Sedih hanya Tuhan saja yang tahu bila suami sindir penampilan diri dah macam orang gaji. Ikuti luahan rasa seorang isteri kepada MW.
Saya berusia 32 tahun dan mempunyai empat orang anak yang berusia tujuh, lima, empat dan tiga tahun. Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Suami pula bekerja sebagai seorang akauntan.
Sebelum berkahwin, saya berkhidmat di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang agak lumayan. Namun selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk melupakan dunia pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga. Alhamdulillah, suami seorang yang bertanggungjawab dan menyediakan segala keperluan keluarga. Malah, saya juga diberikan wang untuk perbelanjaan untuk diri sendiri.
Sibuk Dengan Anak-Anak
Saya dan suami memang sukakan budak-budak. Jadi kami sepakat untuk memiliki anak yang ramai walau pun tidak pernah menetapkan jumlah berapa orang. Syukur, kami dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel.
Namun, kehidupan dengan empat orang anak kecil bukan mudah. Saya tidak mempunyai pembantu rumah dan segala urusan rumah tangga diuruskan saya sendiri. Saya terima semua itu sebagai satu tanggungjawab. Sehinggalah memiliki tiga cahaya mata lelaki.
Kesemua mereka sangat lasak dan memerlukan pemantauan yang rapi. Ini membuatkan saya semakin rasa terbeban. Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar. Jadi, saya perlu masak setiap hari. Tapi dengan keadaan anak-anak, saya tidak cukup tangan. Ini membuatkan saya rasa tertekan.
Urus Anak Hingga Tak Ada Masa Urus Diri
Sehinggalah saya melahirkan anak saya yang keempat yang kini berusia tiga tahun, juga lelaki. Bayangkan, saya perlu menjaga dan mengawal empat budak lelaki yang lasak-lasak. Saya semakin tidak cukup rehat dan keadaan diri semakin tidak terurus. Sedangkan dahulu saya cukup menjaga penampilan saya.
Pernah saya sarankan pada suami untuk mengambil pembantu rumah, tetapi suami menolak. Katanya tak ‘privacy’. Saya cadangkan pula mengambil pembantu harian, datang pagi dan balik petang. Sekurang-kurangnya jika suami balik ke rumah, pembantu itu juga sudah tiada. Tetapi, suami juga tidak bersetuju. Saya sendiri tidak faham mengapa dia tidak bersetuju.
Sikap suami juga menambah tekanan saya. Ya, dia baik dan bertanggungjawab tapi dia tidak pernah membantu saya melakukan apa saja kerja rumah. Pinggan makannya sendiri pun tidak dicuci. Hendak tolong tengok dan jagakan anak-anak pun, pasti ada saja alasannya. Bila anak-anak bergaduh dan menangis, dia lari ke bilik dan kunci pintu. Saya juga yang kena menghadap kerenah anak-anak. Bagaimana saya tidak semakin tertekan?
Ads
Mula Komen Penampilan Isteri
Akhirnya kesabaran saya runtuh bila baru-baru ini suami mula menyindir saya yang kini sudah macam ‘bibik’ katanya! Saya rasa sedih, marah dan kecewa. Bagaimana saya nak uruskan diri jika urusan di rumah tak putus-putus? Dah bertahun tidak ke spa atau ke salon.
Kadangkala nak mandi pun tak boleh lama jika anak-anak sudah mula menjerit dan menangis. Dia juga komen, rumah semakin bersepah. Jalan sana sini terpijak mainan anak. Bukan saya tak kemas, tapi anak-anak akan sepahkan semula. Bila suami mula kritik itu dan ini, saya tambah tertekan.
Saya hanya memerlukan pemahaman suami untuk sama-sama memikul tanggungjawab di rumah. Jika dia penat bekerja di pejabat, saya juga penat di rumah. Dari pagi, berulang alik menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan ke tadika. Bila saya nak minta anak naik van sekolah, suami tak setuju. Katanya lebih Selamat jika saya yang hantar. Kadangkala saya terfikir, apakah suami memandang rendah pada saya kerana saya tidak bekerja?
Apakah saya ini dianggap seperti orang gaji? Apakah suami ingat saya hanya makan tidur saja di rumah dan tidak membuat kerja rumah? Saya dan suami sendiri sudah semakin jarang berbual mesra. Bagaimana saya nak luahkan perasaan saya ini padanya? Kalau saya tahu begini perubahan sikapnya, baik saya beranak ramai!
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak-anak adalah anugerah Allah untuk kedua ibu bapa. Mereka adalah penyambung generasi ummah. Ia adalah amanah yang Allah berikan untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Amanah ini akan dipersoalkan di akhirat nanti apakah ibu dan bapa menjaga dan mendidik anak-anak itu untuk menjadi insan bertakwa.
Memelihara dan mendidik anak-anak untuk menjadi insan bertakwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, ketahanan yang tinggi dan kemahiran dalam mendidik mereka, apatah lagi dalam dunia serba mencabar ini. Bertambah mencabar jika hanya seorang sahaja berperanan dalam memelihara dan mendidik anak-anak. Pasangan yang kurang membantu menjadikan tugas mendidik semakin terbeban. Sebaliknya, ibu bapa yang tahu bahawa ini adalah amanah Allah, menganggap bahawa ini sebagai satu anugerah Allah yang tiada nilai.
Maka antara kemegahan ibu bapa apabila menceritakan anaknya yang ramai dan keletah anak-anak. Begitulah indahnya memiliki anak-anak. Anak-anak adalah satu rahmat, hingga antara perkara yang dapat menolong ibu bapa apabila meninggal adalah doa daripada anak-anak yang soleh. Allahuakbar….
Ads
Perlu Kemahiran Didik Anak
Bagi membantu meringankan bebanan puan, mungkin perkongsian ilmu boleh membantu masalah yang puan hadapi. Mendidik anak juga memerlukan kemahiran. Ibu ibarat sekolah kepada anak-anak. Anak-anak boleh dilatih sejak daripada kecil. Mendisiplinkan mereka memerlukan ketegasan, namun dalam kasih sayang.
Ibu perlu bijak menangani karenah mereka. Anak-anak perlu dididik kenapa perlu ada peraturan sehinggalah mereka mencapai tahap kematangan. Ketika itu maka kita sebagai ibu akan rasa puas hati didikan kita menjadikan mereka manusia yang berdisiplin. Pastikan anak solat pada waktunya kerana solat boleh membentuk peribadinya. Seminggu sekali atau dua kali bacakan buku cerita teladan agar anak terdidik dengan akhlak yang baik.
Ujian Untuk Dapat Pahala
Berbalik kepada masalah suami yang tidak membantu puan dalam kerja rumah dan mendidik anak-anak, anggap ini adalah ujian buat puan. Ujian untuk mendapat pahala yang akan Allah berikan kepada puan yang bersabar dan gigih dalam mendidik anak-anak. Ianya akan berlalu dalam satu tempoh hingga anak-anak membesar. Apabila suami menegur, bermaksud dia sayangkan puan dan mahu puan punya penampilan agar dia senang memandang puan. Puan sendiri mengatakan bahawa suami seorang yang baik dan bertanggung jawab terhadap keluarga. Alhamdulillah.
Dalam hal ini, puan perlu mencari ruang bagaimana untuk menjaga penampilan. Belajar melakukan kerja dengan cepat dan kemas. Tidak dinafikan menjadi suri rumah memang penat dengan tugas rumah yang tidak henti. Namun, kekemasan itu boleh dipelajari hingga puan boleh jadi mahir dengan kerja rumah. Sesekali jangan longgok baju kotor atau rumah bersepah dan jangan menangguhkan kerja kerana itu akan menjadikan puan akan lebih penat untuk menyimpannya. Ajak anak untuk melakukan bersama, walaupun sukar untuk meminta mereka lakukannya, namun terus disiplinkan mereka.
Berbual Dan Luahkan Pada suami
Puan yang dirahmati Allah. Masih ada ruang dan peluang untuk berbual dengan suami. Jika tidak dapat berbual secara bersemuka, gunakan telefon bimbit untuk menyatakan. Walaupun suami tidak membalas, jangan kecewa. Terus berusaha. Baca buku wanita berjaya dan yang diuji dengan pelbagai cabaran. Lazimnya mereka akan jadi kuat dengan ujian yang menimpa. Puan perlu berusaha mencari ruang untuk diri sendiri dengan melakukan apa yang puan minati tanpa mengharapkan suami membantu puan untuk mengurangkan tekanan itu.
Minta izin pada suami jika puan benar-benar tertekan untuk pulang sendirian ke rumah ibu bagi mencari ketenangan. Atau ke tempat yang puan rasa boleh mengurangkan stres. Dengan anak-anak pula, gunakan dendaan seperti puan akan bawa diri jika mereka degil atau tidak mahu melakukan tugas rumah. Percayalah mereka akan tercari-cari jika puan tiada. Teringat saya akan cerita “Batu Belah Batu Bertangkup”….. boleh gunakan ini jika anak tidak mendengar kata…..
Akhir sekali banyakkan solat, khususnya solat malam, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat agar puan dapat mengharungi kehidupan ini dengan tabah. Di samping itu, mendoakan agar suami mahu membantu puan melakukan kerja-kerja rumah. Jiwa akan jadi tenang jika banyak ingat Allah SWT.
Artikel: Puan Maimunah Muhamad, Kaunselor, juga penulis di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jujur dan setia adalah antara rahsia dalam rumah tangga yang wajib ada pada diri setiap pasangan. Ya, memang banyak faktor yang menyumbang kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Misalnya komunikasi, kewangan dan sebagainya. Namun, kenapa dua perkara ini sangat dipentingkan? Jom kita semak sama-sama.
Bila Jujur Pada Pasangan Tiada Prasangka
Dunia hari ini, ramai pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja mencari rezeki. Jadi, sebahagian besar masa dihabiskan di luar rumah iaitu di tempat kerja. Bagaimana kalau tidak jujur pada pasangan? Ia boleh membawa pertengkaran besar.
Misalnya dalam situasi ini. Isteri perlu bekerja di lebih masa dan perlu bekerjasama dengan raskan sekerja lelaki. Demi tidak mahu suami curiga, isteri ‘tipu sunat’ kononnya rakan sekerjanya wanita sehinggakan nama yang di’set’ di telefon bimbitnya juga nama wanita kerana tidak mahu suami marah jika perlu berhubung hingga malam hari.
Tak Jujur Konon Nak Jaga Hati Pasangan
Aduh, isteri dah silap langkah. Tentu saja suami akan lagi marah kalau dia dapat tahu sendiri dan pasti akan dituduh kita tidak jujur padanya. Apa salahnya jujur dari awal. Tentu suami tak marah tanpa alasan. Kalau boleh, kenalkan suami dengan rakan-rakan sekerja. Bila dah kenal, tentu suami rasa lebih yakin dengan bahawa kita takkan ‘curang’ di belakangnya. Atau ada rakan sekerja lelaki yang nak ‘try’ kita ni. Kalau ada juga, senang dia nak pergi ‘serang’ nanti.
Begitu juga kalau suami hendak keluar minum-minum dengan rakan sekerja lepas waktu pejabat. Bila isteri tanya, dikatanya hanya dengan rakan-rakan lelaki. Tapi bila ambil gambar da nada pula rakan ‘up’ di FB, rupanya ada rakan wanita, tentu isteri akan curiga. Hai..macam ada sesuatu sebab tu tak nak terus terang.
Moralnya, jujur saja. Tak perlu ‘bohong sunat’ dengan alasan nak jaga hati pasangan dan takut pasangan cemburu dan sebagainya.
Tak Jujur Buat Pasangan Curiga
Sedar tak sebenarnya, sikap kita yang tak jujur dengan pasangan yang buat pasangan kita akan sentiasa ada rasa curiga terhadap kita. Hingga kadangkala jadi cemburu buta. Sebab itu, jujur penting dalam perhubungan. Sepahit mana pun, kena sentiasa jujur. Menipu hanya membawa kemudaratan dalam perhubungan.
Tak dinafikan, pada zaman sekarang, bukan saja suami orang, isteri orang pun tak lepas digoda lelaki berhidung belang. Betul tak?
Mungkin ada (tak kira suami atau isteri) yang sekadar nak ‘test market’ saja dan melayan bila ada yang cuba menggoda. Tapi sebenarnya bermula daripada situlah banyak kes kecurangan berlaku. Daripada tak serius, sekadar suka-suka, akhirnya bertukar menjadi skandal.
Apabila kita sudah memiliki pasangan, kena letakkan sepenuh kesetiaan pada diri pasangan kita. Tepis tiap godaan mendatang dengan tegas dan jangan ‘bagi muka’ pada godaan tersebut.
Kena ingat, sekali kita tak setia pada pasangan, seumur hidup ia akan menghantui diri kita walau pun pasangan tidak tahu. Lebih teruk lagi jika pasangan tahu. Mungkin ada yang memilih jalan berpisah dan mungkin ada yang masih lagi memilih untuk bersama dalam perkahwinan atas sebab-sebab tertentu.
Tapi yang pasti, pasangan kita tidak akan lagi percaya pada kita seperti dulu. Memaafkan tak semudah dilafazkan di mulut ye…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki tetap lelaki. Baik macam mana kalau hati terpaling pada yang lain, pasti akan berlaku juga. Segala yang ada tak dipandang langsung. Terus hilang ketatan dan kebaiakn isteri selama ini.
Namun, tidak semua lelaki itu yang jahat itu tak boleh menjadi baik dan begitu juga sebaliknya. Wanita atau isteri janganlah terlalu bergantung harap seba kita tak tahu apa akan jadi pada akan datang. Sebabnya lelaki tetap lelaki.
Antara perkongsian daripada Marlia Ramli yang turut menasihati para wanita supaya tidak terus merayu pada lelaki yang sudah tidak setia, ekoran daripada kes suami curang yang viral di media sosial. Carilah harta sendiri dan pertahankan diri.
Sangat tertarik dengan kes yang berlakudalam Malaysia ini.
1. Artis lelaki yang kacak tapi kantoi curang telah ceraikan isteri. 2. Seorang pula ahli perniagaan yang meolak untuk azankan anak, biarkan isteri bersalin sendiri malah menuduh isteri sakit mental.
Lelaki baik itu wujud!
Lelaki baik yang berubah dan berpaling tadah juga wujud.
Di akhir zaman, terlalu banyak penyebab pasangan berubah:
Pergaulan dan godaan luar
Hasutan orang sekeliling
Tidak sefahaman dengan isteri
Kejahilan agama
Wanita perlu ingat satu perkara penting ini:
Lelaki hanya akan stay jika dia mahu stay. Jika dia tak mahu stay? Lambat atau cepat dia akan berlalu pergi.
TIDAK ADA SESIAPA PUN mampu menghalang mana-mana lelaki dari berlalu pergi. Berhenti merayu pada mana-mana lelaki.
Lelaki amat berkuasa. Mereka dilahirkan dengan nature suka bersaing, berlumba dan mengejar selagi tak dapat. Jiwa mereka keras. Mereka sukakan cabaran.
Bila usia semakin meningkat, wang semakin banyak – mereka akan auto kacak. Ketika inilah cabaran mula mendatangi.
Tak Perlu Merayu
Wanita?
Jangan ubah lelaki.
Tak perlu pertahankan lelaki.
Elak merayu mana-mana lelaki.
Mereka akan stay jika mereka mahu.
Mereka akan pergi jika mereka mahu.
Wanita ubah wanita.
Fokus cari ilmu dunia akhirat.
Perkasakan diri.
Belajar jana wang sendiri.
Kukuhkan ekonomi.
Miliki harta peribadi.
Punya rangkaian networking sendiri.
Semakin ramai kawan wanita, semakin kukuh empayar bisnes dan hidupnya.
Menjadi bijak dan berdikari adalah aset penting buat wanita hari ini. Terimalah fakta bahawa : kita tidak akan mampu mengawal seorang lelaki.
Tapi kita mampu menjaga hati sendiri. Mampu mempertahankan anak-anak sendiri.
Kerana LELAKI TETAP LELAKI.
Mingguan Wanita : Kadang-kadang tak tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki. Dah lengkap semuanya tapi masih mencari dan memandang yang lain.
Mak mentua sering kali menghadapi konflik dengan menantu perempuannya berbanding menantu lelaki. Entahlah, tiada jawapan pasti kenapa ia terjadi. Tapi mungkin kerana sama-sama perempuan, jadi ‘persaingan’ terjadi tanpa sedar!
Ramai yang menganggap puncanya daripada menantu yang berperangai macam ‘hantu’ sedangkan mungkin punca sebenarnya adalah daripada pihak mak mentua!
Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator, yang juga penulis ruangan Motivasi di dalam majalah Mingguan Wanita ada pesanan untuk mak-mak mentua.
Ego
Apabila kita menjadi mentua, sentiasalah ingat watak Nyonya Mansor dalam filem “Ibu Mentuaku”, dengan itu mudah-mudahan kita akan menjadi lebih baik.
Tiada siapa rasa sikap Nyonya Mansor itu baik, bukan? Ia adalah sikap yang amat kejam serta mempamerkan ego yang amat tinggi. Sewaktu menonton kita jadi menyampah dengan watak wanita kaya tetapi sampai hati itu. Dan rasanya setiap orang pernah menonton filem itu serta merasai perasaan yang sama.
Habis, mengapa kisah mentua-mentua zalim dalam dunia realiti masih ada sehingga kini? Mustahil setiap mentua zalim hari ini tidak pernah menonton filem berkenaan. Bukan setakat orang Melayu, orang India dan Cina pun sama meminati filem-filem lama P. Ramlee. Ia penuh sindiran serta bermotivasi tinggi terutama mereka yang mahu berfikir dan mencari pengajaran di sebalik setiap kisah yang diceritakan.
Ada banyak kesalahan mentua terhadap menantu. Kadang-kadang ia dilakukan dalam fikiran yang waras. Saya senaraikan tiga sahaja, sama-samalah kita elak supaya tidak menjadi Nyonya Mansor moden:
i. Membanding antara menantu
Yang bekerja kerajaan selalu dilayan baik, sedang yang bekerja swasta ala kadar saja. Padahal yang bekerja kerajaan itu pun tidak pernah memberikan duit belanja atau balik dengan buah tangan hingga penuh meja. Bila datang terus duduk di ruang tamu menonton TV dan mentua yang sibuk-sibuk di dapur. “Tak apalah, Liza tu penat bekerja agaknya. Hari cutilah dia nak berehat,” hujah hati sendiri.
Lagi besar pangkat menantu, lagi besarlah layanan yang diberikan oleh si emak mentua. Kadang-kadang tidur pun dipersilakan ke bilik, sedang menantu yang kerja biasa terpaksa bentang totto saja di ruang tamu. Menantu yang tidak bekerja, lagilah dilayan kurang daripada biasa.
ii. Mengkritik di belakang
Sesetengah mentua rajin bercerita keburukan menantu kepada orang lain, tanpa sedar cerita itu mungkin akan berbalik kepada menantu itu juga. Ingatlah, semua kritikan di belakang jarang terhenti pada satu telinga, selalunya ia berjangkit-jangkit.
Semua cerita belakang tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Menantu yang dikritik tidak akan tahu sikapnya tidak disenangi, lalu dia tidak akan berubah pun. Yang semakin sakit adalah si mentua itu tadi. Jika dibiarkan lama-lama akan menyebabkan berlaku gangguan psikologi.
iii. Mempengaruhi anak sendiri
Ini pun satu keburukan yang amat kerap dilakukan oleh para mentua. Tujuan asalnya baik iaitu hendak memberitahu anak tentang tak berkenannya terhadap sikap-sikap menantu tetapi hujungnya menjadi kesedapan. Tanpa dijangka kata-kata negatif itu akan mempengaruhi si anak terhadap isterinya. Jika dia anak emas, dia akan lebih cepat terpengaruh dan ini tidak baik untuk kehidupan berumah tangga si anak bagi jangka masa yang panjang.
Hati Rosak Sukar Diperbaiki
Elaklah daripada melakukan perkara-perkara berkenaan. Sekali hati telah rosak, susah hendak diperbaiki semula. Kalau hati sudah mula berprasangka keluarga besar yang bahagia mungkin hanyalah cerita sebab sukar direalisasikan lagi.
Ingatlah selalu cerita Ibu Mentuaku, moga-moga kita tidak menjadi sezalim itu. Perasaan ego yang terlampau adalah antara puncanya mengapa seseorang itu boleh bersikap teramat kejam.
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Barang siapa yang mempunyai (melakukan) kezaliman kepada saudaranya, hendaklah dia membebaskan dirinya daripada kezaliman tersebut (meminta maaf) kerana sesungguhnya (pada hari kiamat) dinar dan dirham tidak akan memberi manfaat sedikit pun, sebelum amalan kebaikannya diambil untuk saudaranya (bagi menebus kezaliman yang dilakukan). Jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, maka akan diambil kejahatan yang dimiliki saudaranya dan dilemparkan ke atasnya.” – (Riwayat Bukhari)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa mentua kepada personaliti media sosial Prince Syed ditahan polis selepas insiden serangan di Klang. Pempengaruh itu tampil menjelaskan isu pembedahan bariatrik isterinya, Fatin Syazwani.