Hubungan di antara suami isteri cukup erat sehinggakan segala baik buruk pasangan akan diketahui. Sebagai suami, sejauh mana anda benar-benar ‘kenal’ dan dapat menyelami perasaan isteri anda? Apakah cukup dengan bahasa tubuh yang ditunjukkan itu?
Suka Pendam
Wanita sering kali dikaitkan dengan sikap yang suka memendam perasaan. Walau pun mereka sedang berduka, tapi jarang ditunjukkan kepada suami. Mungkin disebabkan tidak ingin menyusahkan suami. Tapi, sebagai suami yang prihatin, anda perlu ambil peduli dan peka dengan perubahan emosi isteri.
Ads
Tanda-tanda
Antara tanda yang menunjukkan isteri sedang dalam keadaan berduka, dia banyak mendiamkan diri dan kurang berkomunikasi dengan anda. Walau pun mungkin dia cuba tersenyum, tapi perhatikan betul-betul, pasti anda dapat kesan rasa duka di wajahnya.
Atau bila pulang dari kerja, tiba-tiba lihat matanya merah seperti baru menangis, sudah pasti ada yang tak kena. Sebagai suami, jangan buat tak tahu sedangkan anda dapat kesan signal yang telah diberikan oleh isteri.
Tanya
Kemudian, bertanya dengan lembut, apa yang membuat dirinya berduka. Apakah ada kegusaran atau masalah yang sedang melanda hatinya kala itu? Entah-entah, dia terluka dengan sikap anda yang tanpa sedar membuatkan dia bersedih. Jika ya, minta maaf andai itu memang salah anda.
Ads
Jangan bersikap ego dan tak bertanya apa yang sedang dialami oleh isteri. Walau pun mungkin pada mulanya isteri tak nak berkongsi atas sebab tertentu, tapi percayalah, jika anda tunjukkan sikap prihatin pasti mereka akan luahkan pada anda.
Ads
Cuba Hiburkan Hati Isteri
Setelah diketahui punca yang menyebabkan duka si isteri, cubalah hiburkan hatinya dengan melakukan sesuatu yang disukai. Atau yang paling mudah, berikan pelukan sayang sambil luahkan kata-kata pujukan.
Bantu Jika Mampu
Sekiranya ia melibatkan soal kerja dan di luar hubungan suami isteri, anda boleh cadangkan jalan penyelesaian buat isteri. Pasti si isteri akan menghargai pendapat anda itu walau pun mungkin tidak diikutinya. Yang penting, ia menunjukkan rasa prihatin dan peduli anda terhadap dirinya. Itu lebih bermakna buat isteri. Dengan cara itu juga, isteri akan rasa selesa untuk meluahkan dan berkongsi perasaannya dengan anda kelak. Ia adalah satu hal yang positif dalam hubungan anda suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak ramai suami yang sanggup atau berpeluang masuk ke dalam bilik bersalin dan saksikan depan mata, ‘cinta hati’ mereka dilahirkan. Dari rahim isteri yang menahan sakit kontraksi entah berapa lama.
Bila mana Akhtar Syamir (BroOhsem) berpeluang saksikan sendiri isteri melahirkan anak ketiga mereka, lelaki ini berkongsi apa sebenarnya yang jadi dalam bilik dewan bersalin.
Yang mana, para suami seharusnya ambil tahu.
Agar isteri tak kepenatan sendirian, dan selepas melahirkan menanggung beban emosi berpantang sukar dibayangkan.
“Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room.”
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang – tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial – kial nak isi buku pelawat. Tiba – tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain – lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala – ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju ni. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. “Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit,” kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.
“Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang,” kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada.
Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal – awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. “Boleh, jangan bimbang” katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.
“Puan nak makan ubat tahan sakit tak?”, soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. Kami pun macam terpinga – pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
Sambil berbual – bual, saya urut – urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar – sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.
Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya “contraction” isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Semakin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa – apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila “contraction” itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
Alat sedut gas tu dah macam tak ada kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katanya. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
“Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?” Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba – tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus minta maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.
Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
1. Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2. Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3. Jangan teran sikit – sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4. Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama – lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut – sangkut.
5. Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6. Set masa bila nak buat “final push”. Masa ni ialah masa untuk teran habis – habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya “nak potong apa? Jangan !”. Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam – dalam dan bersama dengan saya, kami sama – sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti “bagus, pandai dan sikit lagi”. Saya pula berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde apa – apa, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali – kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah – muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit.
Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad. Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga – bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..
Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
1. Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
2. Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
3. Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam – jam menunggu.
4. Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
5. Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
6. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara ni.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.
Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.
Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, saya selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Andai kita terlalu menyayangi seseorang, suatu masa nanti cukup berat untuk kita menerima ujian bila Allah pisahkan dengan orang tersayang. Namun apa hak kita?
Kena beringat, apa yang kita miliki hari ini semuanya sebuah pinjaman. Tiada yang kekal abadi, termasuklah pasangan dan anak-anak.
Apa lagi yang berkira sangat nak berkongsi rezeki dan harta yang kadang jadi sebab manusia bermusuh sesama darah daging.
Nauzubillah…
Sebagai renungan bersama, jemput berlapang dada dengan perkongsian hati daripada Puan Hajjah Rohana Saad sejenak.
Kita sering menyalahkan takdir. Kenapa kita harus kehilangan orang yang kita sayang? Kenapa kita tak boleh bersama dengan dia sedangkan kita sayang kan dia sangat?! Lupakan semua persoalan itu dan cuba kembali berfikir dan bermuhasabah diri. Cuba tanyakan balik pada diri kita.
Kenapa ALLAH pisahkan kita dengan dia?
Kenapa ALLAH tidak satukan kita dengan dia?
Jangan asyik katakan mengapa dan kenapa. Tapi katakanlah, Aku yang terpilih!
Ketahuilah aturan ALLAH itu sangat sempurna. Lebih baik seandainya kita kehilangan cinta manusia yang kemudiannya kita kembali mengejar cinta ALLAH. Atau mungkin ALLAH telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik bagi kita. Apabila kita mencintai ALLAH, ALLAH akan mencintai kita dan apabila ALLAH telah mencintai kita, semua orang yang mencintai ALLAH akan turut mencintai kita.
Mungkin juga ada ‘kesilapan’ semasa kita bersama dengannya. Mungkin juga apabila bersama dengannya telah membuatkan kita lalai daripada rasa cinta kepada yang Maha Pengurnia Cinta. Mana satu pilihan kita? Mahu bersama hanya sementara di Dunia? Ataupun bersama selamanya di Akhirat kekal abadi?
Jika kita mahu bersama nya di dunia dan akhirat jagalah batas-batas pergaulan kita dengan nya selagi dia belum menjadi milik kita. Jika rasa cinta kita terhadap seseorang melalaikan kita daripada menunaikan kewajipan kita kepada ALLAH, maka BERPISAHlah. Dan berdoa lah agar kita akan berjumpa dengannya di Akhirat kelak. Jadi usahlah mengeluh.
Kadang-kadang ALLAH PISAHKAN kita dengan seseorang yang kita KENAL untuk SEMENTARA WAKTU. Beberapa tahun kemudian, ALLAH TEMU dan TAUTKAN HATI kita kembali dengan IKATAN yang SUCI. PERANCANGAN ALLAH itu INDAH andai kita MELIHAT sesuatu yang MENIMPA kita dengan MENERIMANYA dengan TERBUKA.
Mengeluh hanya akan meletihkan dan menyakitkan hati. Tetapi BERDOA mampu menguatkan dan mengubati kedukaan. Jadikanlah ALLAH sebagai tempat kita bergantung harap bukannya simpati dari manusia.
ALLAH temukan kita bersebab dan ALLAH pisahkan kita pun bersebab. Mungkin DIA nak kita belajar menghargai, tahu apa itu kesabaran dan ketabahan, yang penting, kita redha atau tidak dengan takdirNYA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Cukup menyayat hati kemalangan tragis antara dua buah kereta yang berlaku semalam, dua maut manakala empat lagi cedera yang melibatkan Proton Saga dan Nissan Sentra.