Solat hajat untuk Zara Qairina, ribuan hadir di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Ribuan umat Islam memenuhi ruang Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada malam Khamis bagi menghadiri majlis solat hajat khas, bacaan tahlil dan doa untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia pada 17 Julai lepas.
Majlis itu turut disertai oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; selain barisan menteri Kabinet negeri termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS), semua masjid dan surau di seluruh negeri diminta mengadakan majlis tahlil dan doa pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan serta mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Paiman Karim memaklumkan, acara bermula sejurus selesai solat Maghrib dengan bacaan Surah Yasin, doa dan diikuti solat hajat.
“Malam ini kita adakan bacaan tahlil, doa dan solat hajat kepada arwah, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan diterima segala amalannya.
Kami di Masjid Bandaraya berkumpul di sini bagi tujuan tersebut. Semua jemaah, iaitu orang ramai, akan turut dijamu makanan selepas majlis ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.
Untuk rekod, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Tragedi yang menimpa pelajar Tingkatan Satu ini mengundang perhatian ramai, termasuk di media sosial, susulan dakwaan ia berkaitan dengan kejadian buli di sekolah berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Himpunan Solidariti Buat Zara Qairina, Bergema Laungan Tuntut Keadilan
Ibu Zara Qairina Akui Panik-Jika Tahu Penting, Kami Tak Akan Tolak Bedah Siasat
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE