Setelah berjimat dan mengumpul duit untuk menyenangkan keluarga dengan membeli sebuah motosikal, namun akhirnya sedih apabila motosikal yang disayangi hangus di depan mata.
Setengah tahun kumpul duit beli motor, akhirnya rosak dalam perjalanan dapatkan bantuan susu anak. Sedih memang sedih, tetapi Amran Rongi bersyukur dia dan anaknya selamat.
Setengah Tahun Kumpul Duit Beli Motor
“Saya hanya fikir mahu selamatkan anak saya,” kata Amran Rongi, 29, menceritakan kembali detik cemas motosikal yang ditunggang bersama dua anak lelakinya rosak lalu terbakar di laluan motosikal Plaza Tol Senai, di Johor Bahru, Isnin lalu.
Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadam atas tindakan pantas seorang anggota polis dari Balai Polis Senai yang pada ketika itu sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Senai.
Menurutnya, motosikal terpakai yang dibeli pada Ogos lalu adalah hasil duit kumpul kerjanya sebagai nelayan.
“Lebih setengah tahun saya mengumpul duit bagi membeli sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Selama ini saya bekerja turun ke laut menumpang sampan atau bot ahli keluarga lain, apabila dapat hasil, saya akan dapat upah.
“Apabila dapat membeli motosikal terpakai, saya bercadang untuk mendaftarkan tiga anak saya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, kerana dokumen seperti itu diperlukan bagi memudahkan saya untuk membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Johor,” katanya yang cacat tangan kiri sejak daripada lahir.
Motor Rosak Dalam Perjalanan Dapatkan Bantuan Susu
Dia yang mempunyai isteri dan empat anak berusia dua minggu hingga 10 tahun berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Orang Asli Kuala Masai, dekat sini, hari ini.
Ads
“Upah saya sekitar RM30 bergantung kepada hasil laut harian. Saya perlu menyara keluarga dan mencari ikhtiar untuk teruskan kehidupan.
“Maafkan saya kerana saya tiada niat mahu susahkan sesiapa. Saya buta huruf. Nak tengok arah jalan pun saya tidak tahu, mana angin bawa, saya pergi, tau-tau sampai,” katanya.
Amran berkata niatnya mahu pergi ke Baitulmal Johor kerana mahu meminta bantuan susu bagi dua anaknya.
Hajat Tidak Kesampaian Motor Rosak Teruk
“Saya mahu pergi ke Baitulmal Johor bagi meminta susu untuk bayi dan anak ketiga saya berusia setahun, tetapi hajat saya tidak sampai kerana saya sudah jauh dari rumah malah motosikal juga rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.
Ads
“Niat saya untuk ubah kehidupan keluarga saya, namun mungkin belum sampai rezekinya. Saya harus kembali dengan rutin harian turun ke laut dan mengumpul simpanan semula supaya pada masa sama anak-anak saya dapat makan,” katanya.
Sementara itu, keluarga malang itu mendapat perhatian daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Johor menerusi program Foodbank YaPEIM.
Pengurus YaPEIM Johor, Tajul Ariffin Harun, berkata pihaknya menyumbang barangan keperluan asas sebagai inisiatif meringankan beban keluarga berkenaan terutama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
MW: Setiap kali kita mengeluh susah, rupanya masih ramai di luar sana yang susah. Yang hidupnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maka bersyukurlah dengan hidup kita seadanya.
Khamis, 28 November 2019 lalu, Muhammad Fariesh Rezqallah Iman bin Abdul Razzaq terjatuh dari balkoni tingkat 3, Blok A, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu menyebabkan kanak-kanak berusia 9 tahun ini meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Tragedi yang berlaku pada awal cuti sekolah ini memang tidak akan dapat dilupakan oleh Siti Nur Fathiah Bt Hasshim, ibu kepada Muhammad Fariesh Rezqallah Iman atau lebih mesra dengan sapaan Iman ini selagi nyawanya dikandung badan.
Sewaktu ditemui, Siti Nur Fathiah, 31 tahun, masih lagi dalam berpantang selepas melahirkan anak keempatnya pada hari Ahad, 1 Disember 2019. Sepatutnya kehadiran bayi baru ini menggembirakan keluarga mereka. Tetapi siapa sangka, kegembiraan itu tidak kesampaian berikutan tragedi sedih yang berlaku.
“Saya terasa kehilangan sangat. Saya mahukan keempat-empat anak saya di hadapan mata.”
Gambar-gambar Muhammad Fariesh Rezqallah Iman dan adik-adiknya akan kekal disimpan rapi oleh keluarganya.
Pilu
Hati Siti Nur Fathiah pilu apabila mengenang kembali kejadian yang telah berlaku. Sambil bercerita, air mata Siti Nur Fathiah mengalir tanpa henti-henti.
“Sebelum kejadian berlaku, saya ada memanggil anak saya. Saya suruh dia turun ke bawah untuk membayar duit kuih yang saya beli. Setelah membayar duit kuih itu, dia naik semula dan membawa baki duit lebih dan beri pada saya di rumah.
“Selepas itu, dia memberitahu neneknya yang dia hendak main. Tidak sampai lima minit, saya terdengar kawan-kawannya memanggil. Cik Olin! Cik Olin! (panggilan jiran-jiran terhadap Siti Nur Fathiah), Iman jatuh!”
Betapa terkejutnya Siti Nur Fathiah dengan perkhabaran tersebut. Walau dalam keadaan hamil dan menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak, ibu ini berlari dengan lajunya menuruni anak-anak tangga dari tingkat tiga rumahnya menuju ke tempat kejadian.
“Saya terus tidak pandang apa. Saya turun bawah, tengok dia dah terkulai. Saya pergi kepada anak saya. Saya panggil dia. Saya cakap, Iman bangun! Iman bangun! Dia hanya mampu kata, Aaa Uuu. Masa itu dia dah tidak sedar. Kepalanya terkulai.
“Saya terus dukung dia dan bawa ke klinik 1 Malaysia (yang terletak bersebelahan tempat kejadian).Selepas itu Klinik 1 Malaysia buat rawatan kepada anak saya. Apabila ambulan datang, anak terus dihantar ke PPUM.
“ Dia terus dimasukkan ke zon kritikal dan kemudiannya dari pukul 5 petang hingga keesokan harinya dia berada di ICU.
“ Semasa di ICU doktor pakar memberitahu kepala anak saya sudah tidak berfungsi lagi. Dia tunggu masa sahaja. Dalaman dia semuanya sudah pecah. Memang benar apa yang dikatakan oleh doktor itu. Keesokan harinya Iman meninggal dunia.”
Rindu Suara Anak
Selepas post mortem dilakukan, jenazah telah dituntut dan kemudiannya telah dikebumikan. Doktor mengesahkan anaknya itu meninggal dunia disebabkan jatuh dari bangunan.
Bercerita mengenai diri anaknya itu, jelas Siti Nur Fathiah, anaknya mengalami masalah disleksia. Walau lambat dalam pelajaran namun guru-guru di sekolah suka kepada anaknya itu.
“Dia peramah di sekolah. Saya rindu pada suara Iman. Saya rindu cara dia bermain kereta dengan adik-adiknya.”
Selepas kejadian yang berlaku pada anak sulungnya, Siti Nur Fathiah kini sentiasa memantau anak-anaknya yang lain agar hanya bermain di dalam rumah sahaja. Dia tidak mahu kejadian sama berulang kepada anak-anaknya yang lain.
Rokiah (kiri) dan Siti Nur Fathiah (kanan) tidak boleh terima kenyataan Iman telah tiada.
Banyak Perubahan Berlaku Dalam Seminggu Sebelum Kematian
Rokiah binti Hamzah, 72 tahun, yang turut ada pada pertemuan ini menceritakan cucunya seorang yang tidak banyak cakap. Rokiah amat terasa kehilangan cucunya ini kerana dia turut sama menjaga dan membesarkan cucunya sejak kecil.
“Dia ini lembut orangnya. Agak payah dia hendak bercerita pada kami. Kalau dia balik menangis dan kami tanya pada dia siapa buat, dia tidak akan beritahu.
“Makcik bela dia sejak dia berumur tiga bulan sehinggalah akhir hayatnya. Dia memang manja dengan makcik. Makcik mandikan dia, pakaikan baju dan hantar dia naik van (untuk ke sekolah) setiap hari. Apabila dia balik sekolah mesti dia cari nenek dahulu.
“Dalam seminggu sebelum pemergiannya, ada perubahan berlaku pada arwah. Dia ajak Atuknya pergi gunting rambut pada hari Isnin itu. Dia beriya-iya mengajak Atuknya untuk menggunting rambut. Katanya rambut dia sudah panjang.
“Saya ingat lagi, pada suatu hari itu, tidak silap saya hari Rabu, dia tanya pada saya. Nenek, esok hari apa nenek? Saya cakap pada dia, kau ini nak masuk sekolah darjah 3 pun tidak ingat hari lagi. Tiap-tiap kali tanya nenek. Dia terus mengira menggunakan jarinya.
“Dia tanya saya lagi. Esok Jumaat kan Nenek? Abang hendak pergi sembahyang.Pergilah. Saya kata selalu kan kau pergi. Dia kata, Takdelah, abang bagitau nenek je. Saya kata selalu tak bagitau, terus je pergi.
“Tiba-tiba, sambil dia berehat duduk bergoyang kaki itu, dia cakap, bulan 12 abang mati. Makcik terkejut bila dia cakap begitu. Makcik kata tak baik cakap begitu. Kemudian dia jawab, takdelah, Abang gurau-gurau aje. Selepas itu dia diam.”
Tidak Boleh Terima Kenyataan
Cerita Rokiah lagi, cucunya itu bukan jenis makan banyak. Tetapi pada malam itu juga dia makan banyak.
“Malam itu dia makan terlampau banyak. Saya tengok kalau nasi dia makan itu kalau untuk orang tua memang kenyanglah. Saya suap dia makan. Duduk tidak sampai setengah jam. Dia minta makan maggi. Selepas habis makan maggi, dia minta hendak meratah milo. Tetapi dia tukar fikiran hendak makan koko crunch. Saya buat semangkuk bagi dia makan.
“Selepas itu dia tidur. Pukul 1 pagi dia bangun dan tengok tv. Sampai pukul 6 pagi dia tengok. Lepas itu dia tidur. Pukul 10 pagi dia bangun, dia beritahu dia hendak makan nasi lemak. Saya suruh dia minta duit pada Atuk dia. Atuk dia bagi, dia turun pergi beli. Selepas itu dia makan nasi lemak itu.
“Tidak berapa lama kemudian, kawannya datang ajak main. Dia bagitau saya, Nenek, kawan abang panggil ajak main. Saya kata pergilah. Tetapi jangan pergi jauh-jauh. Main di depan rumah sahaja. Dia pergi main.
“Dalam pukul 12 lebih mummy dia panggil suruh dia pergi kedai. Selepas selesai pergi kedai, dia naik semula. Dia berdiri depan pintu. Kemudian dia beritahu, abang hendak pergi main lagi nenek.
“Saya kata pada dia, pergilah tetapi jangan pergi jauh-jauh. Dekat sini saja sebab nenek tidak larat hendak cari.Biasanya kalau dia lambat balik saya memang cari. Hujan ke apa pun, saya pergi cari sampai jumpa. Tidak lama kemudian, selepas sahaja habis azan zuhur, ada budak bagitau. Nenek, Fariesh jatuh.”
Terkejut Rokiah mendengarkan perkhabaran tersebut. Pada mulanya dia ingat cucunya itu hanya jatuh tangga.
“Saya ingat jatuh tangga. Saya tengok di tangga tidak ada. Pada masa yang sama saya dengar orang sudah bising di bawah. Saya tengok apa yang bising-bising itu. Bila saya lihat sahaja di bawah, saya tengok dia sudah terbengkok atas pangku emaknya.”
Kaku seketika Rokiah apabila melihat apa yang berlaku di hadapan matanya itu. Sedihnya sudah tidak terkata,
“Saya tidak boleh buat apa. Saya tidak boleh hendak peluk. Saya rasa seperti lumpuh. Saya hanya boleh menangis. Saya tidak boleh terima kematian dia.”
Sehingga kini setiap kali Rokiah melihat tempat kejadian berlaku, hatinya tidak boleh menerima kenyataan bahawa cucu kesayangannya itu sudah tidak ada di dunia.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin meringankan beban keluarga ini bolehlah menghulurkan derma kepada akaun CIMB 7627093519 Siti Nur Fathiah.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Siti Nur Fathiah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sedihnya bila tengok seorang lelaki tukar perwatakan kepada seorang perempuan. Walhal dirinya adalah lelaki sejati. Apa agaknya yang mereka fikirkan dengan dunia mak nyah ini sehinggakan penampilan mereka kadang-kadang mengalahkan perempuan asli sendiri.
Namun, kita tak tahu dari dunia mak nyah ini, telah membuka hati untuk kembali ke pangkal jalan. Malah, lebih baik dari sebelum ini.
Inilah yang dikongsikan oleh Muhammad Asrul Abdul Kadir, 38 tahun yang meninggalkan dunia mak nyah suatu waktu dulu, kini kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.
Dalam perkongsiannya, Muhammad Asrul kini merasa lebih tenang dengan caranya tersendiri dan bergelar sebagai tukang keranda.
“Dah lima tahun saya buat kerja ni. Masa awal-awal jadi tukang keranda dan batu nisan, saya masih pakai pakaian perempuan. Orang tengok atas bawah sebab pelik.”
“Lama-lama saya fikir, macam mana nak berniaga, nak berdepan dengan pelanggan. Kemudian mak saya meninggal pada tahun 2016.”
“Sejak itu saya perlahan-lahan tinggalkan pakaian perempuan. Baju-baju lama masih disimpan, tapi saya dah tak pakai,” ujar pemuda tersebut yang mesra disapa Jun.
Selain itu, Jun turut tidak kisa berkongsi gambar-gambar sewaktu bergelar ‘mak nyah’ menerusi aplikasi tiktok, susulan berasa penat dengan pertanyaan netizen.
Jelas Jun, dia mengambil langkah berlaku jujur dan menceritakan perkara sebenar apa yang pernah berlaku dalam hidupnya. Jun juga mengakui tidak kisah dengan tanggapan mereka sama ada baik ataupun buruk.
“Dekat TikTok saya tunjukkan cerita sebenar. Saya jujur dengan followers, jadi orang pun faham. Kalau saya tak tunjuk gambar, orang asyik tanya soalan sama. Saya penat nak jawab.”
“Yang mana dah lama ikuti tiktok saya, mereka tahu saya macam ni. Yang kecam tu sikit sangatlah, sebab orang tahu kerja saya walaupun saya macam ni. Lebih ramai yang memberikan sokongan.”
“Alhamdulillah, ada juga pelanggan yang menempah batu nisan yang dibuatnya bukan saja dari negeri Kedah tapi juga dari Negeri Sembilan dan Johor.
Buat Keranda Dari Kecil
Bercerita lanjut tentang pekerjaan yang dilakukan sekarang, Jun memberitahu dia sudah didedahkan dengan pembuatan batu nisan dan keranda sejak kecil lagi dan sejak 5 tahun kebelakangan ini, ia menjadi sumber pendapatannya.
“Saya mula buat keranda masa umur 9 tahun. Batu nisan pula saya belajar masa umur 16 tahun. Masa tu tengok orang buat, kemudian saya beli kayu dan sebagainya, saya cuba buat sendiri.
“Buat banyak kali, daripada tak jadi sampailah jadi keranda. Sekarang dah lima tahun saya usahakan kerja ini, saya buat depan rumah je. Ada juga pembantu, berat nak buat sendirian,” ujar Jun yang turut terlibat dalam urusan memandikan jenazah.
Beritahu Jun juga, dia sendiri sudah menyiapkan keranda untuk dirinya sendiri dan disimpan di dalam rumah.
“Saya sudah simpan kerana untuk diri sendiri, kain kapan pun dah siap serta batu nisan untuk diri sendiri di simpan di rumah. Saya maklumkan pada waris. Jadi mereka tahu dan boleh standby.
Untuk makluman, Jun kerap berkongsi aktiviti-aktiviti pembuatan batu nisan dan keranda di aplikasi tiktok. Dia juga membuka tempahan untuk sesiapa yang ingin mendapatkannya.
Mingguan Wanita : Moga terus istiqamah dan memberi teladan buat semua pembaca.
Tongue tie ialah masalah lidah bayi pendek dan tak mampu terjulur keluar untuk menyusu. Hujung lidah bayi tidak dapat diangkat sehingga menyentuh lelangit, dan tidak dapat digerakkan ke kanan atau ke kiri.
Kadang mak-mak tak akan perasan anak ada masalah lidah tetapi antara salah satu tandanya bayi akan mengamuk bila direct feeding macam tak mahu menyusu seolah-olah ibu tak cukup susu.
Jika ibu-ibu di luar sana ada juga masalah yang sama pada anak, boleh ikuti perkongsian ibu muda, Waheja Yasin ini untuk tahu apa langkah yang patut diambil sebelum terlambat.
Ini Pengalamannya
Sebab ramai sangat pm sis apa masalah Q (panggilan anaknya), jadi sis share terus di sini. Maaf… ada whatsapp yang tak sempat untuk di reply. Maklumlah, anak sakit nak melekat je.
Kronologi dia begini…
Masa Q sebulan, Q kena refer pakar kanak-kanak Hospital Sungai Buloh sebab demam kuning tak kebah. Untuk check organ dalaman, tapi alhamdullilah tiada masalah. Namun dapat detect lain pulak, pusat dia ada infection, tak kering kering. Selepas tu, esoknya refer balik ke hospital. Selepas pusat dah kering, doktor detect tongue tie, masa dapat detect pun kebetulan Q senyum dengan doktor tu. Lidah Q tak boleh angkat tinggi dan bila jelir lidah, dia jadi bercabang seperti bentuk love sbb urat yang pendek bawah lidah tu menarik lidah Q jadi bercabang.
Macam Mana Boleh Tahu Q Ada Masalah Tongue Tie
Semuanya kebetulan, Allah masa kuasa.
Sejak tu, setiap 6 bulan sekali Q akan rujuk pakar gigi kanak-kanak dan setiap kali rujuk doc akan tanya, kitorang sudah bersedia ke tidak untuk Q buat operation. Kitorang jawab tak sehingga lah Q 2 tahun bulan 3. Doktor tak tanya dah, terus dia nak buat operation masa Q 2 tahun 6 bulan, ianya adalah usia matang untuk Q buat operation. Kalau case ni teruk, masa baby lagi operation ini perlu di buat. Bila hisap susu, susu akan meleleh di tepi mulut tapi sebab Q tak seteruk tu dan masih boleh hisap susu seperti biasa tanpa meleleh jadi operation boleh bertangguh ke hari ini.
Awalnya Tak Nak Buat Pembedahan
Kami laki bini kalau boleh tak nak buat operation ni sebab Q sangat kecil untuk semua ni. Sampai bila doktor kata, nanti anak kalian tak boleh jelir lidah. Kami jawab, tak apa lah tak ada dosa. Noob sangat masa tu, tak boleh terima Q yang kecik tu kena lalui semua ni. Bagi kami, biarlah operation ni berlaku masa Q dah besar sikit tapi selepas kena kaunseling, kami setuju untuk teruskan.
Kenapa perlu usia matang sebab operation ini perlukan doc untuk bius satu badan. Bila bius satu badan, pelbagai risiko perlu diambil kira antaranya jika oksigen tidak sampai ke otak, otak akan mengalami masalah. Dan disebabkan usia Q muda, Q boleh ditemani oleh waris semasa di bilik dewan bedah. Kenapa daddy yang masuk, sebab mommy penakut dan tak sanggup tengok dorang masukkn tiub dalam mulut Q.
Dan ada beberapa kes jugak, mak pak tak tahu anak ada masalah tongue tie sampai anak dah berusia 6 tahun tapi masih pelat teruk. Bila check rupanya tongue tie, terus buat operation. Lepas operation, alhamdulliah ok.
Ada jugk kes, walaupun tongue tie tapi tidak pelat dan normal seperti biasa. Doktor tak nak Q mengalami kemungkinan begini, jadi doktor decide untuk teruskan operation ini.
Alhamdullilah, semua selesai. Mengikut kata doctor, di bawah lidah Q ada jahitan agak banyak, dalam masa seminggu benang akan tanggal sendiri dan seminggu dua ni, kena practice makanan seperti aiskrim kon dan lolipop, supaya Q biasa dengan keadaan lidahnya iaitu lidah lebih panjang dari sebelum ni. Part ni memang kalau Q faham, memang tersenyum girang.
Sebelum operation Q kena puasa selama 8 jam, bermula 12 malam. Disebabkan Q paling muda untuk operation hari tersebut, operation Q yang pertama sekali. Sepatutnya operation pada pukul 9 pagi, tapi delay. Pukul 11 baru turn Q, bayangkan dari malam Q berpuasa, Allah, lagi kesian untuk budak-budak selepas Q, lagi lama perlu berpuasa.
Kenapa perlu berpuasa?
Sebab doktor nak masukkan tiub pernafasan dalam mulut, jadi kena kosongkan kerongkong sebelum operation. Selepas operation Q kena minum air masak sahaja, tapi sebab dah puasa lama dari malam dan Q lapar, dia terus minta susu. Doktor tak benarkan sebab takut Q akan muntah disebabkan tiub pernafasan Q semasa operation dah lukakan kerongkong Q. Terus melalak tak dapat susu dan doktor benarkan cuma kena letak susu sikit lebihkn air masak.
Satu ward taw Q sgt lah garang dengan misi-misi di sini. Nak ambil darah pun sampai 3 orang, tengok nurse tolak mesin check heart beat pun dah melalak, nurun perangai mommy banyak sangat ni.
Cerita ini agak panjang dan sis share untuk rujukan mommy-mommy di luar sana. walaupun masalah Q ini kecil tapi kalau kita pandang remeh masalah ini, mungkin banyak lagi masalah pada masa akan datang.
Akhir sekali, terima kasih doktor dan nurse yg sgt lah tabah melayan kerenah anak sis dan semua yang mendoakan anak sis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kisah mengharukan tentang Dr Siti Ruqyah Adnan yang kehilangan ayahnya beberapa jam sebelum konvokesyen, namun tetap bangga menunaikan impian ayah untuk melihatnya bergelar doktor.