Kalau dah suka, apa saja sanggup diredah dan berkorban apa saja. Tapi, kalau dah tak suka, cepat sangat lafaz talak, walaupun hanya kesalahan kecil. Lebih teruk bukan cara yang betul.
Lafaz talak tak boleh sewenang-wenangnya dilakukan di luar mahkamah. Mungkin ia satu kesalahan jenayah syariah. Kena faham betul-betul apa yang dikongsikan oleh tuan Khairul Fahmi Ramli, peguam syarie dalam perkongsiannya.
Baru-baru ini viral seorang DJ melafazkan talak 3 secara langsung melalui Facebook (FB) dan ramai followers yang tanya saya “Sah ke lafaz talak itu Puan?”
Jawapannya “SAH” jika rukun dan syarat talak dipenuhi.
Apabila suami melafazkan talak di luar mahkamah sama ada di rumah atau di mana-mana selain di Mahkamah, ia adalah merupakan satu kesalahan jenayah syariah. Perlu diingat, talak tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di luar mahkamah.
Walau apa pun keadaan, contohnya suami didesak oleh isteri atau suami berkehendak sangat untuk melepaskan isteri, suami tetap perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah terlebih dahulu untuk melafazkan talak.
Tapi, jika suami telahpun melafazkan talak di luar mahkamah apa yang perlu suami isteri ini lakukan?
Ads
1. Isteri perlulah mencatat atau merakam perkataan yang dilafazkan oleh suami. Paling penting ialah apa perkataan yang dilafazkan, tarikh, masa dan siapa yang menyaksikan kejadian tersebut. Fakta-fakta ini penting untuk rujukan di Mahkamah kelak.
2. Suami isteri perlu mengasingkan tempat tidur. Walaupun perlu asing tempat tidur, tetapi pasangan masih boleh tinggal satu rumah. Pasangan juga tidak boleh melakukan hubungan kelamin demi untuk memelihara diri dan keturunan sehinggalah pengesahan lafaz cerai dapat dibuat selepas Mahkamah Syariah beroperasi semula.
3. Dapatkan nasihat guaman daripada pihak yang bertauliah. Perceraian adalah satu perkara yang sangat serius. Maka, pasangan yang terlibat dalam lafaz talak luar Mahkamah ini perlu seberapa segera mendapatkan nasihat dari pihak yang bertauliah agar pasangan mengetahui hala tuju hubungan.
4. Segera rujuk kepada Mahkamah Syariah. Apabila berlaku lafaz talak di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah, suami atau isteri perlu seberapa segera pergi ke Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat Pengesahan Lafaz Cerai. Ini adalah penting untuk mengetahui sama ada sah atau tidak lafaz talak tersebut dan berapa baki talak yang ada.
Hukuman Kesalahan Jenayah Syariah
Lafaz talak yang dibuat luar Mahkamah adalah kesalahan jenayah syariah. Jadi, apakah hukuman bagi kesalahan ini?
Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri menyatakan, “Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talak dengan apa-apa bentuk di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”
Oleh itu, bagi pasangan yang telah bercerai di luar Mahkamah dan ada kemudiannya yang rujuk kembali sebagai suami isteri, mereka perlu segera membuat pengesahan cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah.
Perlu diingat, walaupun anda ada mendapatkan nasihat daripada peguam-peguam syarie atau ustaz-ustaz, anda tetap perlu ke Mahkamah untuk mengesahkan lafaz talak. Ini kerana undang-undang menyatakan hanya Hakim Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mengesahkan lafaz talak itu sama ada sah ataupun tidak.
Janganlah dipandang ringan hukum hakam perkahwinan. Sebagai seorang suami pula, janganlah sewenang-wenangnya melafazkan talak tanpa memikirkan kesannya. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.
Ads
Suami, janganlah mudahnya melafazkan talak seperti mudahnya melafazkan janji-janji.
Semoga Allah sentiasa memudahkan urusan dan melindungi kita dalam mengemudikan rumahtangga.
Mingguan Wanita : Kalau dah tak suka, senang-senang hati lafaz talak. Jangan dibuat main-main.
Memang ada benarnya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri terutamanya dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri lebih mudah rasa stres dan penat.Malah emosi juga tak menentu dalam menanganinya.
Maka suami lah yang perlu memainkan peranan menenangkan emosi isteri sebelum ia meletus! Semudah bawa isteri keluar berjalan-jalan dan mendengar luahannya sudah mampu membuatkan isteri kembali tenang dan bersemangat.
Hadamkan catatan yang dikongsikan oleh Zaim Zinini;
Saya balik kerja, isteri cakap, “Abang, jom keluar jalan-jalan. Stress la”
Banyak kali macam tu. Pelik betul. Stress apa, duduk rumah jaga anak-anak tercinta yang comel-comel tu. Kalau ikutkan, keluar rumah, lagi la stress dan penat.
Bila fikir semula, saya bawa juga pusing-pusing naik kereta. Kadang-kadang, singgah pasaraya. Selalunya tak beli apa pun, window shopping je. Tapi dia punya teruja, macam anak kecil diajak pergi Disneyland.
“Terima kasih abang, bawa jalan-jalan!”, isteri saya akan ucap ini setiap kali dapat berjalan.
Emosi Perempuan
Saya teringat satu pesanan,
“Emosi perempuan ni macam belon kecil, tak boleh tampung banyak sangat tekanan. Nanti meletus. Beza dengan kita orang lelaki”
Dulu isteri saya lemah lembut je, sejak ada anak ni, kalau tak kena masa, kalah raja rimba. Macam nak makan orang. Pelik juga. Kemana perginya kelembutan dan kemanjaan beliau yang dulu?
Kita baru pegang handphone pun, tiba-tiba boleh kena serang. Mengejut je. Tiba-tiba meletus.
Penat Suami Isteri Tak Sama
Saya cuba untuk faham situasi ini. Ya, kami para suami susah nak faham.
Rupanya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri.
Anak menangis nak susu, anak yang lain berkelahi menjerit-jerit, sorang lagi mendesak nak tengok kartun, rumah dah macam tongkang pecah. Tak masuk lagi bab masak, bisnes, kurang tidur, lapar, basuh baju, kemas, layan perangai customer barang tak sampai. Ini berlaku setiap hari, hampir setiap masa.
Tengok la gambar ni, nak tidur pun, nak dengan mama dia sahaja. Tak ada ruang mama dia bersendiri. Terpaksa saya sarung tudung isteri untuk kelirukan budak ni.
Asakan-asakan ni mendesak isteri secara fizikal, mental dan emosi.
Siapa lagi tempat isteri nak mengadu dan harapkan? Kita la, partner dia. Sebab tu kalau emosi mereka tidak ditenangkan, boleh meletop!
Nasihat Buat Suami
Jadi, nasihat ini untuk diri saya dan suami-suami sekalian. Isteri adalah amanah Allah pada kita.
1. Dengar Cerita Dia
Jika isteri mahu bercerita, dengar dengan cara pandang muka dia, atau peluk dia. Tunjuk yang kita prihatin dan sokong dia. Apabila kita abaikan dia nak luah kepenatan dia, dia makan hati. Tau-tau dah merajuk acik tu. Lagi teruk kalau kita sinis dan rendah-rendahkan pula perasaan dia. Jangan pelik kalau isteri pandai melawan.
2. Urus Rumah Adalah Kerja Kita Juga
Tak ada istilah ‘tolong isteri buat kerja rumah’. Kalau ikutkan, itu memang kerja kita juga. Kita masak sebab nak makan, kita basuh baju dan pinggan sebab dah pakai. Itu rumah kita dan itu anak kita. Kita ada tanggungjawab. Ringankan tulang.
3. Bagi Isteri ‘Me Time’
Kerja isteri tiada office hour. Dia bukan robot, jadi, bagi masa untuk dia berehat dan ‘me time’. Dia pun memang kurang rehat, sejak mengandungkan anak pertama.
Pada saya, mengurus rumah tangga ni ada dua school of thought. Satu, isteri kena layan suami macam raja. Kedua, urus rumah bersama-sama. Dua-dua betul. Sesuaikan lah dengan cara kita.
Para isteri sekalian, maaf ya, jika tidak memahami kalian, bagi para suami peluang. Kita jaga kita. Benda boleh bincang. Mulakan dengan bercakap baik-baik dengan pasangan.
Maafkan, jika ada kesilapan dan kesalahan. Kita manusia biasa. Kenapa suami ada kekurangan? Sebab awak adalah pelengkap dia.
Kita bukan terbaik, tetapi izinkan kita berusaha jadi yang terbaik.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Belajarlah memahami dan bertolak ansur dengan pasangan dalam memudahkan urusan dan membahagiakan rumahtangga.
Mak mentua suka putar belit cerita: Ligat canang keburukan menantu, racun dalam perkahwinan. Dalam kehidupan berumah tangga, hubungan antara menantu dan mertua adalah satu aspek yang amat penting bagi keharmonian keluarga.
Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga kisah-kisah yang kurang enak apabila mak mentua terlibat dalam perkara yang boleh merosakkan hubungan suami isteri. Salah satu masalah besar adalah apabila mentua suka memutar belit cerita dan menyebarkan keburukan menantu, yang akhirnya menjadi racun dalam perkahwinan anak mereka.
1. Mengganggu Kepercayaan Suami Isteri
Mak mentua yang suka memutar belit cerita atau membesar-besarkan hal kecil tentang menantu boleh menimbulkan ketidakpercayaan antara pasangan. Sebagai contoh, jika mak mentua menyampaikan cerita negatif atau salah tentang menantu kepada anaknya, suami atau isteri tersebut mungkin akan mula meragui pasangan mereka sendiri. Ketidakpercayaan ini boleh membawa kepada konflik yang lebih besar dalam perkahwinan dan menggugat kebahagiaan.
2. Merosakkan Reputasi Menantu
Sikap suka menyebarkan cerita negatif mengenai menantu, walaupun hanya sekadar mengadu atau berkeluh-kesah, boleh mencalarkan imej dan reputasi menantu di mata keluarga atau jiran. Apabila seseorang mak mentua sentiasa mencari kelemahan menantu, orang lain juga mungkin terpengaruh dan mula memandang serong terhadap menantu tersebut. Ini bukan sahaja mengundang tekanan kepada menantu tetapi juga membuatkannya merasa tidak dihargai dan tidak dihormati dalam keluarga.
3. Membawa Beban Emosi Kepada Menantu
Menantu yang terpaksa berdepan dengan mak mentua yang suka memutar belit cerita akan mengalami tekanan emosi. Rasa tidak puas hati, kecewa, dan marah adalah antara emosi yang sering timbul apabila seseorang berasa dianiaya. Beban emosi ini bukan sahaja boleh menyebabkan menantu berasa terasing dalam keluarga mertua tetapi juga memberi kesan terhadap perhubungan pasangan tersebut. Akhirnya, menantu akan mula menghindar daripada keluarga mentua untuk mengelakkan lebih banyak drama.
4. Anak Menjadi Tertekan Antara Ibu Dan Pasangan
Apabila mak mentua sering memberi tekanan dengan menyebarkan cerita negatif mengenai menantu, anak tersebut akan berada dalam keadaan dilema antara ibu dan pasangan. Dia mungkin berasa tersepit untuk mempertahankan pasangannya atau memilih untuk menghormati ibunya. Tekanan ini akan menyebabkan anak merasa serba salah dan boleh membawa kepada konflik dalaman. Malah, ada juga kes di mana anak merasa terpaksa memilih antara ibunya dan pasangannya, yang boleh merosakkan keharmonian keluarga.
5. Menjadi Racun Dalam Perkahwinan
Mak mentua yang sering menyebarkan keburukan menantu secara langsung menjadi “racun” dalam perkahwinan anak dan menantunya. Sikap ini bukan sahaja mengundang masalah tetapi juga mencipta suasana toksik dalam keluarga.
Apabila setiap konflik kecil dibesar-besarkan dan cerita diputar belit, perkahwinan anak dan menantu akan menjadi tidak stabil. Ini boleh mengakibatkan pasangan tersebut tidak bahagia, malah mungkin menuju ke arah perceraian jika tidak diatasi.
6. Langkah-Langkah Menghadapi Mak Mentua Seperti Ini
Menghadapi situasi seperti ini memerlukan kebijaksanaan dan kesabaran. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
Komunikasi Terbuka: Menantu dan pasangan harus berkomunikasi secara terbuka mengenai isu-isu yang timbul. Luahkan perasaan dengan cara yang hormat dan jangan simpan dendam.
Sokongan Pasangan: Pasangan perlu berdiri bersama dan mempertahankan antara satu sama lain dengan cara yang berhemah. Sokongan suami atau isteri akan membantu menantu merasa dihargai.
Mengambil Pendekatan Positif: Cuba untuk bersikap positif dan jangan terlalu memikirkan kata-kata negatif. Fokuskan kepada kebahagiaan rumah tangga sendiri.
Berbincang Secara Baik: Jika perlu, berbincang dengan mentua secara berhemah dan tanpa emosi untuk menyelesaikan salah faham.
Cari Keseimbangan: Pastikan terdapat keseimbangan antara menjaga hubungan dengan mentua dan pasangan. Jangan abaikan kepentingan pasangan kerana menjaga hati mentua.
Mak mentua yang suka memutar belit cerita dan menyebarkan keburukan menantu adalah satu ancaman besar dalam perkahwinan. Sikap sebegini hanya akan merosakkan hubungan kekeluargaan dan menjadikan rumah tangga tidak bahagia.
Penting bagi pasangan untuk sentiasa bersikap bijak dan cuba mengelakkan konflik dengan cara yang baik. Ingatlah bahawa keluarga yang harmoni bermula dengan komunikasi yang baik dan saling memahami antara satu sama lain.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mulanya sekadar berkongsi hobi yang sama. Siapa sangka akhirnya saling jatuh cinta dalam hubungan yang terlarang. Bila jatuh pada orang yang salah, pelbagai masalah pula yang muncul. Ikuti perkongsian seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Merupakan seorang guru dan begitu juga dengan suami.
Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota. Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran masjid atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran.
Jiran sebelah kiri rumah saya berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya dan sering ke rumah saya. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. bekerja swasta. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsapp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi masalah kerja, soal anak-anak. Tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya. Antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini?
Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya. Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar? Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup.
Menarik
Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat.
Maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Nafsu Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata dia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya. Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti…
Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal.
Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta. Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah.
Tak Diredai Allah
Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya.
HANYA KERANA MENGIKUT NAFSU
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala?
Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk? Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan?
Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya? Puan tahukan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah. Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu. Tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak. Namun usaha puan mesti berlipat kali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Putuskan Hubungan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar nombor telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan! Itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni.
Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik. Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain.
Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca al-Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Artikel: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...