Memang merisaukan apabila dalam rumahtangga, ramai isteri yang kian hilang rasa hormat pada suami. Ia berpunca daripada sikap suami itu sendiri yang menghilangkan rasa hormat isteri buat ketua keluarga ini.
Untuk faham lebih lanjut hadamkan perkongsian daripada Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan.
Sesuatu yang merisaukan kita lihat sekarang dalam rumah tangga apabila isteri hilang rasa hormat pada suami. Iya, kadang isteri juga teruji dengan segelintir sikap suami yang lepas tangan dalam mendidik anak, tidak bantu uruskan rumah, panas baran atau yang mengabaikan keperluan isteri.
Sesetengah suami menggunakan alasan itu semua takdir untuk menghalalkan perbuatan yang dilakukan, tetapi sebenarnya setiap tindakan manusia adalah pilihan. Jika suami banyak melakukan perkara yang merosakkan rumah tangga dengan sengaja atau mempunyai matlamat tersendiri, maka wajar seorang isteri hilang rasa hormat terhadap suami.
Kagum Wanita Berusaha Sabar & Kekal Kuat Demi Anak-Anak
Saya sangat kagum dengan wanita-wanita yang menghadapi dugaan seperti ini. Mereka berusaha untuk bersabar dan kekal kuat demi rumah tangga serta anak-anak. Namun tidak bermakna, mereka perlu menelan semua tohmahan dan derita yang diberikan suami bulat-bulat.
Saya pernah terbaca luahan seorang wanita yang mengadu tentang suaminya, berkahwin selama lebih 20 tahun tetapi sangat sabar dengan sikap suami yang panas baran, kaki pukul dan lepas tangan akan tanggungjawab terhadap keluarga, bahkan anak-anak pun takut untuk berjumpa setiap kali ayah mereka pulang dari kerja.
Allahu Akbar, telinga yang mendengar pun terasa berat apatah lagi bahu yang memikul ujian tersebut. Namun saya percaya kalian sangat hebat kerana masih bertahan dan bersabar sehingga ke hari ini. Saya doakan semoga dengan berkat kesabaran menjadi asbab hidayah buat suami untuk berubah.
Ads
Cari Kebahagiaan Sendiri
Andai tidak berdaya lagi, carilah kebahagiaan sendiri tanpa bergantung kepada suami, dalam masa yang sama banyakkan berdoa kepada Allah, jangan hilang kepercayaan kepada-Nya.
Dalam membina keluarga yang harmoni, cuba mencari titik persamaan antara pasangan. InsyaAllah semua ini boleh menjadi penawar mujarab dalam membina sebuah keluarga, suami isteri menjalani kehidupan yang diisi suka dan duka, saling menghormati serta berkasih sayang sepenuh jiwa, agar akhirnya dapat dibangkitkan di dalam Syurga bersama.
Mingguan Wanita: Memang ada benarnya, akibat sikap suami itu sendiri, ramai isteri yang semakin hilang hormat pada suami sebagai ketua keluarga dalam rumahtangga. Ramai yang hanya mampu bersabar dan bertahan demi anak-anak, mengabaikan kebahagiaan dan memendam perasaan sendiri.
Hubungan suami isteri perlu disemai sebaik mungkin. Jangan biarkan berlarutan jika anda melihat pasangan semakin jemu.
Semaikan dan suburkan ia dengan kasih sayang. Malah ada yang meluahkan selepas beberapa tahun mendirikan rumahtangga hendak sentuh atau pegang pasangan pun sudah tak rasa apa malah ada yang rimas.
Ikuti penerangan dari Pakar dalam Relationship and Intimacy Expert, Diyana Tahir untuk kembalikan rasa cinta pada pasangan anda.
“Ramai orang bila ada masalah mereka pilih untuk selesaikan hanya pada permukaan sahaja. Ibarat anda hanya memotong dahan dan membuang daun-daun pada sebatang pokok dan kemudian ianya akan tubuh semula.
“Begitu juga pada masalah anda, ianya akan berterusan jika tidak di selesaikan dari akarnya.
