
Wahai anak, dengarlah pesanan Puan Nurul Halawati ini. Biarpun dilanda kesibukan yang teramat, apabila seorang ibu membuat panggilan kepada anaknya, maka jawab dan layanlah panggilan itu dengan seikhlasnya.
Mak hubungi bukan sebab apa-apa, dia cuma mahu dengar suara anaknya. Tahu yang anaknya OK atau sebaliknya.
Kerana, apabila panggilan ‘syurga’ itu tidak lagi muncul dalam hidup kita, pedihnya sebuah kerinduan takkan lagi berbalas dengan kehadiran ibu di depan mata. Hargailah sebuah panggilan dari syurga ini.
Panggilan Dari Syurga
Pernah tak korang terima panggilan dari mak korang, waktu korang betul-betul tengah busy.
Tengah dok kalut dengan anak-anak, dengan kerja, dengan masalah lain..
Masa tu mak call..
“Mak, Hafii tengah mengamuk nangis-nangis ni..kenapa mak?
Lalu mak pun kata “takde apa-apa, saja je telefon”
Mak call waktu saya tengah sibuk mengadap skrip. Tengah khusyuk gila tak mahu diganggu.
“mak, akk tengah buat skrip ni. Kenapa mak?”
Mak pun kata, “takde apa, saje telefon“.
Dan begitulah selalunya…mak telefon kita untuk tiada sebab. Untuk dengar suara kita je..untuk tahu kita Ok atau tidak.
Tapi, saya, kita, kamu..terlalu busy untuk berbual-bual dengan emak. Kerana menyangka selepas siap urusan ini aku akan bertemu emak lagi, aku akan berbual dengan emak lagi.
Bila Mak Dah Takde, Tercari-cari Panggilan Suara Mak
Tapi, pesan saya janganlah beranggapan begitu. Jangan…jangan jadi macam saya.
Bila emak dah takde, tercari-cari suara emak, rindu membuak-buak nak dengar mak tanya keadaan saya. Ok ke? Dah makan ke?
Menyesal tak sudah, kenapalah aku tak record semua panggilan- panggilan mak sebelum ni..sekurangnya bila rindu aku boleh putar 100 atau 1000 kali suara itu buat menghilangkan kerinduan dan berpura-pura emak ada di di hujung talian bersama aku.
Satu penyesalan yang tak berkesudahan. Satu kerinduan yang tak mungkin dapat ku tebus.
Buat kalian yang masih ada emak, ibu, ummi…tolonglah..tolonglah layan panggilan ibumu meski dia menelefon saat kamu paling sibuk, meski dia menelefon hari-hari dan tanpa sebab dia menelefon..hanya untuk bertanya khabar dan mendengar suara anaknya..tolong..layanlah perbualan mereka seolah itu perbualan terakhirmu bersama ibu kalian.
Emak saya kini di syurga, mana mungkin dia menelefon lagi dari syurga. Saya pula terus berharap dan berharap..tak tahu bila semua rasa ini akan Ok.
Jangan ulangi kesilapan yang pernah saya lakukan. Sebab sakitnya kau tak mampu nak tanggung.
Aku yang berusaha untuk Kuat.
Dalam lelah dan airmata.
* Semoga menjadi iktibar pada semua anak-anak yang masih punya emak/ibu/ummi/mama
Sumber/Foto : Nurull Halawati
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Landasan Kita Berbeza’ Bertahun Kahwin, Ujian Rumah Tangga Tak Pernah Berhenti

Ketahui suami isteri, sepanjang hidup berdua di bawah satu bumbung, bermacam ujian rumah tangga perlu ditempuh. Namun, bagaimana cara untuk anda menerima ujian kasih sayang ini. Tenangkah? Atau berliku-liku jalannya.
Cik Puan Ammy (CPA) kongsikan pesanan untuk anda yang bergelar suami isteri. Dalam melayari hidup berdua ada perkara yang perlu kita terima dengan lapang dada. Bukan saling menyalahkan apatah lagi memaksa pasangan untuk menerima cara kita.
Ujian Rumah Tangga Mematangkan Usia Perkahwinan
Dia : Masa zaman cinta-cinta dulu, selalu kalau keluar dengan awak bau minyak wangi. Sekarang bau minyak angin jer.
CPA : Sama lah… Awak pun masa muda-muda dulu bau minyak wangi. Sekarang bau minyak ‘grease’ jer.
Lalu kami ketawa bersama. Begitu lah bila usia perkahwinan dah semakin matang. ‘Malas’ nak berasa atau berkecil hati dah. Lupa terus cara nak merajuk atau bertengkar. Semuanya dah buang ke tepi.
Masing-masing dah kenal hati budi pasangan. Cuba untuk penuhi sisa-sisa yang tinggal supaya sentiasa harum mewangi. Tidak kira lah minyak angin ataupun minyak grease semuanya tidak mendatangkan luak dalam kasih sayang malah semakin menggebu di hati.
Gaduh rajuk sikit-sikit tu adatlah dalam perkahwinan. Alangkah gigi dan lidah pun kadang kala tergigit inikan pula suami isteri yang berbeza cara didikan keluarga. Jangan pula jadikan perbezaan itu sebagai satu alasan untuk terus bertengkar demi mempertahankan cara masing-masing.
Tahu tak…?
Sebaik sahaja akad dilaksanakan maka terbentuklah sebuah keluarga. Walaupun ketika itu hanya ada suami dan isteri sahaja, apabila sudah terbinanya rumah tangga maka itulah keluarga anda.
Cipta Keserasian Dengan Pasangan
Bentuklah keluarga anda dengan cara sendiri. Saling berkongsi dan bekerjasama supaya ada keserasian di antara anda dan pasangan.
Contohnya :
Keluarga suami tidak mengamalkan cara makan bersama antara lelaki dan perempuan di mana orang lelaki akan makan dahulu manakala perempuan akan menyusul setelah lelaki habis makan. Bagi anda yang berlainan cara didikannya ianya akan nampak pelik kerana keluarga anda tidak pernah mengamalkan cara makan begitu.
Tenang… Jangan terus rasa diperendahkan. Itu cara keluarga suami. Turutkan sahaja dengan hati yang terbuka kerana anda sedang berada di rumah mentua yang caranya berbeza. Apabila pulang ke rumah sendiri, makanlah bersama suami dan anak-anak kerana anda sudah berada di rumah sendiri.
Begitu juga dengan suami. Apabila sudah terbiasa makan tanpa perempuan di meja pasti akan berasa ‘canggung’ kerana terpaksa semeja dengan adik beradik perempuan isteri. Tenang juga, kerana itu adalah cara keluarga isteri anda.
Turutkan sahaja tanpa rasa janggal. Sedangkan isteri boleh belajar cara keluarga anda, mustahil anda tidak boleh belajar cara keluarga isteri. Apabila pulang ke rumah sendiri terpulanglah samada ingin teruskan cara keluarga masing-masing atau membina cara keluarga anda sendiri.
Keluarga anda, didik lah dengan cara anda. Apa yang penting anda suami isteri haruslah sentiasa berbincang dan muafakat dalam membuat keputusan.
Fasa Dalam Perkahwinan
Berbalik pada kematangan dalam berumah tangga. Usia perkahwinan ada beberapa fasa iaitu fasa pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Fasa pertama ( 1 hingga 5 tahun )
Fasa pertama adalah tahun pertama hingga tahun ke 5 perkahwinan di mana ia dikenali sebagai tahun orientasi. Tempoh untuk saling mengenali hati budi pasangan setelah mula tinggal sebumbung.
Fasa ini banyak mencabar kesabaran hati kerana waktu inilah pasangan akan mula menunjukkan sikap dan rupa sebenar. Kalau dahulu waktu ‘dating’ selalu wangi jer rupa-rupanya bila duduk di rumah lebih suka menggunakan minyak angin cap kapak. Kalau dahulu selalu keluar jalan-jalan satu badan bau ‘dashing’ tapi bila dah sebumbung hari-hari kena hadap bau ‘grease’ atau bau peluh apabila pasangan balik daripada kerja.
Pada fasa inilah juga paling banyak ujian rumah tangga di antaranya adalah sukar memahami sikap pasangan kerana waktu bercinta jarang pasangan akan menunjukkan sikap sebenar. Masalah pembahagian tugas antara suami isteri juga akan timbul di mana masing-masing masih baru di alam rumah tangga.
Masalah mengenal hati budi mentua, masalah mencari keserasian antara ipar duai dan sebagainya. Dalam fasa ini juga setiap pasangan perlu banyak berbincang dan yang pentingnya adalah kesabaran.
Apabila sudah berjaya melepasi fasa pertama, in Sha Allah peluang untuk sampai fasa ke dua sangat cerah.
Fasa ke 2 ( 5 hingga 10 tahun )
Pada fasa ke 2 pula adalah tahun ke 5 hingga tahun ke 10. Fasa ini kebanyakan rumah tangga akan diuji dengan kehadiran anak-anak yang semakin bertambah dan ekonomi rumah tangga juga semakin tinggi. Pada fasa ini, pasangan suami isteri perlu ada sikap saling berkongsi dan bertolak ansur di antara satu sama lain baik daripada segi tanggungjawab dan ekonomi.
Bagi yang masih belum punyai zuriat, suara-suara sumbang akan mula bertanya soalan-soalan pelik seolah-olah mereka lebih tahu daripada Allah SWT. Maka hanya iman yang kuat dan tawakal ilallah sahaja yang mampu mempertahankan hubungan anda daripada hasutan manusia yang sentiasa tidak pernah puas.
Mungkin ada beberapa faktor pertengkaran akan berlaku. Rasa tidak puas hati dengan pasangan anda di atas beberapa sebab contohnya pengabaian kasih sayang kerana komitmen kerja semakin bertambah, kekurangan pemberian nafkah baik daripada segi zahir ataupun batin di atas alasannya sendiri.
Kecurangan pada pasangan juga mungkin akan terjadi sekiranya perkahwinan itu hanya berlandaskan nafsu, hilang tahap kesabaran di atas sikap sambil lewa dan lupa tanggung jawab kerana pasangan mula berjinak-jinak dengan hobi ataupun menghabiskan masa dengan kawan-kawan.
Pada fasa ke 2 ini, tahap kesabaran perlu dipertingkatkan kerana ramai yang akan kecundang di fasa ini dan sekiranya berjaya sampai ke penghujung peluang untuk melalui fasa ke 3 sangat mudah.
Fasa ke 3 ( 10 hingga 20 tahun )
Apabila berjaya melepasi fasa ke 2, bermakna usia perkahwinan sudah melebihi 10 tahun. Pada tahun ke 10 hingga tahun ke 20 ini anda telah mengenali hati budi pasangan dengan baik. Pada fasa ke 3 ini, keadaan rumahtangga semakin stabil baik daripada segi ekonomi dan anak-anak.
Sikap yang suka merajuk dan pentingkan diri sendiri sudah mula berkurangan di atas faktor usia dan kematangan dalam berfikir kerana itulah betapa pentingnya kita melalui fasa pertama dengan sabar.
Jadi kepada pasangan yang matang akan cuba untuk mengelakkan sebarang pergaduhan dengan melakukan apa yang pasangan suka dan meninggalkan apa yang pasangan tidak suka.
Saling menghormati perasaan pasangan masing-masing kerana usia sudah mula bertambah dan anak-anak juga sudah meningkat remaja. Perasaan malu untuk bertengkar di hadapan anak-anak juga turut menebal kerana anak-anak sudah tahu menilai baik dan buruk sesuatu keadaan.
Lebih kepada memberi dan menerima pada setiap kekurangan dan kelebihan pasangan contohnya apabila si isteri sudah mula berdengkur, si suami sudah mula kentut dalam selimut, gigi pasangan sudah mula luruh satu persatu, diuji dengan penyakit 3 serangkai, sakit-sakit badan dan sebagainya.
Fasa ke 4 ( 20 tahun ke atas )
Tahniah… Sudah hampir kepada fasa terakhir ujian rumah tangga sebelum nyawa di jemput pulang. Fasa ke 4 pula adalah di mana usia perkahwinan sudah mencecah usia ke 20 tahun ke atas.
Pada fasa ini, usia sudah meningkat. Kekurangan pasangan lebih jelas kelihatan. Kedutan jelas kelihatan di mana-mana, uban sudah mula memutih, bentuk badan sudah tidak seperti dulu, ada juga yang sudah tidak berambut dan ada yang sudah terlantar di katil mengharap belas ihsan pasangan menjaganya.
Waktu ini lah ujian yang sebenar dalam kehidupan berumah tangga samada anda terus bertahan sehingga ke nafas terakhir ataupun memutuskan untuk pergi mencari yang lebih sempurna.
Bagi yang mendirikan rumahtangga kerana Allah SWT, ianya sudah berada di dalam zon yang selesa. Ekonomi rumahtangga yang stabil, kasih sayang diantara satu sama lain semakin melimpah ruah dan anak-anak sudah besar malah ada juga yang sudah mula menerima menantu.
Tiba masanya untuk tenang membuat amal ibadah dan mengumpul pahala tanpa memikirkan hal duniawi lagi. Pada masa terluang, duduk santai-santai bersama pasangan sambil mengenangkan bagaimana tabahnya anda berdua mengharungi suka dan duka pada setiap fasa perkahwinan daripada fasa pertama sehinggalah ke fasa sekarang. In Sha Allah dengan begitu anda berdua akan lebih saling menghargai satu sama lain.
Selagi Bernyawa Ujian Rumah Tangga Takkan Berhenti
Tetapi malang kepada yang mendirikan rumah tangga di atas dasar nafsu kerana waktu inilah nafsu serakah diuji. Masing-masing tidak mampu menerima kekurangan pasangan. Sentiasa ingin mencari kesempurnaan tanpa memikirkan usia yang sudah mula bertambah dan masa bertaubat sudah mula berkurangan.
Sanggup meninggalkan pasangan yang sudah belasan tahun hidup bersama semata-mata mengejar cinta yang baru sebulan datang.
Teman-teman… Apa yang CPA tulis di atas adalah antara perkongsian kawan-kawan yang pernah melaluinya dan ada juga pengalaman CPA sendiri.
‘Kita tidak berada di dalam landasan yang sama‘ walaupun sama destinasi yang dituju tetapi ujian perjalanan hidup kita berbeza-beza. Ujian rumah tangga tidak pernah akan berhenti selagi masih bernyawa.
Tidak kiralah kita di fasa ke berapa, hadapilah ujian dengan sabar dan tenang semoga kita tergolong dalam golongan keluarga Firdausi…
#CikPuanAmmyTulis.
#MenulisDaripadaHati.
#17tahunperkahwinan.
#Doakankebahagiankami.
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
Ada masa rumah tangga kita diuji dengan kekeliruan, hentikan tak perlu dilayan.
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Dilarang & Tidak Boleh Punyai Anak..” Keunikan Pasangan Kerdil Mampu Buktikan Miliki Keluarga Bahagia

Pasangan kerdil. Mungkin nampak pelik dan tak kurang juga uniknya bila melihat pasangan seperti ini. Mulalah terbayangkan akan anak yang bakal dilahirkan itu sempurna atau mewarisi dari mak ayahnya.
Ada sesetengah berpendapat untuk tidak mempunyai anak bimbang seperti dirinya. Tapi mampukah pasangan kerdil seperti ini membina bahagia tanpa cahaya mata.
Tidak sesekali mengalah, itulah yang berlaku pada pasangan kerdil yang unik di tinggal di Australia. Kehidupan mereka bahagia bersama 3 anaknya, di mana anak pertama mewarisi genetik ibuny,a anak kedua mewarisi genetik ayahnya dan anak ketiga sempurna tiada masalah genetik.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Anak Sumbing, Jangan Sesekali Salahkan Keturunan “Allah Nak Bagi Saham Pahala Pada Kita”
Pernah Viral Tukar Jantina, Kini Bergelar Suami Orang, Pasangan Terima Kekurangan Dirinya
Pasangan Kerdil Dilarang Lahirkan Anak
Charli Worgan dan suaminya, Cullen Adams adalah pasangan dari Australia yang sangat unik.
Mereka berdua ditakdirkan jatuh cinta dan apabila berkahwin, mereka tahu bahawa mempunyai anak akan membawa kepada pelbagai kesusahan dalam hidup mereka.
Charli mempunyai achondroplasia, sejenis dwarfisme dan suaminya pula mengalami dysplasia acromicric, sejenis masalah pada tulang yang menyebabkan gangguan pertumbuhan dalam tubuhnya.
Seperti pasangan lain, Charli Worgan dan Cullen Adams mempunyai impian untuk menjadi ibu bapa, tetapi sekumpulan doktor menghalang dan dilarang keras untuk mereka menjadi ibu bapa.
Memandagkan pasangan ini tidak dilahirkan normal, pakar perubatan bimbang anak-anak akan mewarisi penyakit genetik dan menderita.
Salah satu daripaa pendapat yang negatif dari para doktor ialah kerana mereka berdua sangat pendek disebabkan oleh beberapa masalah genetik.
Jadi, kemungkinan anak mereka akan lahir dengan satu atau dua masalah tersebut. Malah, ada juga mengatakan anak ini tidak akan hidup lama. Bukan setakat pakar tapi masyarakat sekeliling juga turut memberi reaksi yang buruk ketika Charli disahkan hamil.
“Kami berdua menerima banyak kritikan negetif kerana saya dan suami menghidap penyakit kerdil. Jadi, mereka mengatakan saya telah membuat pilihan yang mementingkan diri sendiri, mahu anak mewarisi kerdil dan kecacatan anak yang bakal lahir,” katanya.
Teruskan Kehamilan
Syukur, ketika disahkan hamil, Charli melalui prodes kehamilan pertama dengan baik. Namun, anaknya turut mengalami masalah yang sama. Tilba adalah anak perempuan pertama pasangan ini, dia mewarisi jenis dwarfisme dari ibunya
Walaupun anaknya mewarisi penyakit genetik tetapi Charli dan Cullen tetp berhasrat untuk menambah cahaya mata. Mereka membuat keputusan untuk mempunyai dua anak lagi.
Tully, anak perempuan kedua pasangan ini adalah anak yang sangat ceria, walaupun diua telah mewarisi masalah genetik dari bapanya.
Sesuatu yang luar biasa berlaku kerana Rip, anak ketiaga Charli dan Cullen tidak mewarisi genetik dari kedua ibu bapanya. Dia membesar, sempurna, tinggi seperti orang biasa.
Bukanlah Negatif
Walaupun dikatakan mengalami dwarfisme atau sebarang masalah genetik, ini bukanlah penentu nilai diri seseorang dan jangan sesekali melihat sesuatu yang negatif.
.
Seseorang yang mempunyai kecacatan fizikal atau tidak berhak untuk memenuhi impian bersama. Kini, Charli dan Cullen memilih untuk bahagia dan sekarang mereka mempunyai sebuah keluarga yang indah dan unik.
Mingguan Wanita : Kita semua layak bahagia.
Sumber: Sensasi & charli_kate (instagram)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Allah Bagi Lebih Pada Harta, Mungkin Kurang Pada Masanya

Bila Allah bagi lebih pada harta pada dia, mungkin ada sudut kurang yang kita tak pernah tahu. Kalau secara logiknya pun, mana mungkin ada pasangan sempurna 100%.
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, andai terlihat kebahagiaan pasangan lain, tolonglah jangan bandingkan dengan kemampuan pasangan kita dengan orang lain. Rezeki yang Allah bungkuskan pada hambanya tak akan pernah sama.
Lebih Pada Harta
Untuk kaum hawa yang akan atau dah bergelar isteri, jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan anda.
Ada kawan anda, suaminya mampu menyediakan dia rumah mewah, kereta besar, mampu membawanya bercuti di luar negara, mampu belikan dia barang-barang berjenama.
Jangan jeles, jangan iri hati, jangan dengki kerana mungkin suaminya jarang ada masa dengannya, sibuk dengan urusan kerja, outstation sana sini. Dia sunyi di rumah, apa yang dia rasa suaminya tak pernah ambil peduli, kerja rumah semua dibuatnya sendiri dan disebalik kemewahan yang dia ada tu, dia tak gembira dan tak bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya hanya mampu menyediakan dia rumah kos rendah dan kereta kecil, hanya mampu membawanya bercuti di dalam negara, hanya mampu belikan dia barang-barang biasa. Jangan kesian, jangan simpati, jangan pandang rendah pada dia, kerana mungkin suaminya selalu ada di rumah, selalu ambil tahu akan perasaannya, selalu menolongnya melakukan kerja-kerja rumah dan disebalik kesederhanaan yang dia ada tu, dia gembira dan bahagia dengan hidupnya.
Ada kawan anda, suaminya itu nikmat untuknya, dan ada pula kawan anda, suaminya itu ujian terbesar dalam hidupnya.
Mana Ada Pasangan Sempurna
Sebab itu dalam hidup kita ni, Allah tak bagi kita semuanya sempurna dari setiap sudut, Allah tak bagi kita segala-galanya. Bila Allah bagi lebih diharta, maka kurang pada masa. Bila Allah bagi lebih pada masa, maka kurang pada harta.
Jadi, anda bekerja atau tidak, anda duduk rumah mewah atau sederhana, anda bercuti di luar negara atau didlm negara, anda pakai pakaian jenama atau biasa, bila anda dah berkahwin, gaya hidup anda hanyalah mengikut kemampuan suami anda. Kalau hanya itu yang mampu ditunaikannya, diberikan oleh suami anda, maka bersyukurlah dan ucapkanlah alhamdulillah dan terima kasih.
Jangan Bandingkan
Kurang di satu tempat, lebih di tempat yang lain. Jangan bandingkan hidup anda dengan kawan-kawan yang lain, semuanya atas REZEKI masing-masing.
Harus diingatkan, tak semua yang indah itu indah, kerana kita hanya nampak apa yang mereka ada, dan bukan apa yang mereka rasa.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI