Suami isteri didakwa edar ganja RM3.1 juta, berselindung di sebalik bisnes ayam segar. Mahu kaya cepat membawa pasangan suami isteri ke tali gantung jika sabit kesalahan selepas ditangkap memiliki ganja seberat 67.75kg.
Bukan saja ganja namun keduanya menyimpan methampitamine seberat 15.10 gram ketika keduanya ditahan di tepi jalan Padang Sembilan di sini pada 11 Julai lalu.
Suami Isteri Didakwa Edar Ganja RM3.1 Juta
Kesalahan memiliki ganja dan pil kuda jenis methampitamine boleh digantung sampai mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati perlu dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Ketika didakwa di Mahkamah Majistret pagi ini, kedua-dua tertuduh mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkmah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Wan Muhammad Aziem Wan Mustafa, 31, dan Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49 selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Ads
Memetik pendedahan Sinar Harian, mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan berat kasar 67.75 kg di tepi jalan Padang Sembilan di sini jam 4 pagi pada 11 Julai lalu.
Pasangan suami isteri dari Kelantan ini berdepan kematian jika sabit kesalahan mengedar ganja 67.75 kg dan memiliki methampitamine seberat 15.10 gram. Gambar SINAR HARIAN HAZELEN LIANA KAMARUDIN.
Inilah ganja yang dirampas dari pasangan suami isteri yang berselindung di sebalik perniagaan ayam segar dan e-hailing
Berselindung Di Sebalik Bisnes Ayam Segar
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup
Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 15.1 gram pada hari dan lokasi yang sama.
Ads
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 hukuman dibawah Seksyen 39A(I) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan huhukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Pengakuan tidak direkodkan oleh kesemua tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Ads
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding perbicaraan, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 September untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sinar Harian pada 13 Julai lalu melaporkan taktik suami isteri berselindung di sebalik perniagaan ayam segar dan menjadi pemandu e-hailing akhirnya tumpas apabila Polis Kelantan berjaya menghidu perbuatan mereka sebagai dalang sindiket jualan dadah.
Dadah bernilai RM3.1 juta itu dirampas bersama pasangan berusia 31 dan 49 tahun yang ditahan pada jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kuala Krai.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bagi pelakon versatil Johan As’ari, kehidupan yang dilaluinya hari ini bukan sekadar tentang kerjaya seni dan populariti, tetapi tentang warisan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah pudar daripada hatinya.
Meskipun sudah hampir sedekad berlalu sejak pemergian ibu tercinta, Allahyarhamah Datin Firdaus Abdul Kader, momen istimewa bersama ibu tetap terpahat utuh di ingatannya. Untuk rekod, ibu Johan meninggal dunia pada Mei 2015 akibat kanser tulang.
“Senyuman ibu, wajah ibu… tetap jelas terbayang di depan mata saya.”
Itulah bisikan hati seorang anak yang tidak pernah melupakan setiap detik bersama ibunya. Kenangan yang disulam dengan sentuhan kasih, masakan ibu setiap kali pulang ke rumah, dan amalan mencium tangan sebelum melangkah pergi, semuanya terus hidup dalam memorinya.
Antara nilai paling besar yang dipegang oleh Johan sehingga ke hari ini adalah semangat ukhwah dan sifat suka bergaul, yang menurutnya adalah sifat utama yang diwarisinya daripada arwah ibunya.
“Dalam keluarga, sifat silaturahim tu amat dititikberatkan. Arwah ibu sangat menjaga hubungan dengan orang. Itulah yang saya pegang dan amalkan sampai sekarang,” ujar Johan penuh syukur.
Bagi Johan, ukhwah bukan sekadar bersosial, tetapi tentang nilai Islam yang dibudayakan sejak kecil dan kini menjadi sebahagian daripada identitinya sebagai seorang anak seni dan juga insan biasa.
Meskipun ibunya telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2015, Johan tidak menjadikan kesedihan sebagai alasan untuk tenggelam dalam kehilangan. Sebaliknya, dia mengangkat kenangan dan semangat ibunya sebagai inspirasi untuk terus kuat dan bahagia.
Sebagai seorang anak lelaki yang sangat rapat dengan ibunya, Johan reda dengan ketentuan Ilahi, namun jiwanya tidak pernah kering dari doa dan rindu.
Sering diberi watak antagonis, Johan akui bahawa dirinya menyimpan impian untuk membawakan watak yang lebih berbeza sebagai seorang bapa.
“Saya impikan watak sebagai seorang ayah. Bukan sebab usia, tapi kerana watak itu membawa dimensi emosi yang berbeza. Ia lebih mendalam… lebih jujur.”
Bagi Johan, lakonan bukan sekadar kerja, tapi juga satu cara untuk menzahirkan sisi peribadinya yang lembut dan penuh kasih sama seperti bagaimana dia diajar oleh ibunya sejak kecil.
Pengalaman Johan As’ari mengerjakan umrah menjadi salah satu momen paling bermakna dalam hidupnya, bukan sahaja sebagai seorang Muslim, tetapi juga sebagai anak seni.
Berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah bukan dalam kapasiti peribadi sahaja, malah turut terlibat dalam penggambaran lakonan di lokasi penuh barakah itu, memberi dimensi spiritual yang luar biasa dalam kariernya.
“Älhamdulillah saya dapat menunaikan umrah beberapa kali atas tajaan sebuah syarikat pengendali umrah berpengalaman luas dalam ibadah umrah. Malah, saya juga dapat menjalani penggambaran di Mekah dan Madinah bersama beberapa lagi pelakon lain yang diterbangkan khas bersama sebuah syarikat pengendali umrah terkemuka di ibukota.
Malah saya teruja dapat bersama-sama kumpulan pertama penerima umrah Asnaf yang rata-rata teruja menerima jemputan umrah ini,”ujar Johan yang ditemui di Wadi D’Fajr, Hudaibiyyah.
Menurut Johan, setiap langkah di Tanah Haram membawa keinsafan dan rasa syukur yang mendalam, apatah lagi apabila dapat menghayati watak sambil merasai getar rohani di kota suci yang menjadi kiblat umat Islam.
Bagi Johan, peluang itu bukan sekadar rezeki duniawi, tetapi juga rezeki hati yang menjadi bekalan kekuatan untuk terus istiqamah dalam kehidupan dan kerjaya.
Apabila menyentuh soal jodoh, Johan memilih untuk menyerahkan segalanya kepada aturan Tuhan. Tidak pernah mengeluh atau meratapi takdir, dia akur bahawa setiap manusia punya masa dan jalannya sendiri.
“Jodoh tu rahsia Allah. Jangan sebab putus cinta atau lambat bertemu jodoh, kita jadi sedih. Saya berpegang pada satu perkara. Kita ada ibu yang sentiasa sayang dan nak lihat kita bahagia. Kalau ibu doakan, InsyaAllah… jodoh itu akan datang dengan cara yang paling indah.”
Johan sempat berseloroh, namun penuh makna.
“Siapa yang tak mahu kahwin? Saya pun nak kahwin… Doakan saya.”, ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Ibu muda menghadap Ilahi selepas bersalin anak kedua, sebaj bila suami titip doa buat isteri. Belum sempat memeluk apatah lagi menyusukan bayi yang baru dilahirkan, seorang ibu muda, Ain Farhana Mohd Fadzli, dijemput Ilahi sejurus selepas melahirkan anak keduanya.
Kisah pemergian wanita berusia 27 tahun itu menyentuh hati ramai, terutamanya apabila video suasana pilu itu mula tular di media sosial dan mengundang air mata dalam kalangan warga maya.
Di saat kelahiran sepatutnya menjadi detik paling bermakna buat sesebuah keluarga, takdir Tuhan telah mengubah segalanya. Suaminya kini perlu menelan kenyataan pahit apabila kehilangan isteri tercinta pada hari yang sepatutnya membawa kebahagiaan buat mereka sekeluarga.
Menurut laporan, Ain Farhana dilaporkan mengalami komplikasi serius di bahagian kepala sejurus melahirkan anaknya. Pemergian mengejut itu benar-benar meruntun jiwa insan-insan tersayang, terutamanya si suami yang setia menemani hingga ke hembusan nafas terakhir isterinya.
Menerusi video yang dimuat naik oleh mr_wan_cai_official kelihatan si suami membaca doa penuh emosi di sisi jenazah isterinya. Rakaman itu nyata menyentuh hati ramai apabila dia meluahkan isi hatinya dalam suasana penuh sebak dan duka.
“Ya Allah, dia adalah ibu dan isteri yang terbaik. Dia pilih nyawa anaknya berbanding dirinya sendiri,” luah si suami dalam nada penuh sebak.
Video turut memperlihatkan suasana penuh hiba sepanjang pengurusan jenazah Ain Farhana. Tangisan dan rasa redha daripada ahli keluarga menyelubungi persekitaran, sementara si suami memberikan ciuman terakhir kepada isterinya sebagai tanda kasih yang abadi.
Kisah Ain Farhana bukan sahaja meruntun hati keluarga terdekat, malah turut mengundang simpati warganet. Ramai yang tidak mampu menahan air mata apabila melihat video doa terakhir dari si suami, lebih-lebih lagi apabila mengetahui wanita itu tidak sempat menatap wajah bayi yang dikandungnya selama sembilan bulan.
“Doa Ikhlas Buatmu, Wahai Isteriku yang Tercinta…Ikhlas aku titipkanmu pada Allah saat kau pergi di pelukan keabadian dengan darah perjuangan, kau hadiahkan kehidupan anak kedua kita lahir, sementara engkau kembali pada Pencipta-Mu…”
Ucapan takziah serta doa buat arwah Ain Farhana membanjiri ruangan komen. Rata-rata memohon agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
Kisah ini menjadi peringatan buat kita semua betapa besar pengorbanan seorang ibu demi melahirkan zuriat ke dunia. Semoga Allah mengangkat darjat arwah dan memberi kekuatan luar biasa buat si suami serta dua anak yang kini menjadi amanah terakhir isteri tercinta.
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh berkongsi segala aspek dalam kehidupan seperti kewangan, perasaan dan sebagainya.
Tahap kebahagiaan ideal yang didambakan oleh pasangan khususnya para isteri dicapai dengan kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima dan menghargai kekurangan pasangan.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi serta sukar menerima pasangan seadanya.
Isu mandul dalam rumahtangga merupakan satu topik yang cukup sensitif namun penting untuk dibincangkan secara terbuka untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.
Ia bukan sekadar isu kesihatan bahkan turut melibatkan aspek emosi, sosial dan hubungan antara pasangan.
Memetik perkongsian kisah seorang wanita kepada Mingguan Wanita, perkahwinannya mula diuji apabila dia tidak dikurniakan zuriat.
Wanita mana yang tidak mahu bergelar ibu, merasai nikmat mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun rezeki belum memihak kepadanya. Walau pun ramai yang menuduhnya mandul namun dia tidak ambil pusing asalkan bukan suami sendiri yang berkata begitu.
Pelbagai usaha dilakukan, tak sekadar mencuba rawatan tradisional seperti berurut malah dia juga cuba memakan jamu termasuk berjumpa doktor.
Doktor memaklumkan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Dia bersyukur dan menganggap Allah SWT belum kurniakan rezeki.
Apa yang membuatkan dia terkilan, suaminya tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan sama ada tradisional mahupun moden. Suaminya yakin bahawa dia seorang sahaja yang subur kerana adik beradiknya ramai dan mereka mempunyai anak ramai.
“Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati masih terkilan kerana suami tetap tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu.”
“Masuk tahun kelima, saya makin tertekan. Bukan sebab suami saja malah keluarganya juga. Mak mentua sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
“Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tiada masalah. Saya mula kurang balik ke rumah keluarga mentua kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.”
Sudah jatuh ditimpa tangga. Muncul satu lagi ujian yang lebih besar dalam rumahtangga wanita ini.
“Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal dua anak. Cukuplah saya gelarkannya ‘Z’. Orangnya memang ramah dan kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
“Lama kelamaan saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Saya melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka ‘terlebih’ baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Dia juga meminta dirinya dipanggil ‘Papa’.
“Mulanya saya tak kisah sangat tapi saya dapat rasakan ada sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.”
“Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Saya cuba telefon pun tak dijawab.
“Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
“Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya nekad untuk berterus terang dengan suami. Walaupun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih! Macam-macam berbaur di hati.
“Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya itu mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikannya zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.”
Terkejut dan tidak dapat menerima perbuatan tersebut akhirnya wanita ini nekad meminta cerai.
“Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu saya sangat sedih. Saya membuat permohonan cerai namun suami memujuk supaya saya untuk menarik balik permohonan. Hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang dianggap rakan baik.”
Memetik kata-kata nasihat daripada Puan Hajah Maimunah Mohamad selaku Kaunselor dan penulis tetap ruangan ‘Ya Tuhan’ dalam majalah Mingguan Wanita, sesungguhnya perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.
Menurutnya, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
“Pertama sekali berlapang dada, terus berbaik sangka dengan suami dan keluarganya. Anak hanya anugerah dan amanah Allah yang menjadi pengikat kasih suami isteri. Namun, jika Allah tidak menganugerahkan pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.”
Pesan Puan Hajah Maimunah lagi walau apapun yang berlaku, reda dan bersangka baiklah dengan Allah SWT. Sentiasa berdoa termasuk mengamalkan solat malam, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat.
“Pelbagaikan aktiviti dalam kehidupan kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki.”