastu anda desak yang perempuan tak perlu kerja, nanti anda juga yang bising kalau semua doktor pun lelaki je di hospital dan klinik nanti.
Ibubapa sekalian.
Buat SEMUA 10 PERKARA Ini Sebelum Ambil Pengasuh Ya
Pertama : Kalau Asyik-asyik Muka Dia Iklan Di Media Sosial.. Sila Jaga-jaga
Carilah saudara mara terdekat dahulu. Kalau takde, cari saudara mara kepada kawan-kawan terdekat. Kalau takde, cari pengasuh yang jaga anak-anak, kawan-kawan terdekat anda.
Jangan main ambil je merata-rata daripada media sosial lebih-lebih lagi yang asyik-asyik muka dia iklankan kat situ. Lagi bahaya kalau harini dia iklan, esok dia kata dah penuh. Minggu depan iklan lagi, pastu penuh. Tu mungkin sebab orang yang dah hantar kat situ terpaksa cancelkan sebab tak puas hati. Omputih cakap ‘high turnover rate’.
Kalau terpaksa minta ibubapa anda untuk jaga, tebalkan muka untuk minta mereka jaga SEMENTARA. Sementara, bukan selamanya. Contohnya 1 minggu sambil anda usaha cari pengasuh sampai jumpa.
Kedua : Tak Apa Kalau Terpaksa Jadi Penyiasat Persendirian
Google dulu. Ini ramai tak buat, kan? Konfem ada nombor telefon pada iklan, so Google taip nombor telefon tu. Ini info yang mungkin boleh anda dapat dari google:
– Nama
– Side bisnes contoh baking, dropshipping, scammer
– Side story lama
– Laman sosial peribadi – boleh stalk dulu
– Iklan-iklan serupa di internet (kalau banyak sangat bersepah-sepah, itu tanda pengasuh terlalu terdesak untuk hard selling, jadi kena hati-hati sikit)
Ketiga : Semak Latar Belakang Calon Pengasuh
Kalau malas nak jumpa berdepan, tapis dulu guna call atau mesej.
– Nama penuh
– Alamat
– Bilangan anak kandung
– Bilangan anak asuhan sedia ada
– Had maksimum anak asuhan
Dah dapat? Good. Bandingkan maklumat yang anda dapat dari pengasuh tu sendiri dengan maklumat yang anda perolehi daripada google. Kalau ada unsur penipuan, cari lain.
Jangan terlalu fokus pada yuran jagaan sangat. Memang penting tapi itu bukan perkara utama.
Keempat : Jumpa Berdepan
Kalau puas hati dengan info awal, JUMPA BERSEMUKA sebab bamyak maklumat lagi kena korek. Mula-mula tengok penampilan pengasuh, gaya bercakap, personaliti, gerak geri, dan lain-lain yang boleh anda perhati dalam keadaan natural. Ok pandai-pandai lah usya masa jumpa.
Korek info lanjut:
– Kenapa dia buat job mengasuh
– Pengalaman mengasuh (baca nombor 5)
– Sijil latihan mengasuh
– Apa aktiviti rutin anak-anak semasa dalam asuhan (dari pagi hingga balik)
– Apa makanan biasa yang diberi dan jadual makan
– Apa gaya asuhan dia yang biasa
– Haa.. tambah-tambah kat ruang komen kalau ada
Kelima : Minta Testimoni (PENTING!)
Jangan minta testimoni daripada pengasuh sebab ramai yang ‘masuk bakul angkat sendiri’. Bisnes kan, konfem la cerita yang indah-indah je.
So, berbalik kepada soalan pengalaman mengasuh, ini soalan perangkap sebenarnya, konfem pengasuh biasanya akan cakap dia berpengalaman mengasuh budak-budak. Kadang-kadang ada yang exaggerate dah tengok sampai beratus anak asuhan.
So, minta no handphone ibubapa bekas anak asuhan. Jangan minta satu je tau sebab dia mungkin boleh berpakat, dan untuk elak dia tau ibubapa mana yang mungkin bagi testimoni negatif. At least 3 orang kot supaya kalau ada cerita buruk, dia tak boleh teka siapa yang kata. Kalau boleh, anda pilih sendiri secara random ibubapa mana yang anda nak hubungi.
Kalau dia enggan bagi, sila bina rasa syakwasangka. Kalau dia bagi, telefon ibubapa tersebut dan minta testimoni. Jangan cakap depan pengasuh sebab taknak la kantoikan ibubapa tu pulak.
Keenam : Lawatan Tapak
Jangan malas! Tengok sendiri tempat yang anak-anak anda bakal tinggal semasa anda bekerja. Periksa bilik, tandas, dapur, dan luar.
Pastikan rumah itu selamat dan sukar dicerobohi contoh pintu pagar sentiasa ditutup dan pintu gril sentiasa terkunci. Tengok kebersihan dapur sebab anak-anak anda akan makan makanan dari dapur situ. Check freezer atau peti ais jika ada hantar stok EBM.

