Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Antara Miskin Dan Malas
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Terkecuali
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Ads
Pemalas
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Duduk Saja
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Malas Dunia Akhirat
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Ads
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Langkah MAIPs Menentang Hantu Malas
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Akur
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Ads
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Jihad Menentang Kemalasan
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Istana Syarqiyyah tersergam indah di bumi Terengganu, laksana latar sebuah filem epik. Kagum sungguh bila melihat seni bina istana yang terletak di Terengganu ini.
Memukau mata yang memandang, wow! sangat-sangat cantik dan mengkagumkan, seni bina Istana Syarqiyyah ibarat latar sebuah filem epik.
Istana Syarqiyyah Tersergam Indah
Istana Syarqiyyah merupakan istana yang terletak di Bukit Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu. Istana ini merupakan istana utama baginda sultan dan segala majlis rasmi berlangsung di istana berkenaan. Di dalam kawasan istana ini juga terletak kediaman utama Istana Tuanku buat baginda sultan dan keluarga.
Seperti mana dipetik menerusi portal The Vocket, sebelum 4 Julai 2013, istana ini dikenali sebagai Kompleks Istana Bukit Chendering. Kemudian, nama baru iaitu Istana Syarqiyyah yang mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah diumumkan oleh Menteri Besar pada waktu itu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Istana Syarqiyyah membawa maksud ‘Permata Timur’.
Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan mengisytiharkan permasyhuran istana baharu di Bukit Cendering, Kuala Terengganu, dengan nama Istana Syarqiyyah.
Baginda juga bertitah demikian menerusi surat watikah yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di dalam Majlis Pemasyhuran Nama dan Istiadat Menaikkan Bendera di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu pada 4 Julai 2013.
‘Permata Timur’
Terbaru menerusi ciapan dari Twitter arfdy12, berkongsi tentang istana yang tersegam indah di bumi Terengganu itu yang membawa maksud ‘Permata Timur’
“Istana Syarqiyyah yang tersergam indah dibumi Terengganu ini telah mula dibina sejak tahun 2006 lagi. Syarqiyyah yang membawa maksud ‘Permata Timur’ telah pun siap dibina sepenuhnya pada tahun 2014 oleh arkitek Bill Bensley.”
“Istana yang terletak di Bukit Chendering, Kuala Terengganu ini merupakan istana utama baginda Sultan jadi tidak hairanlah jika segala majlis rasmi akan diadakan di istana berkenaan.
“Di dalam kawasan istana ini jugak terletak kediaman utama buat baginda Sultan bersama keluarganya. Selain mempunyai 100 buah bilik yang mempunyai rekabentuk yang berlainan setiap satunya, istana ini juga mempunyai sebuah banquet hall.
Tersergam indah laksana latar sebuah filem epik, Istana Syarqiyyah telah diabadikan dalam sebuah filem pendek di akaun Bill Bensley,” ciap arfdy12.
Istana Syarqiyyah yang tersergam indah dibumi Terengganu ini telah mula dibina sejak tahun 2006 lagi. Syarqiyyah yang membawa maksud ‘Permata Timur’ telah pun siap dibina sepenuhnya pada tahun 2014 oleh arkitek Bill Bensley. https://t.co/BlnMxAJXBBpic.twitter.com/SxDGz1DFEU
Untuk rekod Bill Bensley merupakan bekas graduan Universiti Harvard yang telah memulakan syarikat rekabentuk senibina di Bangkok, Thailand pada tahun 1989. Beliau telah terlibat dengan lebih 180 hartanah di 30 buah negara terutama yang melibatkan rekaan mewah dan eksotik.
Time Magazine telah menggelar beliau sebagai “the king of exotic luxury resorts” dan menamakannya sebagai 5 orang terbaik di dunia bagi pereka seni bina. Fast Company pula menyatakan Bensley sebagai salah seorang yang paling kreatif di dunia di dalam senarai 100 orang terbaik. Dia turut dinamakan di dalam senarai eksklusif Architectural Digest untuk top arkitek dan pereka.
Bekas suami minta maaf burukkan nama Ebit Lew, tuduh ustaz buat konten tak benar. Akui fikiran celaru. Sejak semalam kecoh perihal kisah ibu muda, Amy yang sebelum ini meraih perhatian ramai apabila menerima sebuah motosikal Y15 dari Ustaz Ebit Lew.
Simpati atas nasib dirinya yang perlu berjalan kaki membuat penghantaran makanan dan masa yang sama perlu menjaga seorang anak kecil berusia setahun membuatkan Ustaz menghadiahkan sebuah motosikal untuknya agar mudah mencari rezeki di kotaraya yang mencabar ini.
Bekas Suami Minta Maaf Burukkan Nama Ebit Lew
Dalam pada Amy menangis menerima motosikal itu, seorang individu Fakhrul Rosli yang juga suaminya namun sudah tinggal berasingan ketika itu memaklumkan bahawa mereka masih lagi belum bercerai (sah mulai semalam) selepas diputuskan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selain memaklumkan Ustaz Ebit Lew hanya membuat konten tidak benar mengenai pemberian motosikal berkenaan.
Kisah Amy yang menerima motosikal Y15 meraih perhatian selepas aksinya menangis tanda bersyukur. Dan baru semalam ibu muda ini sah berceraiPerkongsian tulisan bekas suaminya di sebelum ini menimbulkan tanda tanda sehinggalah semalam hubungan mereka diputuskan mahkamah
Nyata ia boleh menimbulkan salah faham kepada orang ramai yang selama ini melihat Ustaz Ebit Lew melalui Pertubuhan Kasih Umat Malaysia sentiasa membantu orang ramai yang diuji dengan kesusahan hidup.
Tak perlu isi borang atau perlu melalui temuduga, apa saja kisah orang susah di media sosial, Ustaz dan team akan datang membantu secepatnya dan memberikan kehidupan yang lebih baik buat mereka yang diduga itu.
Namun kesan akibat membuat naik kenyataan tidak tepat ni membuatkan ramai mula meragui pemberian Ustaz. Namun benarlah Allah sentiasa bersama orang yang benar dan sabar.
Selepas isu itu berlegar di media sosial, Fakhrul Rosli ada memuat naik kenyataan meminta maaf kepada Ustaz Ebit Lew dan mengakui fikirannya bercelaru memandangkan ujian dalam rumahtangga yang dilaluinya.
“Saya mohon maaf atas apa yang saya katakan berkenaan tuduhan ‘ustaz Ebit Lew hanya membuat konten sahaja adalah tidak benar’ dan tidak sengaja sama sekali.
“Wallahu, saya sendiri pun tidak tahu dan merendah diri memohon maaf atas semua kesilapan saya,”ujarnya.
Walau sudah sah bercerai dengan bekas isteri, Fakhrul akui masih sayang akan bekas isterinya itu dan mereka tinggal di kawasan berhampiran untuk memudahkan penjagaan anak.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Semoga kekeliruan sebelum ini diselesaikan dengan baik. Sumber : IG Fakhrul Rosli
Inara Rusli tolak ajakan makan malam pengusaha kaya, akui mahu cari lelaki yang takutkan Allah. Pasti ramai masih mengingati kisah isteri kepada penyanyi Virgoun yang popular dengan lagu Surat Cinta Untuk Starla ini.
Dicurangi suaminya sendiri yang suka melanggan pelacur, mengajaknya melakukan hubungan intim di siang bulan Ramadan, disuruh mencantikkan tubuh namun masih melanggan pelacur serta berbagai lagi penganiayaan semasa dalam perkahwinan.
Inara Rusli Tolak Ajakan Makan Malam Pengusaha Kaya
Terkini, kesnya masih berjalan di mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Barat atas urusan cerai namun Inara Rusli dilihat sudah mulai aktif di media sosial demi menyara anak-anaknya. Bahkan rezekinya juga dilihat mulai murah apabila banyak pengusaha bisnes menjadikan dirinya jurucakap kepada produk mereka.
Terkini, tidak dapat lari dari ujian dunia dari “lelaki-lelaki buaya” dan suka mengambil peluang menabur wang kepada insan lemah, Inara sudah mulai dihimpit bila mana dia berkongsi satu tangkap layar perbualan bahawa dirinya dijemput keluar makan malam bersama seorang bisnesman.
Dari chat tersebut dibuat oleh orang suruhan pengusaha ini, dinyatakan satu ajakan keluar makan malam bersama.
Sayangnya, Inara Rusli tidak menerima ajakan tersebut sebaliknya memaklumkan dirinya lebih menerima tawaran untuk bisnes atau pekerjaan sahaja.
“Ada berbagai ajakan tapi untuk buat masa ini, tawaran makan malam, jalan-jalan nanti dulu, aku mahu fokus kepada kerja saja,” kata ketika ditemui.
Tak lama selepas berkongsi tangkap layar perbualan itu, Inara kemudian disebut sebagai idola baru para pengusaha dan dirinya hanya mampu tertawa kecil.
Akui Mahu Cari Lelaki Yang Takutkan Allah
Namun ketika diajukan pertanyaan tip lelaki idamannya, Inara Rusli mengatakan dia tidak memandang latar belakang pekerjaan seseorang. Tapi paling penting, lelaki tersebut harus takut dengan Allah SWT.
Masa yang sama, Inari Rusli akui dia mahu dilihat oleh anak-anaknya sebagai ibu yang kuat dan boleh berdikari mencari rezeki sendiri.
“Aku kepingin bertemu pasangan yang takut sama Allah. Yang tak hanya sayang sama aku tapi juga anak-anak dan boleh menjadi imam dan pemimpin keluarga,” kata Inara.
“Pemimpin bukan cuma urusan dunia tapi akhirat juga serta saling mengingati tentang hal yang baik” terangnya. Sumber :- Tribunnews
Dr Say Cerita Pengalaman “Koyak” & “Meroyan” Selepas Bersalin
Pengalaman lahirkan anak pertama buat isteri gerun untuk hamil dan bersalin lagi. Kalau tak ada bantuan suami, boleh menjurus kepada meroyan selepas bersalin atau “postpartum”.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...