Suami bersara awal, isteri pula terbeban, umur baru 40-an tapi dah malas kerja. Situasi ini mungkin tidak asing lagi, suami yang masih cergas, belum pun mencecah usia emas, namun memilih untuk bersara awal.
Suami Bersara Awal, Isteri Pula Terbeban, Umur Baru 40-an Tapi Dah Malas Kerja
Sementara itu, isteri pula bersengkang mata membanting tulang mencari rezeki. Fenomena ini bukan terpencil, malah semakin ramai wanita kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai tulang belakang keluarga — tanpa sebarang pengiktirafan.
Realitinya, ini bukan skrip drama waktu petang, tetapi kisah benar yang berlaku dalam banyak rumah. Si isteri keluar bekerja, penat lelah mencari nafkah, tetapi si suami? Lebih selesa duduk di rumah menunggu gaji isteri masuk ke akaun. Akaun sendiri? Kosong tanpa isi.
Tidak kira bekerja dalam sektor awam atau swasta, wanita ini tetap perlu memenuhi keperluan kewangan keluarga. Pulang ke rumah pun kerja belum tamat — memasak, mengemas, melipat baju, menjaga anak-anak. Kadang tertidur pun masih berpakaian kerja. Keletihan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Suami pula beralasan “pencen awal”, walhal usia baru awal 40-an, badan masih kuat. Tapi semangat bekerja seperti sudah habis dikerah. Bersara bukan untuk menceburi bidang lain atau jana pendapatan secara alternatif, tapi lebih kepada bersara sepenuhnya. Tidak bekerja, tidak berusaha, tetapi aktif di media sosial mencari motivasi — ironinya, motivasi itu tidak langsung membuahkan tindakan.
Kini sudah 2025. Peluang kerja tidak terhad seperti dulu. Banyak pilihan yang fleksibel — boleh jadi pemandu e-hailing, penghantar makanan, berniaga dalam talian, jadi ejen hartanah, freelancer, malah cipta kandungan di media sosial. Tak perlu kerja 9 ke 5 pun. Tapi ramai yang memilih untuk tidak mencuba langsung. Bila ditanya, jawapan biasa: “Susah kerja dengan orang.” Tapi nampaknya, nak kerja dengan diri sendiri pun tak menjadi.
Ads
Isteri pula, kerja lebih masa tanpa henti — bukan untuk melancong atau berbelanja mewah. Tetapi demi menampung keperluan rumah tangga yang makin mendesak. Suami? Wujud secara fizikal, tapi dari segi sumbangan, seolah-olah ghaib.
Bila isteri mula bersuara, mula penat, mula marah — si suami pula kehairanan. “Kenapa marah-marah sangat?” Mungkin dia lupa yang dia berkahwin dengan manusia, bukan peralatan rumah serbaguna.
Ramai isteri yang memilih untuk berdiam. Bukan kerana lemah, tetapi kerana masih mahu menjaga keharmonian keluarga, demi anak-anak, demi maruah suami walaupun suami sendiri tidak menjaga tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Ads
Kalau suami yang duduk di rumah masih memainkan peranan — urus rumah, jaga anak, masak — itu masih boleh diterima. Itu juga satu bentuk sumbangan. Tapi jika tidak bekerja, tidak bantu, hanya tahu mengarah dan bersyarah, sedangkan tindakan kosong — itu bukan tanggungjawab, itu membebankan.
Jadi, siapa sebenarnya ketua dalam keluarga?
Dalam Islam, suami wajib memberi nafkah, bukan sekadar makanan, tapi juga tempat tinggal, pendidikan, kesejahteraan emosi isteri dan anak-anak. Jika semua itu sudah ditanggung oleh isteri, peranan suami di mana? Masih layakkah memegang gelaran ketua keluarga?
Ads
Jika cinta hanya ditanggung sebelah pihak, itu bukan rumah tangga — itu rumah tumpangan. Dan yang menumpang biasanya diam. Tapi peliknya, dalam situasi ini, si penumpang pula yang paling banyak bersuara.
Macam mana nak tegur suami yang suka melepak malam-malam tinggal anak bini? Fitrah lelaki, suka keluar melepak dengan kawan itu adalah satu nikmat yang tak boleh dibeli. Tambah pula kalau dah jumpa kawan-kawan yang hobi dan minatnya yang sama. Tapu macam mana kalau lelaki yang bergelar suami pergi melepak?
Ya, bagi lelaki ini bukanlah sesuatu yang beri masalah sebab bukannya berlaku curang ataupun melakukan dosa. Sebab itu, kedua-dua pihak perlu toleransi.
Jangan ditegur supaya dia kurangkan masa bersama kawan-kawannya, kerana perkara tersebut akan membangkitkan rasa tercabar dan lebih susah untuk dia mendengar aduan kita pada saat egonya tinggi.
Renungan buat suami…
1. Utamakan isteri kerana isteri hanya mempunyai seorang suami iaitu kita, manakala kawan-kawan kita masih mempunyai kawan-kawannya yang lain.
2. Fitrah isteri, seorang wanita akan lebih mudah terasa sunyi bila ketiadaan suami. Fitrah isteri juga sentiasa ingin berkongsi apa sahaja dengan orang yang disayangi dan dihormatinya. Jangan sampai ketiadaan kita yang berterusan menyebabkan terisi dengan lelaki lain yang lebih banyak punyai masa untuk mendengar cerita perkongsiannya.
3. Lebih baik jadikan kawan-kawan kita sebagai kawan ke arah kekeluargaan, bukannya untuk tujuan budaya hidup bujang yang boleh menimbulkan keraguan kepada isteri kita. Kawan-kawan yang bersifat kekeluargaan akan lebih menghargai kebahagiaan keluarga masing-masing.
4. Elakkan daripada terlalu banyak keluar bersama kawan-kawan. Jika perlu dalam aktiviti bersama kawan-kawan, bawa isteri bersama dan bertoleransilah agar minat dan hobi kita serta hobi pasangan kita dihargai satu sama lain.
5. Cipta waktu bersama isteri lebih romantik untuk dikenang dan dirasai lebih panjang oleh isteri kita. Fitrah wanita, bila dibelai dan dilayan secara romantis, kebahagiaannya lebih terasa dan sedikit sebanyak mengurangkan rasa tidak puas hati terhadap waktu kekosongan, bila kita tiada di sisinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu culas nafkah tak akan tamat dan selalu berlaku bila pasangan suami isteri bercerai, bukan tak ada duit langsung tetapi kebanyakannya suka buat senyap.
Di mana hilangnya prihatin si ayah? Tak kan tak kasihan langsung pada nasib anak-anak? Bak kata Puan Farizal Radzali sendiri, tak semua lelaki tetapi zaman sekarang ni ramai para ayah yang culas bagi nafkah anak-anak setelah berpisah dengan ibu mereka.
Lepas berpisah, isteri akan jadi bekas isteri. Tapi anak takkan pernah jadi bekas anak. Sama seperti ibu ayah, takkan pernah jadi bekas ibu mahu pun bekas ayah.
Ada bekas suami yang mencabar bekas isteri,
“Awak yang minta cerai, bukan saya yang ceraikan awak. Lepas tu awak yang minta hak penjagaan anak-anak, awak tanggung lah semua. Kalau nak saya bagi nafkah, jangan minta hak penjagaan, bagi semua anak kat saya, habis cerita.”
Bercerai Dengan Isteri Tetapi Anak Jadi Mangsa?
Adududuuuu…. Senangnya bicara wahai ayah. Yang anda dendamkan ialah bekas isteri, tak kisahlah apa pun yang telah terjadi di antara anda dan bekas isteri. Tapi anak-anak tetap tanggungjawab bersama sebagai ibu dan ayah.
Kesian kat bekas isteri, turun naik mahkamah entah berapa lama, kos lagi, hanya semata-mata nak tuntut hak anak-anak yang dah terang lagi bersuluh memang nafkah yang perlu ditanggung oleh si ayah.
Atau mungkin bekas suami ni memang nak sangat tengok bekas isterinya berada dalam kepayahan kerana dendamnya.
Lepas bertahun buat tuntutan, akhirnya berjaya. Namun, masih lagi bekas suami culas nak bayar nafkah anak-anak. Katanya tak mampu. Eh hello, mampu atau tak, itu adalah tanggungjawab anda. Anda mungkin terlepas kat dunia ni tapi anda pasti takkan terlepas di sana.
Kebanyakan ibu pasti akan berusaha jaga anaknya walau tiada nafkah dari bekas suami. Mereka menuntut hak supaya anda takkan ditanya di sana nanti. Tapi pernahkah anda peduli?
Ada antara bekas isteri yang bergantung 100% pada suami semasa sejak berkahwin, tapi terpaksa memulakan hidup dengan cara yang dia sendiri tak tahu nak mula dari mana, terkontang kanting bersama anak-anak yang masih kecil. Namun dengan izin Allah, dia mampu menghadapinya.
Takutlah dengan Allah, ikutlah perintah-Nya & jagalah amanah-Nya. Takkan tenang hidup anda walau berumahkan banglo besar, berkereta mewah, berpangkat Dato, andai amanah Allah anda tak jaga.
Walau bekas isteri bergaji besar dari anda, walau dia mampu membiayai anak-anak, walau dia tak menuntut apa-apa dari anda, anda tetap tak terlepas dimahkamah Allah kelak.
Andai anda dah punyai keluarga baru, anda tetap tak terlepas dari amanah anak-anak dengan bekas isteri. Dan andai bekas isteri telah bersuami lain, nafkah anak-anak anda dengan bekas isteri tetap amanah anda. Andai suami baru bekas isteri anda mahu menanggung anak-anak anda, itu bukan kewajipannya tapi itu adalah ehsannya.
Pesanan Buat Isteri Baru
Buat isteri baru, jangan subahat. Anak-anak suami anda dengan bekas isterinya, tetap amanahnya. Buat keluarga sebelah bekas suami, jangan buat tak endah dengan nasib cucu anda kerana tiada ungkapan bekas cucu di dunia ini.
Saya salute pada para bekas suami yang beri nafkah kepada anak-anak walau tak dituntut malah kepada bekas isteri juga selagi bekas isterinya tak berkahwin lain. Anda insan terpuji kerana anda tahu amanah anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Buat-buat lupa pasal duit belanja isteri, akhirnya suami makin kaya tak? Haaa… itu soalan panas buat golongan lelaki yang masih tak sedar tentang tanggungjawab.
Yang nazaknya siapa? Suami juga… sedikit demi sedikit rezeki hilang atau mungkin ditakuk yang sama.
Cubalah suami isteri berpakat dan belapang dada tentang rezeki, masing-masing sedar dan praktik cara seperti yang saudara Firdaus Mokhtarini amalkan.
Dahulukan Duit Belanja Pada Isteri
Suami isteri nak murah rezeki, ini kena buat selalu.
1. Makan sama-sama.
Ini yang kita kena buat selalu. Lagi-lagi pasangan yang suami isteri bekerja. Masa yang ada cuma masa balik daripada kerja dan dua-dua dah penat.
Balik dengan emosi. Balik dengan masalah tempat kerja dan kerja yang tidak selesai. Apa pun berlaku, cari masa untuk makan bersama. Walau pun cuma makan biskut kering bersama.
Kalau tak larat nak masak lepas balik kerja, ajaklah pasangan keluar makan di luar. Itu pun dah ada waktu makan bersama.
2. Layani anak-anak dengan penuh kemesraan.
Bila dah ramai anak, biasalah ragam mereka juga berbagai-bagai. Seorang macam ini, seorang macam itu. Yang pertama ajak main, yang kedua ajak makan, yang paling kecil ajak tidur. Serentak semuanya. Kahkah.
Ini normal. Santuni anak-anak elok-elok. Banyakkan bercakap dengan mereka. Bagi logik supaya mereka belajar untuk berfikir.
“Adik tu dah lama jaga, lama juga dia main tadi. Adik dah penat tu bagi ayah tidurkan adik dulu ya. Abang Ngah baru bangun tidur ada tenaga banyak lagi. Pergi tolong mak sekejap. Adik tidur nanti ayah tolong abang Ngah buat kerja tu.”
Kena sangat-sangat sabar. Mereka tak tahu apa lagi.
3. Beri panggilan yang baik untuk suami dan isteri.
Dalam situasi apa sekali pun, tenang atau pun konflik. Kemesraan panggilan kena kekalkan.
Dan bila isteri panggil, suami jawablah elok-elok. Pandang muka isteri dan senyum. Hah, begitu.
4. Beri isteri duit belanja sekali pun isteri ada pekerjaan dan ada gaji sendiri.
Benar zaman ini zaman suami isteri bekerja. Suami ada pendapatan, isteri juga sama. Banyak juga berlaku gaji isteri lebih besar.
Tak kesah hal itu, ambil berkat beri isteri sedikit duit belanja. Sekali pun cuma RM10.
Yang isteri bila dapat duit daripada suami ucapkan terima kasih. Ambil cara elok dan senyum juga. Iya sama, sekali pun cuma RM10. Huhu.
5. Selalu tenangkan hati pasangan ketika resah.
Seorang suami pasti faham dan tahu emosi isteri yang sedang resah. Begitu juga bagi seorang isteri.
Rupa kerut dahi yang mencantumkan kening suami itu pasti dia tahu sebab apa. Punyalah hebat isteri ini. Maka, tenangkan. Ajak bersembang dan mungkin berjalan.
Rezeki Akan Melimpah Tanpa Disangka
Kalian, semua ini adalah perkara yang merapatkan lagi kasih sayang antara suami isteri. Dan memang itulah rahsianya. Kalau kalian nak rumah tangga kalian murah rezeki, kena tingkatkan kasih sayang antara tonggak utama rumah tangga itu.
Suami dan isteri kena sangat menzahirkan kasih sayang. Maka dengan itu rezeki akan datang sebanyak-banyaknya.
Namun ingat juga ya, rezeki bukan soal duit semata-mata. Anak yang baik, mertua yang memahami, jiran yang selalu membantu, kereta yang tak pernah rosak, dapat solat jemaah sama-sama, makan yang tak pernah putus dan paling tidak masih dapat melihat suami dan isteri itu hidup bersama juga adalah rezeki.
Sekian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.