Saksi akhir tragedi Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, meninggal dunia. Saksi terakhir tragedi berdarah Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, 78 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Skudai Kanan, di sini, pagi tadi.
Saksi Akhir Tragedi Bukit Kepong, Jamilah Abu Bakar, Meninggal Dunia
Jamilah, yang baru berusia tiga tahun ketika serangan ganas Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, meninggal dunia akibat faktor usia kira-kira jam 9.36 pagi.
Menurut anak bongsunya, Raja Zamzura Raja Buntat, 46, ibunya mulai kelihatan lemah beberapa hari lalu kerana hilang selera makan.
“Mak memang ada penyakit kencing manis, tetapi sepanjang beberapa hari ini, tiada tanda-tanda sakit yang serius. Cuma dia kurang makan dan minum.
“Perubahan ketara dapat dilihat sejak malam tadi apabila mak kelihatan penat dan tidak bertenaga sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi 28 April. Kami adik-beradik berada di sisi mak semasa dia pergi,” katanya.
Jenazah Jamilah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, di samping pusara bapanya, Konstabel Abu Bakar Daud, yang meninggal dunia pada September 1979.
Ads
Abu Bakar merupakan anggota Polis Marin di Balai Polis Bukit Kepong dan merupakan antara yang tercedera parah dalam peristiwa tersebut. Beliau meneruskan khidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga pemergiannya.
Mengenang kembali kisah hitam Bukit Kepong, Raja Zamzura berkata, ibunya masih ingat detik-detik ngeri itu, termasuk bagaimana ibu kandungnya, Fatimah Yaaba, dan adik lelakinya, Hussin, terbunuh dalam serangan tersebut.
Ads
“Mak sendiri melihat bagaimana ayah, ibu dan adiknya ditembak. Malah, mak juga terkena tembakan di bahagian tangan.
“Mak menyaksikan dengan mata kepala sendiri apabila ibu dan adiknya dibakar hidup-hidup. Mereka meninggal di tempat kejadian, dan hanya abu mereka yang dapat dikebumikan di Pusara Pejuang Bukit Kepong,” ujarnya.
Tambah Raja Zamzura, setiap tahun ibunya sering dijemput menghadiri Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong yang dianjurkan pihak polis.
“Mak ada menyimpan gambar-gambar berkaitan dan sering berkongsi cerita tentang peristiwa tersebut. Setiap kali majlis diadakan, mak pasti dijemput untuk menghadirinya,” katanya lagi.
Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk, niat bantu mangsa kemalangan berakhir tragedi. Hasrat seorang penghantar makanan untuk membantu mangsa kemalangan di Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi bertukar menjadi tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta mewah jenis BMW, awal pagi Ahad.
Insiden yang berlaku sekitar jam 2.10 pagi di Kilometer 16 itu mengorbankan lelaki tempatan berusia 37 tahun, ketika dia sedang cuba membantu seorang penunggang motosikal yang terbabas.
Menurut isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, suaminya itu baharu sahaja keluar dari kereta untuk membantu mangsa kemalangan. Tiba-tiba dia dengar bunyi dentuman. Orang ramai memberitahu bahawa suaminya dilanggar kereta.
Suhaidah adalah isteri kepada Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, yang maut selepas dilanggar sebuah kereta BMW dipandu lelaki mabuk ketika membantu seorang mangsa kemalangan di Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi berhampiran stesen minyak memasuki Taman Desa Jaya di sini, kira-kira jam 2.10 pagi tadi.
Suaminya yang juga penghantar makanan p-hailing meninggal dunia akibat parah pada anggota badan.
Menurut Suhaidah, sebelum kejadian, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bakar Batu di sini, selepas keluar makan bersama rakan.
“Saya yang memandu kereta ketika itu. Kami nampak ada serpihan motosikal yang kemalangan, saya parkir kereta tepi jalan sebab suami kata nak tolong mangsa.
“Ketika itu ada juga yang berhenti kereta nak tengok kemalangan dan bantu kawal lalu lintas, tetapi suami tak beri saya keluar kereta, suruh tunggu dalam kereta,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Suhaidah yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata, dia terus menghubungi adik iparnya memaklumkan insiden yang berlaku.
Pada masa sama, dia mengakui masih terkejut dan trauma selepas kehilangan suami tercinta lebih-lebih lagi ketika masih dalam bulan Syawal.
“Kami kahwin September tahun lalu. Kami baru cipta kenangan indah bersama ketika hari raya kerana ini pertama kali beraya bersama-sama keluarga selepas bergelar suami isteri,” katanya yang reda dengan ketentuan Ilahi.
Menurut Suhaidah, suaminya banyak termenung dan tidak banyak bercakap malam kelmarin.
“Kelmarin, dia cakap panas badan dan pening kepala, dia banyak terbaring dan berdiam diri. Semalam, kami keluar jalan-jalan dan makan bersama kawan-kawan dia, dia cakap hilang dah sakit kepala dia.
“Tak sangka dia sudah tiada,” katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan bermula apabila seorang lelaki warga Myanmar yang menunggang motosikal SYM BX11 dari arah Johor Bahru ke Taman Setia Tropika hilang kawalan sebelum terbabas di lorong kanan.
“Penunggang motosikal berusia sekitar 30-an itu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penghantar makanan tersebut dipercayai berhenti untuk membantu dengan menjaga lalu lintas bagi mengelakkan mangsa pertama dilanggar kenderaan lain.
Namun, tindakan terpuji itu berakhir dengan tragedi apabila sebuah kereta BMW yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun datang dari arah sama dan melanggar mangsa kedua, menyebabkan kecederaan dalaman parah dan kematian serta-merta.
“Pemandu BMW tersebut hanya cedera ringan di muka. Hasil ujian mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian,” katanya.
Susulan itu, suspek telah ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
Sebelum ini, beberapa rakaman video yang memaparkan keadaan lokasi kejadian tular di media sosial, menunjukkan kehadiran ramai orang awam berhimpun di tempat kejadian.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga orang anak ini bersyukur kerana dengan pengalaman tersebut membentuk dirinya sebagai seorang wanita yang tidak lupa asal usul dan sentiasa mahu berkongsi rezeki.
“Sejak kecil saya dah biasa hidup susah. Rumah keluarga kami kecil saja cuma ada dua bilik, kami pula lapan orang termasuk nenek. Saya dibesarkan oleh arwah nenek sejak umur 5 tahun,” kongsi Yana membuka bicara.
Walau dihimpit kesusahan dalam hidup di mana hanya bergantung pada pencen ayah sebanyak RM800 namun Yana tidak berasa mereka hidup serba kekurangan. Ini kerana nilai tersebut cukup untuk mereka sekeluarga.
“Sewaktu zaman kanak-kanak saya akan tolong nenek buat kuih bahulu bila nak sambut raya. Masa bulan puasa pula, mak saya akan buat kuih muih waktu petang dan saya akan tolong jual. Dari kecil saya dah jual kuih untuk bantu keluarga. Raya tak semestinya ada baju baharu, tapi kami tetap rasa gembira,” kongsi Yana yang nekad bekerja keras dan belajar hingga menara gading untuk ubah ekonomi keluarga.
Bersyukur dengan kehidupan hari ini yang diberikan oleh Allah rezeki yang murah, setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal Yana tidak lupa menyantuni mereka yang memerlukan.
Yana akui dirinya dan suami Fadzil Zahari tidak terlalu menekankan tradisi memberi duit raya, namun mereka pastikan keperluan hari raya keluarga dijaga sebaik mungkin.
“Kami tak amalkan bagi duit raya pada semua orang. Tapi kelengkapan raya kami sekeluarga, suami saya yang uruskan. Kalau giliran beraya di Johor, saya akan beri duit pada mak ayah lebih awal. Keluarga saya besar, untuk beli ayam saja lebih 15 ekor untuk satu hari,” ceritanya.
Yana juga pernah memberi RM3,000 kepada bapanya untuk menukar duit raya RM1 sebagai stok untuk duit raya.
“Dulu masa anak saudara tak ramai, mereka dapat lebih. Tapi sekarang, saya galakkan menabung. Kalau simpan RM100, saya tambah RM10,” ujarnya.
Bila tibanya hari raya Yana suka melihat ahli keluarga bergembira.
“Bukan semua mampu berbelanja lebih bila tiba raya jadi saya akan peruntukan hampir RM5,000 untuk sanak saudara saya beli baju raya.
“Saya suka sangat beli baju raya sedondon. Setiap tahun saya akan belanja adik beradik, anak buah serta abang ipar beli baju raya,” luah Yana.
Pada kebiasaanya lebih 30 pasang saya akan belanja mereka, semuanya demi memastikan mereka gembira di pagi Syawal. Baginya, itulah hadiah kecil yang memberi makna besar.
Akui Yana setiap tahun dirinya tidak akan lepaskan peluang membuat amal kebajikan, Yana akan melawat rumah anak yatim dan ibu tunggal.
Namun satu pertemuan yang sukar dilupakan apabila bertemu dengan seorang nenek tua yang tinggal di rumah persatuan ibu tunggal.
“Nenek tu jaga cucu-cucu yang yatim piatu di rumah tersebut. Katanya bila rumah itu penuh, kadang-kadang nenek itu akan menumpang rumah kawan dan tak ada tempat tinggal tetap.
“Bila tak ada makanan, dia ke rumah persatuan. Saya ingatkan ibu tunggal semua muda tapi sebenarnya yang tua pun ada,” kongsinya.
Pengalaman itu membuatkan Yana menukar cara bersedekah, kini dirinya akan memberi sumbangan raya lebih kepada ibu tunggal yang berusia.
“Bagi saya golongan tua ni mereka lebih memerlukan, walaupun mereka senyap. Mereka tanggung beban yang kita tak nampak,” sambungnya.
Yana turut memberitahu dirinya juga menanggung anak saudaranya yang yatim iaitu anak arwah adiknya.
Yana juga berkesempatan terlibat dalam program Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita baru-baru ini. Yana bersama team PTPTN dan Mingguan Wanita telah ke Pulau Pinang menyantuni keluarga asnaf Puan Jaslina dan suami Encik Zulkifli Hamid yang merupakan seorang nelayan mempunyai 11 orang anak.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
PTPTN telah memberi keceriaan dengan memberi bantuan kelengkapan rumah, membeli kelengkapan baju raya serta sumbangan duit raya melalui akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM100 setiap seorang buat anak-anak Encik Zulkifli dan Puan Jaslina.
Yana kelihatan sayu namun berasa sangat gembira apabila program ini mampu menggembirakan keluarga yang sangat memerlukan.
Ternyata kehadiran Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita tahun ini membawa sinar baru dengan menyempurnakan Aidilfitri mereka dengan erti kasih, harapan dan kekuatan sebuah keluarga. Aidilfitri yang disambut bukan sekadar baju baharu tetapi juga dengan harapan yang menggunung tinggi untuk merubah kehidupan.
Menyentuh tentang hari raya, tahun ini Yana sekeluarga akan pulang ke Jitra, Kedah.
“Tahun ini giliran beraya di rumah mertua. Biasanya kami akan berpakaian sedondon, saya dan anak perempuan. Tahun ini saya sediakan empat set baju raya baru.
“Memandangkan mak mertua kurang sihat jadi saya akan menolong memasak di dapur. Selepas beraya di Jitra kami akan pulang ke Johor pula,” terang Yana.
Doktor Pakar Simpulkan Kematian Zayn Rayyan. Pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan pada 13 Jun tahun lalu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka, di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam. Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Terbaru seperti mana dilapor Sinar Harian Online perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh, menyatakan doktor pakar yang membedah siasat mayat Zayn Rayyan membuat kesimpulan di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya bahawa, punca kematian kanak-kanak autism itu ialah disebabkan jerutan di leher.
Menurut Pakar Perubatan Perunding Forensik Jusa C (M), Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian mangsa, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30.
Dr Rohayu Shahar, 54 yang juga saksi pendakwaan ke-27 berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat ketika beliau berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, pada jam 12 tengah hari, 7 Disember 2023 lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Dr Rohayu, berkata, jerutan di leher mungkin boleh berlaku contohnya menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal maka, ia bukan disebabkan mati lemas.
Sementara ketika membaca pernyataan saksi, Dr Rohayu, 54, berkata, berdasarkan jasad si mati jerutan dapat dilihat berdasarkan lebam otot di leher dan kelenjar tiroid.
“Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati hingga mengakibatkan kematian.
“Terdapat kesan jerutan di leher yang bertindih terletak enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri termasuk otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam,” katanya yang turut memberitahu hasil bedah siasat juga mendapati, terdapat kesan trauma tumpul dan tajam.
Selain itu saksi yang berkhidmat dalam bidang perubatan forensik semenjak tahun 2003 berkata, terdapat benda asing ditemui pada rongga pernafasan dan dalam perut Zayn Rayyan.
Menurutnya, lelangit anak sulung kepada pasangan tertuduh itu turut lebam, menunjukkan benda asing terbabit dimasuk secara paksa ke dalam mulut.
Bagaimanapun beliau berkata, benda asing itu tidak membawa kepada kematian kerana punca kematiannya bukan tercekik.
Katanya, di bahagian dubur kanak-kanak malang itu juga terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul tetapi ianya tidak mematikan.
“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.
“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” kata saksi ini . Selain itu, terdapat hirisan dikesan di belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan.
Selain itu, kesan-kesan trauma tumpul dan tajam ini tidak mematikan tetapi merupakan penderaan fizikal ke atas mangsa. Sambung saksi kecederaan si mati ialah kecederaan baharu, kerana terdapat kesan reaksi sistem pertahanan badan yang dapat dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik.
Kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki katanya, hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air, ia bukan punca kematian kerana Zayn Rayyan tidak mati lemas dalam air.
“Jasad si mati telah mula membusuk, berdasarkan warna kulitnya yang kehijauan, mengelupas dan abdomen yang mengembung.
“Tiada luka pertahanan atau luka menumbuk atau menendang dilihat pada mangsa,” sambungnya. Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh esok.
Kuat sungguh dugaan bintang lagenda Uji Rashid ini. Walau sudah berusia namun amat tabah meneruskan kehidupan mencabar dalam menjaga anaknya Cico Harahap yang kurang sihat.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!