Bukan boleh paksa pasangan kita bagi rapat dengan mentua, ipar dan biras kalau dia dah tak suka. Mesti ada sebab tertentu kalau dia tak boleh ngam.
Biasalah, bila dah ramai-ramai mesti ada bawa perangai masing-masing. Ada yang tak reti nak bercakap, ada yang terlalu pendiam, dan mungkin ada yang sibuk sibuk hal orang. Tetapi kalau positif, macam mana teruk pun tetap boleh duduk berbual bersama. Melainkan tetiba dia ada dengar cerita tak best dari belakang! Mulut ke mulut dan akhirnya jadi gosip panas.
Maka, mentua, ipar atau mahu pun biras mula lah tak sebulu. Sebab itulah kena pandai jaga perangai sendiri. Nah, untuk renungan bersama, baca perkongsian saudara Firdaus Shakirin dulu.
Paksa Pasangan Rapat Dengan Mentua, Ipar
Kita tak boleh paksa pasangan untuk rapat dengan mertua, dengan ipar dan dengan biras.
Ads
Kenapa?
Perasaan kita, apa yang kita nak rasa, adalah sesuatu yang kita tak boleh nak paksa. Ianya datang secara semula jadi, untuk rasa suka pada seseorang, untuk rasa benci pada seseorang, untuk rasa senang pada seseorang, untuk rasa kurang senang pada seseorang, semua itu adalah berdasarkan sikap dia dan cara dia bergaul kita.
Ads
Kadang-kadang kita boleh perasan yang pasangan kita kurang bergaul dengan ipar, kurang rapat dengan mertua dan kurang bersembang dengan biras. Bukan sebab dia tak suka dengan iparnya, birasnya atau mertuanya, tapi tiada titik persamaan antara mereka yang boleh membuatkan mereka rapat dan dapat bergaul seperti biasa.
Ads
Cara dan sikap kita juga berbeza.
Ada orang suka bercakap, ada orang yang hanya bercakap bila perlu, ada orang pula suka diam, ada orang suka bergurau, ada orang suka serius, ada orang yang langsung tak boleh bergurau, ada orang suka marah, ada orang susah nak marah. Untuk satukan dan bagi bergaul antara dua sikap dan cara manusia yang berbeza itu akan makan masa, mereka akan jadi rapat dan mudah bergaul dengan sendirinya bila mereka jumpa titik persamaan antara mereka.
Sebagai pasangan, jangan paksa mereka untuk rapat, jangan desak dia untuk bergaul, sebaliknya bagi ruang dan masa untuk dia buat semua tu secara semula jadi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesunguhnya dalam kehidupan ini tak semuanya dilalui dengan perkara yang indah-indah belaka. Adakalanya, sesuatu yang terjadi menguji kesabaran dan keimananan diri. Namun sebagai hambanya, percayalah apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, akan membuatkan kita sentiasa redha setiap yang berlaku dan aturan takdirnya. Sesungguhnya, Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan isteri yang suka melawan.
Bukan suka-suka Allah jodohkan kita dengan suami yang panas baran.
Bukan suka-suka Allah berikan kita anak yang degil dan nakal.
Bukan suka-suka Allah letakkan kita dalam keluarga yang tak kuat agama.
Bukan suka-suka Allah beri kita anak ramai.
Bukan suka-suka Allah langsung tidak beri anak pada kita.
Bukan suka-suka ALLAH beri kita pelbagai sakit..
Bukan suka-suka Allah aturkan kisah silam kita.. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa ‘tak banyak dosa” sangat. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin akan rasa “saya ni baik je”. Jika bukan kerana kisah silam itu, kita mungkin tak bersungguh-sungguh memohon ampun daripadaNYA.
Bukan suka-suka kita seorang je yang dapat hidayah.. Dengan hidayah yang kita dapat tu sebenarnya akan jadi asbab kebaikan untuk orang lain.
Hidup kita Allah yang atur. Isteri kita Allah yang punya. Suami kita juga milik Allah.. Anak-anak kita Allah yang punya. Duit kita Allah yang punya. Kesihatan kita Allah yang punya.
Jadi, jika kita kehilangan duit, suami, isteri anak atau kita sakit maka redhakanlah. Kerana semua itu bukan kita punya. Allah yang punya. DIA boleh bagi kita dan DIA boleh ambil balik daripada kita bila-bila masa saja. Namun usah lupa. Allah itu Maha Penyayang. DIA ambil sesuatu daripada kita sebab DIA nak bagi ‘sesuatu yang lebih besar’ untuk kita. Sesuatu yang sangat kita perlukan yang kita tak pernah tahu. Cuma Allah yang tahu. Bersangka baik dengan Allah perlu kita aplikasikan. Percayalah, apabila sentiasa bersangka baik dengan Allah, kita akan sentiasa redha.
Jadi, usah kecewa. Kita ada Allah. Kita minta pada Allah. Kita minta kekuatan pada Allah. Kita yakin dengan Allah. Kita redha dengan ketentuan Allah. Inshaa Allah akhirnya kita dapat menerima semua kelemahannya dengan hati terbuka. Tetapi, untuk mendapatkan hati terbuka itu, perlukan beberapa perlaksanaan. Antaranya solat malam! Inshaa Allah kekuatan itu kita akan perolehi.
Kita ada Allah! Dan Allah itu ada di mana-mana. Bukan hanya di Mekah dan Madinah sahaja., Jika di Mekah dan Madinah ada tempat-tempat mustajab, di tempat lain juga ada. Jika kita berpuasa, doa kita mustajab. Jika kita solat malam, doa kita mustajab.
Dan Allah telah menggariskan panduan, “Sabar dan Solat”!
Lakukanlah! Dan perlahan-lahan, akhirnya kita dapati Allah akan gantikan semula semua yang DIA ambil dari kita tapi berbeza-beza bentuk pemberiannya. Yang pasti, pemberian itu nyata lebih baik, lebih bagus dan lebih perlu.. InsyaaAllah.
~Allah tak jadikan sesuatu itu saja-saja dan suka-suka~
Pastinya ramai yang masih belum mengenali bakat baru yang lahir dari program realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia 2016 yang juga pemilik nama sebenar Isyariana Che Azmi, 28 atau lebih glamor dengan panggilan Riana. Penulis yang turut pertama kali bersua wajah dengan gadis kelahiran Pahang ini, begitu selesa dengan layanan baik yang diberikan oleh penyanyi dan pelakon yang wajahnya seiras dengan penyanyi terkenal Indonesia, Agnes Monica.
Walaupun rezekinya ketika menyertai AF2016 terkandas hanya setakat konsert minggu kelima namun Riana bersyukur sejurus selepas tamat program tersebut dia terus menerima tawaran berlakon.
“Semasa menyertai AF2016 memang saya agak terkilan kerana tidak dapat meneruskan persembahan kerana disingkirkan sebelum konsert kelima bermula. Namun segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya terus mendapat tawaran berlakon dari pengarah tersohor Michael Ang menerusi drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen. Kemudian drama Cik Serba Tahu dan selepas itu saya meneruskan perjuangan dalam seni apabila ditawarkan kursus menerusi Pak Nil, On Air Talent selama enam bulan.
“Saya sangat beruntung sewaktu mengikuti kelas bersama Pak Nil saya diajar menjadi seorang pengacara, pelakon dan penari. Dalam sibuk mengikuti kelas tersebut saya juga turut berlakon drama sehingga sekarang. Saya bersyukur kerana rezeki dalam seni tidak pernah putus.
“Dalam tempoh dua tahun berlakon saya telah bawa banyak karakter dan paling saya berjaya watak antagonis. Sememangnya tidak dinafikan menerusi watak jahat akan menyerlahkan lakonan seseorang pelakon. Namun saya sebenarnya gemar dengan watak berata yang memerlukan saya mengalirkan air mata. Saya ni sebenarnya jenis yang tak suka menangis tapi bila bab berlakon terutamanya watak wanita yang ditindas saya akan menangis semahunya. Malah menerusi watak sebegini saya cabar diri dengan menangis sepuas hati sehingga bengkak mata,” ungkap Riana yang kini lakonannya menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan sedang disiarkan di kaca TV.
Riana juga akui sememangnya fokus dalam sesuatu pekerjaan, contohnya apabila berlakon dia akan benar-benar menghayati watak yang diberikan dan akan menggunakan nama watak dan tak suka dipanggil nama sendiri sehingga penggambaran berakhir.
Seronok Bergandingan Dengan Artis Senior
Ditanya pelakon senior yang pernah bergandingan dengan dirinya, Riana terus tersenyum dan mengatakan semua pelakon yang digandingkan memberikan komitmen yang terbaik.
“Saya bersyukur kerana setiap kali bergandingan dengan mereka banyak ilmu yang diturunkan kepada saya. Antara artis senior yang pernah saya bergandingan, Kartina Aziz, Datuk Jalaluddin Hassan, Safura, Liza Abdullah dan ramai lagi. Selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan saya diberi peluang berlakon dalam telefilem yang berjudul, Izinkan Aku Menyayangimu. Dan saya juga bersyukur walaupun masih baru telah diberi peluang beraksi dalam filem, menerusi filem Warkah yang tamat penggambaran pada bulan Mei lalu,” akui Riana yang begitu meminati lakonan pelakon dari Turki Meryem Uzerli dan Ibu Fauziah Nawi.
Memandangkan baru dua tahun dalam industri, Riana menolak populariti bagi dirinya bakat diutamakan dan populariti itu jatuh nombor dua.
Menyentuh tentang perkahwinan, Riana menyatakan setakat ini masih belum ada jejaka yang menambat hatinya.
“Saya masih mencari dan mama pun tak paksa saya untuk berkahwin. Dari dulu sampai sekarang mama tak kisah dengan siapa pilihan saya. Malah jika jodoh saya ditakdirkan sesama artis, saya terima dengan reda,” akhiri Riana sambil tertawa.
Menyentuh tentang nyanyian pula, Riana akui dia sebenarnya mengutamakan nyanyian.
“Saya sebenarnya lebih mengutamakan nyanyian. Kalau ada rezeki untuk menghasilkan single baru insyaAllah saya mahu merancangnya betul-betul. Saya juga berharap dapat mengeluarkan single berentak balada. Saya mula menceburi dunia nyanyian sejak 2012. Malah, sempat menganggotai kumpulan duo, Hanarose, sekitar tahun 2014. Kumpulan itu dicetuskan oleh Cat Farish dan mendapat kerjasama syarikat Luncai Emas milik Datuk M Nasir. Sebelum serius menyanyi di Kuala Lumpur pada 2012, saya terlebih dulu mengasah bakat dengan menjayakan acara tertutup. Hanya selepas bertemu Cat Farish, saya kerap diundang menjadi penyanyi ganti gantian untuk kumpulan The Fabulous Cats, selama setahun.
“Dari situ, saya digabungkan dengan bekas peserta AF musim kesembilan, Nur Atiqah Shariffudin atau Eka Shariff, di bawah nama Hanarose. Kami muncul dengan single Girlfriend, selain beberapa lagu untuk filem. Antara runut bunyi yang kami nyanyikan ialah Deritaku untuk filem Selamat Pengantin Malam, Tiba Kini Waktunya bagi filem Coverina dan UFO filem Usin UFO 2016,” ujar Riana yang boleh menyanyikan semua genre lagu.
Memandangkan jarang dapat meluangkan masa di rumah kerana sibuk dengan jadual penggambaran Riana menerangkan apabila habis penggambaran dia gemar duduk sendirian di ruang tamu rumah.
“Pada saya masa untuk diri sendiri sangat penting. Apabila ada masa saya sangat suka bergelimpangan sambil berehat di ruang tamu. Inilah paling nikmat. Sebabnya saya jenis yang tak suka berjalan-jalan dan lebih gemar duduk di rumah.
“Jika ada masa luang lagi saya akan ajak mama temankan saya pergi ke pusat beli belah. Setiap hari saya akan berhubung menerusi telefon dengan mama. Walaupun jarang berjumpa namun kami sentiasa whatsapp mama setiap apa yang saya lakukan.
“Mama ibarat rakan baik saya dan saya akan biasanya bila bercuti kami tidak rancang dan akan plan hanya di saat-saat akhir. Jadi kami hanya akan bercuti di dalam negara sahaja,” terang Riana yang sangat manja dengan ibunya.
Anak sulung dari dua beradik ini juga menyatakan adik kesayangannya juga mengikuti jejak langkahnya mahu menjadi seorang penyanyi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Minatnya yang mendalam dalam melakukan aktiviti lasak bukan sekadar hanya angan-angan. Malah Siti Nadzirah Mohamad Hata, 29 juga telah menyenaraikan 100 tempat yang perlu dilawati sebelum ‘menutup mata’. Sangat meminati aktiviti lasak, melancong, mendaki bukit dan gunung. Setiap lokasi yang sudah dijejaki akan ditanda agar menjadi sumber motivasi kepada dirinya dalam mencapai impiannya itu.
“Aktiviti hiking memberi kepuasan kepada diri saya. Malah selepas berjaya mendaki bukit atau gunung pelbagai perkongsian tentang lokasi dan pemandangan memukau dapat saya coretkan di dalam blog saya. Tak hairanlah jika semua orang pun nak pergi hiking sekarang ni, semata-mata untuk nikmati sendiri panorama indah alam dengan mata kasar.
“Saya sangat bersyukur kerana antara 100 hajat yang saya impikan sudah beberapa tempat yang berjaya saya kunjungi. Antaranya impian untuk mendaki Banjaran Himalaya ‘Walking The Himalaya’ tercapai. Saya juga sudah ke Annapurna Base Camp, mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Berapi Tertinggi Indonesia, Puncak Indrapura di Gunung Kerinci, Gunung Berapi Tertinggi di Lombok dan Puncak Dewi Anjani (Gunung Rinjani),” ujar Siti Nadzirah membuka bicara.
Ditanya sewaktu menyenaraikan impiannya itu, adakah dia berasa impiannya itu tidak masuk akal? Lantas Siti Nadzirah terus tersenyum dan akui mencabar dirinya sendiri untuk memastikan impiannya itu direalisasi.
“Memang pada awalnya impian saya ini nampak macam tak logik. Tapi saya suka cabar diri saya sendiri. Dan tidak mahu hanya duduk di zon selesa. Saya berazam penuhi impian ini segera dan jadikan aktiviti riadah yang lasak bagi memenuhi masa lapang. Mereka yang mahu tanam azam seperti saya, cuma saya dapat nasihatkan jangan mudah berputus asa. Saya juga berharap saya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana supaya jangan takut untuk bermimpi dan berusaha sunguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” tambah Siti Nadzirah lagi.
Minat bermula selepas tamat belajar dan kemudian bekerja sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu. Selepas bekerja Siti Nadzirah mengumpul wang bagi merealisasikan impiannya itu.
“Rasa teringin nak cuba benda-benda baru yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Dengan aktiviti ini juga saya dapat mencari peluang pengalaman dan meluaskan pergaulan. Minat saya bermula selepas saya habis belajar, bila dah kerja saya kumpul duit untuk pergi melancong dan mendaki di dalam dan luar negara.
“Jika tidak melancong saya akan mendaki ke bukit atau berjongging di taman berdekatan dengan rumah. Dengan berjogging dapat menambahkan stamina dan dengan bermula mendaki bukit yang rendah juga dapat membantu menguatkan kecergasan badan,” ulas Siti Nadzirah.
Menerusi aktiviti mendaki juga wanita ini mampu menurukan berat badannya dari 70 kg kepada 64 kg. Malah Siti Nadzirah juga menerangkan dengan mendaki dia perlu tampil lebih cergas dan berstamina.
“Sewaktu mendaki sememangnya berat badan saya akan turun contohnya semasa berada di Nepal tekak saya tidak kena dengan makanan di sana. Jadi bila pulang memang berat badan saya akan berkurangan.
“Sebelum pergi mendaki ke gunung yang tinggi anda perlu mencuba gunung-gunung di dalam negara dulu. Sememangnya aktiviti sebegini sangat berbaloi kerana dapat menyihatkan badan. Malah badan akan lebih cergas selain dapat menikmati alam semulajadi, air terjun yang sangat cantik dengan pemandangan puncak gunung yang sangat indah. Lebih mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Pencipta. Saya juga berasa sangat kagum apabila dapat melihat gunung ganang dengan awam karpet dan paling seronok dapat tengok gunung berapi yang tengah meeldak dengan asap berkepul-kepul semasa saya di Gunung Bromo dan Gunung Kerinci,” terang Siti Nadzirah yang sangat gembira apabila dapat melancong dan mendaki ke gunung-gunung yang cantik di dunia ini.
Selain mengamalkan aktiviti kecergasan Siti Nadzirah juga mengamalkan pemakanan diet seimbang. Malah dia juga menasihati agar banyakkan meminum air masak.
“Ya sememangnya saya mengamalkan pengambilan makanan seimbang. Saya ambil segenggam nasi dan banyakkan karbo. Paling bagus sudah tentu banyakkan air masak untuk kekal hidrat dan kurangkan gula dalam makanan dan juga manisan.
“Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan seseorang itu mudah untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya,” akhiri Siti Nadzirah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!