Sewa rumah baru, buka akaun bank, Caprice bantu pasangan warga emas uzur.Tindakan prihatin penyanyi rap dan personaliti media sosial, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menyentuh hati ramai apabila beliau tampil membantu pasangan warga emas yang kisah mereka tular di media sosial baru-baru ini.
Sewa Rumah Baru, Buka Akaun Bank, Caprice Bantu Pasangan Warga Emas Uzur
Menerusi perkongsian video di Instagram miliknya, Caprice dilihat mengunjungi pasangan tersebut yang menetap di tingkat empat sebuah flat tanpa kemudahan lif. Momen yang dirakam memperlihatkan si suami terpaksa mendukung isterinya yang sedang uzur setiap kali ingin keluar rumah, sekali gus mengundang sebak ramai.
Prihatin dengan nasib mereka, Caprice mengambil langkah proaktif dengan menghadiahkan sebuah rumah sewa baharu yang lebih selesa dan sesuai untuk golongan warga emas sebagai kejutan buat pasangan berkenaan.
“Rumah ni untuk pak cik. Lepas ni pak cik tak perlu naik tangga dah. Pak cik pun dah berumur,” katanya kepada warga emas itu dalam video berkenaan.
Ads
Ads
Tidak terhenti di situ, Caprice turut membantu pasangan tersebut dengan membuka akaun bank atas nama si suami bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara terus.
“Untuk setahun pertama ni pak cik jangan risau, pengikut saya di media sosial ni suka membantu, jadi mereka akan terus transfer bantuan ke akaun pak cik.”
Caprice turut menjelaskan bahawa kos rumah sewa baharu itu dibiayai hasil daripada sumbangan orang ramai yang tampil membantu selepas kisah pasangan tersebut dikongsikan.
Ads
Tindakan murni Caprice menerima pujian dan sokongan ramai netizen yang menganggap usahanya sebagai contoh terbaik dalam menggunakan pengaruh media sosial untuk membantu golongan memerlukan.
Dr Khairul Anuar Zainun, ketuai bedah siasat jenazah Zara Qairina, bukan ‘kaleng-kaleng’ orangnya. Proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, hari ini turut mendapat khidmat kepakaran daripada Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor.
Pakar berkenaan, Dr Khairul Anuar Zainun, menjalankan prosedur tersebut bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu, dengan bantuan dua lagi pegawai perubatan.
1. Merupakan Pakar Perunding Patologi Forensik dan mengetuai Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Serdang.
2. Pengalaman kerjaya termasuk berkhidmat sebagai Forensic Pathologist di beberapa hospital utama seperti:
*Hospital Kuala Lumpur
*Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
*Hospital Sungai Buloh
*Kini di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang
3.Dr. Khairul Anuar mempunyai minat mendalam dalam siasatan kematian kanak-kanak (paediatric death investigation) serta kematian perinatal.
4. Beliau menjalani latihan subspesialisasi di Sheffield Children’s Hospital, United Kingdom, khusus dalam siasatan kes kenegerian (coroner’s death investigation) bayi dan kanak‑kanak di Sheffield dan kawasan sekitarnya.
Menurut peguam keluarga ibu Zara Qairina, Hamid Ismail, proses bermula kira-kira jam 11 pagi selepas ibu arwah selesai membuat pengecaman jenazah.
“Sebelum itu, doktor juga memberi taklimat kepada keluarga Allahyarham mengenai proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui di pekarangan HQE.
Hamid memaklumkan, prosedur tersebut dijangka mengambil masa beberapa jam sebelum hasil penemuan akan disampaikan oleh Dr Jessie kepada keluarga. “Selepas itu mayat akan dibawa balik semula ke Sipitang oleh polis untuk tujuan pengebumian semula,” jelasnya.
Mengenai kehadiran pakar luar, beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan ketelusan siasatan. “Saya percaya pihak polis memastikan semua elemen untuk keadilan kepada Zara. Oleh itu, seorang doktor pakar dibawa dari Semenanjung untuk mengelakkan apa-apa pertuduhan yang tidak baik,” katanya.
