“Saya tak tahu, isteri saya okay saja dengan saya. Saya memang tak tahu apa-apa,”Fikry Ibrahim.
Perkahwinan yang baru sahaja berusia beberapa bulan antara pelakon dan pengacara terkenal, Fikry Ibrahim dan isterinya, Siti Khalizah, kini sedang melalui fasa ujian. Tindakan Khalizah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis nyata mengejutkan ramai, termasuk Fikry sendiri.
Menurut laporan portal Gempak, Fikry, 31, mengakui langsung tidak mengetahui mengenai tindakan isterinya itu dan menyatakan hubungan mereka sebelum ini dalam keadaan baik.
“Saya tak tahu, isteri saya okay saja dengan saya. Saya memang tak tahu apa-apa,” katanya ringkas, mencerminkan kebingungan dan terkejut dengan situasi yang berlaku.
Surat Saman Telah Diserahkan
Namun begitu, menurut peguam mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib, surat saman telah diserahkan kepada Fikry beberapa hari sebelum prosiding bermula.
“Pihak kami telah serahkan surat saman kepada pihak defendan, dan dia sendiri yang menerimanya,” jelas Afiq ketika ditemui media di mahkamah.
Ads
Mahkamah turut memaklumkan bahawa sebutan pertama kes telah berlangsung, namun Fikry tidak hadir. Maka, satu tarikh baharu telah ditetapkan untuk membolehkan kedua-dua pihak mencari kata sepakat bagi tujuan perdamaian, iaitu pada 10 September 2025.
Dalam kenyataan lanjut, Afiq menjelaskan bahawa punca utama permohonan cerai adalah kerana tiada persefahaman antara pasangan tersebut. Namun, dalam perkembangan yang lebih positif, Khalizah tidak menutup ruang untuk berbincang dan berdamai.
“Khalizah memfailkan cerai sekitar Mei. Tapi buat masa ini, beliau masih mahu berbincang untuk berdamai, masih mahu beri ruang untuk pendamaian,” katanya.
Ads
Untuk rekod, pasangan ini telah mengejutkan ramai apabila mengumumkan mereka telah bernikah secara rahsia pada 12 Februari lalu, dalam sebuah majlis tertutup di masjid di Jitra, Kedah. Perkahwinan yang penuh misteri itu pada awalnya menjadi topik hangat kerana disorokkan daripada pengetahuan umum.
Namun, baru sahaja melangkah ke fasa awal perkahwinan, kini mereka sedang diuji dengan cabaran yang cukup besar. Semoga Fikry dan Khalizah menemui jalan terbaik, sama ada untuk kembali bersatu, atau berpisah secara baik jika itu takdirnya. Apa pun keputusannya nanti, semoga yang terbaik buat mereka berdua.
Info Tambahan:
Bila Isteri Boleh Failkan Perceraian?
Isteri boleh memfailkan cerai jika menghadapi salah satu atau lebih situasi berikut:
Tiada persefahaman / sering berlaku pertengkaran
Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin
Didera secara fizikal atau emosi
Suami menghilangkan diri atau tidak pulang ke rumah dalam tempoh lama
Suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami
Isteri tidak rela hidup dalam perkahwinan tersebut dan ada sebab kukuh
Jenis Permohonan Cerai Oleh Isteri
Cerai biasa (Talaq dengan persetujuan suami)
Isteri minta suami lafaz cerai di hadapan mahkamah.
Fasakh (Cerai melalui kuasa mahkamah)
Jika suami enggan menceraikan, isteri boleh mohon fasakh dengan bukti kukuh.
Khuluk (Tebus talaq)
Isteri minta cerai dan sanggup membayar pampasan (tebusan) kepada suami.
Cerai taklik
Jika suami melanggar lafaz taklik selepas akad nikah (seperti tidak beri nafkah 4 bulan berturut-turut), isteri boleh tuntut cerai berdasarkan taklik tersebut.
Niat nak bantu bekas isteri dan anak-anak, akhirnya rumah tangga bersama isteri baru musnah akibat digoda bekas isteri. Ikuti pengakuan lelaki ini.
Azri merupakan seorang duda beranak dua ketika berkahwin dengan Iza. Perkahwinan pertamanya bersama bekas isteri, Ayu, kandas di tengah jalan akibat masalah kewangan. Ketika itu perniagaan Azri belum kukuh, hutang sekeliling pinggang. Akhirnya mereka bercerai. Kedua anak tinggal bersama Ayu.
Empat tahun Azri bertungkus lumus membina perniagaan akhirnya syarikat pembinaan miliknya semakin stabil. Ketika itu juga Azri berjumpa dengan Iza, seorang wanita berusia awal 30-an. Dan masih bujang ketika itu. Seorang pensyarah di sebuah universiti. Selepas enam bulan berkenalan, mereka sepakat untuk melangsungkan perkahwinan.
Niat Ingin Bantu
Rumah tangga Azri dan Iza bahagia dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Azri pula masih berhubung baik dengan Ayu demi anak-anak. Nafkah anak-anak tidak pernah diabaikan. Ayu juga sudah berkahwin lain selepas setahun bercerai dengan Azri dahulu dan tinggal di Sabah bersama suami barunya. Anak-anak juga tinggal di sana.
Pada satu petang, Azri dihubungi oleh bekas isterinya. Rupa-rupanya Ayu sudah bercerai dengan suami barunya. Dia ingin kembali ke semenanjung bersama anak-anak. Azri yang bersusah payah carikan rumah sewa untuk Ayu dan anak-anak kerana tidak mahu anak-anaknya hidup susah. Azri juga carikan kerja baru untuk Ayu. Segalanya dilakukan di luar pengetahuan Iza kerana tidak mahu Iza cemburu. Azri pula rasa bertanggungjawab untuk membantu Ayu dan anak-anaknya itu. Tiada niat lain.
Ayu sering menghubungi Azri untuk meluah rasa. Rupanya bekas suami keduanya seorang kaki pukul. Bertahun dia memendam rasa. Nasib baik dengan anak-anak dia tidak naik tangan. Sebab itu mereka berpisah. Azri jatuh simpati pada Ayu dan sering menasihati Ayu untuk tabah dalam mengharungi cabaran.
Lama kelamaan hubungan mereka semakin mesra. Azri sudah tidak segan silu berkunjung ke rumah Ayu. Alasannya menjengok anak-anak. Azri terasa mereka seperti sebuah keluarga macan dahulu. Apatah lagi Ayu bijak mengambil hatinya dengan memasak pelbagai makanan kegemaran Ayu. Air tangan Iza pula tidak sehebat air tangan Ayu. Namun Azri cukup bijak menyembunyikan segalanya di luar pengetahuan Iza. Sudah pasti dia sayang pada isterinya itu. Namun, dengan Ayu juga rasa sayang yang dahulunya sudah hilang kembali berputik.
Akhirnya Terlanjur
Ayu pula semakin hari semakin menunjukkan sikap ingin kembali ke sisi Azri. Sengaja dia cuba menggoda Azri sehingga akhirnya mereka terlanjur. Azri menyesal kerana kesilapannya namun nasi sudah menjadi bubur. Ayu pula mula mendesak Azri untuk mengahwininya semula. Dia tidak ingin melepaskan Azri apatah lagi kini Azri sudah ada duit. Anak-anak turut dijadikan ‘senjata’ untuk memujuk Azri kembali ke sisinya.
Azri serba salah kerana dia tidak sanggup berterus terang dengan Iza yang teramat baik baginya. Dalam keadaan itu, rupa-rupanya Ayu telah bertindak di luar dugaan dengan pergi berjumpa Iza dah menceritakan keterlanjuran Azri dan dirinya. Sungguh kecewa Iza dengan sikap Azri yang telah berlaku curang padanya. Dia tidak dapat menerima hakikat Azri telah meniduri bekas isterinya!
Iza menuntut cerai. Walau pun puas dipujuk rayu oleh Azri, Iza tekad untuk keluar dari hidup Azri. Anak lelaki mereka dibawa bersama berpindah ke Melbourne apabila permohonan Iza untuk melanjutkan pelajaran di sana diterima.
Terbongkar Rahsia
Selepas itu barulah terbongkar rahsia apabila Azri terjumpa mesej Ayu kepada bekas suaminya. Rupanya selama ini bekas suami Ayu ingin kembali ke sisi Ayu namun Ayu menolak. Bahkan Ayu mengaku yang dia ingin berbaik semula dengan Azri kerana ingin hidup senang bersama Azri. Dalam WhatsApp itu juga Ayu mengaku yang dahulu dia silap meninggalkan Azri kerana tidak mahu hidup susah dengan Azri dan telah menjalinkan hubungan dengan bekas suaminya ketika masih bergelar isteri Azri.
Pendek kata, Ayu curang ketika masih bergelar isteri Azri. Bahkan dia mengadakan cerita yang bekas suami keduanya kaki pukul sedangkan dia tak sanggup hidup susah kerana perniagaan suaminya bankrap.
Tiada Niat Nak Kembali Bersama
Azri terpukul. Apakah wanita ini yang ingin kembali diambil sebagai isteri? Yang tidak sanggup susah senang bersama? Bagaimana sekiranya kelak bisnes Azri ditakdirkan ditimpa masalah lagi? Apakah Ayu akan meninggalkannya lagi? Azri menyesal kerana tergoda dengan Ayu namun dia tekad untuk tidak menerima kembali Ayu dalam hidupnya.
Setahun berlalu, Ayu masih merayu Azri untuk mengahwininya namun Azri tetap tutup hatinya untuk Ayu. Iza? Hilang tanpa khabar berita…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cahaya mata pelengkap rumah tangga. Tapi bila dah lama berumah tangga, rezeki mengandung tak juga lekat, bermacam emosi bermain dalam fikiran isteri mahupun suami. Semakin lama, semakin orang akan bertanya yang kadangkala buatkan hati pasangan jadi terluka.
Pengasas produk penjagaan wanita, Puan Noor Shafarina Safiee antara wanita yang diberikan ujian belum dikurniakan kehadiran cahaya mata selepas 4 tahun mendirikan rumah tangga. Bermacam ujian dialami, namun itu tak mematahkan hatinya. Beliau yang membahasakan dirinya kak Moly berkongsi kekuatan untuk wanita-wanita di luar sana yang senasib dengannya.
Actually ramai yang tak tahu kak Moly ni dah kahwin, nak masuk tahun ke 4 dah pun. Sebab kak Moly jarang kongsi gambar dengan suami (dia tak nak expose) kak Moly selalu share bab bisnes dan minat je. Yelah, nak share apa lagi kalau bukan minat macam gambar-gambar ni. Ni jela mampu kak Moly buat, sharing untuk inspirasi; share produk, share pasal kehidupan, share pasal makanan, paling best share kesukaanku PINK. Dekat wall sendiri tak salahkan, bergantung pada niat kita.
Dunia hari ni, orang yang tak suka pada kau akan cari point di mana kelemahan dan apa yang kau tak ada. Kak Moly tak ada “anak”. Tapi kak Moly bukan jenis yang sentap. Just nak share kat ampa lah kerenah sesetengah manusia ni. Bila orang nampak kita mewah selalunya akan keluar perkataan,
“Tengok tu, banyak duit. Kaya tapi tak ada anak.”
Bila kau salah sikit, orang akan cakap,
“Patut la tak ada anak..“
Bila kau hulurkan bantuan nak pegang anak orang waktu orang tengah makan, orang cakap,
“Beranak la sendiri. Sibuk nak pegang anak orang.”
Bila kau jumpa makcik bawang dia akan kata,
“Kesian suami kau, dah lama kahwin tak ada anak, nanti mesti dia cari lain.”
Even jual produk dalaman pun macam satu kesalahan, macam kak Moly keluarkan miss V perfume, ada yang cakap, “Kenapa tak spray banyak-banyak bagi lekat zuriat.” Seolah-olah rezeki anak tu ada kat produk, sedangkan produk apa sekalipun hanya penyebab dan usaha, yang nak beri hanyalah Allah.
Paling dahsyat bila orang tak puas hati pada kau. Dia akan hantar mesej maki hamun pasal anak. Seolah-olah kau tak layak ada anak.
Kak Moly bukan jenis sentap, bagi kak Moly Allah dah atur semuanya, even kita nak suap nasi pun Allah dah atur. Kalau bukan rezeki, makanan yang nak suap tu akan jatuh ke lantai. Kak Moly syukur sebab ada suami yang tak pernah guris hati dengan soal anak, keluarga yang tak pernah perli-perli atau paksa buat itu ini. Kawan-kawan yang sentiasa bagi sokongan dan tak pernah perli atau sakitkan hati.
Allah Tak Hukum; Tak Ada Anak Tak Layak Ke Syurga
Kak Moly ada bisnes, fokus dengan semua tu saja. Dapat bagi orang lain tambah income, dapat sara keluarga pun dah cukop buat diri rasa happy. Masa masih panjang, nenek umur 70 pun boleh beranak. Apatah lagi kita yang masih muda. Allah masih bagi masa, andai tak ada masa, kita tetap boleh masuk syurga walaupun tak ada anak. Allah tak ada hukum pun orang yang tak ada anak tak layak ke syurga.
Bagi anda yang senasib dengan kak Moly, jangan sentap. Letakkan diri kita sebagai hamba. Semua kat dunia, di langit dan di bumi adalah milik Allah. Kita tak perlu marah pin. Orang tanya kita senyum dan jawab belum ada rezeki. Apa yang kita usaha tak perlu ceritakan pada semua orang, kita jumpa doktor ke.. makan ubat ke.. itu ke ini ke tak payah bagitau.
Semua tu atas usaha kita, kalau Allah tak nak bagi tandanya belum rezeki. Kita jangan mengeluh nasib, sebab takdir kita kat dunia ni tak sama. Allah bagi kita rezeki dari macam bentuk, wang ringgit.. kesihatan, ketenangan.. tu pun dah cukup baik.
Ada orang yang lansung tak ada harta, tapi ada anak yang ramai. Itu rezeki. Ada orang yang ada harta dan ada anak. Itu rezeki dia juga. Ajar diri kita untuk bersyukur dengan apa yang Allah bagi. Orang sekeliling juga kena main peranan, jangan hina orang seperti kami. Allah bagi anda anak, anda patut bersyukur, anda patut mendoakan orang lain supaya di kurniakan rezeki anak juga. Moga kita sama-sama saling hormat menghormati. Jangan guris hati insan lain, sebab diri kita belum cukop sempurna dan memang tak akan sempurna.
Kak moly tulis bukan nak raih simpati sesiapa, hanya sekadar berkongsi.
Sumber/Foto: Noor Shafarina Safiee via Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Uniform Sang Saka Biru terus menjadi sebahagian dari kehidupannya sejak menyertai pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejak 21 tahun lalu. Satu ketika dahulu, sosok ini cukup aktif menjadi wakilan kontinjen negeri Perak untuk sukan bola jaring dan aktif dalam Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Perak Tengah selaku setiausaha PERKEP pada tahun 2006.
Usai selesai sesi taklimat di Balai Polis Parit, Perak Lans Koperal Siti Normaslinda Nordin memandu sendirian untuk pulang ke kediamannya yang terletak di Seri Iskandar salah satu bandar membangun di daerah Perak Tengah. Petang 13 Februari 2008, telah mencatat memori meruntun emosi dan menuntut kecekalan wanita kelahiran Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan untuk menerima perubahan dalam seluruh kehidupannya.
“Ketika itu saya bertugas di Balai Polis Parit, Perak. Jarak antara balai ke rumah sekitar 16 kilometer (km). Sehari sebelumnya saya baru pulang dari menyertai perlawanan bola jaring bawah seliaan PDRM di Univeristi Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Kepenatan dan mengantuk mungkin membuatkan saya kurang fokus kepada pemanduan.
“Selesai sesi taklimat sekitar jam 4.45 petang saya memandu sendirian untuk pulang ke rumah saya yang letaknya di bandar Seri Iskandar tak jauh dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar. Kenderaan yang saya pandu kemudian hilang kawalan, kereta saya kemudian menjunam ke dalam gaung. Impak dari kemalangan itu saya mengalami kecedaraan parah patah tulang belakang dan saraf tunjang hampir terputus. Akibatnya separuh dari badan saya bermula dari pusat ke bawah tiada deria rasa dan tidak berfungsi,”kongsinya mengimbau kenangan yang merubah kondisi kehidupannya.
Survival yang sukar
Kemurungan dan kesedihan menjadi sebahagian episod awal kehidupannya sebaik melalui proses permulihan pasca kemalangan. Pada mulanya, Normaslinda menyangka situasinya biasa-biasa sahaja dan dia boleh mengharunginya.
“Selaku seorang yang lincah dan aktif ke sana sini, pada mulanya saya cuba muhasabah diri dan yakin mampu melalui perubahan ini pada awalnya. Pada mulanya saya tidak ada rasa apa-apa pun, sebaliknya apabila suami membuat berita perkhabaran yang dimaklumkan dari doktor…saya rasakan dunia ini kosong dan murung.
“Menurut suami, doktor memaklumkan bahawa 99 peratus laporan menunjukkan saya tidak akan kembali berjalan. Hanya ada satu peratus sahaja peluang dan keajaiaban yang memungkinkan saya boleh berjalan semula. Semuanya masih normal bagi saya, hanya apabila saya kembali pulang ke rumah selepas cuti sakit selama lapan bulan, saya mula rasakan keterbatasan untuk bergerak. Saya perlukan bantuan orang untuk bergerak dan emosi saya berkecamuk apabila cuba menyesuaikan diri dengan fasa baru,”kongsinya menerusi e-mel.
Terima kasih suami
Rutin hidup Normaslinda dan suami awalnya membuatkan ahli keluarganya di Kelantan, mencadangkan supaya membuat pemohonan pindah bertugas ke Kelantan. Selaku anak yang peka dengan keprihatinan keluarga, Normaslinda menolak lembut permintaan keluarga. Alasan wanita ini lagi, susah senang biarlah dia dan suami harungi bersama. Sudah tiba masanya dia berdikari tanpa membebankan orang tua yang sudah lanjut usia.
“Saya kembali bekerja selepas cuti sakit selama lapan bulan. Sekitar awal tahun 2009, saya ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan belajar berdikari dan melakukan kerja sendiri tanpa bantuan orang lain. Alhamdulillah, kini saya mampu menguruskan perihal kerja dan urusan rumah tangga tanpa mengharapkan orang lain.
“Pada mulanya keluarag menggesa saya membuat pemohonan tukar balik bertugas di Kelantan, walau bagaimanapun setelah menetap di Seri Iskandar selama hmpir 20 tahun…kami sudah selesa dengan kehidupan di sini.
Pengasuh anak- anak pun cukup baik macam ahli keluarga kami sendiri. Saya juga enggan menyusahkan keluarga dan suami juga berpendapat yang sama.
“Susah senang biar sama-sama kita lalui. Saya juga bersyukur kerana majikan suami memahami dan memberi pelepasan kepadanya terutama apabila melibatkan urusan menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Boleh dikatakan dialah ayah dan dialah ibu, saya cukup berterima kasih kerana suami tidak pernah lelah membantu saya dalam menguruskan anak-anak. Dia tidak pernah mengeluh malah selalu ada disisi saya dan keluarga. Selain itu rasa terima kasih juga saya ucapkan kepada Ketua Balai Polis Seri Iskandar, Perak ; Inspektor Nawawi Halias kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada staf seperti saya,”zahirnya sebak.
Anugerah tak diduga
Ibu kepada tiga cahaya mata; Muhammad Azrin Hafizi (19), Nurul Ain Shahira (14) dan Muhammad Aieman Muhaimi (8) tidak dapat melupakan khabar mengujakan sebaik disahkan hamil putera bongsu mereka lapan tahun lalu. Suri kepada Azmi Ahmad, terkejut kerana sejarah kehamilannya yang sukar dan jarak usia kehamilan yang jauh membuatkan dia tidak terfikir bakal hamil lagi.
“Suami terkejut bercampur sebak sebaik mengethaui berita kehamilan saya. Saya sukar ‘lekat’ jadi jarak umur anak sememangnya jauh-jauh. Bukan merancang sebaliknya berikhtiar untuk hamil. Apa yang membuatkan hati ini tersentuh apabila suami memaklumkan, mungkin Allah hantar si bongsu ini buat menemani kami kelak memandangkan nanti abang dan kakaknya sudah dewasa.
“Saya bersalin secara pembedahan memandangkan doktor tidak pasti dengan kemampuan badan saya untuk melalui proses kelahiran normal. Untuk keselamatan ibu dan bayi saya disyorkan melakukan proses pembedahan. Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak hamil lagi kerana boleh mendatangkan risiko kepada saya,”kongsinya yang melahirkan anak bongsunya di Hospital USAINS Kubang Krian, Kelantan dan berterima kasih kepada doktor yang banyak melancarkan urusan kelahiran anaknya.
Tidak mahu membebankan orang tua dan suami ketika ketiadaannya ketika cuti berpantang, Normaslinda awal-awal lagi sudah bersedia dengan rencananya.
“Masa hendak bersalin saya awal-awal lagi mencari pembantu untuk mengurukan saya ketika berpantang di kampung. Saya bawa pembantu itu ke kampung supaya tidak membebankan orang tua saya. Anak-anak pula sepanjang saya di kampung, dijaga ayah mereka.
“Alhamdulillah, anak-anak kini membesar dan membahagiakan hati kami. Si sulung sedang mengikuti pengajian diploma untuk tahun keempat di sebuah kolej di Seri Iskandar, Perak. Anak kedua belajar di tingkatan dua manakala si bongsu sedang bersekolah di darjah dua.
“Jika tidak terikat dengan komitmen kerja saya akan melakukan kerjarumah sama seperti suri rumah lain. Memasak, mengemas dan membuat perniagaan tudung batuan kristal kecil-kecilan. Saya rasa tenang apabila nak keluar bekerja rumah yang ditinggalkan dalam keadaan sempurna dan bersih.
“Saya bersyukur berkerusi roda tidak membataskan saya menikmati kehidupan. Saya dikeliling teman-teman, keluarga dan keluarga mertua yang supportive dan memahami. Pada tahun 2009, ketika baru dinaikkan pangkat dari Lans Koperal ke Koperal saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Inilah yang dinamakan rezeki disebalik ujian. Allah beri anak dan anugerah dalam hati saya murung dan mencari kekuatan,”cerita wanita positif ini menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.