Suami Isteri Pegawai Imigresen Guna Duit Rasuah RM600k Buka Kedai Emas

Share

Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.

Suami Isteri Pegawai Imigresen Guna Duit Rasuah RM600k Buka Kedai Emas

Kegiatan mereka didakwa berjalan selama empat tahun apabila pasangan itu mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.

Antara barang kemas yang dirampas. FOTO Ihsan SPRM

Menurut perkongsian di laman TikTok rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasangan terbabit menggunakan nama anak serta adik kepada wanita berkenaan sebagai proksi bagi mendaftarkan perniagaan emas tersebut.

Hasil operasi khas Op Dygo, pasangan berusia dalam lingkungan 40-an itu telah direman selama lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kedua-dua suspek terbabit dalam urusan program pemutihan pekerja asing yang sepatutnya memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit sah untuk pekerja tanpa dokumen.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya. Kredit foto: Sinar Harian

Katanya, majikan perlu menyerahkan fail pekerja asing kepada bahagian penguat kuasa untuk semakan awal sebelum ia dibawa kepada suspek bagi memastikan dokumen lengkap sebelum Akaun Penerimaan (AP) dikeluarkan.

“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan perlu membawa fail kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).

“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing,” katanya.

Beliau menambah, wang rasuah itu diagihkan dalam kalangan pegawai yang menguruskan fail, manakala kedua-dua suspek menerima RM150 bagi setiap pekerja asing.

Sejak tahun 2020, pasangan tersebut dipercayai berjaya mengumpul sekitar RM900,000 yang sebahagian daripadanya digunakan untuk membuka kedai emas dan membeli kereta mewah.

Dalam serbuan SPRM di sebuah premis emas di Pahang, pihak berkuasa turut menemui simpanan emas dianggarkan tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Sumber: Sinar Harian Harian Metro Berita Harian

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has