Difahamkan, mayat pelajar Tingkatan Satu itu tiba di HQE sekitar jam 10.30 malam tadi selepas digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada jam 7.30 malam. Sebelum proses bedah siasat, jenazah dibawa ke Jabatan Radiologi untuk menjalani imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) sebelum ditempatkan di Jabatan Forensik Perubatan.
Allahyarham sebelum ini ditemukan tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di HQE keesokan harinya.
Anak melompat gembira ibu dibebaskan, Eda Ezrin pulang selepas 9 bulan ditahan. Dua anak kepada penyanyi dikir barat moden Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail melompat kegembiraan sebaik mengetahui ibunya akan dibebaskan hari ini.
Menurut bapanya, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, cucu-cucunya yang berusia lima dan sembilan tahun begitu gembira selepas dimaklumkan bahawa ibu mereka telah dibebaskan dan akan kembali ke pangkuan keluarga.
“Semalam sebaik dua cucu pulang dari sekolah, saya memaklumkan kepada mereka bahawa ibunya sudah dibebaskan dan mereka dapat berjumpa dengan ibu hari ini.
“Ternyata dua anak Eda begitu gembira dan melompat keriangan kerana sudah terlalu lama memendam rindu untuk bersama ibu mereka.
“Namun pagi tadi dua beradik berkenaan masih pergi ke sekolah dan mereka akan datang ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang ini untuk menyambut kepulangan ibunya,” katanya.
Semalam, media melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama lima individu lain, termasuk suaminya, telah dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat, Thailand, selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Pembebasan itu dibuat susulan kegagalan pihak pendakwa raya Thailand untuk mengemukakan saksi dan bukti bagi merayu kes tersebut, sekali gus membawa kepada keputusan mahkamah membebaskan mereka.
Terdahulu pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, telah didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil Yaba serta penggunaan dadah.
Namun pada 6 Mac, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan berkaitan pemilikan dadah tersebut.
Pembebasan ini tentunya membawa kelegaan kepada keluarga dan para peminat Eda Ezrin yang selama ini menanti penuh harapan agar penyanyi itu dapat kembali bersama anak-anak dan keluarganya.
Uniknya kopitiam 100 tahun di Tapah, Auntie Ah Ling sudah hafal selera pelanggan Melayu, Cina & India tanpa tengok menu. Di tengah kesibukan kota dan gelora dunia digital yang tak henti-henti, ada sesuatu yang sering kita terlepas pandang. Kisah-kisah kecil yang membentuk jiwa Malaysia sebenar. Kisah tentang perpaduan, persahabatan dan kasih sayang yang berlaku setiap hari tanpa kita sedari.
Pernahkah kita semua terfikir, apakah sebenarnya yang menyatukan kita sebagai satu bangsa?
Bagi orang Tapah, mungkin sudah biasa dengan Kopitiam Xin Aun Nong Hong yang sudah berusia seabad lamanya. Uniknya, dengan hanya bau haruman kopi dan roti bakar, ia mampu menyatukan Melayu, Cina dan India sejak 100 tahun lalu.
Pelanggan datang dari semua kaum. Mereka boleh duduk bersama. Berkongsi cerita, ketawa dan menikmati waktu tanpa perlu risau akan perbezaan. Kadangkala, perpaduan itu datang dari hal-hal sesederhana ini.
Lebih unik, Auntie Ah Ling yang mewarsi perniagaan keluarga sudah boleh hafal apa menu kesukaan pelanggan dengan hanya melihat muka mereka sahaja. Tak perlu keluarkan menu, dirinya sudah memahami apa citarasa pelanggan.
“Kita semua di sini sudah umpama adik beradik. Membesar bersama-sama tanpa kira perbezaan agama. Walau ada banyak pembangunan di sekeliling dan kedai jauh baik tapi kopitiam ini jadi kesukaan orang-orang lama yang akan datang setiap pagi.
“Saya tengok saja muka mereka, sudah tahu apa yang mereka mahu minum. Sebabnya setiap hari mereka datang sini. Kita semua sudah seperti satu keluarga,”katanya yang turut menjual pau kari yang menjadi rebutan penduduk setempat setiap pagi.
Jika kopitiam Xin Aun Nong Hong di Tapah menyatukan penduduk sejak 100 tahun lalu, lukisan mural juga turut menyatukan tiga insan berlainan agama iaitu Riyn Lee, Izzati Suza dan Karthi Maniam. Tidak pernah bertemu sebelum ini namun ketiga-tiganya bersatu melukis mural sempena kemerdekaan negara ke 68.
Karya seni mereka “Inilah KITA” mencerminkan erti sebenar menjadi rakyat Malaysia. Lukisan mural ini telah dibuka untuk tontonan umum di Pavilion dan Fahrenheit88 sejak 7 Ogos, mengajak semua orang hadir meraikan momen-momen indah yang mengikat kita bersama sebagai satu bangsa.
Jelas Izzati Suka yang terkenal dengan lukisan emosi manusia melalui “mulut besar”, dia turut mengabadikan potret mak dan ayahnya di dinding lukisan mural sempena kemerdekaan ini.
Begitu juga Riyn Lee yang terkenal menghasilkan objek manusia sebagai subjek muralnya dan ini berbeza dengan Karthi Maniam yang menghasikkan karya seni heena. Jadi gabungan ketiga-tiganya berjaya menghasilkan karya seni yang hebat.
Sempena ulangtahun ke-68 kemerdekaan, kempen Inilah KITA mengangkat cerita-cerita indah tentang perpaduan yang sering kita terlupa.
Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik perbezaan budaya, agama dan latar belakang, ada benang halus yang mengikat kita sebagai satu bangsa. Bukan sekadar kisah patriotik tetapi sebuah kisah keikhlasan dan kasih sayang yang berlaku setiap hari.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran Kumpulan Astro, Benjamin Woo menyifatkan, kempen ini adalah komitmen Astro dalam bersama menyatu padukan rakyat negara ini
“Sebagai penyedia hiburan terkemuka negara, kami bangga meraikan kisah tempatan yang mencerminkan realiti negara kita. Melalui momen-momen harian yang menghubungkan. Sama ada berkongsi makanan, ruang umum ataupun bekerjasama dalam seni. Kami raikan pengalaman yang menyatukan rakyat Malaysia. Kisah ringkas tetapi bermakna ini menonjolkan bagaimana walaupun kita berlainan latar belakang, momen dikongsi menjadikan kita satu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tidak hanya melalui makanan, rakyat disatukan dalam muzik dan lukisan mural.
Dokumentari Inilah KITA dihasilkan dengan kerjasama Naga DDB Tribal bersama Astro Malaysia dan Directors Think Tank yang membawa kisah rakyat ini ke layar dan ke hati semua.
Dalam dunia hari ini yang mudah tercemar oleh gosip, perdebatan dan perpecahan, kempen Inilah KITA hadir sebagai pengingat dan ketenangan. Ia mengajak kita meletakkan telefon seketika, lihat sekeliling dan nikmati bagaimana kita, dengan segala perbezaan, masih mampu duduk bersama, membantu dan meraikan kehidupan bersama.
Inilah Malaysia yang sebenarnya yang sering tersembunyi di balik hiruk-pikuk dunia digital. Sebuah negara yang ikatan peribadinya terjalin dari momen-momen sederhana tetapi bermakna. Di ulangtahun ke-68 kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama hayati dan lestarikan momen-momen itu. Bukan hanya untuk hari ini tapi sepanjang hayat kita.
Kerana Inilah KITA. Sebahagian daripada kisah yang sama. Kisah negara kita, Malaysia yang terus bertaut dan berkembang dalam harmoni dan kasih sayang sejati. Merdeka bukan sekadar kata, ia rasa yang kita ukir setiap hari dalam kebersamaan.
Pelakon Wanita, Syida Melvin dilaporkan telah memfailkan cerai terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.