
Tak puas tengok pasangan muda ini, cukup romantik dan bahagia.
Sama cantik sama padan! Itulah yang dapat menggambarkan pasangan selebriti romantis Aeril Zafril dan Wawa Zainal. Seringkali posting mereka di laman sosial menjadi tular dek kerana keromantisan mereka berdua yang tak dapat disangkal lagi.
Pelakon kacak dan cantik yang kini sudah mempunyai dua cahaya mata ini, masih lagi aktif dalam dunia seni lakonan tanah air. Aeril dengan tawaran lakonan yang tidak pernah putus dan Wawa Zainal yang kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan juga perniagaan yang dijalankan bersama suami tercinta.
“Alhamdullilah rezeki saya tidak pernah putus dalam dunia lakonan. Selepas hari raya saya dah mula sibuk dengan penggambaran drama untuk Astro. Wawa pula banyak tumpukan perhatian kepada anak-anak kami dan juga perniagaan kami iaitu perniagaan pakaian, contact lensenya dan akan datang produk pelangsingan badan,” ujar Aeril
Melihat kepada kemesraan pasangan yang telah lima tahun mendirikan rumah tangga ini pastinya terbit rasa indah ingin menjadi seperti mereka yang kelihatan sangat romantik dan mesra.
“Kami kerap muat naik ke dalam instagram dan media sosial bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk kebahagiaan yang sedang kami kecapi. Tapi itu sebenarnya memori untuk kami abadikan dan tunjuk kepada anak cucu kami kelak.” Komen Wawa tentang posting mereka di laman Instagram.
“Mungkin jika kami bukan artis itu tak menjadi masalah, tapi oleh kerana kami ini selebriti, jadi apa yang kami buat akan jadi perhatian. Rahsia kebahagiaan kami ini mungkin kami satu kepala, sentiasa berterus-terang dalam apa sahaja yang dibuat, kami tidak rahsiakan antara satu sama lain. Contohnya kalau ada wanita cantik yang saya tengok, itupun saya akan cerita kepada isteri saya.” Tambah Aeril pula saat ditanya tentang rahsia kebahagiaan mereka berdua.
Ujar Wawa lagi mereka sering bercerita tentang apa sahaja aktiviti yang mereka jalankan setiap hari. “Kami sentiasa bersembang seperti kawan. Semua perkara kami kongsi, dan kepercayaan itu memang paling penting. Saya juga sering puji orang lain di hadapan Aeril sendiri namun ia tidak menjejaskan hubungan kami kerana masing-masing tahu hati budi nilai cinta kami.”
Wawa juga memberitahu, paling penting, adalah persefahaman, dan tidak cemburu dengan apa sahaja jika ia melibatkan lakonan suaminya, kerana mereka berdua terlibat dalam bidang yang sama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Patutlah Amar Dan Amyra Tak Dedahkan Wajah Anaknya Masa Awal-awal Dulu…

Ada pelbagai perkara dibangkitkan oleh netizen kepada pasangan Amar dan Amyra terutamanya bab tak dedahkan wajah anaknya ketika baru-baru lahir.
Sememangnya selepas bersalin Amar dan Amyra tidak sabar mahu berkongsi wajah putera kesayangan mereka kepada orang ramai terutamanya peminat mereka. Namun selepas dua bulan Aqeef dilahirkan dan Amyra tamat berpantang, barulah mereka memperkenalkan putera sulung mereka ini. Amar dan Amyra menyatakan mereka punya sebab tersendiri.
Alasan Tak Dedahkan Wajah Anak
“Sebab sebenar kami tidak mendedahkan wajah cahaya mata sulung kami adalah kerana terikat dengan Program The Adventure of Aqeef AmyraAmar, terbitan astro yang mana nama dan wajah anak kami hanya akan dikongsikan apabila program ini bermula. Program ini juga turut memaparkan episod ketika Amyra mengandung, baby shower, bersalin, proses anak membesar dan paparan majlis kesyukuran dan majlis cukur jambul yang kami adakan baru-baru ini merupakan episod terakhir program The Adventure of Aqeef AmyraAmar yang mana Amyra akan berkongsi tip penjagaan ketika hamil dan proses berpantang,” ujar Amar memulakan bicara.
Bagaimanapun, selepas ini mereka akan sentiasa berkongsi tentang perkembangan terkini Aqeef dengan peminat menerusi laman sosial Instagram.
Letih Namun Berbaloi
Diusik tentang perasaan dan pengalamannya pertama kali bergelar bapa, Amar terus memandang wajah si comelnya yang sedang nyenyak tidur.
“Macam-macam pengalaman yang kami berdua dapat. Amar sebagai seorang Daddy memang sangat letih. Walaupun letih namun berbaloi sebab pengalaman seumpama ini sangat sukar dilupakan.
“Membesarkan anak yang baru lahir macam-macam perangai. Sampai sekarang dah nak masuk dua bulan saya tak tidur malam sebab ‘bertugas’ menjaga Aqeef pada sebelah malam. Jadi saya akan tidur pada waktu siang. Sebalah siang pula, mama dan Amyra yang akan jaga Aqeef. Kiranya kami bergilir-gilir menjaga Aqeef.
“Malah saya juga rasa sangat berbaloi walaupun terpaksa ambil cuti panjang untuk tengok anak membesar. Pengalaman ini sangat manis dan indah buat saya. Aqeef merupakan kurniaan Ilahi yang cukup istimewa buat saya dan isteri,” sambung Amar yang ringan tulang membantu Amyra menjaga putera sulung mereka.
Amar juga menambah, Aqeef merupakan bayi yang cukup baik kerana tidak banyak ragam dan senang untuk diuruskan.
Amyra Sangat Beruntung
Menurut Amyra pula, dia berasa beruntung ketika mengandung dan dalam proses berpantang kerana sangat dimanjakan oleh suami dan keluarga.
“Saya berasa sangat beruntung sebab masa mengandung hinggalah dalam pantang, sentiasa mendapat perhatian lebih. Sepanjang tempoh mengandung, suami beri tumpuan sepenuhnya pada saya dan begitu juga dengan mama. Dalam tempoh berpantang, memang Amar dan mama jaga saya sepenuhnya.
“Bergelar ibu memang penat, tapi saya gembira kerana hadirnya orang baru dalam hidup. Macam-macam perkara baru saya belajar. Dalam pantang, saya kena jaga diri sendiri dan bayi, Alhamdulillah saya boleh uruskan dengan baik.
“Saya bersyukur sebab mama tegas dan saya jalani proses berpantang secara tradisional. Mama memang suruh saya disiplin dan bersungguh-sungguh menjalani proses berpantang. 44 hari saya tak boleh keluar rumah, keluar hanya untuk check up anak di hospital. Makanan pun dipantau, rebus dan kukus saja. Adat dulu-dulu memang saya ikut 100 peratus. Bukan saja mama, malah Amar pun ambil sebahagian tanggungjawab mama. Kadang-kadang dia tolong masakkan lauk berpantang untuk saya. Mungkin disebabkan disiplin yang tegas oleh mama, Alhamdulillah saya dapat kembalikan berat asal sebelum mengandung,” kata Amyra yang kekal langsing persis anak dara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Datuk Shafinaz & Ernie Zakri Ikon Seni Dua Generasi

Oktober datang lagi, sempena kedatangan bulan kanser payudara kali ini, Mingguan Wanita mengambil kesempatan untuk menyatukan dua nama besar dalam industri seni suara iaitu Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri. Selain berkongsi pencapaian masing-masing dalam industri, dua nama besar ini juga turut sama mengajak wanita di luar sana untuk sentiasa memastikan kesihatan yang baik dengan cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Masih Seperti Dahulu
Menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada awal tahun lalu tidak pernah mengubah kehidupan figura ini. Kehidupannya masih berjalan seperti biasa. Datuk Shafinaz yang popular menerusi lagu Ingin Bersamamu tetap menjalankan tugas rutinnya sebagai pensyarah vokal di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA) serta vokal “master” untuk Koir Kebangsaan Malaysia. Terbaru dirinya turut terlibat dalam rancangan realiti, Mentor di TV3.

Menyentuh pendapat beliau tentang gadis pelantun suara yang semakin dikenali, Ernie, beliau berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh gadis itu.
“Kami mempunyai hubungan yang baik, dia seorang pelajar yang bagus. Kini dia juga sudah mula mengajar, perkara ini membuatkan saya berbangga dengan pencapaiannya. Telah menjadi tugas seorang guru untuk mendidik anak muridnya mencapai sesuatu kejayaan. Pada saya, Ernie telah mencapai satu tahap pencapaian yang sangat baik.
“Seperti mana orang lain, saya turut mengharungi beberapa kejayaan untuk sampai ke tahap ini. Sebagai wanita susah untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering kali meletakkan had umur tertentu untuk mencapai sesuatu lazimnya untuk berumah tangga dan beranak. Tetapi bagi saya ini pilihan saya untuk sangat fokus kepada kerjaya saya.
“Jadi cabaran untuk diri saya adalah mencari masa untuk keluarga saya dan diri sendiri. Saya amat workholic. Jika saya miliki lebih daripada 24 jam untuk bekerja mungkin saya akan bekerja dengan lebih kuat lagi. Manakala cabaran ketika bersama pelajar adalah bertemu pelajar yang macam-macam ragam dari yang kecil sehinggalah yang dewasa.
“Setiap pelajar miliki perbezaan apatah lagi yang berbeza ideologi bahawa nyanyian adalah sekadar hobi. Saya pula meletakkan nyanyian sebagai kerjaya. Jadi sukar untuk meletakkan expectation kepada mereka,” ungkapnya satu-persatu.

Lakukan Pemeriksaan Kerap
Biar pun beliau tidak pernah melalui situasi atau berhadapan dengan pesakit kanser secara dekat, namun beliau sering kali berkongsi maklumat dan cerita dengan orang sekelilingnya tentang kanser payudara. Apatah lagi di media, terdapat banyak kempen kesedaran dalam menggalakkan wanita di luar sana menjalani pemeriksaan payudara bagi menjamin kesihatan masing-masing.
“Sebenarnya kehidupan adalah lebih penting daripada segala-galanya. Sekiranya kita dapat cegah awal, semuanya akan bertambah baik. Sebaiknya janganlah kita terlalu takut untuk kehilangan payudara daripada kehilangan nyawa.
“Seperti orang lain, disebabkan kurang masa untuk bersenam, saya cuba untuk mengawal pemakanan tetapi saya sukar untuk meninggalkan tabiat mengambil makanan manis selepas menjamah makanan. Arwah bapa saya seorang pesakit diabetis, jadi saya perlu berjaga-jaga,” sebelum ini dirinya turut terlibat dalam beberapa NGO dalam kempen kesedaran kanser payudara.
Harapan Datuk Shafinaz, biar pun telah berada di tahap ini, dirinya masih belum berpuas hati dengan apa yang dicapai selama ini. Sebaliknya beliau sentiasa berusaha untuk pergi lebih jauh, menambah pencapaian diri dan mencabar diri untuk lakukan perkara-perkara yang baru. Setiap hari dia berusaha untuk bertanding dengan diri sendiri untuk menjadi yang terbaik.

Idola & Mentor Buat Selamanya
Selaku bekas pelajar Datuk Shafinaz, sudah tentu penyanyi dan guru vokal ini amat mengagumi idolanya. Selain menjadi seorang guru yang disanjungi, Datuk Shafinaz juga banyak memberi inspirasi padanya untuk mengajar orang lain dari segi vokal.
Bermula dengan peringkat ijazah, Ernie telah pun bersua dengan Datuk Shafinaz. Setelah tamat belajar dan terlibat dalam bidang industri sekali pun, Ernie tetap mendapatkan khidmat idolanya. Termasuklah ketika menyertai Anugerah Juara Lagu yang lalu. Dirinya sentiasa mengharapkan hubungan dengan gurunya akan berlangsung sampai bila-bila.
“Datuk Shafinaz bukan hanya mengajar saya dari segi vokal sebaliknya dalam masa yang sama berkongsi pengalamannya tentang industri. Dia memang tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Oleh hal yang demikian, kini tiba masanya dia pula berkongsi dengan orang lain,’ jelas Ernie.

Ernie Pernah Jalani Pembedahan Buang Ketulan Payudara
Dalam masa yang sama, Ernie turut berkongsi pengalamannya yang pernah menjalani pembedahan untuk membuang ketulan di payudara pada usia 23 tahun. Mujurlah ia hanya ketulan kecil dan bukanlah sel kanser.
Ernie sendiri mengetahui tentang masalah yang dihadapi agak lambat kerana sering kali mengabaikan kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan. Padahal sejak di sekolah lagi adanya pendedahan untuk kita memeriksa sendiri payudara agar kita menyedarinya lebih awal.
Setelah melalui fasa ini barulah Ernie mengakui dirinya kerap kali meluangkan masa untuk memeriksa mahkotanya setiap kali selepas mandi. Biar pun ia hanyalah ketulan, tetapi ia memberi efek kepada emosinya. Biar pun keluarga kita bebas daripada sejarah mengalami kanser payudara, namun apa salahnya untuk sentiasa buat pemeriksaan kerana tidak semua daripada kita bernasib baik.
“Buat wanita di luar sana yang tengah bertarung melawan kanser atau baru sahaja mengetahui dirinya mengalami kanser seharusnya mendoakan agar mereka kuat. Saya tahu situasi ini bukanlah mudah bagi kita. Jadi orang sekeliling perlulah memberi sokongan agar pesakit kanser menjadi lebih positif.
“Sejak saya membuang ketulan pada payudara, saya amalkan gaya hidup lebih positif. Saya titik beratkan pengambilan makanan yang sihat, kurangkan pengambilan ayam dan daging untuk perkara sama berulang kembali kepada diri saya.

***

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Datuk Shafinaz Selamat dan Ernie Zakri.Ikuti sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Oktober, Volume 2 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penyelaras & Teks: Nur Syazwani Mehat
Foto: Ahmad Shahir Ahmad
Penata Gaya: Musnida
Solekan: Sahir Sabri (Ernie Zakri) & Mohd Hizam (Datuk Shafinaz Selamat)
Tajaan Pakaian: Amaze Inspire, Ken Rimba Legian, Shah Alam ( Ernie Zakri) & Shanell Harun, Shah Alam (Datuk Shafinaz Selamat)
Aksesori: Habib Jewels
Tajaan Lokasi: Wallmaster Design Sdn Bhd, No 19, Jalan Sepadu 25/123A, Seksyen 25, Shah Alam (Terima kasih Noor Reymy Salikin, Sales & Marketing)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Silap Aliff Aziz Itu Sebagai Pengajaran, Demi Anak Bella Rela Berkorban!

Lihat saja aksi-aksi Bella Astillah, 23 dan Aliff Aziz, 26 tahun ini. Sudah ditakdirkan mereka melayari bahtera rumah tangga dan kesilapan yang pernah dilakukan, dijadikan satu pengajaran. Ditebak bagaimana dia matang menguruskan hal yang mungkin pernah melukakan sedikit hatinya, pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah ini berkata, demi Ayden, dia rela berkorban!
“Semua wanita yang berkahwin mengimpikan perkahwinan yang kekal bahagia. Bella melihat contoh pada Umi dan Ayah (ibu bapa mentua), Mama dan Papa yang kekal bahagia sehingga kini. Tidak ada perceraian terjadi dalam perkahwinan mereka. Kalau boleh saya mahu jadi seperti mereka. Usia perkahwinan saya masih baru, kata orang banyak lagi yang harus dihadapi di masa depan. Jadi bila diuji, saya cakap di dalam hati, saya harus berkorban demi Ayden. Ujian ini bersifat dua, sama ada menjadikan kita semakin kuat atau melemahkan jiwa dan hati kita. Bella memilih untuk menjadi kuat dan memaafkan semua yang telah berlaku,”katanya memulakan bicara.
Mahu Aliff Belajar Daripada Kesilapan
Tidak meletakkan harta sebagai keutamaan dalam melayari impian perkahwinan, bagi Bella apa yang dia inginkan hanyalah sebuah perhubungan yang jujur dan indah.
“Bella mahu serikan rumah tangga ini dengan cahaya baru, meraikan ulang tahun pertama perkahwinan kami dan biarlah ada untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata anak sulung ini.
Dalam pada itu, akui Bella, biar usianya nampak muda tetapi dia senang mengambil tanggungjawab menguruskan adik-adik dan bila punya anak sendiri, dia cukup gembira dan tidak membiarkan suami tersayang, Aliff Aziz untuk menguruskan semuanya secara sendirian.
Kalau boleh setiap masalah itu harus dihadapi berdua, apa saja ujian semuanya mahu dibahagi sama rata. Ini kerana masalah bukan pengundur kehidupan sebaliknya setiap langkah perlu terus dimajukan langkah ke hadapan. Dan itulah yang dia lakukan dahulu dan tidak membiarkan Aliff keseorangan menjawab semua tohmahan yang datang.
Berkongsi cerita, sebagai anak sulung dia cukup sayangkan adik-adiknya.
“Bella yang hantar mereka ke sekolah, uruskan semuanya. Saya senang melakukannya kerana sangat sayangkan adik-adik. Jadi bila lahirnya Ayden, perasaan itu sukar digambarkan kerana ini zuriat cinta kami, anak kami. Saya sangat menyayanginya, lebih daripada diri saya sendiri.
“Bella tak meletakkan harta sebagai keutamaan dalam perkahwinan ini. Bella sudah kenal Aliff lama, perangainya memang mudah mesra dengan orang, suka berkawan. Mungkin dari situ timbul isu lain. Apa saja kekurangan Aliff sebagai suami, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya cakap pada Aliff, belajar daripada kesilapan. Jadilah diri sendiri dan tak perlu menjaga hati orang lain. Sebab susah kalau orang tersilap fikir,” katanya dalam suara merendah.
Isu #gentingsajabukanlondon
Ternyata pada hari penggambaran ini dilakukan, sekali lagi berita mengenai Bella timbul kerana isu #gentingsajabukanlondon. Menjawab isu yang timbul ini, kata Bella ketika itu dia sedang memasak di dapur tetapi telefonnya tidak henti-henti berbunyi. Semuanya melalui Direct Message. (DM), semua meminta dirinya bersabar.
“Bila saya baca, barulah saya faham dan tahu apa diperkatakan. Dalam isu ini saya mengambil pendekatan senyap kerana apabila bersoal jawab, selagi itulah isu tak akan habis. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada anak dan keluarga,” katanya yang mengakui berat badannya mulai naik sedikit dan kini mencecah 40 kg berbanding 36 kg sebelum ini.
Mengakui bukan seorang yang suka duduk diam kerana ia membuat tubuhnya menjadi lemah, kata Bella semasa berpantang ada bidan dijemput menjaganya. Tidak hairanlah bentuk tubuhnya kembali ramping selepas bersalin.
“Saya jenis tak reti duduk diam. Rasa tak selesa. Sebab itu saya mulai aktif selepas berasa tubuh kuat. alhamdulillah, semoga segalanya dipermudahkan. Menguruskan Ayden juga cukup mudah, dia hanya menangis bila lapar dan mahu menukar lampinnya, selebihnya dia tidur saja. Buat masa ini Mama tinggal bersama-sama saya untuk menjaga Ayden yang masih kecil.
“Kalau ada kerja di luar memang susah hati hendak tinggalkan Ayden, sebab itulah Bella lebih senang membawanya ke sana ke mari. Kata orang naluri seorang ibu itu berbeza dan inilah yang Bella rasakan selepas bergelar seorang ibu,” katanya memaklumkan antara perkara paling romantik pernah dilakukan suaminya itu ketika menunggunya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur semasa mereka dalam fasa pertunangan.
“Aliff beritahu tak dapat ambil saya di airport. Memang kecewa jugalah kerana kami sudah dua bulan tidak bertemu tetapi rupanya dia sudah menunggu saya,” katanya mengukir senyuman.
Jangan tidak tahu, anak kelahiran Sabah ini merupakan seorang artis dan kehadiran ke China bagi mewakili Pelancongan Malaysia bagi menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa China di empat buah tempat iaitu Shanghai, Xiamen, Dalian dan Beijing.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!