Tangga kena ada pagar. Budak-budak terutamanya yang merangkak ni berisiko untuk jatuh lalu cedera atau mati. Bilik pun kalau boleh kena ada pagar keselamatan. Tandas kena bersih, tak licin sampai ada risiko kanak-kanak tergelincir jatuh.
Susunan perabot pun kena sesuai dan selamat. Kalau ada TV plasma 4K hingga ada risiko anak-anak anda jatuhkannya, baik jangan hantar. Kalau jatuh pecah, kena ganti. Tu takpe lagi, tapi kalau jatuh hempap anak sampai mati, nak salahkan siapa nanti? Ibubapa salahkan pengasuh letak TV merata-rata tak gantung dan tak jaga budak-budak, dan pengasuh pula salahkan ibubapa sebab tak ajar adab.
Ketujuh : Tanya jiran
Sangat penting tapi ramai tak buat! Tau tak makcik-makcik bawang sebelah tumah ni la yang kadang-kadang boleh ceritakan kisah benar. Kot-kot mereka selaku dengar anak-anak meraung didera, atau harubiru anak-anak menangis kelaparan. Atau nampak pengasuh keluar shopping tinggalkan anak-anak asuhan dijaga oleh anak kandung pengasuh yang masih sekolah rendah.
Kelapan : Tanya Hati Naluri
Well, kalau hati rasa berat dan ragu-ragu untuk percaya pengasuh tersebut, jangan ambil. Cari lain terus. Percaya pada hati walau mungkin naluri salah. Gunakan panduan 1-7 untuk guide hati.
Kesembilan : Istikharah
Tanya pada Tuhan apa yang terbaik kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Kesepuluh : Testing
Cuba hantar 2 minggu lebih awal dari tarikh lapor tugas. Kalau ada tanda-tanda anak ketakutan semasa dihantar dan berubah sikap bila balik, sila suspek sesuatu. Anggap anak-anak tak suka dan cari lain yang lebih sesuai.
Bunyinya Macam Cerewet, Tapi..
Terlalu cerewet? Ya, memang kena cerewet kalau sayang anak. Sedangkan duit, emas dan harta yang takde nyawa dan jiwa pun kita simpan kat tempat selamat, inikan pula anak-anak yang bernyawa dan ada jiwa. Takkan nak campak merata je bagi stranger jaga anak-anak kita tanpa kita usaha pastikan mereka boleh dipercaya? Fikirlah sikit!
Saya pun ada anak, dan anak saya pun pernah saya hantar untuk orang lain jaga. Jadi, saya cakap ikut pengalaman dan pengetahuan. Siapa lagi nak taip-taip panjang-panjang bagi ibubapa lain baca? Taip takde orang baca tak guna juga. Kalau baca, tolong share.
Sumber/Foto : Mohd Fadhli Mohd Fauzi, kosmo, astro awani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Sedih Fikir Dirinya Tak Lagi Cantik Selepas Melahirkan, Tapi Ini Rupanya Kejutan Yang Suami Lakukan

Isi Kandungan
ToggleBahagianya ada suami yang benar-benar kasih setulus hati. Biar pun isteri tak lagi cantik seperti masa bercinta. Malah fizikalnya berubah selepas melahirkan anak-anak, beruntunglah jika suami tak mempersoalkan.
Perkongsian daripada Cik Puan Intan Dzulkefli (Nurul Intan safinah Dzulkefli) ini cukup besar ertinya buat pasangan suami isteri. Kalaulah suami-suami di luar sana dapat menjadi setia dan sentiasa memberi kejutan istimewa kepada isterinya alangkah indahnya hidup ini.
Muka Isteri Kusam, Rambut Gugur, Ini Kejutan Suami
Sejak bersalin anak ketiga mukanya memang kusam teruk. Lepas habis pantang perut buncit ya robbi. Rambut banyak gugur macam orang lepas kimo. Bila balik kampung semua tegur mukanya nampak tua. Umur baru 20-an dah nampak macam hujung 30-an. Berdiri dengan suami nampak macam dia kakak suami. Komen orang sekeliling betul-betul buat dia rasa rendah diri di hadapan suami.
Saya tanya, “Suaminya ada komplen ke?”
Dia jawab, “tak pernah.”
“Tiada apa yang berkurang malah kadangkala tengah malam selalu terasa suami mencium wajah saya sambil ucapkan terima kasih sebab jadi isterinya & didik anak-anak sementara dia kerja, bacakan doa pada ubun-ubun.”
“MasyaAllah… beruntungnya akak.” Kata saya.
Baru-baru ini dia bercerita lagi.
“Haritu masa balik cuti beraya, ada ahli keluarga perli saya nampak macam dah beranak 10 orang. Perut buncit macam mengandung 5 bulan. Mereka suruh saya makan jamu. Takut nanti suami cari lain sebab tak selera dengan saya. Suruh saya pergi spa sebab muka kusam.”
“Saya menangis masuk bilik. Suami ikut saya masuk apabila lihat saya lain macam. Saya marah-marah suami & mula menuduh suami. Saya rasa memang betul apa mereka cakap. Mungkin suami hanya simpati dengan saya sebab saya bersusah payah beranakkan anak-anaknya. Mungkin dia pun dah hilang nafsu pada saya. Saya dah buruk. Saya dah gemuk. Saya dah hodoh. Muka tua. Saya betul-betul rasa kecewa dengan diri sendiri. Kenapa wanita lain lagi ramai anak dari saya tapi tetap cantik. Kenapa saya buruk sangat.”
“Dan akhirnya suami saya peluk saya sambil menangis. Dia kata dia tak pernah pun fikir apa yang saya cakap. Tak pernah terlintas di hatinya. Suami kata sayalah satu-satunya yang paling cantik dalam hatinya.”
“Intan… Saya takkan lupakan apa yang suami katakan.”
“Setiap kali abang nampak sayang, abang hanya nampak wanita yang bersusah payah untuk abang. Bila nampak rambut sayang gugur banyak kat lantai, bentuk badan dah berubah.. abang rasa.. abanglah yang bersalah sebab sayang jadi macam tu lepas beranakkan anak-anak abang, susukan anak-anak, jaga anak-anak.. abang masih ingat betapa cantiknya sayang masa kali pertama abang tengok saya masa kita solat jemaah sama-sama lepas nikah.
“Abang minta maaf.. abang salah.. abang cuba tolong apa patut tapi kadang anak-anak nak melekat dengan sayang jugak. Apa yang mampu abang buat… abang hanya mampu doakan sayang hari-hari & cuba gembirakan hati sayang. Abang minta maaf kalau abang tak cukup tunjukkan kasih sayang abang selama ni. Abang minta maaf tapi percayalah abang sayang sangat kat sayang. Hari-hari abang doa moga sayang satu-satunya isteri abang dunia akhirat.”
Demi Allah…
Saya yang membaca. Saya menangis. MasyaAllah. Mulianya hati suami ini.
Suaminya hantarkan juga isteri ke treatment atas permintaan si isteri, tapi niatnya lebih kepada mahu menghargai kesetiaan suaminya itu, selain untuk sihat beribadah kepada Allah. Subhanallah. Suami isteri yang berlumba-lumba mahu menggembirakan hati pasangan masing-masing insyaAllah Allah akan berikan sakinah, mawaddah & rahmah dalam rumahtangga merekakan. Moga rumahtangga kita juga begitu. Amiin.
Jangan Jatuhkan Air Muka Isteri
Cerita teman ini memberi pengajaran yang besar buat diri ini. Janganlah kita sesekali mengatakan sesuatu yang boleh menjatuhkan air muka seorang isteri, apatah lagi di hadapan suami & anak-anaknya. Kita tidak tahu natijah perkataan demi perkataan yang kita lemparkan itu mungkin menyebabkan seorang suami memandang rendah kepada isterinya.
Kadangkala, selain dari mulut orang sekeliling yang sangat suka memberi komen menyakitkan hati, ayat-ayat promosi produk di media sosial juga terlalu memprovok hingga menimbulkan syak wasangka isteri pada suaminya sendiri. Maaf saya cakap, terutamanya produk kewanitaan & kecantikan, terlalu banyak yang condemn hingga isteri jadi hilang yakin diri. Selalu sangat mengugut kaum isteri;
“Nanti suami lari dengan janda meletop sebelah rumah”
“Nanti suami cari orang lain sebab bau kepam awak tu”
“Nanti orang fikir uolls mak sedara suami sebab muka nampak tua”

Maaf cakap…
Mungkin yang gelojoh nafsu itu hanya suami awak, bukan suami orang lain. Saya percaya, masih ramai suami yang hanya memandang isterinya sahaja yang cantik dalam dunia ini. Bukan hanya pura-pura nak jaga hati isteri, atau hanya baik di depan tapi di belakang suka cuci mata lihat wanita lain. Tapi cinta & belas ehsan yang ikhlas dari hati. Betul-betul isterinya seorang itu yang dia mahu menemankannya di syurga, jadi penghulu bidadari.
MasyaAllah… inilah bezanya lelaki beriman, baik & soleh dengan lelaki jahat. Maka janganlah disamakan antara keduanya. Sebagaimana ada wanita baik & wanita jahat, begitu jugalah para lelaki.
Semua orang punya nafsu.. namun, orang beriman mengawal nafsunya dengan mujahadah & melunaskannya dengan cara yang dibolehkan, yang halal baginya. Takkan sama seperti orang fasik, munafik & tidak beriman..
Allahuakbar.
Sesungguhnya tiadalah dapat dinafikan lagi… nikmat kebahagiaan terbesar seorang isteri setelah iman & islam adalah dipinjamkan seorang suami yang soleh, yang mencintai, mengasihi & menyantuninya kerana Allah, menjadi sahabatnya di dunia hingga akhirat.
Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah
Sumber/Foto: Intan Dzulkefli (Nurul Intan Safinah Dzulkefli) via Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI