Selebriti

Safee Sali Kongsi Kisah Fasa Sukar, Isteri Banyak Bantu Ketika Di Titik Terendah

Share

Tidak selalu pasangan suami isteri akan berada di tahap selesa dan bahagia. Ini realiti alam rumah tangga dan begitulah yang dilalui oleh bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali sendiri.

Safee Sali Kongsi Kisah Fasa Sukar

Berkongsi kisah lalu dengan pengikut laman media sosial miliknya, dia juga pernah melalui fasa paling sukar dalam hidupnya selepas bersara daripada bola sepak apabila terpaksa membina semula kehidupan hampir dari kosong susulan berdepan kemelut kewangan dan kehilangan sebahagian besar aset yang dimilikinya.

Safee berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram Story, hari ini, dengan mengakui ramai hanya melihat kehidupannya yang kini lebih tenang tanpa mengetahui liku getir yang pernah dilaluinya sebelum kembali bangkit.

Isteri Banyak Bantu Ketika Di Titik Terendah

Menurut bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Pelita Jaya itu, isterinya, Intan menjadi individu yang banyak membantunya ketika dia berada di titik paling rendah dalam kehidupan.

“Dia hadir ketika saya berada dalam keadaan yang paling lemah. Dia tidak melihat nama, populariti atau apa yang saya pernah miliki. Dia melihat seorang lelaki yang sedang cuba bangkit semula daripada episod hidup yang sangat sukar,”

katanya.

Safee turut mendedahkan selepas menggantung but, keadaan kewangannya menjadi sangat kritikal sehingga memaksanya memulakan kehidupan semula hampir tanpa apa-apa.

“Saya terpaksa bermula semula hampir dari kosong. Saya selalu mengibaratkan keadaan saya ketika itu sebagai seorang lelaki yang hanya tinggal spender saja.

“Apa yang saya bina bertahun-tahun terasa seperti hilang dalam sekelip mata apabila semua aset hasil kerja bola sepak saya habis dikebas,”

katanya.

Walaupun berdepan situasi getir, Safee berkata dia memilih untuk tidak mengulas secara terbuka mengenai apa yang berlaku, sebaliknya memberi tumpuan untuk mencari rezeki dan membina semula kehidupannya.

Instagram: Safee Sali

 

Published by
Nadia Mohamad