Ayat Al-Kursi merupakan ayat ke-255 dari Surah Al-Baqarah. Ayat ini juga digelar dengan ‘Penghulu Segala Ayat Al-Quran’.Ayat ini diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW dengan diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya.
Syaitan dan iblis juga telah menjadi gentar kerana adanya satu ayat ini mampu menjadi perintang dalam perjuangan mereka menyesatkan manusia. Maka Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid bin Tsabit (penulis Al-Quran) agar menulis serta menyebarkan kelebihan ayat ini.
“Allah, tidak ada ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya). Dia tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi-Nya tanpa seizin-Nya. Dia mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka. Mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dia tidak merasa berat memelihara keduanya. Dan Dia Maha Tinggi lagi Maha besar.” (QS. Al Baqarah: 255)
3 Waktu Utama Baca Ayat Al Kursi
Ayat Kursi adalah seutama-utama ayat dalam Al-Quran dan Rasulullah SAW menyuruh kita mengamalkan membaca surah Kursi ini. Rupanya terdapat 3 waktu utama yang sangat digalakkan membaca ayat al kursi ini dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
1.Waktu Pagi & Petang
Digalakkan membaca ayat kursi pada waktu pagi dan petang agar terselamat dan mendapat perlindungan dari Allah sepanjang hari.
Dari Ubay bin Ka’ab, Nabi SAW bersabda;
Ads
“Siapa yang membacanya (ayat kursi) saat pagi, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami (jin) hingga petang. Siapa yang membacanya ketika petang, maka ia akan dilindungi dari gangguan kami hingga pagi.” (HR. Al Hakim 1: 562)
2.Sebelum Tidur
Ayat Kursi juga patut diamalkan sebelum tidur.Allah akan menjaga dan melindungi orang yang membaca ayat kursi sebelum tidur dan syaitan tidak akan dapat mendekat untuk mengganggunya.
Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda;
Ads
“Jika kamu hendak pergi tidur di katil, hendaklah membaca ayat kursi hingga selesai, iaitu bacaan ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qoyyum.’ Sesungguhnya kamu akan sentiasa berada dalam penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi hari.”(HR. Bukhari no. 2311).
3. Selepas Solat 5 Waktu
Sesiapa yang mengamalkan membaca ayat kursi selepas menunaikan solat 5 waktu juga di permudahkan baginya masuk ke syurga tanpa sebarang penghalang.
Dari Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Ads
“Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”. (HR. Al-Thabarani no.7532)
Namun demikian, semua fadhilat di atas tidak akan berlaku tanpa izin Allah SWT, bergantung atas keyakinan kita padaNya iaitu hikmah kalamnya terhadap mereka yang beriman dan bertaqwa pada Allah SWT dan RasulNya Nabi Muhammad SAW.Oleh itu carilah keredaan Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya di samping berikhtiar dengan sesungguh hati.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.
Ini betul… betapa beruntungnya orang yang mampu solat subuh berjemaah, nak-nak pula kalau dapat buat sekali dengan pasangan. In shaa Allah, Allah jaga hubungan dan rezeki dalam keluarga kita.
Lagi manis kalau dapat buat benda baik-baik lain di bulan Ramadan, macam yang Puan Nur Aliah Mohd Nor senaraikan ini. Tak banyak tak apa, tetapi biar istiqomah setiap hari. Selebihnya anda boleh semak sendiri, mampu buat tak?
Jadikan Ramadan tahun ini adalah Ramadan yang paling terbaik dan lain dari lain dalam hidup kita! Macam mana?
1. Buat solat sunat subuh walau kita bangun jam 6.50 pagi sekali pon. Sebab Nabi saw ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
2. Selepas setiap kali solat 5 waktu, baca zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebanyak 33x. Sebab ini la zikir yang kita boleh istiqamah dan untuk penguat semangat.
3. Paksa diri untuk solat subuh berjemaah sama ada di surau atau di rumah. Sebab ganjaran solat subuh ni sama macam kita berqiamullail waktu malam!
4. Cepat-cepat baca doa selepas dengar azan berkumandang. Sebab waktu ini adalah waktu musjatab untuk kita berdoa.
5. Bukan kerja je kena fokus, solat pon kena fokus. Kalau kita tak boleh nak faham semua bacaan dalam solat kita, sekurang-kurangnya kita hayati setiap bait-bait bacaan dalam surah Al-Fatihah.
6. Berlatih juga untuk ingat bacaan duduk di antara 2 sujud. Tips ingat je keyword ini : ampun, sayang, aib, darjat, rezeki, petunjuk, sihat, maaf.
7. Baca Al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh. Amalkan juga 4 surah di bawah ini setiap hari,
– Waktu Subuh : AL-WAQIAH – Waktu Dhuha : AR-RAHMAN – Waktu Maghrib : YASIIN – Waktu Isya : AL-MULK
8. Amalkan solat-solat sunat seperti Qabliyyah, Ba’diyyah, Witir, Dhuha, Tahajud, Taubat dan Hajat. InshaAllah bertambah redha dan sayang Allah pada kita.
9. Ambil masa 15-20 minit fokus zikir 1,000x atau istighfar 100x. Kemudian berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Tips : Sentiasa bawa count stock itu ke mana-mana.
10. Berazam untuk sedekah setiap hari. Atau bantu keluarga terdekat. Sekali-sekala belanjalah adik beradik atau mak ayah kita. InshaAllah rezeki tu datang berganda-ganda!
Semoga dengan 10 amalan ini, kita dapat mencari jalan keluar yang hanya kita sahaja ketahui, kita kuatkan lagi doa serta usaha agar dihadiahkan rezeki dan kita memaafkan semua orang di waktu malam yang sunyi. Barulah tenang hati ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Macam-macam perangai manusia di rumah terbuka hari raya, ada yang sibuk mengata orang, menjaja cerita kekayaan sendiri, memuji pasangan dan anak sendiri, menunjuk-nunjuk perhiasan yang dipakai dan macam-macam lagi kegatalan mulut yang tak dapat dikawal.
Macam mana nak hentikan ‘makcik bawang’ merepek di rumah kita? Apakah kita mampu bersabar menahan mulut daripada terjebak sama membawang secara berjemaah?
1. Jaga lidah
Betapa kita amat berhati-hati menjaga tutur bicara, akhlak dan ibadah di bulan Ramadhan supaya pahala-pahala dikumpulkan dengan sempurna tetapi malangnya bila Syawal menjelma terlerai sudah ikatan kawalan dosa kerana tak tahan pujukan nafsu yang melenakan.
Amat berat kesabaran menjaga diri ketika berada di tengah-tengah orang-orang yang lalai. Ada kawan-kawan lama ajak membawang rasa teruja akhirnya terikut sama, tengok perhiasan yang dipakai tetamu timbul sangka buruk yang bukan-bukan kepadanya. Duit rasuahlah, duit tak berkatlah, mengata orang sombonglah semua lintasan hati itu datang bila kita lalai dan tak ingat dosa pahala.
Allah SWT berfirman: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” – (Surah al-Kahfi ayat: 28)
2. Kuatkan rasa syukur
Syawal bukan masanya bermain-main dengan dosa, kerana kegembiraan yang dianjurkan dalam agama kita semata-mata hanya untuk menampakkan rasa syukur kepada Allah SWT. Tak dilarang pakai baju cantik, tetapi dengan niat nak tunjuk nikmat Allah itu sebagai tanda kita bersyukur bukan untuk menyombongkan diri. Jika benar lidah kita bersyukur maka hati akan bersih dari sangka buruk, tubuh badan akan ringan melakukan solat, lidah akan lunak memuji Allah sehingga lupa mengata orang. Kalau betul kita bersyukur, tak akan mudah maksiat kita biarkan berada dalam rumah apatah lagi kita ikut sama meraikan dosa sungguh hati tak akan reda.
3. Syawal bulan jihad
Syawal juga bukan masanya lalai daripada kewajipan agama kerana Rasulullah s.a.w bukan hanya ditulis dalam sirah pernah memilih bulan Syawal di mana baginda menikahi Aisyah tetapi juga pernah melakukan beberapa peperangan besar di bulan Syawal iaitu perang Uhud, khandaq dan Hunain (perang yang terakhir sebelum kewafatan baginda).
Rasulullah s.a.w telah pun berangkat berjihad di Uhud pada 7 atau 11 Syawal kita pula sebulan penuh berangkat dari satu rumah ke rumah lain menjamu selera. Open house sudah menjadi tradisi wajib tak kira orang kaya atau orang susah mesti nak buat juga, kasihan sungguh bila duit tak ada tapi terpaksa berhutang kerana malu ditanya kawan bila nak open house. Ramai yang keletihan berpesta, tidur tak cukup, rehat pun tak cukup kerana sibuk menghadiri jemputan sepanjang Syawal. Bila masa nak sambung amalan yang pernah dibuat Ramadan lalu? Apakah terus hilang al-Quran daripada pelukan, solat malam terus tinggalkan, apakah kita sanggup nak sambung puasa sunat Syawal?
4. Silaturahim bukan alasan halalkan maksiat
Memang tak salah nak sambung silaturahim, tapi janganlah melampau sangat sampai tak ingat mana yang afdal. Mana boleh tinggal solat sebab tak nak tinggalkan tetamu bersembang. Mana boleh tak nak puasa sunat sebab nak makan sampai tak cukup perut, mana boleh membawang dengan alasan meraikan silaturahim. Kenalah berpada-pada melakukan kebaikan, ikut ukuran yang ditentukan syariah bukan ikut hawa nafsu.
5. Aktifkan diri hayati ilmu
Jangan dianggap Syawal datang maka cutilah ibadah, pulun habis berpesta makan, tak ada masa ingat akhirat.
Sesungguhnya Syawal itu ujian bagi orang yang mahu istiqamah meneruskan amalan Ramadannya. Ujian kelazatan dunia yang dinyatakan dalam firman-Nya: “Janganlah sekali-kali kamu mengarahkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami uji mereka dengannya. Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.” ( Surah Thaha: 131)
Jika mahu lulus dalam ujian kita mesti banyak belajar, isi masa dengan ilmu agama, dengar ceramah, aktifkan diri dengan diskusi ilmiah bersama sarjana-sarjana agama yang diiktiraf. Carilah sebanyak-banyaknya hidayah sehingga kita tiada masa untuk buat maksiat. Apabila kita bersedia melabuhkan tirai Syawal dengan ilmu dan amal soleh, serangan syaitan untuk menggagalkan iman kita di bulan Syawal tidak akan berjaya. Walaupun mereka menghasut makcik-makcik bawang menyerang rumah kita, insya-Allah ilmu dan amal masih kuat membentengi serangan itu.
Jangan hanya sibuk berkongsi resipi masakan dan biskut yang sedap, ceritakanlah juga tentang nikmatnya solat!
Artikel disumbangkan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam dan penulis ruangan Keluarga Sakinah di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Di Sebalik Nama
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!