“Jadi perlu beberapa langkah yang betul untuk anda kembalikan semula rasa cinta dengan pasangan dan untuk anda merasai semula kehangatan asmara dengan pasangan.
“Kalau dulu masa masih anak dara atau bujang, hormon ini melambak dalam badan kita sebab tu masa mula-mula kahwin jeling-jeling pun dah terasa kat hati, mesranya bukan main lagi kan?
“Tapi sekarang ni sentuh-sentuh atau pegang pasangan pun tak rasa apa dah malah ada yang rasa rimas.
“Jadi dengan mengamalkan Diet Sentuhan Cinta yang lebih efektif akan dapat membantu menguatkan semula hormon cinta dengan pasangan. Bukan sekadar merawat tetapi menjadi BOOSTER untuk hubungan cinta yang lebih hangat,” akhiri Diyana Tahir.
Setiap orang ada dugaan yang dihadapi dalam kehidupannya. Ditakdirkan hidup susah, tiada pekerjaan dan keluarga yang porak peranda. Semua ini adalah ujian dariNya.
Malah, tak semua lalui hidup senang, keluarga bahagia dan aman damai. Ada antara kita hidup susah, ditambah dengan adik beradik yang ramai dan mak ayah yang bercerai berai.
Tapi, percayalah, DIA tak akan beri susah selamanya. Sampai masa akan muncul pelangi yang menwarnai hidup. Lalui dengan tabah dan jangan sesekali berputus asa.
Inilah antara perkongsian daripada seorang anak dari ‘broken family’. Hanya kerana air kopi yang tak berapa panas, suami sanggup jatuhkan talak. Sudahlah anak ramai, langdung tak diberi nafkah pada anak-anak yang ditinggalkan.
Aku Nayla berumur dah 30an. Mak ayah aku bercerai semasa aku darjah 5. Ayah memang baran dan senang naik tangan.
Mak aku tengah pantang anak keenam masa tu. Punca ayah aku lafaz cerrai adalah kerana kopi yang mak aku sediakan lepas ayah balik kerja tak cukup panas.
Ayah aku memang senang lafaz cerrai tapi selalunya ayah akan ruju’ pada hari yang sama.
Kebetulan hari ayah aku lafaz tu mak cik aku, ustazah muda ada dekat rumah dan saksi ucapan lafaz tu. Nak tak nak ayah aku kene ruju’ dekat mahkamah.
Bila dah kena ruju’ dekat mahkamah barulah kantoi ayah aku ni kaki control dan kaki pukul mak aku. Family sebelah mak aku pon bantah mak aku untuk ruju’ semula.
Ayah aku nikah dengan mak tiri, janda anak lima dalam waktu edah. Niat mak aku untuk ruju’ semula ditentang kuat oleh nenek dan atuk.
Hak penjagaan dapat dekat mak aku. Semua 6 orang mak aku jaga dengan nafkah bulanan 600 dari ayah aku.
Bermula lah kehidupan aku dengan adik adik tanpa ayah.
Mak tertekan teruk lepas cerai. Mak aku selalu nangis kat dapur. Sampai kurus. Mak aku kerja government. Tapi gaji semua potong hutang ayah aku.
Tak silap aku sebulan gaji bersih mak RM100 je tinggal. Ayah pulak dah culas bagi nafkah. Mahkamah dulu tak strict macam sekarang. Nak fight nafkah tu macam minta sedekah.
Nak dijadikan cerita. Air api letrik semua kene potong. Kami hidup melarat. Baby 2 orang mak aku terpaksa hantar kampung bagi nenek jaga. Aku dengan adik adik selalu cari makan sendiri dekat rumah. Masak apa yang ada.
Aku pandailah masak nasi, telur pon aku pandai goreng. Kalau lapar aku masak nasi. Kadang gaul dengan garam ataudengan gula. Kalau ada bawang, lauk bawang la.
Panaskan minyak goreng lama tu buat jadi kuah. Kalau ada tepung buat cekodok garam atau cekodok manis.
Kitorang mandi dan basuh baju dekat sungai/ kolam awam. Berak dekat office mak. Gosok baju sekolah dekat office mak.
Sebelum subuh kena pergi office mak. Terpaksa gunakan air dan letrik dekat office kerajaan. Untuk hidup tak meminta.
Tak layak pon nak meminta. Gaji pokok mak aku dah lebih RM 1500. Aku dengan adik adik selalu jugak ponteng sekolah rendah dan sekolah menengah. Tapi keputusan exam kami elok.
Bila cikgu tanya kenapa ponteng aku cerita la memang tak ada duit nak naik bas. Masa rehat pon lari pergi minum air paip dekat tandas.
Bantuan belajar pun aku tak layak. Sebab gaji pokok mak aku tinggi.
Cikgu pejamkan mata je kalau aku dan adik adik ponteng. Mak aku selalu sangat datang sekolah masuk bilik disiplin.
Tapi tak ada pilihan lain. Duit tambang bus atau makanan. Kitorang cuma belajar sungguh sungguh.
Belajar Sampai Berjaya
Start aku tingkatan 4 gaji mak dah makin naik. Potongan hutang pinjaman ayah aku sikit sikit langsai. Kami semua 6 beradik dah duduk serumah.
Aku start jadi pelajar harapan untuk straight A SPM sebab PMR aku straight A.
Masa ni mak nampak naik semangat. Mak masak kalo sempat. Mak siap mintak maaf sebab biarkan aku masak jaga adik adik dan uruskan rumah. Aku makin banyak masa study.
Banyak yang aku telan sejak mak ayah aku berpisah. Aku anak manja ayah. Sangat kuat rindu pada ayah.
Tapi apa yang ayah buat dekat mak. Dan biarkan kami anak anaknya hidup melarat buat aku tutup rindu tu dengan benci.
Nak pulak tengok mak nangis dekat tangga. Kadang kadang mak murung terbaring macam dah hilang nyawa. Anak mana yang tak terkesan.
Aku datang bulan. Pakai kain batik lama kerat kerat jadikan pad. Basuh dan kering kan. Selalu sangat bocor dekat sekolah.
Baju dalam dan underwear lama mak aku. Aku pakai sampai lunyai. Jahit tangan kecik kan mana yang patut.
Baju seluar adik adik, aku jahit tangan atau tampal kalau koyak.
Kalo mak aku balik kerja rumah sepah. Mak aku akan terduduk menangis.
Aku memang tak sanggup tengok mak macam tu. Aku kemas mana yang boleh. Adik adik aku takut dengan aku.
Sebab aku lagi garang daripada mak. Aku kuat bebel. Aku ganti mak.
Mak tak hirau dah anak anak. Mak ambil upah jahit. Buat kuih, ice-cream, jajan untuk kitorang jual dekat sekolah.
Tapi kuasa Allah. Kami adik beradik tak pernah complain hidup susah.
Kawan-kawan Memahami
Dalam banyak yang menghina ada cikgu dan kawan kawan yang baik dan paham masalah aku.
Aku tak dapat bantuan buku teks sepanjang sekolah menengah. Selalu je kawan offer kongsi buku teks dengan diorang.
Kadang kadang tak sempat nak buat kerja sekolah sebab masak, jaga adik adik, uruskan baju. Aku budak lagi tak laju mana pon aku nak handle rumah dengan adik adik yang kecik lasak.
Cikgu tak bebel dekat aku. Tapi still kena denda naik atas kerusi.
Habis sekolah sebelum balik aku akan pergi bilik guru hantar kerja sekolah yang tertunggak atau tanya subjek yang aku tertinggal sebab ponteng.
Ada jugak ustazah yang usahakan aku dapat duit belanja naik bas. Dia bayar fidyah. Siap kumpul fidyah dari kawan kawan kampung dia.
ALLAH saja dapat balas jasa kebaikan ustazah. Setiap kali hulur duit, ustazah akan bagi motivasi. Minta aku tabah dan teruskan jadi kuat.
Jangan Benci Ayah
Ayah ade sekali dua datang lawat kami adik beradik. Mak selalu cerita ayah baik. Ayah sayang anak anak. Jangan benci ayah.
Aku anak manja ayah, paling gembira kalau ayah datang.Tapi sekejap je aku gembira. Aku peluk ayah. Ayah raba aku. Aku jadi takut. Keliru.
Setiap kali ayah datang ziarah, aku menyorok. Nasib aku baik lepas kejadian tu mak tiri aku haramkan ayah aku datang rumah mak.
Jealous agaknya mak aku makin cantik dan kurus.
Aku makin berhati hati. Memang baju aku labuh. Tudung aku macam telekung. Kalau ayah sendiri tergamak pegang aku. Inikan pula lelaki lain.
Hidup aku tiada istilah cinta atau couple. Cukup lah ayah seorang lelaki yang menyakiti aku.
Aku simpan cerita ni sorang sorang. Mak pun tak tau.
Aku benci ayah aku. Setiap kali aku rasa susah atau lapar dan sempit, aku salahkan ayah.
Semuanya berpunca sebab ayah abaikan nafkah dan aak aku sebagai anak. Aku tahu broken family ni akan mempengaruhi minda aku untuk jadi memberontak dan nakal.
Tapi aku selalu ratib dalam hati. Aku nak buktikan aku berjaya. Kerja bagus. Mak dan adik adik senang tanpa ayah.
Satu hari aku akan tunjuk kejayaan aku pada ayah dan keluarga baru ayah. Sikit hak nafkah aku yang mereka ambil. Melimpah ruah Allah gantikan.
Selepas habis SPM dengan cemerlang aku tak duduk diam tunggu UPU. Aku kerja dengan gaji 600 sebulan, kerja 12 jam Sama dengan Indonesian dan Bangladeshi.
Duit itu lah aku beli barang barang dapur. Aku dapat gaji kedai pertama, aku pergi kedai runcit.
Aku beli roti, ice-cream, sunquick, susu dan macam macam untuk mak dan adik.
Semua yang aku teringin yang tak mampu aku beli dulu aku borong.
Aku ingat kiri kanan tangan aku penuh bawak plastik jalan kali balik rumah. Siap tergolek tin susu dengan kicap sebab plastik bocor tengah jalan.
Tapi moment tu lah paling aku ingat. Aku bahagia dapat provide keluarga kecil aku. Dapat mewahkan makanan adik adik aku.
Aku memang akan bagi mak aku cash. Aku simpan separuh. Mak aku separuh. Dan mak memang harapkan duit gaji aku setiap bulan.
Pernah aku masam muka dengan mak aku sebab gaji aku lambat dan mak aku pergi call boss aku.
Kawan kawan kerja bahan aku. Malu la jugak. Masa tu dah anak dara. Malu tak bertempat tu wujud.
Aku dapat offer ASASI IPTA. Masa tu kene bayar yuran 600++.
Aku belum gaji. Merata aku call pakcik pakcik aku minta pinjam. Masa tu aku tahu kalau kau miskin tak ada saudara nak tolong.
Aku buat surat mintak advance gaji dekat boss aku. Sekali surat resign sebab nak sambung belajar.
Alhamdulillah boss perempuan aku baik. Dia siap pesan kalo cuti datang la buat OT. Belajar sungguh sungguh dan jangan lupa solat.
Habis ASASI aku sambung Degree. Alhamdulillah tak ada masalah tentang belajar. Cuma masalah duit.
Aku tak dapat nak mohon PTPTN sebab document ayah, aku tak ada. Aku minta document ayah aku.
Aku dilayan macam peminta sedekah oleh mak tiri. Aku daif sampai aku makan sisa tong sampah.
Malam malam lepas pukul 12 aku pusing luar hostel cari makanan dalam tong sampah.
Lebihan Donut, kepci, mekdi, jajan jajan expired aku kutip makan. Aku bawak masuk surau atau bilik utility hostel tu. kunci pintu dan makan.
Kadang kadang roommates aku perasan aku keluar bilik dan dia cari aku.
Sampai sekarang dia ingat aku nangis dekat surau. Padahal aku makan. Haha.
Memang aku tak meminta. Mak aku selalu pesan ramai lagi manusia susah. Selagi boleh usahakan sendiri. Jangan meminta.
Aku beli nasi telur goreng dan kuah rehat tengahari. Makan separuh. Simpan untuk dinner. RM3 sehari.
Beli susu tin tu bancuh dengan air panas. Aku jenis tak boleh tidur kalau lapar. Minum susu panas lena terus.
Aku bertahan 1 semester tanpa PTPTN dan tak ada laptop. Phone nokia 3310. Di zaman android dan wassap aku maintain guna sms sampai semester 4.
Famous jugak aku sebab lecturer dan kawan kawan kelas kena sms aku personal kalau class cancel atau apa apa urusan.
Dan diorang tahu aku miskin. Tapi tak pernah rendah kan aku.
Alhamdulillah aku dapat PTPTN. Aku pergi pesuruhjaya sumpah. Angkat sumpah, ayah aku hilang dan tak dapat dihubungi.
Nama ayah hanya ada di surat cerai dan Surat beranak. Aku padam ayah dalam hidup aku.
Kadang kadang aku lupa aku pernah ada ayah.
Aku tak duduk diam dekat University. Aku buat part time. Tutoring. Setiap bulan aku balik bawak mak aku pergi market beli barang dapur. Penuh trolley. Senyum mak aku. Aku usaha first class degree nak free PTPTN.
Alhamdulillah berkat doa mak. Dapat biasiswa. Tak payah bayar PTPTN.
Habis degree aku kerja. Walaupun gaji gred SPM. Tapi berkat. Cukup aku bagi mak. Cukup aku belanja adik adik aku kepci, mekdi, wayang.
Turun naik bas aku pergi kerja. Turun naik bas aku bawak adik adik aku jalan jalan. Alhamdulillah aku dah senang. Dah cukup.
Ayah Meninggal
Dalam kesibukan kerja, adik lelaki aku call. Ayah dah tak ada. Aku blur. Nak nangis? Nak gelak? Nak padan muka?
Sudah nya aku pergi hospital naik teksi dalam rasa tak percaya. Bila sampai hospital nampak ayah pucat terkujur. Nmpak mak tiri. Adik adik tiri meratap. Runtuh hati aku.
Aku yang pertama sampai. Adik adik dan mak tunggu kereta jiran untuk ke hospital.
Aku nangis peluk ayah. Kenapa cepat sangat ayah pergi.
Akak tak sempat tunjuk kejayaan. Tak sempat nak cerita derita akak. Tak sempat nak dengar yang ayah bangga dengan akak.
Dalam benci ayah Bertahun tahun. Ada rindu dalam hati akak.
Mak dan adik adik sampai hospital. Masing nangis tersedu sedu. Seakan lupa kekejaman ayah.
Betul lah ayah tetap ayah. Akhirat nanti kite tetap punya ayah yang sama.
Lepas ayah tiada. Hati aku seakan kosong. Tiada siapa yang aku nak salahkan.
Sedangkan kebencian pada ayah buat aku kuat harung hidup.
Aku mula belajar hidup tanpa benci dan dendam. Aku mula kejar kejayaan demi diri sendiri, demi Allah.
Mak dah makin tua. Adik adik dah mula kerja dan belajar University. Mak dapat beli rumah dan kereta sendiri.
Aku belajar untuk slow down. Cari kemanisan remaja yang hilang.
Aku dapat kerja overseas. Cuba berseorangan. Kenal diri. Kenal tuhan.
Setiap kali solat aku doa untuk mak dan ayah. Ada rezeki aku wakaf atau sedekah untuk mak dan ayah.
Aku masih dalam process memaafkan ayah. Mencari hikmah. Jodoh dan ajal. Aku serahkan pada qada qadar. Semua nya dah ditetapkan.
Alhamdulillah. Broken family buat aku matang sebelum usia. Ajar aku usaha atas kaki sendiri. Ajar aku jaga ikhtilat degan lelaki dan jaga aurat. Ajar aku bergantung harap pada yang ESA.
Tak semuanya hasil broken family ni rosak. Bercerrai tak semestinya sengsara. Anak anak ada rezeki Masing masing. Jangan putus harapan. ALLAH ada.
Doakan aku dapat ketenangan hati dan redha.
Banyak lagi ujian yang akan datang. Ujian pernikahan. Ujian anak. Selagi masih bernyawa.
Anak broken family, Nayla.
Mingguan Wanita : Hnaya Allah tahu hambanya yang mampu hadapi dugaan itu. Di sebalik hujan an ribut petir pasti ada pelangi yang akan terangi kemudian hari.
‘Perfect parents’, itulah antara impian dan harapan setiap mak ayah untuk menjadi orang yang sempurna di mata anak-anak. Tapi, mampukah mak ayah ‘menghadap’ karenah anak yang macam-macam.
Bunyi klise sangat untuk jadi perfect parents. Mungkin masa anak kecil dan tak banyak ragam, semuanya bisa di atur. Kalau anak makin membesar, perangai pun boleh tahan, rasnya agak mustahil.
Inilah cabaran mak ayah, cabaran dan level stres mak ayah tak sama. Tak perlu nak bandingkan dengan orang lain. Sebolehnya, kita cuba jadi terbaik buat anak-anak.
Bayangkan kalau mak ayah di rumah, ada masa kita akan pening dengan anak-anak yang bergaduh, suka mengadu, menangis dan sebagainya.
Naik rimas lagi, bila mak ayah nak rilek-rilek, anak datang peluk. Mesti macam-macam alasan untuk elak rasa tak selesa bila anak berbuat demikian.
Tak perlulah macam itu sekali dan dah tentu kalau keadaan inilah agak mustahil untuk kita mak ayah nak jadi ‘perfect parent’.
Walaupun hakikatnya, kita sedaya upaya berusaha dan bersama dengan karenah anak-anak. Percayalah setiap kita dugaan dan cabaran berbeza, seperti apa yang dikongsikan oleh Siti ‘Aisyah Rozalli ini.
Saya personally tak suka bila anak saya peluk-peluk dan meleset. Saya akan rasa rimas.
Jadi, 50% dari waktu anak saya peluk saya, saya akan biar mereka peluk sambil berusaha menahan ketidakselesaan saya.
50% lagi, saya akan cakap “mama berpeluh, busuk-busuk” dan saya akan ganti dengan saya yang peluk mereka, atau pegang tangan mereka erat-erat.
Mustahil untuk jadi PERFECT PARENTS.
Ada parents yang kata, suara anak menjerit dalam rumah buat mereka sangat pening kepala.
Jadi, ada hari yang mereka akan tahan saja sakit kepala sebab mengenangkan anak-anak sedang menjerit sebab gembira bermain sesama mereka.
Namun, ada hari yang mereka akan kurung diri dalam bilik sebab tak tahan dengan bunyi bising. Dan ada hari yang mereka akan marah anak yang bising.
Mustahil untuk jadi PERFECT PARENTS.
Ada mak ayah yang sangat risau dengan masa depan anak mereka. Sangat risau kalau anak keciciran pembelajaran. Sebab, bagi parents ini, ilmu itu sangat penting untuk dikuasai.
Tapi, mereka tahu yang setiap anak ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Jadi, ada waktu yang mereka cuba pujuk diri sendiri bila lihat keputusan anak kurang cemerlang di sekolah. Tapi, ada waktu yang mereka drill anak untuk belajar subjek yang anak lemah. Kadang siap tinggi suara sekali.
Tapi, kemudian mereka berfikir semula. Patut ke? Tak patut ke?
Mustahil untuk jadi PERFECT PARENTS.
Sebab? Kita semua beza-beza. Kita semua ada kesukaan yang tak sama. Kita semua ada level stress yang tak sama. Kita semua ada kecenderungan yang pelbagai.
Yang penting… Kita jangan stres kan mak ayah lain dengan cara mereka yang berbeza tu.
Bantu supaya mana-mana yang ekstrim, boleh usaha jadi sederhana, dengan penuh hikmah dan kesabaran.
Nobody can be you. You cannot be like anybody. You do you.
Sebab… Semua parents berusaha dan struggle sebenarnya. Kan?
Mingguan Wanita : Setiap kita ada cabaran dan dugaan berbeza. Raikan dan ikhlaskan diri.