Baru-baru ini kisah wanita yang memiliki misai atau bulu yang lebat menjadi sensasi apabila ada yang dikecam netizen lelaki kerana kekurangan yang ada pada diri. Tengahari tadi Mingguan Wanita Talkshow turut membincangkan tentang masalah bulu dan bau.
Menghangatkan lagi rancangan ini, salah seorang jemputan yang dikenali warganet sebagai guru cantik iaitu Nur Sara Khan juga mempunyai masalah yang serupa.
Wanita ini akui dia mengalami dilemma sejak berusia 14 tahun.
“Seawal umur 14 tahun saya tak selesa dengan keadaan ada bulu di kaki. Apa yang berlaku pada saya bukan normal macam kawan-kawan yang lain. Tapi disebabkan saya bersekolah menengah perempuan jadi hal ini bukanlah satu masalah besar,” ujar Nur Sara yang akui bulu yang tumbuh di kaki dan wajahnya semakin lebat selepas beberapa tahun dia mengalami haid yang pertama.
Nur Sara juga bersykur kerana dikurniakan kulit wajah yang agak cerah oleh itu bulu roma di wajah kurang kelihatan.
“Memandangkan kulit saya agak cerah berbanding yang lain jadi bulu roma di wajah kurang kelihatan. Bila ada bulu di tangan saya jadi tak selesa. Lagi-lagi saya cikgu, saya mengajar,” luahnya.
Guna Kapur dan Limau Buang Bulu Kaki
Sebagai seorang pengamal pembuang bulu roma sejak zaman remaja, Nur Sara memberitahu dia menggunakan petua tradisional untuk membuang bulu roma.
“Saya gunakan kapur dan limau kemudian sapu pada bulu kaki. Bila dah kering cabut saja. Dan cara ini memang berkesan untuk menghilangkan bulu kaki.
“Saya selesa buat proses waxing sendiri. Pelbagai cara saya pernah gunakan seperti mencukur, mencabut dan menggunakan krim, namun saya selesa dengan proses waxing. Menerusi rawatan ini dalam masa seminggu atau dua barulah akan tumbuh bulu semula. Cuma saya nak nasihat selepas buat waxing jangan terus mandi laut atau swimming pool dalam tempoh 48 jam.
“Pada awalnya sewaktu baru-baru belajar cara waxing agak kekok kini saya tahu kebaikannya. Rawatan ini bagus kerana memudahkan atau melancarkan peredaran darah dalam badan kita,” ungkap Nur Sara yang akui apabila kerap lakukan waxing akan menjadikan penubuhan bulu lebih kemas dan halus.
Nur Sara juga berkongsi sebelum melakukan proses waxing perlulah skrub terlebih dahulu bahagian badan yang hendak dirawat, Kemudian bersihkan dan panaskan sedikit kawasan tersebut. Tampal dengan plaster atau kain kemudian tarik plaster atau kain banyak kali juga untuk elakkan tersumbat,” kongsi Nur Sara.
Bagi anda yang ingin mendapatkan lebih tip bolehlah ikuti ulangan program Mingguan Wanita yang bersiaran di Astro Prima dan Astro Prima HD pada jam 8 malam ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI