Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan menerusi Op E-Noda itu turut merampas tiga unit telefon bimbit, dua kondom, satu tiub pelincir, sebungkus tisu basah, sehelai tuala serta kad akses hotel.
“Pasangan suami isteri ini dipercayai mula menjalankan aktiviti tersebut sejak Jun tahun lalu. Hasil siasatan mendapati suami berperanan sebagai pencipta kandungan, mempromosi video lucah selain menguruskan aktiviti pelacuran untuk mendapatkan keuntungan daripada hasil jualan video dan langganan perkhidmatan pelacuran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pasangan tersebut mensasarkan pelanggan yang menggunakan aplikasi X untuk mempromosikan jualan video lucah dan perkhidmatan seks, manakala aplikasi Telegram pula digunakan sebagai saluran komunikasi dengan pelanggan.
“Bagi kandungan video lucah di Telegram, pelanggan perlu membayar RM50 untuk akses ‘Private Channel Limited Content’ dan RM150 untuk ‘Private Channel VVIP Unlimited Content’,” jelasnya.
Tambah Rusdi, bayaran bagi perkhidmatan seks pula bermula daripada RM450 hingga RM800 untuk setiap langganan yang berlangsung di hotel bertaraf empat bintang.
Difahamkan, wanita terbabit yang juga isteri suspek bertindak sebagai pelacur serta pelakon utama dalam setiap video yang dihasilkan, sekali gus meningkatkan jualan video tersebut.
“Pendapatan mingguan pasangan ini dianggarkan mencecah RM6,400,” katanya.
Kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan telah direman selama tiga hari sehingga Jumaat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e), Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Pengantin Baharu Maut Kemalangan Motosikal Berkuasa Tinggi, Rempuh Proton Saga