Saksi akhir tragedi Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, meninggal dunia. Saksi terakhir tragedi berdarah Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, 78 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Skudai Kanan, di sini, pagi tadi.
Jamilah, yang baru berusia tiga tahun ketika serangan ganas Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, meninggal dunia akibat faktor usia kira-kira jam 9.36 pagi.
Menurut anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 46, ibunya mulai kelihatan lemah beberapa hari lalu kerana hilang selera makan.
“Mak memang ada penyakit kencing manis, tetapi sepanjang beberapa hari ini, tiada tanda-tanda sakit yang serius. Cuma dia kurang makan dan minum.
“Perubahan ketara dapat dilihat sejak malam tadi apabila mak kelihatan penat dan tidak bertenaga sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi 28 April. Kami adik-beradik berada di sisi mak semasa dia pergi,” katanya.
Jenazah Jamilah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, di samping pusara bapanya, Konstabel Abu Bakar Daud, yang meninggal dunia pada September 1979.
Abu Bakar merupakan anggota Polis Marin di Balai Polis Bukit Kepong dan merupakan antara yang tercedera parah dalam peristiwa tersebut. Beliau meneruskan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga pemergiannya.
Mengenang kembali kisah hitam Bukit Kepong, Raja Zamzura berkata, ibunya masih ingat detik-detik ngeri itu, termasuk bagaimana ibu kandungnya, Fatimah Yaaba, dan adik lelakinya, Hussin, terbunuh dalam serangan tersebut.
“Mak sendiri melihat bagaimana ayah, ibu dan adiknya ditembak. Malah, mak juga terkena tembakan di bahagian tangan.
“Mak menyaksikan dengan mata kepala sendiri apabila ibu dan adiknya dibakar hidup-hidup. Mereka meninggal di tempat kejadian, dan hanya abu mereka yang dapat dikebumikan di Pusara Pejuang Bukit Kepong,” ujarnya.
Tambah Raja Zamzura, setiap tahun ibunya sering dijemput menghadiri Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong yang dianjurkan pihak polis.
“Mak ada menyimpan gambar-gambar berkaitan dan sering berkongsi cerita tentang peristiwa tersebut. Setiap kali majlis diadakan, mak pasti dijemput untuk menghadirinya,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Usahawan Wanita 36 Tahun Nekad Duduki SPM Demi Cita-cita Bergelar Doktor
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE