Redza Rosli & Bella Hanna Bakal Timang Cahaya Mata Pertama

Share

Kebahagiaan rumah tangga pelakon Redza Rosli dan isterinya, Bella Hanna, kini semakin bermakna apabila pasangan ini bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Dua tahun selepas melangkah ke alam perkahwinan, berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh pasangan sama cantik sama padan ini menerusi satu hantaran manis di Instagram.

“Sangat bersyukur dengan nyawa yang sedang membesar dalam kandungan saya. Dah lama saya impikan momen ini dan sekarang impian menjadi nyata. Tak sabar untuk bertemu bayi ini tidak lama lagi,” tulis Bella penuh rasa syukur sambil menyertakan emoji bayi lelaki.

Tampil Sedondon

Momen indah itu turut diraikan dalam majlis pengumuman jantina bayi yang berlangsung dalam suasana intim dan penuh kasih di sebuah lokasi bertema taman. Berlatarkan rona putih dan coklat lembut, pasangan ini tampil sedondon dengan busana mengikut tema, manakala tetamu terdiri daripada keluarga dan rakan rapat.

Sebagai penyeri majlis, para tetamu turut menyertai permainan ‘teka jantina bayi’ sebelum detik debaran terlerai apabila semburan warna biru menandakan bahawa Redza dan Bella bakal menimang anak lelaki!

Doa Peminat

Rakan baik pasangan itu, pelakon Wanns Ahmad, turut berkongsi momen bersejarah tersebut di media sosial, mengundang ucapan tahniah dan doa yang tidak putus daripada peminat serta rakan artis.

Untuk rekod, Redza, 33, dan Bella, 29, mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024, selepas sama-sama membintangi drama popular Luruhnya Bunga Cinta

musim pertama  dan kini, kisah cinta mereka beralih ke fasa baharu, menanti kehadiran si kecil yang bakal melengkapkan kebahagiaan rumah tangga mereka.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu