Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, juga memberi limpahan rezeki yang tidak dijangka. Alhamdulillah, siapa sangka pada usia 60 tahun, penyanyi lagenda rock Suhaimi bin Abdul Rahman atau lebih dikenali Amy (Search) bakal menimang cahaya mata yang keenam. Lebih istimewa ia merupakan antara doa yang dimakbulkan, apabila hasrat penyanyi ini untuk menambah seorang lagi cahaya mata tatkala berusia 60 tahun bakal menjadi kenyataan.
Menerusi posting terbaru dilaman instagram, Amy mengumumkan berita gembira isterinya, Norhasniza Hassan, 37, atau Nourish disahkan hamil dan kini sedang mengandung sebulan.
Amy juga meluahkan rasa kesyukuran apabila doanya menimang anak pada usia 60 tahun dimakbulkan tuhan.
Ads
“Isteri aku mengandung sebulan yeah! Aku selalu doa apabila aku berumur 60 tahun, nak seorang anak lagi.
“Anda semua (peminat) doakan aku berjaya. Saya cintakan awak sayang @qasander,” luahnya dalam entri berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, vokalis kumpulan Search yang memiliki seorang cucu ini memuatnaik video Norish menjalani pemeriksaan doktor dan sedang melakukan ujian ultra bunyi kandungan anak mereka bagi mengesahkan kandungan itu.
Sebelum itu, penyanyi lagu Fantasia Bulan Madu ini juga turut berkongsi video menunjukkan dua batang alat uji kehamilan menunjukkan tanda positif di Instagramnya.
Ads
Amy dan Norish mendirikan rumah tangga pada Oktober 2003 dan ia merupakan perkahwinan keempat bagi penyanyi rock ini. Pasangan bahagia ini dikurniakan tiga cahayamata iaitu Alexander Zulkarnain 14, Sania Samara, 13 dan Qaqa At-Tameemi, 9. Manakala menerusi perkahwinan terdahulu Amy memilki dua anak iaitu Nabila Huda,32 dan Irisha Myra,21 serta seorang cucu Keisha Laila,8.
Ads
Tahniah buat Amy Search dan isteri yang bakal terima kehadiran ‘orang baru’. Semoga kandungan sihat sempurna dan dipermudahkan segala urusan sepanjang proses kehamilan.
Bulan puasa ni selain menambahkan amalan ia juga merapatkan ikatan kekeluargaan. Jika selalunya jarang-jarang masuk dapur, bulan puasa inilah waktulah untuk tunjuk kehebatan memasak di dapur, demi memenuhi pemintaan anak-anak dan keluarga. Imam Muda Asyraf salah seorang suami dan ayah yang turut tidak melepaskan peluang, menunjukkan skill memasak didapur.
Selepas menjuarai program realiti Imam Muda anjuran Astro Oasis pada tahun 2010, pintu rezeki Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan,34 atau lebih dikenali Imam Muda Asyraf semakin melimpah luah. Namanya bukan lagi asing di pentas dakwah Islam. Selain muncul dikaca televisyen dan radio, pendakwah bebas ini seringkali diundang untuk menyampaikan ceramah, takzirah serta forum agama diseluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Bagi pengikut setia instagram Imam Muda Asyraf, pasti biasa dengan kapsyen bersahaja dan mencuit hati yang selalu ditulis didalam posting beliau.
Baru-baru ini, Imam Muda Asyraf ada memuat naik video dirinya sedang memasak menu barat didalam posting tersebut.Namun apa yang menarik perhatian ramai adalah kapsyen yang ditulis oleh Imam Muda ini, apabila anaknya ‘mempertikaikan’ kemampuannya untuk memasak.Sebaliknya jawapan bersahaja Imam Muda Asyraf agar tidak memandang rendah kemampuan dirinya memasak malah hebat dalam menyediakan hidangan barat ‘Salmon Grilled Lemon Butter Sauce’ buat anaknya.
Aisy tanya, “Abah pandai masak ka? Macam tak pandai je.. Nak buka puasa Abah yang masak boleh?”
Ramai yang memuji kehandalan Imam Muda ini dalam menyediakan masakan barat dengan hiasan seperti di hotel 5 bintang malah tidak kurang juga ramai yang meminta resipi.
Imam Muda Asyraf juga ada berkongsi secara ringkas bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat sos mentega lemon tersebut iaitu mentega, tepung jagung, susu, jus lemon, garam, lada hitam, serbuk herba dan serbuk oregano.
Terdahulu, hasil perkongsian hidup dengan isteri tercinta Nur Husna Yusoff, pasangan bahagia ini dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata. Aisy Raihan,7, Aisy Abdurrahman,3 dan baru saja mendapat anak perempuan Setiaku Aisyah 2 bulan.
Luahan hati pelakon Catriona Ross mendedahkan bagaimana selama ini hak kebebasan bersuara segelintir anak-anak seni telah disekat. Buatkan dirinya berasa bimbang mahu berkongsi walau sekeping gambar bersama individu politik seperti YB Nurul Izzah Anwar yang dikagumi. Fahamilah jiwa anak seni ini melalui catatan tulusnya.
Dan bersempena dengan kedatangan Ramadhan, Catriona mahukan sesuatu yang lebih baik daripada pihak pemerintahan yang baru dengan membenarkan anak-anak seni ini menikmati erti sebenar kebebasan.
Rupanya inilah yang dipendam selama bertahun-tahun, “Assalammualaikum, Ramadhan Kareem buat semuanya. Sempena malam istimewa ini, saya pilih untuk menyatakan apa yang tersirat di hati saya selama ini.”
Malam pembuka Ramadhan ini, Catriona berkongsi fotonya bersama YB Nurul Izzah Anwar. Katanya, foto itu telah tersimpan lama. Ini kerana, dia tak boleh dan dilarang mendedahkannya.
“I knew uploading this picture back then wil bring harm to me.”
Suatu waktu dulu, selebriti dan personaliti tanah air barangkali berada on a ‘watch list’ yang mana foto-foto begini jika dilihat boleh mengakibatkan seseorang selebriti digam, digantung kerja, ditamatkan kontrak dan sebagainya. All in the name of capitalism.
“Today, I ask from anyone and everyone, pada kerajaan terkini juga seandainya bertukar tangan di masa hadapan, allow us what was written in the Declararion of Independence.”
Jika benar kita merdeka dari penjajah, let us be. Jika benar kami anak merdeka, let us be, Jika benar jiwa-jiwa dan hati-hati kita merdeka, allow us untuk bebas bercerita kisah dan berkongsi rasa in the name of Freedom of Speech.
Pinta Catriona Ross lagi, “Hentikan penganiyaan pada selebriti dan personaliti kerana terlanjur mempamerkan foto individu berlainan kelompok.”
“Hentikan sekatan rezeki buat selebriti dan personaliti kerana mungkin fahaman politik barangkali berbeza.”
“Bukan kah kata kita, kita sudah merdeka?”
Semoga apa yang terbuku di dalam hati Catriona Ross ini terlerai juga akhirnya. Dan dalam bulan yang mulia ini, sama-samalah kita mohon kebaikan untuk semua.
Moga Malaysia Baru ini akan menjadikan negara kita semakin bagus ekonominya, sosialnya malah pemikiran rakyatnya lebih positif ke arah kebaikan.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata bukan mudah buat seorang suami untuk menjalani hari-hari mendatang apabila isteri yang dikasihi terlantar sakit selepas tiga bulan melahirkan cahaya mata pertama mereka.
Secara Tiba-Tiba
Baru sahaja mengecap kebahagiaan saat dikurniakan anak kembar lelaki setelah empat tahun menunggu zuriat hasil perkongsian hidup bersama, Mohd Nizam Zolkefli, 34, sekali lagi diuji apabila isteri tersayang Nor Hafizah Yulisailani, 34, disahkan mengalami saraf otak tidak berfungsi (mati otak) sejak hampir dua tahun lalu.
“Saya masih ingat hari pertama Nor Hafizah diserang penyakit ini iaitu selepas tiga bulan melahirkan anak kembar kami yang kini berusia dua tahun. Pada malam kejadian, isteri minta saya untuk menjaga anak-anak kerana dia mahu tidur sebentar. Ketika itu dia masih sihat seperti biasa,” ujarnya menceritakan perihal isterinya yang tiba-tiba diserang sakit.
Tambahnya lagi, lebih kurang jam 2.30 pagi, ketika mahu mengejutkan isterinya untuk menyusukan anak mereka, tiba-tiba isterinya mengalami kekejangan otot dan kemudian terus terdiam.
“Pada ketika itu saya hanya mampu memikirkan untuk membawa isteri ke hospital dan apabila tiba di Hospital Batu Gajah, doktor memberitahu denyutan nadi isteri saya sudah terhenti dalam tempoh 45 minit dan kemudian kembali berdenyut namun agak perlahan. Isteri saya kemudiannya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke wad biasa selama tiga bulan,” katanya.
Keadaan Tak Berubah
Selepas beberapa kali berpindah hospital dan wad, keadaan isteri Mohd Nizam tidak banyak berubah. Justeru anak-anak mereka yang masih kecil terpaksa dihantar kepada ahli keluarga yang lain untuk dijaga sementara Mohd Nizam menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri tercinta.
“Sebelum ini kami tinggal di Batu Gajah kerana isteri bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ipoh namun selepas jatuh sakit, kami berpindah ke rumah mak saya di Kampung Changkat Banjar ini. Alhamdulillah, ahli keluarga termasuklah mak ayah saya dan mak ayah mentua serta adik-beradik banyak membantu saya menjaga anak-anak serta menguruskan isteri.
“Ketika mula-mula isteri jatuh sakit saya langsung tidak boleh bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada isteri dan ketika ini ahli keluarga begitu banyak membantu termasuk dari segi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, mereka sekeluarga masih belum mengetahui punca sebenar penyakit yang menimpa isteri Mohd Nizam. Apa yang boleh dikatakan Nor Hafizah kini lumpuh sepenuhnya dan memerlukan bantuan untuk menguruskan diri.
Empat tahun menunggu zuriat
Setelah empat tahun berkahwin, barulah pasangan ini dikurniakan rezeki yang diidam-idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Kegembiraan berganda apabila anak yang dikandung disahkan kembar. Penantian selama ini berbaloi dengan rezeki kurniaan Ilahi.
“Sebenarnya kami menunggu selama lebih kurang empat tahun untuk mendapat zuriat dan apabila isteri saya disahkan hamil anak kembar memang kami sangat teruja. Ketika itu dia dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang masalah namun ketika hamil dia mengalami tekanan darah tinggi hingga memaksanya untuk bersalin awal melalui pembedahan ketika usia kehamilan lebih kurang tujuh bulan lebih.
“Namun selepas itu keadaannya kembali normal dan sihat seperti biasa termasuklah ketika dalam pantang dan selepas habis pantang. Ketika mula-mula diserang penyakit itu, Nor Hafizah masih lagi dalam tempoh bercuti kerana dia mahu melanjutkan cutinya bagi menjaga anak-anak kami yang masih bayi,” katanya.
Siapa yang tidak terkejut dengan keadaan yang sebegitu. Isteri yang sihat tanpa sebarang penyakit, kini terlantar tidak lagi seperti dahulu. Hati lebih sayu apabila melihat anak-anak yang masih kecil, belum pun sempat dimanjakan oleh ibu mereka yang mengandung dan melahirkan mereka. Namun sedar itu semua ujian dari Allah, Mohd Nizam menerima segala ketentuan ini dengan penuh reda.
“Mula-mula kami begitu gembira kerana mendapat cahaya mata yang ditunggu-tunggu selama ini namun sudah takdir isteri hanya mampu mengecap rasa bahagia itu sekejap sahaja. Sekarang anak-anak kami makin besar dan mereka boleh menyebut ibu walaupun dalam keadaan pelat. Saya dapat melihat Nor Hafizah seolah-olah seperti memberi respons dengan membuat bunyi tertentu apabila anak-anak memanggilnya ibu,” katanya penuh sayu.
Perbelanjaan perubatan isteri dan anak
Nor Hafizah kini perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga memandangkan keadaan dirinya yang kini terlantar sahaja.
“Awal-awal dulu dia sering kejang atau sawan dan matanya juga tertutup namun kini matanya sudah boleh dibuka. Makan juga melalui tiub khas yang ditebuk di perut manakala lehernya ditebuk untuk membuang kahak,” cerita Mohd Nizam tentang keadaan isterinya kini.
Jelasnya lagi, sehingga kini isterinya perlu diberi susu khas dan mereka amat bertuah apabila mendapat bantuan susu itu daripada jabatan kerajaan tempat isterinya bekerja dahulu.
“Selain itu isteri ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan dan duit ini boleh juga menampung pembelian lampin pakai buang isteri yang bernilai lebih kurang RM160 sebulan.
“Namun begitu, perbelanjaan kami makin lama makin tinggi memandangkan anak-anak juga semakin membesar. Saya amat berharap agar dapat menyelesaikan masalah tuntutan gaji isteri yang sehingga kini tidak dapat diambil disebabkan masalah tertentu dengan pihak bank. Jika duit ini dapat diambil sekurang-kurangnya dapat membantu kami sedikit sebanyak kerana pada masa ini saya kadang-kala terpaksa bergantung kepada ahli keluarga,” katanya yang hanya bekerja kampung.
Walaupun sudah dua tahun Nor Hafizah terlantar sakit, kasih dan cinta Mohd Nizam terhadap isteri tersayang tidak pernah pudar. Selagi hayat dikandung badan, Mohd Nizam akan cuba menjaga isterinya itu sebaik mungkin.
“Saya sedih namun saya perlu terima hakikat ini dan akan terus menjaga isteri sebaik mungkin kerana ini adalah amanah untuk saya. Kini anak-anak (Muhmmad Amar Aqif dan Muhammad Aiman Aqif) menjadi kekuatan saya untuk menempuh kehidupan mendatang,” tambahnya.
Syawal yang mendatang bagaikan kurang serinya apabila isteri terlantar sakit dan tidak dapat bergerak. Bagi Mohd Nizam, sambutan yang dibuat hanya biasa sahaja. Kadang terbit rasa sedih apabila melihat rakan-rakan yang lain menyambut bersama isteri dan anak-anak.
“Dalam tempoh dua tahun ni bila tiba raya saya sambut macam biasa sahaja. Tapi tipulah kalau saya kata tak sedih bila lihat kawan-kawan lain yang meriah menyambutnya bersama keluarga tersayang. Saya masih belum berpeluang merasa keadaan itu. Saya teringin sangat nak keadaan kembali seperti dulu, tapi apakan daya ini takdir kami, Insya-Allah saya akan jalankan amanah ini dengan seikhlas dan setabah mungkin,”akhirinya dengan redha.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank Mohd Nizam Zolkefli 158118263466
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!