
Isi Kandungan
ToggleBayangkan.. nak berjalan pun sampai tak lepas nak jejak lantai tu. Sebab dikelilingi permainan anak yang banyak. Bukan tak boleh belikan anak permainan, cuma ada panduannya.
Ibu ini, Hanisah Zulkifli berkongsi cara dan tip mengurus permainan anak yang banyak tu. Dan mengapa permainan yang terlalu banyak ini menjadi punca ibu stress.
Minimalis : ‘Permainan Anak Yang Banyak’ Rupanya Ini Punca Stress Ibu
Baru saya tahu selama ni, inilah punca stress saya. Mainan anak yang terlalu banyak!
Saya akan jadi stress bila anak mula sepahkan mainan. Penuh di lantai. Sampai nak jalan pun kadang-kadang terpijak. ‘Nikmat’ terpijak tu hanya Allah saja yang tahu. Lagi bertambah stress dibuatnya!
Jadinya saya terus ambil mainan anak-anak, letakkannya di dalam plastik dan simpan di dalam setor untuk sementara waktu.
Saya hanya tinggalkan 3 jenis mainan sahaja untuk Shahid. Blok kayu, Knob Puzzles dan Stacking Cup.
Permainan yang sesuai dengan umur Shahid sekarang. Cukup satu bulan nanti, saya akan gantikan pula dengan mainan yang lain.
Tip Susun, Elak Permainan Bersepah
Tips ini saya dapat daripada Dr. Nabilah Solehah di seminar minggu lepas. Bila saya aplikasikan tips ni di rumah, nampak lapang bilik kanak-kanak bijak soleh solehah tu sekarang.
Dan tiada lagi mainan bersepah di sana sini. Hati pun tenang tak perlu kutip mainan setiap pagi.
Jangan risau ibu ayah, anak akan jadi lebih kreatif bila mainan terhad kerana mereka akan cenderung meneroka keadaan sekeliling dan mampu untuk merangsang daya imaginasi mereka nanti.
Daya imaginasi ini amat penting bagi anak-anak. Memetik kata-kata Einstein,
“The true sign of intelligence is not knowledge, but imagination.”
“Tanda kecerdasan yang sebenar bukanlah pengetahuan tapi imaginasi.”

Selain daripada itu, daya fokus anak juga akan lebih panjang kerana apabila terlalu banyak pilihan mainan, anak akan mencari mainan yang lain jika permainan sebelum itu memerlukan penyelesaian masalah dan mereka tak dapat selesaikannya.
Nak kurang stress rumah bersepah dengan mainan anak, ibu ayah bolehlah guna tips ini. Dan seronoknya apabila mainan terhad, anak-anak akan lebih menghargai mainan yang ada.
Sharekan tips awesome ini pada ibu ayah yang lain supaya kita dapat mendidik anak tanpa rasa stress.
MW : Dah faham kan mak ayah, sebenarnya banyak cara nak bagi anak seronok dan berkreatif.
Sumber/Foto : Hanisah Zulkifli
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebelum Kahwin Semua Indah, Bila Dah Nampak ‘Warna’ Sebenar Pasangan, Buka Mulut Je Bergaduh

Isi Kandungan
ToggleSebelum kahwin, baik suami mahupun isteri tak tahu perangai sebenar pasangan. Bila dah lama berumah tangga barulah semua terserlah. Masa itulah, ada perangai pasangan yang tak berkenan.
Lama-lama menyimpan perasaan, itu yang akhirnya jadi tak terluah. Lagi-lagi bila dah berbuih menasihati, perangai pasangan tetap juga tidak berubah.
Sebenarnya, ada cara nak meredakan hati yang amarah itu. Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi tip untuk mendidik hati agar menerima pasangan seadanya.
Kita Tak Tahu Perangai Sebenar Pasangan..
Saya pernah terfikir macam ni tau.
Masa kita belum kahwin dengan pasangan kita, kita tak tahu perangai sebenar pasangan kita. Apa yang ditunjuk kepada kita hanya yang baik-baik.
Alaaa… kita pun sama jugak la kan. Yang tak baik semuanya selagi boleh sorok, kita akan sorok.
Tambah pulak masa bercinta, memang semua benda pun nampak lawa. Bak kata orang, kentut pun wangi. Cinta itu selain daripada buta, ia juga membutakan. Sikit sebanyak tak suka tu kira halal la.
Bila dah kahwin, baru kita betul-betul kenal warna sebenar pasangan kita. Nampak segala yang kita tak berkenan. Terserlah segala yang kita tak suka.
Benda kecik pun boleh jadi besar. Benda remeh pun tak boleh nak tolak ansur.
Mustahil la ada sebuah keluarga yang aman damai sehingga ke akhirnya. Mesti ada juga perselisihan faham dan gaduh-gaduh manja. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Kan?
Bahkan kadang-kadang, ada saling terasa hati. Ada yang bermasam muka. Ada yang sampai ke peringkat terpikir nak berpisah walaupun tak bercerai.
Si suami atau si isteri, masing-masing ada kekurangan dan kelemahan. Masing-masing ada sisi negatif dan perangai hodoh. Masing-masing ada dosa terhadap pasangan masing-masing.
Jadinya macamana tu?
Tak Mudah Nak Ubah Perangai Sebenar Pasangan
Nak diubah perangai, itu bukan kerja mudah. Dah bertahun-tahun perangainya macam tu. Dah takde harapan dah kalau nak ubah pun. Sebab masing-masing pun dah semakin hari semakin tua.
Kerak nasi kalau awal-awal, senang je nak dibersihkan. Tapi kalau dah lama, melekat kat periuk dan terpaksa disental dengan berus besi baru hilang.
Belum dicampur dengan ego masing-masing lagi. Belum dikira kalau masing-masing buat senyap dan bisu lagi.
Buka mulut je bergaduh. Bunyi suara je bertekak. Lepas tu macamana nak mula bercakap dan berkomunikasi dengan baik?
Last-last semua diam membisu. Bertahun-tahun tak bercakap. Masing-masing buat hal masing-masing.
Anak-anak yang tengok pun kadang-kadang serba salah. Almaklumlah anak-anak pun dah makin dewasa. Mesti perasan mak dan ayah tak berapa nak mesra.
Kalau mak dengan ayah ringan mulut, diorang akan cerita perasaan yang dipendam sekian lama kat anak-anak. Kalau mak dengan ayah yang jenis berahsia, sampai bila-bila la suasana muram ni akan berlarutan.
Nak ditegur, dikatakan nak mengajar mak ayah. Silap-silap cara tegur, dikatakan sebelahkan mak atau ayah. Serba salah jugak anak-anak bila berhadapan situasi ni kan?
Redhai Dan Maafkan Pasangan
Kawan-kawan…
Kita hidup di dunia ni sekejap je. Tak berapa tahun lagi kita pasti akan mati. Lepas tu duduk dalam kubur sekejap sementara dibangkitkan semula di hari akhirat.
Dan lepas dah kira semua amalan, pergi pula ke titian sirat. Lepas tu akan ditentukan kita ni masuk syurga atau neraka.
Malang sungguh la kalau kita masuk syurga sedangkan pasangan kita masuk neraka. Atau sebaliknya, malang sungguh la kalau pasangan kita masuk syurga sedangkan kita tercampak ke dalam neraka.
Semuanya gara-gara dosa dan kesalahan yang kita lakukan terhadap pasangan masing-masing. Dosa dan kesalahan yang tak sempat kita nak minta maaf semasa hayat kita di dunia.
Nak keluar dari masalah ini senang saja. Suami tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa isteri. Isteri tolong redha dan maafkan segala salah dan dosa suami.

Jika suami dan isteri saling maaf memaafkan dan redha meredhai, dengan sendirinya dosa masing-masing terhadap pasangan akan terhapus. Then, dua-dua sekali akan berkumpul di syurga bersama anak-anak yang tercinta.
Dalam syurga nanti, dah takde permusuhan dan sengketa. Dah takde masam muka atau berduka lara. Semua yang happy-happy saja. Selama-lamanya.
Baca : Pasangan Buat Perangai Adalah Ujian, Suami Itu Jalan Buat Isteri Dapat Kebaikan
Ada Ketika Kecil Hati Dengan Isteri
Saya sendiri ada kadang-kadang kecil hati dengan isteri saya. Tak semua benda yang saya nasihat dia dengar. Tapi saya abaikan dan maafkan saja. Sebab saya nak kami sama-sama masuk syurga dengan aman nanti.
Saya harap isteri saya pun sama. Kalau ada kelakuan buruk dan dosa yang pernah saya lakukan terhadapnya, maafkanlah saya walaupun saya tak minta maaf.
Sampai bila dan ke mana nak dibawa rasa marah? Sudah-sudah la tu. Berdamai sajalah dengan diri sendiri.
Memaafkan ini bukan saja sifat yang mulia. Tapi ia ubat penenang jiwa di kala lara. Tidur malam pun tenang bila kita sentiasa maafkan kesalahan orang lain. Taknak panjang-panjang dan lama-lama dalam keadaan marah dan sakit hati.
Semoga dengan kemaafan yang saya berikan kepada isteri saya, Allah akan ampunkan segala dosa saya terhadapNya. Tak kira la yang sengaja atau pun yang tak sengaja.
Amin ya Allah.
#KAB
Sumber/Foto : Khairul Anuar Basri
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Walau Jari Kaki Dan Tangan Melekat, Alif Tetap Semangat Untuk Ke Sekolah

Ketika kanak-kanak lain di usianya bebas bermain di sekolah, pergerakan Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, Kota Bharu agak terbatas dek kerana penyakit Epidermolysis Bullosa atau kulit rapuh yang dihidapinya. Kanak-kanak ini perlu berhati-hati dengan setiap pergerakan yang dibuat, dia tidak boleh jatuh mahupun terluka kerana itu akan memudaratkan lagi penyakit yang dialami sejak bayi lagi.
Derita Penyakit Sejak Lahir
Menurut Ruziah Ismail, 38, ibu kepada Muhammad Alif, penyakit kulit rapuh itu dihidapi oleh anaknya sejak bayi lagi. Ketika dilahirkan, Alif kelihatan sama seperti bayi lain yang normal. Namun, apabila berusia dua hari, kulitnya menunjukkan tanda-tanda kemerahan dan gelembung seperti kesan terkena air panas.

“Alif dilahirkan normal seperti bayi-bayi lain. Cuma ketika usianya dua hari dia sudah menunjukkan tanda-tanda penyakit kulit yang teruk. Kulitnya akan kemerah-merahan dan timbul gelembung air seperti kesan terkena air panas. Saya memang tak tahu apa-apa dan terus membawa anak ke klinik kesihatan berhampiran. Saya ingatkan ia penyakit kulit biasa sahaja, tapi lama-kelamaan ia semakin merebak dan teruk.
“Saya diminta meirujuk kepada Hospital Besar Kota Bharu. Rupanya Alif menghidapi penyakit kulit rapuh dan menurut doktor penyakit ini berpunca daripada faktor genetik atau keturunan,” ujarnya tentang penyakit yang dihidapi Alif.
Kini, Alif sudah pun berusia lapan tahun dan menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak seusia dengan dia tetapi dengan penyakit yang dihidapinya itu turut memberi kesan kepada tumbesaran dan perkembangan anak bongsu daripada tiga beradik ini.

“Selepas mengetahui penyakit Alif, hospital memang kerap kami lawati. Alif memang memerlukan penjagaan rapi, kulitnya sangat sensitif. Walaupun hanya jatuh sedikit, ia akan memudaratkan kesihatan anak saya. Masih lagi saya ingat ketika dia mula-mula belajar berjalan, kerap sangat terjatuh. Setiap kali terjatuh kulitnya akan terkoyak dan merebak ke tempat lain. Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, apa yang saya boleh buat hanya memantau dia sebaik mungkin untuk tidak terjatuh atau terluka kerana itu akan membuatkan dia lebih sakit.
“Sehingga kini setiap dua bulan Alif akan dibawa ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan rapi. Bukan sahaja berjumpa dengan pakar kulit, malah Alif turut dirujuk kepada pakar Peadiatrik, pakar mata, klinik gigi dan beberapa lagi. Apa yang saya lihat dengan penyakit yang dihidapi oleh Alif turut memberi kesan kepada tumbesarannya juga. Alif memang lebih kecil berbanding rakan-rakan seusianya yang lain, malah dia turut menghadapi masalah dengan beberapa bahagian badan yang lain termasuk gigi dan mata. Pendek kata keadaan yang dialami oleh Alif sedikit sebanyak menyebabkan tumbesarannya turut terbantut,” ujarnya penuh sebak.
Belum Ada Ubat Sesuai
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu mana yang tegar melihat anak yang masih kecil menahan kesakitan setiap kali luka-lukanya dibersihkan dengan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Rutin ini penting buat Alif untuk memastikan luka yang ada tidak semakin teruk dan merebak ke bahagian lain.
“Setiap kali nak buat dressing atau bersihkan luka di badan dan tangan, Alif pasti menangis. Memang masa tu Allah sahaja yang tahu sedihnya perasaan saya. Tapi saya perlu reda dan kuat untuk Alif,” katanya dengan nada sedih.
Menurut doktor tiada ubat khusus dapat menyembuhkan penyakit kulit rapuh seperti yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah Ruziah dan suami mencuba rawatan alternatif, tetapi semua itu tidak menunjukkan kesan yang positif. Malah ada antara ubat yang diambil memburukkan lagi keadaan kulit Alif.
“Sehingga kini memang tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh Alif. Bukan tak pernah saya dan suami mencuba rawatan lain selain ke hospital tapi tiada yang berkesan untuk Alif. Rawatan Islam, suplemen, produk-produk yang disarankan memang sudah banyak kami cuba. Mungkin masih tiada yang serasi untuk Alif. Ada satu ketika kami beri dia makan produk yang disarankan oleh kenalan, tapi lukanya semakin teruk, lalu kami berhenti dan sejak itu memang kami serik untuk mencuba produk atau ubat melainkan hanya atas saranan doktor,” tambahnya yang sanggup lakukan apa sahaja untuk anak.
Setelah hampir lapan tahun menghidapi penyakit kulit rapuh ini, keadaan Alif masih lagi sama. Malah menurut Ruziah, semenjak dua tahun yang lalu, keadaan itu semakin teruk apabila jari tangan dan kaki anaknya itu melekat antara satu sama lain. Justeru kaki dan tangan Alif serta bahagian badan yang teruk terpaksa dibalut setiap hari bagi mengelak lukanya bertambah teruk.
Kuat Semangat
Meskipun diri tidak seperti kanak-kanak lain, semangat Alif tetap tinggi. Menurut Ruziah setiap pagi ketika dikejutkan untuk ke sekolah, jika tidak sakit Alif sangat bersemangat dan seronok untuk ke sekolah.
“Pergerakan Alif di sekolah terhad, dia tidak dibenarkan bermain dengan rakan-rakan kerana keadaannya itu. Dia tidak menyertai perhimpunan serta tidak makan di kantin sekolah. Setiap kali waktu rehat saya akan bawa makanan ke sekolah dan anak saya ini juga perlu memakai lampin pakai buang kerana sukar untuk membersihkan diri berikutan jarinya yang sudah melekat. Memang setiap kali anak saya membuang air besar, pihak sekolah akan memaklumkan kepada saya untuk hadir ke sekolah menukar lampin pakai buangnya.”

Tambah Ruziah lagi, rakan-rakan Alif tidak pernah membezakan anaknya itu. Malah mereka sayang dengan Alif dan sering datang bermain bersama di kelas kerana Alif hanya duduk di dalam kelas sahaja.
“Saya hantar dia ke sekolah supaya dia boleh belajar bersama rakan-rakan di samping dapat belajar berdikari. Saya tak selamanya ada dengan dia, jadi saya perlu persiapkan dia dengan ilmu pelajaran dan yang lain-lain. Syukur guru-guru dan pelajar lain faham dengan keadaan Alif, jadi saya tak bimbang tentang Alif apabila dia berada di sekolah,” katanya lagi.

Kos Tinggi
Bagi memastikan luka-luka yang ada di badan Alif sentiasa dijaga dan tidak merebak atau bertambah teruk, Ruziah membutuhkan kos peralatan luka yang agak tinggi. Setiap bulan RM2,000 ringgit diperlukan untuknya bagi menampung kos tersebut.
“Setiap bulan kos untuk peralatan luka Alif mencecah RM2,000. Jumlah tersebut memang agak tinggi buat keluarga kami memandangkan suami yang hanya bekerja sebagai buruh. Saya pula tidak mampu bekerja kerana Alif memerlukan perhatian yang lebih dari saya. Tapi saya bersyukur memang sentiasa ada rezeki untuk Alif, malah saya turut menerima bantuan daripada pihak berwajib.
“Saya reda dengan semua ini, tapi ibu manalah yang tak sedih melihat anak membesar dengan penyakit sedemikian. Harapan saya agar semua dapat mendoakan Alif untuk sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa, Insya Allah,” ujarnya penuh harapan.
Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga Muhammad Alif Firdaus bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7611159603, Ruziah Ismail.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Buat Laporan Polis Bila Ibu Mentua Antivaksin Beri Anak Demam Makan Madu, Nak Bercerai Dengan Suami

Isi Kandungan
ToggleWanita buat laporan Polis bila ibu mentua antivaksin beri anak demam makan madu, nak bercerai dengan suami. Suami pun sama, anti vaksin.
Madu sangat bahaya dan tidak sesuai diberikan kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia setahun. Ia boleh mengakibatkan botulisme atau keracunan serius yang disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai clostridium botulinum.
Wanita Buat Laporan Polis Bila Ibu Mentua Antivaksin Beri Anak Demam Makan Madu
American Academy of Pediatrics (AAP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan bahawa madu tidak boleh ditambah kepada makanan, air atau formula yang diberikan kepada bayi yang berusia lebih muda daripada usia 12 bulan. Secara teknikalnya, ia termasuk madu mentah mahu pun yang terkandung di dalam makanan makanan yang dipanggang atau diproses menggunakan madu.
Tular di aplikasi X tentang perkongsian daripada seorang wanita terhadap suami dan ibu mentuanya sehingga memaksa wanita itu membuat laporan polis.
Habis Bengkak Badan Bayi
Menurut luahan yang dikongsi, wanita itu berkata, suami dan ibu mentuanya antivaksin. Mereka juga menolak semua perubatan moden. Selepas bersalin, suami wanita ini menolak vaksin awal untuk bayi mereka.
“Tapi I minta misi cucukkan jugak, vaksin lain pun I ambik jugak’
Nak dijadikan cerita, anaknya yang baru berumur 6 bulan diberikan madu kerana demam oleh ibu mentuanya.
Berikutan insiden tersebut, wanita itu telah membuat laporan polis atas dakwaan pengabaian namun keduanya hanya direman 2 hari saja.
“Betul ke tindakan I? Ke I overreacted?”
Dia cakap dia tak mahu jadi antivaksin lagi, tapi ibu mentua dan family dia yang lain memang maki I panjang lebar?
Di ruangan komen luahan ini, rata-rata netizen memberikan sokongan kepada wanita tersebut dan tindakannya itu betul.
KENAPA MADU BERBAHAYA KEPADA BAYI?
Madu berkemungkinan mengandungi spora Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan yang dipanggil botulisme. Daripada 145 kes botulisme yang dilaporkan setiap tahun di Amerika Syarikat, kira-kira 94 kes (65%) adalah botulisme bayi.
Bagaimanapun pakar-pakar menganggarkan angka-angka ini daripada 250 kes setahun dengan banyak kes yang tidak dikenalpasti. Apa yang menyedihkan ialah 90% bayi yang didiagnosis dengan botulisme bayi di Amerika Syarikat adalah di bawah umur enam bulan.

Pencemaran spora Clostridium botulinum boleh terjadi apabila lebah terdedah kepada flora yang tumbuh pada tanah yang mengandungi spora / bakteria botulisme atau sarang lebah terdedah secara terus kepada spora ini.
Madu kebanyakannya dimakan dalam bentuk mentah dan biasanya tidak dipasteur atau disterilkan. Madu walau telah dipasteur boleh mengandungi spora botulism dan tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah umur 12 bulan!
Jika bayi menelan spora Clostridium botulinum, ia akan berkembang di dalam usus mereka dan akan menghasilkan toksin. Tidak seperti orang dewasa dan kanak-kanak lebih tua, bayi boleh jatuh sakit akibat daripada toksin yang dihasilkan oleh bakteria ini.
Kredit: Aplikasi X
Kredit gambar madu: Freepik

Baca artikel lain juga: Mak Mentua Jangan Pandang Rendah Pada Menantu Tak Kaya, Selalunya Merekalah Yang Boleh Diharap
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
“Saya turunkan ego saya…
Kakak Hello Kitty. Usahawan ini pernah bercerai dan ramai mengaitkan perceraiannya kerana suami dipaksa pakai baju Hello Kitty.
Mesra disapa Na, mengakui perceraian selama 23 hari dengan suami membuatkan diri dan hatinya tidak kuat. Perlu melakukan kerja-kerja rumah yang selama ini dibantu suaminya, Mohd Afizi.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI