Keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini memberi kesan terhadap kehidupan manusia sehari-hari. Antara kejadian yang tidak diingini berlaku termasuklah masalah pokok tumbang sehingga mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
Terbaharu, seorang maut, manakala penunggang motosikal cedera dalam kejadian pokok tumbang di Lembah Jaya Utara semalam.
“Saya tahu Abi kemalangan”…
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 3.51 petang semalam. Katanya, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Avanza dan motosikal jenis Yamaha 135LC.
Radin Abd Khalim Radin Mahfudz, 64, merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza yang maut akibat dihempap pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara.
Ads
Menurut anak kepada mangsa kejadian tersebut, Radin Muhd Nur Amri Radin Abd Khalim, 33 memang menjadi rutin bapanya menghantar adik ke Hospital Ampang untuk dialisis.
“Memang rutin Abi setiap minggu akan hantar adik dialisis di Hospital Ampang dan kebetulan dia keluar untuk jumpa kawan sebelum kejadian pokok tumbang,” katanya.
Ads
“Mungkin nak dijadikan cerita, waktu menunggu agak lama jadi dia pergi untuk berjumpa dengan rakan, tak sangka Abi terlibat pula dengan kemalangan,” katanya.
Ads
“Saya tahu Abi terlibat kemalangan daripada adik saya, dia telefon cakap Abi terlibat kemalangan, saya ingatkan kemalangan babitkan kenderaan rupanya dihempap pokok tumbang.
“Mak saya juga telefon suruh datang sini (Hospital Ampang). Mak nampak sedih, tapi dalam hal ini dia tetap nampak kuat,” katanya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian membabitkan dua lelaki tempatan berusia 64 dan 23 tahun itu pada pukul 3.51 petang semalam.
Menurut beliau, pemandu kenderaan jenis pelbagai guna Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Ampang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pegawai kanan polis yang terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh kelmarin akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh esok.
Pejabat Peguam Negara melalui kenyataan berkata, suspek yang berusia 44 tahun itu akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Jabatan Peguam Negara merujuk kes kemalangan jalan raya berlaku Khamis lalu berhampiran dengan SMK Jati antara sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal yang menyebabkan kematian pelajar berusia 17 tahun.
“Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan dikemukakan dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap saspek,” katanya.
Pejabat Peguam negara berkata, saspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan perbicaraan.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh.
Kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.
Pada hari sama, pegawai kanan polis ditahan selepas terbabit dalam kejadian itu, dengan hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematiannya adalah kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Yahaya Hassan berkata pegawai polis itu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Sementara itu, keluarga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut akibat dilanggar pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru sudah melantik peguam bagi menuntut pembelaan atas kematian mangsa.
Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, berkata, ahli keluarga bersetuju melantik peguam dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi memastikan kematian anaknya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, mendapat pembelaan selayaknya.
Sementara itu, peguam dari HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya akan mewakili keluarga Allahyarham Zaharif untuk melihat dua perkara utama iaitu ketelusan proses siasatan polis di pihak keluarga, serta tindakan perundangan sivil yang boleh dikenakan terhadap pelaku kes itu bahkan terhadap kerajaan Malaysia.
“Serta apa yang diminta oleh pihak kami ialah pampasan yang berkait dengan tindakan sivil susulan kematian arwah, supaya kami dapat memastikan pampasan sewajarnya diberikan kepada keluarga arwah,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata kes kematian pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain sudut lain termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber:www.bharian.com.my/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita paling ‘tak rajin’ mengisi minyak selepas menggunakan kenderaan? Satu kenyataan yang penulis sendiri tidak sangkalkan kerana penulis juga antara individu yang ‘tidak rajin’ mengisi minyak selepas menggunakan kenderaan.
Mungkin itu antara faktor mengapa kenderaan EV atau kenderaan elektrik sebagai alternatif terbaik untuk wanita kerana pengecasan boleh dilakukan di rumah dengan menggunakan alat pengecasan yang bersesuaian dengan kenderaan EV yang dimiliki. Satu alternatif terbaik untuk wanita kan!
Bila menyebut tentang kenderaan elektrik, masih ramai di kalangan wanita yang mempunyai pandangan yang semborono mengenai kenderaan tersebut. Kurangnya ilmu dan keinginan untuk mengambil tahu mengenai kebaikan kenderaan elektrik (EV) membuatkan keterujaan memiliki kenderaan tersebut tidak begitu mendalam di kalangan wanita.
Penulis sendiri pun pada awalnya kurang mengambil tahu mengenai kenderaan EV ini sehinggalah diberi peluang mengikuti program ‘ZEVA East Coast Media Roadtrip’ yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan beberapa jenama atau model kenderaan EV yang sudah berada di pasaran Malaysia.
Jelajah selama dua hari itu membuka mata penulis mengenai kenderaan EV yang menawarkan pelbagai keistimewaan bukan sahaja untuk kelestarian alam sekitar, malah turut merangkumi aspek keselamatan khususnya untuk kaum wanita yang ‘malas’ untuk mengisi minyak di stesen minyak serta lebih efisien dan menawarkan pelbagai ciri-ciri tenaga baharu dan mesra alam.
Penulis amat tertarik dengan perjalanan memandu kenderaan EV anjuran Persatuan Kenderaan Bebas Pemisi (ZEVA). Ia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan persatuan pertama di Malaysia yang mengumpulkan semua pihak berkepentingan seiring untuk menyokong ekosistem pengangkutan yang bersih melalui penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).
ZEVA mengetengahkan misi untuk menggalakkan penggunaan EV bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada sistem pengangkutan lebih mampan.
Media di bawa mencuba pelbagai jenama EV yang terdapat di pasaran ke pantai timur untuk menguji prestasi kenderaan, bahkan berpeluang melihat sendiri kemudahan pengecasan yang terdapat di sepanjang laluan.
Singgahan pertama perjalanan media kali ini membawa kami ke kawasan Rehat dan Rawat Gambang, di mana terdapat satu stesen pengecasan EV yang terletak di stesen Petronas dibawah selenggaraan Gentari yang menawarkan pengecasan aliran terus (DC). Penulis yang diberi peluang memandu Audi Q8 e-tron tidak melepaskan peluang megecas kenderaan tersebut yang memerlukan masa pengecasan selama 30 minit untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Terdapat hampir 300 pengecas di seluruh negara dan ia menyasarkan 400 unit pada hujung tahun ini. Untuk memudahkan pengguna menggunakan pengecas ini, ia boleh diakses menerusi aplikasi Setel JomCharge dan chargEV pada kadar berpatutan iaitu RM2.20 setiap minit.
Perjalanan kami diteruskan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menuju Kawasan Rehat dan Rawat, Paka Arah Utara di mana terdapat pengecas TNB Electron yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad.
Pengecas DC 180kW (90kw setiap satu) disediakan di sini di mana ia boleh ditempah menggunakan aplikasi GO TO-U dengan kadar sekitar RM2.05 sehingga RM2.35 seminit.
Sehingga kini, pihak TNB Electron sudah beroperasi di tiga lokasi strategik iaitu Paka, Kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya PLUS, Tapah arah Utara dan Ayer Keroh Arah Utara. Dalam waktu yang sama, TNB Electron sedang dalam perancangan untuk menambah enam lokasi untuk menggalakan lagi penggunaan kenderaan EV di Malaysia.
Perjalanan konvoi media dari Paka diteruskan pula ke Indera Mahkota, Kuantan untuk meninjau satu lagi pengecasan EV yang disediakan oleh Yinson Greentech yang terletak di kawasan strategik di situ. Mana tidaknya, pengecasan EV yang mudah untuk dikendalikan ini amat bersesuaian dengan gaya hidup wanita masa kini yang mementingkan praktikal dan memudahkan tanpa memberi kompromi terhadap aspek keselamatan.
Sepanjang dua hari kembara ke Pantai Timur, penulis berpeluang memandu kenderaan EV Audi Q8 e-tron dengan kapasiti sehingga 114 kWh (kasar). Julat maksimum kenderaan ini sehingga 582 kilometer. Jika tahap bateri rendah, anda boleh mengaktifkan mod julat dalam MMI untuk meningkatkan potensi julat.
Penulis juga berpeluang memandu kenderaan EV jenama Renault ZOE serta smart#1 di mana ketiga-tiga kenderaan EV ini memberi cara pemanduan yang berbeza tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan dan pemanduan yang efisien khususnya untuk wanita yang memandu secara berhemah dan mementingkan satu perjalanan jarak jauh yang lancar.
Model-model EV yang terbabit ialah BYD Atto 3, Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Kia, Audi Q8 E-Tron, Kia EV6, Renault Zoe, smart#1 dan Neta V.
Khusus buat wanita yang perlukan bantuan untuk membuat pertimbangan sebelum membeli kereta elektrik, Mingguan Wanita senarai 5 kelebihan EV berbanding kereta biasa.
1. Penjimatan kos penyelenggaraan
Tidak seperti kenderaan biasa, pemilik EV boleh menjimatkan perbelanjaan mereka kereta kereta itu tidak perlu diselenggara secara berkala. Kenderaan EV boleh berfungsi dengan baik tanpa perlu menukar komponen kereta, menyalin minyak enjin dan minyak gear. Kenderaan EV hanya dinasihatkan untuk membawa kereta mereka ke pusat pemeriksaan di setiap 15 ribu kilometer (km) perjalanan.
2. Tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak
Hanya bergantung kepada cas elektrik dan kapasiti bateri, pemilik EV langsung tidak perlu runsing akan masalah kenaikan harga minyak dunia. Stesen pengecasan juga banyak dibangunkan di sekitar Malaysia khusus untuk pemilik kenderaan EV seperti di pusat beli belah.
3. Tidak perlu membayar cukai jalan
Pemilik kenderaan EV diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk tidak membayar cukai jalan sehingga dua tahun akan datang (2025). Hanya dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pengguna juga tidak tertakluk pada cukai import sehingga tahun 2025. Pemilik kereta elektrik yang dipasang di Malaysia seperti Volvo XC 40 juga tidak perlu membayar duti eksais dan SST.
4. Tiada pencemaran alam sekitar
Tidak menggunakan enjin untuk bergerak, kereta elektrik langsung tidak mengeluarkan asap dan juga gas berbahaya seperti karbon dioksida. Ketiadaan enjin juga membenarkan kenderaan ini untuk bergerak lancar dan senyap tanpa mengakibatkan pencemaran bunyi pada alam sekitar.
5. Boleh menjana kuasa elektrik
Kereta elektrik yang berada di pasaran umumnya dilengkapi dengan soket yang mampu menjana kuasa elektrik bagi kegunaan pemilik. Selain mengecas telefon bimbit, kuasa elektrik yang dibekalkan soket kereta elektrik ini dikatakan cukup buat menghidupkan peralatan rumah seperti pemanas air.
Secara keseluruhan, penulis dapat merasai sendiri perjalanan menggunakan kenderaan EV merupakan satu pengalaman yang menarik dan pemanduan yang lancar tanpa sebarang masalah meskipun pada awalnya penulis terfikir juga sekiranya bateri kenderaan EV tidak dapat bertahan sehingga ke destinasi yang dituju.
Tetapi apabila melihat kemudahan pengecasan yang semakin banyak disediakan, ia memberi keyakinan untuk penulis menikmati perjalanan dengan lebih lancar di samping menjaga kelestarian alam sekitar.
Kesimpulannya, memiliki kenderaan EV merupakan salah satu usaha kecil penulis memelihara alam sekitar. Mungkin ia satu petanda untuk penulis memilih kenderaan EV untuk kegunaan harian, satu persoalan yang boleh difikir-fikirkan sewjarnya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jenama tudung terkenal Ariani menyerahkan sumbangan tabung bencana RM30,000 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) pada program Ariani Hijab Run yang diadakan di hadapan House of Ariani, hujung minggu lalu.
Menurut Pengarah Pemasaran Ariani Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip berkata, sumbangan itu sebahagian daripada usaha pihaknya dalam memberi sokongan kepada komuniti di saat memerlukan.
“Ini sebagai tanggungjawab sosial korporat Ariani. Memahami betapa runcingnya bencana yang sering melanda negara terutama pada hujung tahun, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam memberi sokongan kepada komuniti di saat memerlukan serta menyokong usaha penuh BSMM yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam membantu mangsa bencana dan misi bantuan kemanusiaan.
“Saya bersyukur atas kejayaan program ini dan mengucapkan terima kasih kepada komuniti serta pelanggan setia kami. Saya berharap agar acara larian seperti ini dapat menjadi tradisi bagi Ariani dalam mendorong gaya hidup sihat dalam kalangan wanita di negara kita,” katanya.
Sumbangan itu diserahkan kepada Setiausaha Kehormat Kebangsaan BSMM, Hakim Hamzah oleh Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Faroz Mohamed Jakel.
Mengenai Ariani Hijab Run 2023, ia adalah penganjuran kali kedua selepas tujuh tahun sejak edisi pertamanya pada 2016. Acara itu mendapat sambutan hangat dengan penyertaan 3,200 peserta, yang majoritinya adalah wanita dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Menariknya, larian ‘Fun Run’ sejauh 3.5 kilometer (km) dan 6km itu turut disertai tiga selebriti yang juga duta Ariani iaitu Datin Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad.
Bella berkata, acara kali ini tidak hanya tertumpu pada larian semata-mata.
“Ariani Hijab Run juga diserikan dengan karnival mini yang penuh dengan pelbagai aktiviti menarik dan permainan khusus untuk kanak-kanak dan aktiviti keluarga, seperti menangkap ikan, yang menjadi daya tarikan bagi ibu bapa membawa anak-anak mereka.
“Suasana di perkarangan House of Ariani meriah dengan siri aktiviti yang dijalankan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, serta pelbagai gerai jualan makanan dan minuman, menambahkan lagi keceriaan acara,” katanya.
Pada masa sama, Ariani turut memperkenalkan koleksi pakaian sukan dan tudung terbaharu di bawah label Ariani Fit, khusus untuk wanita moden Muslimah yang dilancarkan pada 3 Disember lalu.
Ariani Hijab Run 2023 turut mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai jenama ternama termasuk Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), KPJ Ampang Puteri, POKKA, Daia, Habib, Gleneagles Hospital, Move Fitness, Good Virtues Co, Chomel, Bonda Haven, Kina Cosmetics, dan Fazs Faozi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.