Rumah tangga jadi tak bahagia bila suami mula bandingkan isteri dengan orang lain. Dalam sesebuah perkahwinan, kebahagiaan bukan hanya diukur melalui harta, kecantikan fizikal atau status sosial, tetapi lebih kepada hubungan emosi dan penghargaan antara suami dan isteri.
Rumah Tangga Jadi Tak Bahagia Bila Suami Mula Bandingkan Isteri Dengan Orang Lain
Namun, apabila seorang suami mula membanding-bandingkan isterinya dengan wanita lain sama ada dari segi fizikal, pencapaian, atau keperibadian, ia merupakan satu petanda bahawa rumahtangga sedang menghadapi masalah yang mungkin tidak disedari.
Membandingkan isteri dengan wanita lain, sama ada secara terbuka atau tersirat, boleh memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap emosi dan harga diri isteri. Isteri mungkin merasa dirinya tidak cukup baik, kurang dihargai, dan lebih menyakitkan, seolah-olah usaha serta pengorbanannya selama ini langsung tidak bermakna. Ia bukan sahaja menimbulkan rasa rendah diri, malah boleh menyebabkan tekanan emosi dan kemurungan.
Perkongsian daripada Marliya Ramli ini menunjukkan betapa pentingnya menghargai apa yang kita ada untuk memperoleh nikmat bahagia dalam rumah tangga,
Petanda Rumahtangga Tak Bahagia
Bila kali terakhir kita bersyukur?
10 tahun kawen tiap-tiap malam kita resah sebab suami berdengkur mengalahkan badak kekurangan oksigen. Kita rasa marah. Kita tak cukup tidur. Kita bergaduh dan akhirnya kita bercerai. Kita rasa bahagia dan fikir alangkah baiknya jika dapat suami yang tidurnya baik-baik.
Kita rasa tidak bahagia dengan suami versi badak kita.
Ditakdirkan Allah disebabkan kita lawa macam Neelopa, dapatlah suami baru yang tidurnya baik-baik. Tunaikan nafkah dan memiliki kerjaya yang baik. Namun setiap malam kita berlinangan airmata sebab suami pulangnya lambat kerana menggatal dengan wanita lain. Oh! Kita fikir kita bahagia rupanya kita beroleh kecewa.
Hanya kerana sedikit kekurangan suami versi badak yang lama, kita tinggalkan dia. Kita fikir kita tidak bahagia. Rupanya bila mendapat derita yang lebih besar, kita sedar bahawa setakat suami berdengkur setiap malam pun sebenarnya tiada apa-apa berbanding suami yang curang di depan mata.
Nampak tak?
Kita balik rumah tengok isteri tak lawa, muka biasa-biasa tanpa make up dan garang macam singa. Menjerit kat anak satu taman bergegar seperti di padang bola. Dah tak ada uniform lain, set pakaian isteri kita baju kelawar macam dalam gua. Kita tengok isteri jiran ya allah! Solid dan gebu macam anak dara. Isteri jiran nak makan pun berkira-kira kalori sebab takut gemuk. Kerjaya baik, bijak dan penyayang pula. Maka.. kita fikir kita tidak bahagia
Ads
Kita rasa tidak bahagia dengan isteri singa yang kita ada.
Kenapa Kita Tak Bahagia
Ditakdirkan Allah kita ditemukan jodoh dengan wanita seperti isteri jiran kita. Rupa-rupanya di sebalik wajah yang cantik, body yang solid dan penyayang nya seorang isteri memerlukan belanja. Kita terpaksa bekerja keras siang dan malam bagi memenuhi keperluan isteri lawa kita.
Bila balik rumah tak ada lagi kari kepala ikan sebab isteri kita menjaga badan mana boleh makan masakan bersantan. Malah hingga ke malam isteri baru kita yang bekerjaya besar bermesyuarat dan weekend ke salun juga spa tinggalkan anak-anak untuk kita yang jaga. Penat dan letih… Maka kita mula terfikir alangkah indahnya kehidupan lalu kita dengan isteri yang garang seperti singa.
Kenapa kita tidak bahagia? Apa maksud bahagia? Kenapa kita masih tidak bahagia walaupun kita beroleh sesuatu yang kita impikan?
Jawapan nya sangat mudah.
Kerana kita lupa untuk memandang sisi baik pasangan kita. Kita lupa untuk melihat kelebihan yang pasangan kita ada.
Hatta suami berdengkur seperti badak air setiap malam, tapi dia berada di sisi kita dan setia bersama keluarga.
Ads
Hatta isteri berwajah biasa-biasa dan garang seperti singa tapi dia cekap menguruskan rumahtangga malah masakannya mengenyangkan perut kita.
Maka.. bagaimana mahu beroleh bahagia?
Hargailah Siapa Pun Dia Di Sisi Kita
Tak apalah jika suami kita tidak romantik, boroi dan tidak kaya asalkan dia setia di sisi keluarga.
Tak apalah jika isteri kita tak lawa, tak gebu dan tidak bekerjaya gah asalkan dia bijak mengurus keluarga.
Ya.. kita bisu, pekak dan buta.
Mulut kita bisu untuk meluahkan cinta. Telinga kita pekak untuk mendengar yang baik-baik. Malah mata kita buta untuk menghargai keistimewaan yang kita ada. Malang sungguh!
Selagi kita bisu, pekak dan buta, selagi itulah kita tidak akan faham erti bahagia. Ertinya bahagia adalah apabila kita menghargai apa yang di depan mata.
Ads
Bila kali terakhir kita pandang wajah pasangan melebihi satu minit? Bila kali terakhir kita cium tangan suami memohon kemaafan?
Bila kali terakhir kita ucapkan terima kasih pada isteri yang selama ini berada di sisi? Bila kali terakhir kita bersyukur kerana memiliki dia?
Bila kali terakhir kita menyatakan cinta minimum 10 kali sehari? Bila? Bila? Dan bila?
Selagi kita tidak menghargaiapa yang kita ada, selagi itulah TIADA BAHAGIA dalam kamus hidup kita.
Rumahtangga yang bahagia bukan datang daripada perbandingan, tetapi daripada penerimaan. Tiada pasangan yang sempurna, tetapi dengan kasih sayang, kesabaran dan saling menghargai, rumahtangga boleh menjadi syurga dunia.
Oleh itu, jika anda sebagai suami mendapati diri kerap membandingkan isteri, ambillah masa untuk muhasabah dan fikirkan – adakah anda benar-benar mencari kebahagiaan, atau hanya melihat kesempurnaan yang tidak wujud?
Bagi seorang isteri, penghargaan daripada seorang suami amatlah bermakna pada dirinya. Tidak semestinya dengan limpahan kemewahan harta benda. Ia bergantung pada kemampuan dan rezeki suami juga. Apa yang penting adalah kesetiaan dalam melalui susah senang kehidupan bersama.Namun jika diberikan rezeki yang lebih, tidak salah juga para suami membahagiakan isteri dengan membelikan barangan yang disukai isteri.
Seronok membaca perkongsian nukilan Ikram Al-Banjari, bagaimana cara dia menghargai dan membahagiakan isterinya, sedikit pun ‘tidak berkira’ dengan rezeki yang diperolehi. Semoga ramai para suami yang dapat mencontohi seperti yang dilakukan oleh lelaki ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Semalam aku bawa isteri masuk ke satu kedai kosmetik di Seoul. Aku cakap pada dia begini,
“ Ambillah apa yang awak mahu “
Dia senyum dan terus ambil beberapa keping facemask. Iya, aku tahu di Korea ini memang cukup terkenal dengan barang kosmetik dan wanita mana yang tak suka barang-barang kecantikan begini kan ?
“ Cukup ka ? Facemask saja ? Foundation, Lotion apa semua takmau ? “, soal aku bersungguh-sungguh.
Dia pun tersipu-sipu dan terus mencuba pelbagai lagi jenis barangan kosmetik di situ. Akhirnya ada juga benda lain yang dibelinya. Aku lega sangat.
“ Terima kasih oppa “, itu saja ucapnya sambil matanya berkelip-kelip yang hadir bersama senyuman manis. Aku sudah berasa amat bahagia.
Sengaja aku suruh dia pilih apa yang dia mahu. Aku tahu stok ‘mekap’ yang dia beli di Eropah dan Dubai haritu pun belum habis lagi. Bulan lepas aku belikan serum SKII di Jepun pun belum dia sentuh lagi. Aku tahu semua itu, tetapi aku juga tahu apa yang setiap wanita suka.
Hargai Isteri Ikut Kemampuan
Beginilah kawan, bila ada rezeki dan ruang masanya, kita sebagai suami hargai saja isteri sekadar apa yang semampu kita. Kalian tak usah melihat kebahagiaan kami sekarang. Tetapi kalian juga perlu tahu kesempitan kami sebelum ini.
Dulu, tak usah kata kosmetik Korea, nak pakai yang elok sikit yang dijual di Malaysia ini pun aku tak mampu belikan. Cukuplah isteri aku tampal-tampal bedak sejuk itu saja. Bersyukur saja dengan apa yang ada. Lawa juga aku tengok dia sampai sekarang. Nah puji selambak! ?
Dulu, tak usah kata nak bawa isteri travel ke seluruh dunia, aku nak bawa dia ke Langkawi pun belum cukup mampu. Cukuplah sekadar melancong ke pasar malam dan window shopping ke Giant, itupun sudah bahagia yakmat.
Aduh, malaslah aku nak cerita bab-bab sedih ni. Nanti jadi sinetron pula. Sempena tahun baru ini kita sembang hal sedap-sedap sajalah ya.
Cuma aku nak pesan kepada semua suami muda di luar sana, hargai orang rumah kita sebaiknya dalam setiap keadaan susah dan senang kita. Kerana dia tak pernah bosan mendoakan kita setiap masa.
Pesanan Buat Isteri
Dan kepada kaum isteri pula, kalian sokong sajalah usaha suami dalam susah dan senang. Tak usah kau membebel, merungut dan menjatuhkan semangatnya. Kerana Tuhan sudah berkata, “ Sesudah kesulitan pasti ada kemudahan “ ( Al Inshirah ).
Hidup kita ini tenang apabila kita tidak ikut-ikut orang dan memaksa diri. Buatlah sesuatu mengikut kemampuan kita sahaja. Berapa harga barang dan apa jenis barang itu cuma asbab untuk kita bahagia. Tuhan jualah yang memberi izin kepada kita semua.
Bila bersembang dengan mak ayah lain, jangan bandingkan bab anak orang lambat membaca dengan anak kita. Nanti ada yang teguris dalam, kita bukan tahu.
Lagi pun, setiap anak ada kelebihannya sendiri. Kadang bukan tak pandai cuma lambat sikit.
Tapi kalau nak bagi orang yang suka ”cakap-cakap” pasal anak lambat membaca ni, bagi dia baca perkongsian saudara Firdaus Shakirinni. In shaa Allah, orang tu akan sedar sendiri.
Bila Anak Orang Lambat Membaca
“Anak Su dah boleh membaca ke belum?”
Belum lagi… baru sikit-sikit, baru kenal-kenal huruf.
“Ye ker? Puteri dah pandai membaca dah, cakap dalam English pun dah boleh.”
Aaaa… baguslah.
“Anak Su sama umur dengan Puteri kan, kenapa anak Su lambat bleh membaca?”
Hallluuuuu puuuuliiiss….!!!
Anak orang lambat membaca, anak orang lambat mengira, anak orang lambat bercakap, anak orang lambat berjalan, anak orang lambat merangkak, semua nak compared dengan anak sendiri eh?
Anak kita advance dari anak orang, one step ahead of anak orang lain, terus diagung-agungkan. Terus dijadikan satu penanda aras yang setiap anak itu kena capai macam mana yang anak kita capai.
Perkembangan, tahap kebolehan dan kemampuan berfikir setiap anak itu berlainan, kita sesama adik beradik kita pun lain-lain kebolehan dan kemampuannya, apatah lagi anak kita dengan anak orang lain.
Jaga Hati Orang, Jangan Sampai Tersasul
Bukan tak boleh buat perbandingan, cumanya kata-kata kita tu boleh menyebabkan ibu bapanya terasa, kata-kata kita tu menyakitkan hati ibubapa nya. Ibubapa mana nak anak dia lambat membaca, mengira dan sebagainya? Semua ibubapa nak anak dia sama macam anak orang lain.
Kita rasa macam tak ada apa-apa, biasa ja percakapan kita, walhal ‘makan dalam’ bagi ibubapa yang mendengar especially si ibunya… 9 bulan 10 ari dia mengandung, then bila dah lahir, anaknya pulak dibanding-bandingkan.
Ubah cara kita bertanya tu… bagi harapan, dan doakan anak tu. “Lama-lama nanti boleh la tu, lama-lama nanti, dia pandai la tu, InsyaAllah” and stop judge anak orang lain dengan pencapaian anak sendiri.
Anak awak, anak awak… anak dia, anak dia.
Perangai-perangai kuno yang tak bertamadun tu, tinggal-tinggalkan la. Mungkin hari ini dia lambat membaca, lambat mengira, tapi once dia dah boleh, dia yang selalu score dalam exam, dia yang selalu dapat no 1. Anak kita yang cepat membaca tu pulak, dapat biasa-biasa ja.
Masa tu, kita pulak yang nak meroyan, kita pulak yang nak meletakkan tekanan kepada anak kita.
“Puteri, ko tengok anak makcik Su ko tu, si Aleesya… dulu dia lambat membaca dari ko, tapi kenapa sekarang dia yang selalu dapat no 1 dalam kelas?”
Berlapang dada lah dengan setiap perkembangan anak-anak yang ada disekeliling kita tak kisah lah anak ipar ke, anak kawan-kawan ke, anak rakan sepejabat ke atau anak sapa-sapa pun dan tak payah rasa nak membanggakan sesuatu yang belum pasti lagi apa hasilnya kelak bila dia besar nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sakit hati isteri bila hari-hari terpaksa hadap tohmahan, kata makian dari suami jenis cakap tak berlapik ini. Boleh kemurungan tahap tertinggi dibuatnya.
Pengalaman mengendalikan klien yang berdepan suami seumpama itu, buatkan Peguam Syarie, Mohd Azlin Bin Mohd Razali, Perunding Keluarga Islam tergerak untuk berkongsi nasihat.
Awas! ya suami dengan kata-kata kasar yang boleh melukakan hati isteri.
Seksanya Bila Suami Cakap Tak Lapik
Kau ni b*d*h!
Maaf kalau mulakan posting kali ini dengan ayat macam ni.
Kasar tak ayat macam ni bagi anda?
Mungkin tak kasar kalau diucapkan member-member sambil bergurau kan?.
Tapi bagaimana rasanya jika ayat diatas diucapkan oleh suami atau pasangan anda sendiri.
Itulah kisah yang dikongsikan salah seorang wanita pada sesi sesi consultation beberapa hari lepas. Ayat pertama yang keluar dari beliau masa sesi ini adalah saya ada masalah dengan suami, saya tertekan dengan suami.
Saya hadapi tekanan perasaan bila suami suka gelar saya bodoh dan dengan perkataan lain yang buruk dan keji.
Beliau beritahu tak tahan bila digelar bodoh dan beberapa perkataan lain yang tak sedap pulak saya nak ditulis di sini.
Honestly, perkataan macam ni saya dah biasa dengar malah ada yang lebih teruk dan lebih bisa daripada ini yang pernah dikongsikan client saya. Apa pun jenis perkataannya, yang buruk dan yang keji pastinya menusuk terus ke hati. Manakan tidak, pasangan sendiri yang ucapkannya.
Telinga Sakit, Hati Lagi Lah Sakit
Berbalik kepada wanita ini, perkataan yang diungkap suami ini telah memberi tekanan padanya. Telinganya sakit, hati pun lagi la. Dah bertahun lama saya dengar. Lama kelamaan secara tidak sedar perasaan hormat dan sayang pada suami hilang.
Sebab dari masalah mulut ini, hubungan mereka semakin teruk. Komunikasi makin parah, pergaduhan makin kerap. Hubungan mereka mula suram tidak seperti dulu semuanya bermula dari perkataan bodoh.
Ceritanya wanita ini memang panjang, kalau saya nak tulis memang panjang. Perbincangan kami saja makan masa hampir 2 jam. Lama tak? Sesi consultation memang ambil masa lebih kurang macam tu. Lagi kronik masalah client lagi lama lah masanya.
Ambil Langkah Ini, Adukan Suami Pendera Emosi Isteri
Saya kongsikan pada beliau langkah yang boleh diambil, step by step ikut kepada kesesuaian. Antaranya saya cadangkan:
1. Beliau mulakan dengan aduan keluarga di pejabat agama dahulu dan lihat apa feedback selepas sesi kaunseling dijalankan.
2. Kemudian barulah ambil langkah seterusnya sesuai dengan keputusan kaunseling tersebut.
Apa yang dihadapi wanita ini ianya dinamakan sebagai penderaan secara mental. Beliau hadapi tekanan pada emosi, batin dan mental. Ianya sebenarnya lebih parah berbanding penderaaan atau keganasan secara fizikal. Ia seperti anai-anai yang memakan kayu secara perlahan-lahan. Secara tidak sedar tiang rumah reput dan merobohkan sebuah rumah. Itulah analogi yang boleh digambarkan.
Luka atau lebam pada fizikal boleh dilihat dan diubati, lambat laun ianya hilang dari pandangan. Luka pada batin dan mental, tidak dapat dilihat dan susah diubati. Ia seperti barah.
Elakkan wujud perkataan buruk, cacian atau sebagainya dalam rumahtangga. Ia sesuatu yang sangat tidak sihat. Nampak macam tiada kesan apa-apa sebab hanya cakap sahaja. Tapi sebenarnya kesan sangat besar pada rumahtangga dan ianya tidak nampak ketika itu. Jika tidak dibendung, rumahtangga pula boleh berantakkan.
Zizi Kirana Tak Tersinggung. Penyanyi kecil molek yang juga aktivis kemanusiaan Zizi Kirana akui dirinya tidak berasa tersinggung apabila ada yang mengkritik penyertaannya dalam...