Kalau suka sangat makan seri kaya homemade, anda boleh guna resepi yang dikongsikan oleh Puan Imah Rahman ini. Tengok caranya tak susah sangat pun, siap ada petua lagi.
Bahan-bahan Buat Seri Kaya Homemade:
1 cawan gula
1 cawan air panas
Masak gula hingga keperangan, tutup api kemudian masukkan 1 cawan air panas dan buka api semula. Kacau gula sampai cair semua, biarkan sebentar.
Ads
3 biji telur
1cawan gula
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam (akak letak, terpulang kepada anda)
Blend semua bahan-bahan di atas sampai gula hancur.
1 kotak santan 200ml
2 sudu besar tepung jagung
-campur dan kacau hingga sebati
Ads
1. Panaskan gula karamel tadi, masukkan bahan-bahan yang telah diblend, kacau hingga sebati. Masukkan pula santan yang telah dicampurkan dengan tepung jagung.
2. Kacau hingga pekat dan berkilat dengan api yang slow. Pastikan jangan sampai hangus. Siap dan sejukkan sebelum simpan.
Ads
NOTA:
Sebenarnya untuk mendapatkan sekaya yang berkilat seakan berminyak gunakan pati santan kelapa bukan santan kotak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terbaru wanita berpantang turut nyaris menjadi mangsa penipuan scammer.Awas, jika mendapat panggilan daripada individu yang tidak dikenali lebih-lebih lagi jika dikatakan panggilan daripada bank tertentu.Scammer ini sangat licik,permulaan modus operandinya ia akan kaitkan dengan penyalahgunaan data peribadi bagi tunggakan pinjaman bank, kemudian sekiranya ‘mangsa’ panik dan terpedaya akan dikaitkan pula dengan kesalahan yang lebih berat iaitu kes dadah.
Dalam kes ini, wanita ini dianggap’bernasib baik’ kerana scammer masih ada hati perasaan dan tak sampai hati untuk terus melakukan penipuan kerana beliau dalam tempoh berpantang.
Semoga perkongsian pengalaman yang diceritakan oleh Cik Pooja ini memberi pengajaran buat kita agar jangan mudah percaya dengan panggilan sebegini. Seeloknya hubungi dan pergi bank sendiri untuk mendapatkan pengesahan.
PERINGATAN buat semua, ini betul-betul bukan cobaan ye! Betul-betul terjadi pada cik pooja.
Kisahnya, pada 29 Januari 2018, tepat pada jam 11.30 pagi. Cik Pooja menerima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali. 072224300, panggilan dari pihak bank cimb katanya.
“Puan mempunyai tunggakkan bayaran pinjaman selama 3 bulan berjumlah RM2,025.”
Bila diberitahu begitu, Cik Pooja terkejut sebab seumur hidup tak pernah Cik Pooja buat pinjaman peribadi dengan mana-mana bank. Lalu, Cik Pooja menegaskan bahawasanya Cik Pooja tak pernah membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana bank.
Ini yang Cik Pooja catit sepanjang perbualan tadi.
Mengikut kata pegawai bank yang bercakap tu.
“Kalau puan tak buat sebarang pinjaman, mungkin data maklumat peribadi puan telah disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu”
cik pooja blur kejap!
Perbualan tadi…
Pegawai bank: Kalau inilah situasinya, mungkin puan adalah mangsa keadaan. Jadi puan dikehendaki ke IPK Johor untuk buat laporan polis berkenaan isu ni dalam tempoh sejam.
Cik Pooja: Ha! Nak kena pergi IPK Johor. Biar betul! Saya tinggal di KL sekarang ni. Nak ke Johor tu makan masa 2 jam kot!Adoi, blur jap.
Pegawai bank: Kalau macam tu untuk memudahkan kerja, saya akan sambungkan puan ke IPK Johor sesegera mungkin kalau puan bersetuju.
Cik Pooja: Ok la kalau begitu.
Kecut perut pun ada sebab melibatkan polis
Disambungkan ke IPK JOHOR…
Sarjen Shawn: Hello IPK Johor, saya Sarjen Shawn bercakap, ada apa-apa boleh saya bantu puan?
Cik Pooja: Hello, saya nak buat aduan tentang penyalahgunaan data peribadi saya yang digunakan untuk tujuan pinjaman peribadi…bla bla bla…sekian sekian…
Maklumat yang bank bagi semua Cik Pooja berikan pada keterangan seperti di bawah
Sarjen Shawn: Okay puan, kita akan cek list nama puan ke KDN untuk pastikan puan bebas dari sebarang kemungkinan.
Cik Pooja: Okay encik.
Perasaan bercampur baur. Macam-macam fikir. Apa pula dugaan yang akan datang ni.
Sarjen Shawn: Setelah diselidik kami dapati nama puan terlibat dalam dua kes dadah bernilai 2.3 juta. Nama puan juga terlibat dalam kes yang melibatkan jenayah David Sim, bekas pegawai Maybank yang menjalankan kegiatan jenayah dadah yang melibatkan 10 ribu kad-kad bank. Jika disabitkan kesalahan puan akan ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan.
Cik Pooja: Apa ni? Tadi kes penyalahgunaan data maklumat peribadi, ni sangkut dengan dadah pula.
Cik Pooja blur sambil airmata meleleh tak berhenti. Dugaan apa pula ni. Hampir sejam Cik Pooja sembang dengan Sarjen Shawn tu. Memang betul-betul buat Cik Pooja kecut perut dan takut, gelabah bewak tau dak!!
At last, Cik Pooja tewas. Menangis tersedu sedan dalam talian sambil menyusukan si Iman Zahira. Cik Pooja jujur bagitau Sarjen Shawn yang Cik Pooja tak ada masa nak buat kerja terkutuk tu. Kepala blur sebab sekarang tengah berpantang baru 17 hari.
Sarjen Shawn: Baik puan, saya faham tapi perintah tahanan akan dikeluarkan serta merta ke atas puan berhubung dengan kes tuduhan dadah yang dikeluarkan atas nama puan. Macam ni la puan, saya simpati dengan puan dan saya nak puan bercakap sendiri dengan tuan IO saya iaitu Tuan Zaki. Puan boleh membuat rayuan dari dia supaya menarik balik semua pertuduhan ke atas puan.
Cik Pooja: Okay, kalau itu yang membolehkan saya bebas dari segala pertuduhan ni, saya setuju untuk bercakap dengan tuan IO. Sebab saya tak buat semua tu. Saya surirumah sepenuh masa dan tak ada masa nak main-main dadah ni.
Talian disambungkan ke Tuan IO.
Tuan Zaki: Hello, boleh saya tau dengan siapa saya bercakap dan apa boleh saya bantu.
Cik Pooja: Saya Puan Mahfuzah, telah membuat laporan tentang penyalahgunaan data maklumat peribadi sebentar tadi dan hasil siasatan ke atas nama saya didapati terlibat pula dengan 2 kes kegiatan dadah. Tuan boleh rujuk nombor file siasatan berikut IPK/61078/18/JSJK.
Tuan Zaki: Tunggu sebentar ye puan, sy cek. Okay. Puan sekarang tengah berpantang? Berapa hari puan?
Cik Pooja: Ye tuan, sekarang saya tengah berpantang anak ke 4. Baru 17 hari tuan. Apalah salah saya yang tak tau apa-apa ni dikenakan tuduhan berat segini tuan.
Cik Pooja menangis dalam talian.
Tuan Zaki: Baik kak, sebenarnya saya nak bagitau akak yang kami ni dari scammer.
Cik Pooja: Maaf tuan, saya tak dengar, boleh ulang?
Tuan Zaki: Kami dari talian scammer. Saya simpati dengan akak. Saya minta maaf ye kak. Saya pun ada anak. Saya faham perasaan akak. Nak-nak pula tengah berpantang. Jadi kalau Sarjen Shawn tanya nanti. Akak pura-pura yang akak tak tau yang kami ni scammer ye. Segala pertuduhan tu semua dusta belaka.
Terdesak
Cik Pooja: Allahuakbar. AstaghfirullaaahhalAazim. Kenapa buat macam ni? Allahuakbar, Allahuakbar. Tak tau nak cakap apa dah. Allah saja yang tau perasaan ketika ni.
Tuan Zaki: Maafkan kami ye kak. Kami terdesak!!
Cik Pooja: Terdesak! (Dengan nada suara agak keras)
Tuan Zaki: Maaf ye kak. Saya simpati dengan akak sebab tu saya bagitau ni talian scammer. Nanti bila Sarjen Shawn tanya, bagitau je yang saya dah tarik semua pertuduhan-pertuduhan ke atas puan ye. Jangan bagitau Sarjen Shawn yang akak dah tau kami ni scammer.
Cik Pooja: Okay, jap encik. Maksudnya dari panggilan pegawai bank dan pinjaman dan pertuduhan semua tu adalah scammer? (Dalam hati bersyukur sangat sebab semua ni dusta belaka)
Tuan Zaki: Ye kak, maafkan saya ye!
Talian disambungkan ke sarjen shawn.
Sarjen Shawn: Ya, apa boleh saya bantu.
Cik Pooja: Saya Puan Mahfuzah yang buat report tadi. Tuan Zaki cakap, dia dah bebaskan saya dari semua pertuduhan tadi.
Sarjen Shawn tak puas hati. Dia minta saya tunggu, dia nak tanya Tuan Zaki semula. Dan selepas itu, dia ditalian semula.
Sarjen Shawn: Puan memang dibebaskan dari semua pertuduhan tapi dengan jaminan saya, puan dikehendaki membayar RM2000 sebagai jaminan.
Cik Pooja: Tapi Tuan Zaki cakap tak perlu bayar jaminan apa-apa.
Sarjen Shawn sambungkan semula talian Cik Pooja ke Tuan Zaki.
Tuan Zaki: Akak dengar baik-baik. Selepas ni saya sambungkan akak ke talian Sarjen Shawn dan akak cakap akak faham semua yang Tuan Zaki cakapkan dan selepas tu akak matikan talian dan terus off telefon ye.
Cik Pooja: okay, baik.
Sarjen Shawn ditalian, mintak yang bukan-bukan lagi. Wang jaminanlah. Dia tak tau yang Cik Pooja dah tau dia adalah scammer.
Tut tut tut. Cik Pooja ikut apa yang Tuan Zaki suruh. Cik Pooja matikan talian dan off telefon.
Selepas tu, lapang terus dada. Alhamdulillah. Allahuakbar. Allah masih pelihara Cik Pooja. Terima kasih ya Allah. Perasaan tak tau nak gambarkan macam mana. Mata pun dah bengkak. Menangis dengan prank dari scammer yang masih punya hati.
Hari ni, jadi betul-betul pada Cik Pooja. Ramai lagi mangsa-mangsa keadaan macam Cik Pooja lepas ni. Berhati-hatilah ye.
Ikhlas coretan dari Cik Pooja. Viralkan supaya semua tau. Jangan ada dari friendlist FB Cik Pooja jadi mangsa pulak lepas ni.
Semoga kita lebih berwaspada dengan panggilan begini.Jangan mudah panik dan mendedahkan data peribadi pada orang yang tidak dikenali.
Kes bayi meninggal dunia di rumah pengasuh antara isu yang seringkali menjadi kebimbangan buat mak-mak yang bekerja.Benar ajal dan maut ditangan tuhan, tetapi jika berpunca daripada kecuaian, pasti terbit rasa kekesalan dihati.
Terbaru, kejadian yang dilaporkan berlaku di Kuantan, seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini, hari ini.
“Sabtu lalu saya bermain dengan dia. Cucu sihat dan aktif seperti biasa. Hari ini, tiba-tiba sahaja saya dapat tahu dia sudah tiada.”
Itu luahan Hadijah Gan Abdullah, 63, nenek kepada Ahnaf Hanafi Mohd Hanif, berusia setahun, yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Indera Mahkota 8 di sini hari ini, selepas ditinggalkan di rumah pengasuh.
Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang, memaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.
Katanya, anaknya juga difahamkan bahawa pengasuh itu meminta jirannya untuk membawa Ahnaf Hanafi ke klinik kerana tidak mempunyai kenderaan.
“Saya juga sudah biasa di klinik itu kerana menjalani rawatan di situ. Saya diberitahu cucu sebenarnya sudah tiada apabila sampai di klinik itu dan kami diminta membuat laporan polis.
“Pengasuh mengatakan cucu merengek dan dia masukkan ke dalam buaian. Saya tanya jika cucu diberi susu, tapi pengasuh kata tidak. Sukar untuk kami terima Ahnaf sudah tiada kerana dia sihat dan dia juga sebenarnya tidak biasa dibuai kerana kami tidak menggunakan buaian.
“Ayahnya beritahu Ahnaf seperti biasa pagi ini… hanya sedikit sakit pada kulit, tapi tidak mungkin itu menyebabkan kematiannya,” katanya semasa ditemui Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.
Hadijah yang merupakan pesara guru menambah cucunya baharu sebulan lebih ditinggalkan di situ, selepas pengasuh lama di Kampung Tiram di sini, mengambil dua bayi, menjadikan mereka khuatir bagaimana beliau mahu menjaga begitu ramai kanak-kanak dalam masa yang sama.
Justeru itu, Mohd Hanif, seorang akauntan dan isteri yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Indera Mahkota mencari pengasuh baharu dan difahamkan pengasuh itu turut menjaga empat kanak-kanak lain, katanya.
“Ahnaf baharu menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 9 Disember lalu. Saya tak sangka perkara ini boleh berlaku kepada kami kerana sering membaca kejadian seumpamanya di surat khabar.
“Bila saya baca tentang kanak-kanak terjatuh, tersedak susu atau kejadian lain melibatkan bayi, saya akan mengingatkan anak-anak supaya sentiasa berhati-hati dengan anak mereka,” katanya.
Hadijah yang menetap di Bukit Setongkol di sini menambah Ahnaf adalah cucu kedua bongsu daripada lima cucunya dan sedang aktif merangkak dan cuba bertatih.
Beliau menambah mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota sekitar pukul 4 petang tadi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu, jika wujud unsur kecuaian. Jenazah Ahnaf Hanafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini esok, kerana mereka menunggu keluarga Roshidah dari Marang, Terengganu.
Ibu bapa kanak-kanak itu enggan ditemuramah dan Roshidah difahamkan enggan menjamah makanan sejak kejadian berlaku dan perlu ditenangkan beberapa anggota keluarga dan rakan sekerja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata,punca kematian belum dapat dipastikan dan ibu bapa bayi itu dimaklumkan pengasuh bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian dengan mata terbuka.
“Bapa bayi itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian itu,” katanya.
Mohamad Noor berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut.
“Kita akan mendapatkan bantuan dan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” katanya lagi.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga bersabar diatas segala ujian dan dugaan yang menimpa. Alfatihah.
Gara-gara berang dan sakit hati kerana sering ditanya oleh jiran bila beliau akan berkahwin dan dianggap ‘tidak laku’, seorang lelaki bertindak nekad membunuh jirannya yang juga merupakan seorang ibu yang sedang hamil.
Memetik laporan Detik.com, lelaki berkenaan, Alias Nunur, 28, telah membunuh Iis Aisyah, 32, di rumah wanita berkenaan selepas ditemui terbaring di rumahnya di Kampung Pasir Jonge, Desa Sukawangi, Singajaya, Garut di Jawa Barat kira-kira jam 8 malam 19 Januari lalu.
Menurut Pesuruhjaya polis, Budi Satria Wiguna, sebelum kejadian Nunur sedang termenung di depan rumah, mangsa yang ternampak Nunur telah menegur dan menasihatkan beliau supaya cepat kahwin.
Katanya mangsa telah telah mengeluarkan kata-kata;
“Cepat-cepatlah kahwin, orang lain sudah ada anak dua, tiga orang, ini kau belum laku-laku.”
Lantaran rasa dirinya terhina dan tersinggung dengan teguran tersebut, suspek lalu bertindak datang ke rumah mangsa. Nunur kemudiannya dipelawa masuk ke ruang tamu kerana mangsa tidak menyangka suspek memasang niat jahat.
Menurut polis, ketika mangsa menuju ke sebuah bilik, suspek mengekorinya dari belakang sebelum bertindak menolak wanita hamil itu ke atas katil.
Walaupun cuba melawan dengan menggigit jari suspek, itu tidak berupaya melawan tenaga dan kemarahan suspek. Di situ, mangsa telah dicekik hingga mati.
Selain itu, suspek juga telah mengambil telefon bimbit mangsa dan wang tunai berjumlah 800,000 Rupiah (RM230) sebelum melarikan diri ke Jakarta namun pihak berkuasa berjaya mengesan dan telah ditangkap pada 29 Januari lalu. Polis turut menyita beberapa barang bukti lain seperti motosikal, bantal, selipar, baju kemeja dan kain.
Kesimpulannya, hati – hatilah dalam menuturkan kata-kata. Sebaiknya elakkan bertanya perkara- perkara sensitif seperti hal urusan jodoh, anak, penceraian dan sebagainya yang mampu mengguris hati dan perasaan orang lain. Bila emosi dah tersinggung dan mulai terbit rasa dendam, macam-macam boleh berlaku. Ibarat kata pepatah kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Amyza Aznan dilihat tidak mampu menahan air mata yang tidak henti-henti mengalir ketika memeluk arwah anaknya buat kali terakhir di perkarangan Masjid Al- Khairiah, AU3 Keramat