Dalam saat-saat akhir sebelum tibanya Hari Raya, ramai mak ayah yang merebut peluang keluar membeli belah bersama anak-anak. Bila bawa anak-anak kecil membeli belah ni, faham-faham je lah mak ayah memang perlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan ragam dan kerenah mereka. Tak habis lagi, beli belah anak dah meragam buat perangai, sudahnya apa pun tak dapat dibeli.
Sebenarnya mak ayah kena faham, ada 6 perkara yang menjadi punca kenapa anak meragam ketika membeli belah.Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai panduan;
PERSEDIAAN SEBELUM ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH
Kelmarin di pusat membeli-belah,
“Mama, nak yang ni!” Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya. “Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan “Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”
Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.
Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.
Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya. Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.
Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak. Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak. Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.
Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,
2 PERKARA YANG PERLU DIINGAT:
1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.
Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi. Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.
“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”
Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.
Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?
APA YANG MENYEBABKAN ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH?
1. Tiada Persediaan
Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.
Ads
Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.
Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?
Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu. Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.
2. Letih Dan Lapar
Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.
“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”
Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.
Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.
Ini adalah salah satu punca anak meragam.
3. Tidak Selesa
Adakah ‘stroller’ anak anda selesa? Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika? Adakah anak terlampau letih berjalan? Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’? Adakah anak panas ataupun sejuk?
Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak. Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.
Ads
4. Sifat Ingin Tahu
Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.
Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.
Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
5. Stimulasi Berlebihan
Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.
Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.
Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.
Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.
Ads
6. Bosan
Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.
Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.
‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.
Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.
GANJARAN
Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.
Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.
Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang nak bawa anak-anak pergi membeli belah nanti,boleh jadikan tip ini sebagai panduan. OK!
Baru-baru ini, pelakon kecil molek berwajah comel Sari Yanti Dato’ Mohamad Nazari,33 atau lebih dikenali sebagai Sari Yanti ada memuat naik gambar lauk kegemarannya iaitu Lawa Kuinin didalam instagram. Punyalah sedap lauk Lawa Kuinin ni, sampaikan ibu kepada Barr Al Aliy,8 dan Basit Al-Haq,6 dan Dariya Inara, 2 bulan berkata dia boleh tambah nasi 8 kali!
Bagi yang mengikuti instagram Sari Yanti, pelakon ini membahasakan dirinya ‘kakak’ buat para pengikut kesayangannya.
Berikut antara perkongsian oleh isteri kepada Jep Sepahtu ini;
“Lauk (Lawa Kuinin) ni kakak boleh tambah nasi 8 kali.”
“Kisahnya hari tu waktu mantai ( sehari sebelum raya) dekat kampung mama buat lauk ni. Jadi waktu orang semua berbuka, kakak tak boleh lah berbuka sama kan.Sebab kena jaga baby, tambahan kakak memang tak puasa. Jadi memang biasanya kalau tak puasa kena makan kemudian.”
“Nak jadikan cerita ada lah mama buat lauk lawa kuinin ni.Kakak tengok lauk tu laju je jalan. Aduh debar-debar hati kakak takut lauk tu habis.Maklumlah kakak time tu baru habis pantang jadi teringat lah nak makan macam-macam. Kuinin pulak musim bukan sepanjang masa. Kalau sentiasa ada tak la kakak risau. kakak dok peteng (tenung/perati) je lauk tu dari tingkap. Sebab tengok cousin ipar kakak @enciksyafa yang baru belajar makan lauk tu memang suka betul. Dia letak lauk depan dia. Pastu dia makan je sampai habis.”
“Mama ternampak kakak macam risau terus cakap. Lawa kuinin tu ada lagi mama dah asingkan dalam almari lauk. Fuhhh .. lega.”
“Kakak harap post kakak yang ni @enciksyafa tak la tengok. Takut cousin kakak @farahidamazlan terpaksa pulak buat lawa kuinin memalam ni. Nak buat tu tak da masalah rasanya. Tapi kuinin tu mana tah nak cari.”
Menerusi perkongsian di ig story pula, Sari Yanti sudi berkongsi resipi Lawa Kuinin yang diminta oleh para pengikutnya.Mudah je rupanya nak buat lauk ni.
Bahan-Bahan:
Bawang Besar
Cili padi
Santan Segar/ Santan Kotak
Garam
Air panas
Cara Membuat:
1.Potong sedikit bawang besar.
2.Potong cili padi ikut tahap kepedasan masing-masing.
3.Masukkan garam dalam santan segar.Kalau tiada santan segar santan segar pun boleh.
4.Tambah sedikit air panas dalam santan.
5.Tambahkan kesemuanya didalam buah kuinin yang telah dipotong. Siap!
Menurut Sari Yanti, Lawa Kuinin ini tidak perlu dimasak, dihidangkan begitu saja dan cukup mudah disediakan. Boleh juga cuba Lawa Durian, Lawa Terung dan Lawa Jantung Pisang.
Tambahnya lagi, bagi Lawa Terung, terungnya perlu dibakar dahulu atas arang, diperah dengan sedikit limau dan letak sedikit ikan masin yang telah digoreng.Bagi Lawa Jantung pula, jantung pisang tersebut perlulah direbus terlebih dahulu. Namun bagi Sari Yanti, Lawa yang paling sedap adalah Lawa Bacang kerana ada rasa masam-masamnya.
Jadi buat mak-mak yang nak cuba lauk orang negeri sembilan ni, boleh lah cuba resipi lawa kuinin yang Sari Yanti kongsikan.
Baru 2 minggu berkahwin, rider grab meninggal dirempuh di persimpangan saat mencari rezeki buat keluarga. Innalillahiwainailahirojiun. Al-Fatihah untuk seorang penghantar makanan, dikenali sebagai Amin yang maut dirempuh di persimpangan lampu isyarat di Jalan Meru/ Jalan Haji Sirat petang tadi.
Apa yang lebih menyedihkan arwah Amin keluar mencari rezeki buat keluarga dan lebih menyedihkan dirinya baru saja mendirikan rumahtangga dua minggu lalu iaitu pada 9 September lalu.
Baru 2 Minggu Berkahwin
Dalam video yang tular di media sosial, arwah dikatakan sempat menoleh sesaat penunggang di sebelah dirempuh tatkala menunggu lampu bertukar hijau sebelum sesaat kemudian dirinya dirempuh oleh satu kenderaan lain (dari simpang sama) lalu meninggal di tempat kejadian akibat rempuhan kuat itu.
Dua motosikal dirempuh dua kereta yang memandu melulu dan mengakibatkan kematian pada rider grab.Rider menuntut penjelasan dan pembelaan atas kejadian menimpa sahabat mereka ini. Ia jelas satu kesilapan memandu melulu hingga membawa kematian.
Jika keluarganya diuji dengan kesedihan, nasib rider lalamove yang patah kedua belah kaki juga tidak kurang hebat kerana dia juga pencari rezeki dan isterinya dikatakan sarat mengandung.
Ekoran kemalangan maut itu, kebanyakan rider bersatu hati dan mahu isu ini dibela kerana jelas kelihatan kedua-dua penunggang tidak bersalah dan menjadi mangsa keadaan dalam situasi ini.
Dalam pada itu ahli keluarga rider grab yang meninggal, Emma Aynor berkongsi di fbnya, bahawa dia tidak sempat bertemu adiknya semasa berkahwin hinggalah ke hari ini kejadian tragis ini terjadi.
Arwah baru bernikah dua minggu lalu iaitu pada 9 hb September 2022Arwah meninggal di tempat kejadian akibat rempuhan itu
Kongsinya :- Angah tak dapat bersama masa hari Amin nikah. Rupanya memang tak ada rezeki untuk jumpa Amin lagi. Baru nikah 9/9/22 haritu. Arini Amin dah balik. Takziah buat seluruh keluarga Zuraidah Mohd SaidTajul ArifeinTajul ArifienCik Nanee NicoMohd Nordinzuhri ML. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan bersama hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal kira-kira jam 2.30 petang.
“Siasatan mendapati, persimpangan berkenaan mempunyai empat lorong yang mana dua lorong jalan terus dan dua lorong untuk membelok ke kanan.
“Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku apabila Nissan X-trail yang memandu di lorong kiri hendak membelok ke kanan.
“Namun, secara tiba-tiba kenderaan jenis sama di lorong kanan ingin jalan terus menyebabkan kedua-duanya terbabas yang mana Nissan X-trail yang berada di lorong kanan melanggar sebuah motosikal yang berada di arah bertentangan.
Sementara, Nissan X-trail yang berada di lorong kiri melanggar sebuah motosikal penghantar makanan dan kereta Proton Wira yang berada di arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran itu katanya, penghantar makanan iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
“Mayat dihantar ke HTAR bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan saringan Covid-19 diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu SUV masing-masing berusia 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318,” katanya.
JEANS BURUK JANGAN BUANG, SERTAI KELAS JAHITAN MW & EPAL
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dulu, Cherating Bay Resort adalah antara resort terbaik dan salah satu resort termurah di Cherating. Tempat penginapan yang menjadi pilihan sesiapa saja yang datang bercuti di Kuantan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, semakin hari nama resort ini makin lenyap dari sebutan pengunjungnya. Akhirnya terbiar begitu saja, boleh dikatakan terbiar ditutupi semak samun dengan struktur unit penginapan rosak.
Kini, resort yang cukup dikenali suatu waktu dulu telah berubah menjadi pondok pengajian agama warga emas.
“Saya bukan orang yang arif dalam agama, malah saya juga pernah lalai, tetapi saya ingin kembali ke jalan Allah dan bersyukur diberikan hidayah,” kata Ramli Nordin, 73, pemilik Cherating Bay Resort, sebuah resort bernilai hampir RM19 juta yang terbiar usang di Cherating.
Kini, sebahagian resort yang mempunyai 164 unit apartment itu dijadikan pondok agama khusus untuk golongan warga emas dikenali sebagai Pondok Warga Emas At-Tahwil yang diuruskan sejak tahun 2021.
Ramli berkata, resort yang diusahakannya lebih 20 tahun lalu itu akhirnya ‘gulung tikar’ pada 2018 disebabkan kegawatan ekonomi dan pertukaran polisi kerajaan.
“Sejak itu, resort ini terbiar sehingga menjadi semak samun, jadi apabila saya datang ke sini, saya mahu buat sesuatu supaya tempat ini boleh digunakan semula.
“Saya berbincang dengan keluarga dan rakan, jadi timbul idea untuk menjadikan sebahagian resort ini sebagai pondok agama untuk warga emas,” katanya.
Ramli berkata, dengan bantuan pelbagai pihak, pondok warga emas terbabit dapat dibangunkan, malah sudah beroperasi, selain dapat membina sebuah surau baharu bagi kegunaan penghuni pondok hasil sumbangan orang ramai.
“Impian saya supaya pondok ini dapat dibangunkan dengan sempurna, seterusnya menjadi pusat dakwah dan penyebaran maklumat mengenai Islam terutama kepada pelancong asing.
“Namun usaha itu terbantut kerana kami tidak mempunyai cukup dana untuk menampung kos baik pulih unit apartment yang rosak dengan anggaran kos sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 seunit,” katanya.
Sama-sama Membangunkan Pondok Agama
Sementara itu, Penyelaras Pondok At-Tahwil, Fatimah Awang Lah, 75, berkata pondok ini mula beroperasi pada Oktober 2021 dan kini mempunyai 12 penghuni termasuk ibu tunggal serta dua pasangan suami isteri.
“Selepas perbincangan dengan pemilik resort dan beberapa pihak lain, kami bersama-sama berusaha membangunkan pondok ini menerusi Pertubuhan Amal At-Tahwil.
“Pada peringkat awal, hanya tiga penghuni yang tinggal di pondok ini, namun kini kami sudah membaik pulih 10 unit apartment untuk kegunaan pondok.
“Terdapat 26 unit lagi perlu diperbaiki, namun usaha itu terbantut kerana tidak mempunyai dana mencukupi,” katanya ketika ditemui, di sini.
Fatimah berkata, aktiviti harian dilakukan di sini termasuk solat berjemaah setiap waktu, kuliah subuh setiap hari, kelas mengaji al-Quran, bacaan hadis dan kuliah untuk tiga kali seminggu.
Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan mahu menjadikan pondok ini sebagai perintis konsep pelancongan ibadah berikutan lokasinya terletak di kawasan pelancongan popular di negeri ini.
“Kami bercadang membaik pulih beberapa unit apartment untuk dijadikan ‘homestay’ khusus untuk pengunjung yang mahu datang bercuti sambil beribadah atau ahli keluarga penghuni yang datang menziarah.
“Sebagai contoh mereka datang sebuah keluarga termasuk ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah mereka boleh mengikuti pakej kursus agama yang kami sediakan, manakala ahli keluarga lain boleh berlibur di sekitar Cherating,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 556093276707 atas nama Pertubuhan Amal At-Tahwil atau hubungi di talian 017-3713022 (Fatimah Awang Lah) atau Pengerusi Pertubuhan, Ahmad Taufek Zakaria (011-58900193),
Mingguan Wanita : Usaha terbaik. Bukan setakat pondok agama tapi ada sebahagiannya dijadikan homestay untuk pengunjung untuk percutian islamik.
Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor merayu siasatan terperinci dijalankan berhubung tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa beliau. Ibunya, Rohani Saad, reda dengan ketentuan Ilahi namun mempersoalkan mengapa anaknya ditinggalkan di puncak gunung tanpa laporan polis atau bantuan segera.