Dalam dunia selebriti yang sering dihujani kisah cinta baharu dan episod ‘move on’, pempengaruh serta usahawan terkenal, Ridzokumura, tampil dengan pendirian yang luar biasa memilih untuk setia pada kenangan.
Selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Akiko Okumura, Ridzokumura menegaskan bahawa hatinya telah tertutup buat mana-mana wanita lain. Dalam temu bual eksklusif bersama Majalah Nona, figura media sosial itu meluahkan isi hati yang cukup meruntun perasaan.
“Lelaki lagi susah nak ‘move on’. Setiap doa saya, saya berkata, Ya Allah, tutuplah nafsu saya dengan manusia. Saya tak mahu kahwin lagi,” luahnya penuh jujur.
Bagi Ridzokumura atau nama sebenarnya Abd Ridzuan berkata, Akiko bukan sekadar seorang isteri. Dia adalah teman sejiwa, cahaya hidup dan wanita yang membahagiakan sepanjang hayat mereka bersama.
Ads
“Cukuplah saya dengan arwah Akiko. Dari dia hidup sehinggalah dia meninggal dunia, dia membahagiakan saya. Saya cuma mahu dia sahaja.”
Pasangan ini pernah menjalani kehidupan rumah tangga selama 16 tahun, penuh kasih dan kesetiaan tanpa sebarang noda kecurangan. Justeru, bagi Ridzokumura, mendirikan rumah tangga semula selepas pemergian Akiko seakan mengkhianati cinta suci mereka.
“Misal kata suatu hari nanti saya kahwin lain, itu bermakna saya curang dengan dia. Sepanjang 16 tahun kami tak pernah curang, jadi sampai mati pun begitu. Saya rela hidup seorang diri daripada kahwin lain. Saya setia pada yang satu sampai akhir hayat.”
Kenangan manis bersama Akiko tidak pernah pudar. Pemergiannya yang tragis, terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya pada 28 Februari masih segar dalam ingatan, membekas di sanubari seorang suami yang kekal cinta dan setia.
Ads
Dalam zaman cinta yang mudah terlerai, kata-kata Ridzokumura bukan sekadar pengakuan, tetapi pernyataan cinta abadi yang jarang kedengaran.
Dalam suasana perbicaraan yang penuh emosi dan menjadi perhatian seluruh negara, satu suara penting tampil mempertahankan kasih seorang ibu dan ayah. Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zahari Mohd. Reba, 57 tahun, berdiri teguh mempertahankan anak dan menantunya.
Bapa kepada Zaim Ikhwan dan bapa mentua kepada Ismanira Abdul Manaf itu menyatakan dengan yakin bahawa kedua-duanya adalah ibu bapa yang bertanggungjawab, dan tidak pernah sekalipun mengabaikan cucu sulung mereka yang kini menjadi nama yang disebut-sebut di bibir rakyat Malaysia.
“Saya kenal anak dan menantu saya. Mereka sangat sayangkan Zayn… Layanan mereka sama rata antara Zayn dan adiknya, Zahin. Tak pernah berbeza,” ujar Zahari dalam nada sebak ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, semalam.
Zahari turut berkongsi bahawa dirinya sangat rapat dengan Zayn Rayyan, dan saban minggu akan memastikan cucu-cucunya datang ke rumah untuk meluangkan masa bersama.
“Setiap Sabtu atau Ahad, bila ibu dan ayah Zayn tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah… Bermesra, duduk bersama. Zayn sangat manja dengan saya,” kongsinya dengan nada hiba.
Pernyataan ini bukan sekadar membela, tetapi menunjukkan betapa ikatan keluarga ini kuat dan penuh kasih sayang. Jauh daripada bayangan pengabaian seperti yang didakwa sebelum ini.
Dalam perbicaraan bela diri yang masih berlangsung, Ismanira diperintah membela diri, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Peguam bela Ismanira, yang terdiri daripada Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh, sedang giat membuktikan bahawa Ismanira bukanlah ibu yang culas, tetapi ibu yang sedang bergelut mempertahankan dirinya dan nama baik seorang wanita yang sudah pun kehilangan anak.
Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh akan bersambung lagi esok. Bagi Zahari, tuduhan ini bukan sahaja mengguris hati seorang datuk, tetapi juga mencabar kekuatan seorang keluarga yang sedang diuji.
“Saya percaya pada anak dan menantu saya. Mereka bukan pembunuh. Mereka adalah ibu bapa yang pernah saya lihat menitiskan air mata kerana rindu dan sayang pada arwah Zayn.”
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu.
Lapan tahun berlalu, namun luka di hati seorang ibu tidak pernah sembuh. Hari ini, akhirnya Mahkamah memihak kepada seorang wanita yang berjuang demi anak gadisnya walau jasad sudah lama dikembalikan kepada bumi.
Dalam satu keputusan yang menyentuh emosi sesiapa pun yang bergelar ibu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, ibu kepada mendiang Ivana Esther Robert Smit, model muda warga Belanda yang ditemukan maut pada 2017 dalam keadaan misteri.
Ivana, ketika itu baru berusia 18 tahun, ditemui tidak bernyawa di tingkat enam sebuah kondominium mewah, selepas dipercayai jatuh dari tingkat 20 unit milik pasangan warga Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy. Namun, kes kematiannya ditutup hanya sebagai ‘mati mengejut’.
Sebagai seorang ibu, Verstappen tidak pernah dapat menerima keputusan itu. Baginya, terlalu banyak yang tidak masuk akal, terlalu banyak soalan yang tidak pernah dijawab.
“Mereka hanya buka kertas siasatan kematian mengejut, dan tutup kes. Sedangkan saya tahu, ada sesuatu yang tidak kena…” – Verstappen dalam tuntutannya.
Hakim Roz Mawar Rozain menyatakan bahawa terdapat kecuaian serius dan pelanggaran tanggungjawab oleh pihak polis. Antara kegagalan tersebut termasuk tidak menutup tempat kejadian, tidak menyita barang bukti penting, dan tidak menyiasat saksi utama dengan sewajarnya.
Lebih mengejutkan, Mahkamah turut memutuskan bahawa pihak polis melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan melakukan siasatan yang tidak profesional terhadap kematian seorang remaja wanita yang cukup muda dan rentan.
“Walaupun telah ada arahan kehakiman yang jelas, bukti menunjukkan bahawa defendan gagal mematuhinya dengan bersungguh-sungguh.
“Pegawai penyiasat yang sama terus dikekalkan, dan tindakan tidak berkesan diambil.
“Walaupun kes ini diteruskan, defendan gagal mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan kaedah siasatan yang dilakukan.
“Siasatan ini pada hakikatnya terhenti tanpa kemajuan yang ketara sejak 2019.
“Justeru, kegagalan mematuhi arahan kehakiman yang jelas ini adalah satu lagi pelanggaran tanggungjawab statutori. Ia juga boleh membawa kepada penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.
Roz Mawar berkata, terdapat pelanggaran tanggungjawab statutori dan tanggungjawab penjagaan oleh defendan, yang menyebabkan plaintif mengalami kerugian langsung dan akibat yang boleh dijangka.
Beliau turut memutuskan terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam (misfeasance in public office), yang membabitkan pelakuan perbuatan tidak sah dalam kapasiti rasmi yang tidak mencapai piawaian sewajarnya yang dijangka daripada pegawai penguatkuasa undang-undang.
“Tindakan defendan sepanjang siasatan kematian si mati jauh daripada piawaian yang sepatutnya dijangka daripada pegawai penguatkuasa undang-undang.
“Terdapat bukti forensik yang besar seperti hasil toksikologi yang diabaikan.
“Ini mencerminkan satu penyimpangan ketara daripada standard siasatan yang diterima serta kewajipan statutori.
“Siasatan gagal menggunakan metodologi forensik lanjutan yang boleh memberikan gambaran masa penting mengenai trauma yang dialami si mati,” katanya.
Menurutnya, defendan tidak meneliti secara menyeluruh keterangan saksi utama berbanding bukti fizikal dan forensik yang ada.
“Kes ini mencerminkan kegagalan besar dalam sistem penguatkuasaan undang-undang Malaysia,” katanya.
Mahkamah mengakui cabaran dalam siasatan yang kompleks, namun berkata bukti menunjukkan banyak penyimpangan daripada piawaian yang diterima mengakibatkan keadilan dinafikan kepada plaintif.
“Kematian seorang wanita muda berusia 18 tahun dalam keadaan mencurigakan sepatutnya mendorong siasatan yang paling teliti dan profesional.
“Namun sebaliknya, bukti menunjukkan kegagalan yang berterusan, ketidakcekapan dan pengabaian terhadap prosedur yang sepatutnya,” tambah mahkamah.
Verstappen memenangi saman terhadap empat pihak termasuk Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri. Mahkamah mengarahkan mereka membayar:
RM500,000 ganti rugi am
RM300,000 ganti rugi teruk
RM300,000 ganti rugi teladan
RM100,000 kos perbicaraan
Lebih bermakna lagi, Mahkamah turut memerintahkan agar siasatan dibuka semula, dan pegawai penyiasat terdahulu, ACP Faizal Abdullah, dikeluarkan dari Pasukan Petugas.
Wang ringgit bukan nilai sebenar di sebalik perjuangan ini. Seperti kebanyakan ibu yang kehilangan anak secara tiba-tiba, Verstappen hanya mahu tahu kebenaran. Mengapa Ivana jatuh? Siapa yang bersamanya malam itu? Apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pintu tertutup?
Kini, siasatan baharu harus dimulakan. Dan setiap tiga bulan, Polis Diraja Malaysia mesti memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negara mengenai kemajuan siasatan, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah.
Saban pagi, aroma roti canai yang harum dan menyelerakan sering menjadi tarikan utama di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar. Di situ, pasangan suami isteri Mohamad Azim Izat Ishak dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi gigih berniaga, menawarkan keenakan roti canai buatan tangan mereka kepada pelanggan, pada harga hanya RM1.20 sekeping.
Namun kini, tiada lagi senyuman ramah Azim dan Hidayah. Tiada lagi tangan cekap menebar roti canai yang menjadi kegemaran ramai. Seluruh negara tersentak dengan berita duka apabila pasangan ini bersama empat anak mereka ditemukan lemas di dalam Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, Jitra, Kedah.
Di sebalik keenakan roti canai jenama Nuruzem Roti Canai, tersimpan kisah perjuangan dua insan yang tidak pernah berhenti berusaha demi menyara keluarga. Azim bekerja sebagai pengawal keselamatan, sementara Hidayah menguruskan gerai makanan mereka. Kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama. Bukan untuk kaya, tetapi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Orang meniaga ini ada dua jenis. Satu nak kaya, satu lagi cuma nak sambung kehidupan. Kami yang kedua. Janji dapat teruskan hidup,” luah Hidayah dalam satu video TikTok yang pernah tular pada April tahun lalu.
Cerita baru dari Orang Bisnes, pasangan manis, suami isteri, peniaga roti canai di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar, Kedah.
Mereka memahami situasi pelanggan, terutamanya staf hospital dan orang awam, sebab itu harga roti canai kekal murah. “Sewa sini pun murah,” kata Hidayah, menjelaskan prinsip mereka berniaga dengan hati.
Warga Maya Tersentuh
Video lama pasangan ini kini kembali tular, dengan ramai netizen meluahkan rasa sedih dan sebak mengenangkan nasib mereka.
“Goosebump tengok video ni. Al-Fatihah. Semoga Allah kurniakan syurga tanpa hisap buat kalian,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Arwah kata meniaga untuk teruskan hidup. Allah… semoga mereka semua ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tambah yang lain.
Tragedi yang Meragut Segalanya
Insiden malang itu meragut nyawa enam sekeluarga. Azim, 32; Hidayah, 31; serta empat anak mereka, Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan. Identiti kesemua mangsa disahkan oleh ahli keluarga di lokasi kejadian, menyentak hati seluruh rakyat Malaysia.
Tragedi ini bukan sekadar kehilangan satu keluarga. Ia adalah kehilangan kepada komuniti kecil yang pernah mengenali keikhlasan dan kecekalan mereka. Semoga kisah cinta dan perjuangan pasangan ini menjadi inspirasi buat kita semua dalam menempuh liku kehidupan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berita baik buat rakyat Malaysia, pengeluaran wang ATM antara bank kini percuma tanpa caj RM1 mulai 1 Julai 2026. Inisiatif ini membolehkan pelanggan mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara.