Kredit Foto: Portal Diraja Pahang

Susulan pertabalan pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah , nama Duli Yang Teramat Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj,59 kian meniti di bibir rakyat jelata apabila baginda secara rasminya menjadi Raja Permaisuri Agong yang terbaru.

Kredit Foto: Portal Diraja Pahang

Peribadi Mulia Disenangi Rakyat

Memiliki seraut wajah manis penuh kemesraan dan kaya dengan sifat keibuan, kewibawaan Sultanah berjiwa rakyat ini cukup disenangi seluruh rakyat jelata khususnya di Negeri Pahang. Baginda Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, terkenal dengan sikap ramah apabila berada bersama rakyat jelata.

Baginda tuanku telah diputerikan pada Hari Jumaat, 5 Ogos 1960 Masihi, bersamaan dengan 11 Safar 1380 Hijrah, di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor. Baginda merupakan Puteri yang ketiga kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor.

Pendidikan awal Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Raja Permaisuri Agong bermula di Sekolah Taman Kanak-kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru. Baginda seterusnya bersekolah di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru, dan meneruskan pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Kredit Foto: Portal Diraja Pahang

Dikurniakan 4 Orang Putera & 2 Puteri

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Agong Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah pada bulan Mac 1986. Baginda telah dikurniakan dengan 4 orang putera dan dua orang puteri:-

1.Yang Mulia Tengku Amir Nasser Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SIMP.

2. Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah, SSAP.

3. Yang Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

4. Yang Mulia Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

5. Yang Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

6.Yang Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Tengku Mahkota Tengku Abdullah.

Yayasan Fertaliti Tunku Azizah (TAFF)

Mungkin ramai yang tidak tahu, di awal perkahwinan, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah pernah diuji mempunyai masalah untuk mendapatkan zuriat dan kerap kali mengalami keguguran. Namun, baginda berusaha dengan menggunakan kaedah In-Vitro dan berjaya hamil.

Hal ini telah memberikan inspirasi kepada Tengku Ampuan Pahang untuk mengasaskan Yayasan Fertaliti Tunku Azizah (TAFF) untuk membantu pasangan-pasangan yang ingin mendapatkan cahaya mata tetapi tidak berkemampuan untuk menjalankan rawatan tersebut.

TAFF mula dibangunkan pada Mac 2005 dan telah terbukti berjaya membantu ramai pasangan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan cahaya mata. TAFF juga merupakan satu-satunya yayasan fertiliti di Malaysia yang membantu pasangan yang menginginkan cahaya mata.

Kredit Foto: Portal Diraja Pahang

“Air Tangan Tengku Puan Pahang”

Kegemaran baginda tuanku pada masa lapang ialah membaca, memasak, menjahit, bermain golf dan paling utama menjaga dan bermain-main dengan Paduka-paduka Anakanda serta berbakat dalam bidang penulisan.

Sebuah buku masakan hasil daripada baginda sendiri bertajuk “Air Tangan Tengku Puan Pahang” telah diterbitkan dan seterusnya dilancarkan pada Mac 2005 yang lalu. Sehingga kini penjualan buku tersebut masih lagi dijalankan dan hasilnya disalurkan terus ke Yayasan Fertaliti Tunku Azizah(TAFF).

Kredit Foto: Portal Diraja Pahang

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Raja Permaisuri Agong merupakan penaung DiRaja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri Negeri Pahang dan Pengakap Puteri Sedunia serta merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Baginda juga merupakan Pengerusi PERTAP, Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pahang(WI) serta Pengasas atau Presiden Seumur Hidup Yayasan Fertaliti Tunku Azizah(TAFF). Selain itu, Baginda juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Istana Abdulaziz(YIA) dan juga merupakan Penaung Diraja AP di Hong Kong.

Kami di Mingguan Wanita merafak sembah takzim  setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Semoga perlantikan ini dapat lebih menyumbang jasa dan bakti buat negara dan rakyat. Daulat Tuanku!

Sumber: Portal Diraja Pahang