Kredit foto: Bernama / Canva

Bermula 1 Ogos lagi, pemakaian pelitup muka telah diwajibkan. Namun masih ramai yang gagal berbuat demikian dan ada yang kurang bernasib baik dikompaun.

Ternyata ramai masih keliru, pelitup muka hanya wajib pakai di tempat awam yang sesak. Jika duduk berseorangan dan menjaga penjarakan, tidak perlu memakai pelitup muka.

Ramai Masih Keliru

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui masih terdapat kekeliruan berhubung penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pemakaian pelitup muka.

Ismail Sabri berkata, apabila seseorang itu bersendirian dan mengamalkan penjarakan fizikal, adalah tidak wajib untuk individu berkenaan memakai pelitup muka.

Wajib Pakai Di Tempat Awam Yang Sesak

“Tempat awam banyak, taman awam adalah tempat awam, tapi bila bersendirian maka tidak perlulah memakai pelitup muka kerana seperti saya katakan di tempat awam yang bersesak. Kalau di pasar bersesak, kalau dalam bas atau LRT bersesak, maka perlulah dan wajib pakai pelitup muka.

“Tetapi kalau bersendirian atau ada penjarakan fizikal antara satu sama lain, sebagai contoh di restoran kita (sudah tentu) tidak boleh pakai pelitup muka semasa makan.

“Tapi kerana ada penjarakan antara satu sama lain maka dibenarkan untuk tidak pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

IKLAN

Beliau menyatakan perkara itu berikutan isu tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang individu yang berada di tempat awam berseorangan dan tidak memakai pelitup muka dikenakan tindakan.

Baca Juga Di sini:

Bayi Tak Perlu Pakai Pelitup Muka, Cara Terbaik Duduk Di Rumah

Bermula 1 Ogos WAJIB Pakai Pelitup Muka Di Tempat SESAK, Pengangkutan AWAM

IKLAN

Sejak 1 Ogos Wajib Pakai Pelitup Muka

Mulai 1 Ogos, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya bertegas dan tidak bertolak ansur dengan pemilik premis hiburan yang masih berdegil tidak mematuhi SOP dengan sama ada menarik semula lesen premis atau menghentikan operasi mereka untuk selamanya.

Ia susulan tangkapan membabitkan operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan.

IKLAN

Pembukaan Aktiviti Pelancongan

“Arahan daripada kerajaan juga amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang. Premis seumpamanya tersenarai di bawah larangan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara juga katanya, bersetuju secara dasar dengan cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berhubung pembukaan aktiviti pelancongan khususnya di tempat terbuka seperti Zoo Negara, Legoland dan lain-lain.

Mengenai tangkapan semalam beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 201 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemuanya telah dikompaun menerusi pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Seramai 14 pendatang tanpa izin pula berjaya ditahan semalam menerusi Op Benteng yang diadakan di seluruh negara,” katanya. – Bernama

MW: Biarpun dilihat peraturan sekarang agak longgar, mak ayah seharusnya sentiasa menjaga SOP demi menjaga kesihatan keluarga tersayang.

Sumber: Bernama / Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI