Kadang-kadang jadi hairan, mak ayah dirikan solat lima waktu tanpa culas, namun masih terasa kosong dan hati terasa tidak tenang. Terfikir di mana salahnya.
Malahan, mak ayah sudah solat tapi masih lakukan maksiat, itu tandanya kita belum solat dengan sempurna, jadi perlu perbaiki. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mesej yang cuba dia sampaikan:
Solat Tapi Tiada Hasil
Pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.
Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe berpegangan tangan.
Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.
Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.
Kita Solat Tapi Masih Lakukan Maksiat
Rasulullah s.a.w kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.
Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih ditahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.
Mulut terkumat-kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.
Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia. Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;
“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”
Ads
Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.
Kena Baiki Solat
Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.
1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.
2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.
3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.
Ads
Seterusnya bangkitkan rasa bertuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.
4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.
Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagi lah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mula lah terfikir siapa yang telefon.
Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya. Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah.
Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.
Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.
Firdaus Mokhtar, Masih belajar.
MW: Bukan mudah untuk dirikan solat dengan sempurna, namun mak ayah lakukan langkah pertama sekarang. Jangan bertangguh, insyallah akan dipermudahkan.
Betapa dalam kehidupan ini kita boleh mencari keberkatan dengan melakukan amalan tertentu. Antaranya menjaga solat awal waktu, mendirikan solat sunat tahajjud, membaca al quran dan menjaga hubungan silaturahim. Dengan melakukan amalan ini, menjaga hubungan dengan Allah, percayalah segala kesusahan akan dipermudahkan dan dilimpahkan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Buka mata dan buka hati, jemput baca perkongsian ini..
2 minggu lepas bapa mentua saya masuk ward. Seminggu juga kena tahan disebabkan demam. Jadi mak kena jaga siang malam. Mak cerita kepada kami di rumah.
Dalam seminggu mak perhatikan orang katil sebelah. Suami seorang makcik ini kena stroke. Setiap kali waktu melawat ramai orang datang melawat. Hari ini orang lain,esok pula orang,setiap hari lain lain orang datang ziarah. Setiap orang yang datang pasti bawa buah tangan,ada yang bagi duit.
Amalan Hidup Berkat
Mak sembang dengan makcik ini dan bertanya beberapa soalan. Antara soalan mak tanya. Apa amalan nampak hidup makcik berkat sangat, setiap hari orang datang bawa hadiah,bagi duit. Mak tanya beberapa kali.
Makcik ini kongsi satu kisah. Pernah satu kali rumah beliau sudah beberapa tiada lauk,tiada beras. Pakcik pula kena stroke. Walaupun stroke pakcik tak pernah tinggal solat,selalu baca Al Quran.
Solat 2 Rakaat Tahajjud
Suatu malam makcik ini tersedar dari tidur disebabkan lapar menguasainya. Lalu beliau teringat pesan ustaz. Jika kita dalam kesusahan bangun solat 2 rakaat tahajjud.
Beliau pun ambil wuduk dan solat. Beliau bercakap cakap dengan Allah. Ya Allah. Saya malu nak minta. Tapi ya Allah rumah saya langsung tak apa apa nak makan kecuali ada sedikit sayur yang saya tanam sendiri. Itu pun saya nak beri sedekah kepada jiran jiran.
“Ya Allah boleh tak hantarkan seseorang esok pagi bagi zakat beras. Kami lapar sangat ya Allah.. Jika dapat beras pun cukup dah Ya Allah..” (Ini doa yang mak saya ingat)
Ajaibnya. Betul betul selepas subuh entah siapa datang ketuk pintu bawa beberapa bag beras. Katanya ini zakat beras untuk musim ini.
Jadi dari saat itulah makcik ini tidak tinggal solat tahajjud, solat awal waktu, tidak tinggal baca Al Quran setiap hari. Dan dia tidak pernah tinggal sedekahkan sayuran kepada jiran jiran dari hasil yang dia tanam sendiri.
Kena Ingat Allah
Pesan makcik ini. Setiap apa yang kita nak buat kena ingat Allah. Kita terlupa letak kunci ke,lupa nak beli apa ke kena berdoa kepada Allah. Apa apa nak buat kena ingat Allah. Sikit sikit Allah. Sikit sikit Allah. Kena selalu bercakap cakap dengan Allah.
Hubungkan Silaturrahim
Dan terakhir pesan makcik ini. Hubungkan silaturrahim. Jangan putuskan hubungan dengan adik beradik,dengan jiran. Kena berbuat baik kepada semua orang. Senangkan hati jiran kita dan jangan buatkan hati jiran tidak senang dengan kita.
Subhanallah. kadang kadang amalan ini selalu kita dengar,selalu ustaz bagi tazkirah. Tapi amalan inilah selalu kita lupa,selalu kita abaikan. Kita selalu lupa akan Tuhan yang maha Kaya,Yang Maha Memilik seluruh alam ini.
Moga Allah beri kekuatan untuk terus kita istiqomah dalam amalan sehingga akhir hayat.
SEBARKAN.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Betapa jika kita menjaga hubungan dengan Allah, allah lebih-lebih lagi ‘menjaga’ kita. Jagalah solat, buat sunat tahhajud dan peliharalah hubungan silahturahim sesama manusia semoga hidup kita diberkati dan limpahkan lagi rezeki.
“Merangkaklah cari aku di padang mahsyar.” Lebih baik maafkan dari susahnya diri menunggu orang yang mak ayah marahkan tu.
Memang susah hendak maafkan orang yang berbuat salah dan menyakiti hati, namun sebaik-baiknya usaha untuk maafkan dan move on. Serahkan saja pada Allah untuk membalasnya.
Kau ingat dekat sana nanti, dia merangkak macam anak kau yang baru nak belajar jalan merangkak ke?
Tak.
Sedar atau tidak sebenarnya kita sudah hilang sifat tawaduk dalam merenung ayat suci Al Quran.
Buka surah Al Hujurat, baca ayat 2. Sedangkan sahabat nabi yang telah dijanjikan syurga pun takut mendengar ayat ini, tak kan lah kita yang belum selangkah ke syurga ini hendak memperlekehkannya.
Sudahlah.
Tinggalkan lah ayat mengancam atau mengugut. Padang Masyar tu bukan macam padang permainan depan rumah kau.
Di situ segala amalan baik dan buruk akan ditimbang, di tontonkan satu demi satu kebaikan dan kejahatan kau.
Di situ terserlah segala keaiban kau yang selama ini Tuhan sembunyikan.
Kalau kita rasa best dengan ayat tu, teruskanlah. Teruskan lah dengan mendoakan yang tidak baik kepada kawan tadi tu.
Dari Susahnya Diri
Mengaku umat Nabi, tapi bila bab disakiti terus lupa umat nabi.
Abu Jahal dan Abu Lahab yang over zalimnya terhadap Nabi pun Nabi tetap maafkan dan mendoakan yang baik-baik hingga akhir hayat mereka.
Kenapa tak nak ikut?
Oh, kita bukan Nabi.
Habis tu? Nak ikut Abu Jahal ke?
Kah!
Kalau kau rasa dikhianati, di sakiti, dan ti ti yang lain, selesaikan lah di dunia.
Dan untuk kau yang menyakiti, selesaikan lah segalanya di sini juga.
Cukup-cukup lah segala beban dosa yang kita lakukan selama ini.
Dan tolong berhenti guna ayat;
“Carilah aku di Padang Masyar”
Buat penat kau tunggu. #Sisbulan
Patutlah Surah Al Kahfi sangat digalakkan dibaca pada Hari Jumaat.Sebab ganjaran dan kelebihan membaca surah ini sangatlah besar bagi sesiapa yang dapat menghabiskannya sebelum berakhirnya hari Jumaat. Surah Al-Kahfi juga disebut Ashabul Kahf.Surah ini memiliki 110 ayat dan bercerita tentang beberapa orang pemuda yang tidur dalam gua bertahun-tahun lamanya. Ia merupakan surah golongan Makkiyah atau surah yang diturunkan di Kota Makkah. Surah ini sangat digalakkan dibaca mulai selepas Asar hari Khamis sehingga sebelum Maghrib hari Jumaat.
Antara Manfaat Mengamalkan Surah Al-Kahfi:
1. Terhindar dari Fitnah Dajjal
Nabi Muhammad bersabda bahawa sesiapa yang rajin membaca surah ini pada hari Jumaat akan terhindar dari fitnah dajjal. Dajjal merupakan salah satu tanda-tanda kiamat. Fitnah dajjal sangat kejam dan mampu membawa kepada kesesatan dan seksa neraka Jahanam.
“Maka barangsiapa di antara kamu yang mendapatinya (mendapat zaman dajjal) hendaknya Ia membacakan atasnya ayat-ayat permulaan surah al-Kahfi.” (HR Muslim)
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari permulaan surah al-Kahfi, maka ia dilindungi dari Dajjal.” (HR Muslim)
2. Memperoleh Pengampunan Dosa Diantara Dua Jumaat
Jaminan setiap dosa akan diampunkan, bermula pada hari Jumaat surah Alkahfi dibaca sehingga pada hari Jumaat yang berikutnya.
“Barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada hari Jum’at maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada hari kiamat, dan diampuni dosanya antara dua Jumaat.” (HR. Al-Hakim: 2/368 dan Al-Baihaqi: 3/249)
3. Dipancarkan Cahaya Sejauh Dirinya dan Kaabah
“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dan Baitul’Atiq (Kaabah).” (Sunan Ad-Darimi, no. 3273)
4.Dipelihara Daripada Gangguan Syaitan
Salah satu usaha mendekatkan diri pada Allah SWT adalah dengan membaca dan mengamalkan Al Qur’an dan membaca surat Al Kahfi termasuk di dalamnya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mardawaih dari Abdullah bin Mughaffal, menyatakan bahawa sebuah rumah yang selalu dibacakan surat Al-Khafi dan surat Al-Baqarah maka rumah itu tidak akan dimasuki syaitan sepanjang malam tersebut.
Tip Mudah Habiskan Bacaan Surah Al-Kahfi:
Namun sedia maklum, Surah Al Kahfi ini agak panjang dan agak memerlukan masa untuk dihabiskan secara berterusan.Pasti rasa agak ‘berat’ untuk membaca surah sebanyak 110 ayat ini. Rasa seperti tak mampu nak habiskan baca sekali gus. Betul tak?
Antara tip & cara mudah untuk lengkapkan bacaan Surah Al Kahfi ini adalah dengan membahagikan 110 ayat surah Al Kahfi ini kepada beberapa sesi. Satu sesi hanya perlu membaca 20-30 ayat sahaja. Kalau mulakan selepas Asar hari Khamis, bacaan dapat dilengkapkan sebelum Asar hari Jumaat. Jadi setiap sesi hanya memerlukan masa yang singkat. Mudah bukan?
Selamat Mengamalkannya dan turut menyampaikannya kepada orang lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...