Usianya sudah hampir mencecah tiga tahun. Namun begitu Muhamad Rais Haziq bin Meidi Erfen tidak mampu berjalan laju seperti kanak-kanak seusianya. Pergerakannya agak lambat. Dia hanya mampu duduk dan mengengsot. Muhamad Rais juga tidak boleh bercakap. Jika dia mahukan sesuatu, Muhamad Rais akan menangis.
Apa masalah yang berlaku pada Muhamad Rais? Sebenarnya Muhamad Rais mengalami masalah kepala besar atau hidrosefalus. Saluran pernafasannya sempit. Paru-paru sebelah kanan besar sebelah. Ibunya, Zuraini Sulaiman masih ingat lagi pesanan doktor kepadanya.
“ Saya perlu terima hakikat sekiranya anak saya tidak lama kerana doktor memberitahu anak saya ini turut menghidap Megalencephaly dan capillary malformation syndrome. Mereka tidak boleh jamin berapa lama umur anak keempat saya ini.”
Zuraini korbankan kerja demi menjaga Muhamad Rais
Mengimbas semula kisah kehamilannya, Zuraini , 42, berkata apabila melakukan pemeriksaan pada bulan keempat kehamilannya di klinik kesihatan, doktor mendapati kepala anaknya lebih besar daripada badan.
“ Terkejut saya mendengarnya. Doktor kemudian memberitahu dia akan melakukan semula imbasan pada bulan hadapan. Kali ini doktor itu akan membawa seorang lagi doktor pakar untuk melihat keputusan imbasan tersebut.
” Saya datang semula pada bulan hadapan. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor pakar turut memberikan keputusan yang sama. Saya kemudiannya diminta merujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan selanjutnya.
” Di sana, sewaktu doktor pakar melakukan imbasan, memang jelas kepala anak saya besar dari badan. Ketika itu usia kandungan adalah 5 bulan. Doktor kemudiannya memberitahu pada usia kandungan 7 atau 8 bulan, mereka mahu mengambil sedikit air ketuban. Mereka mahu memeriksa simptom apa yang berlaku pada anak saya.
” Doktor memberitahu saya perlu membayar RM600 kerana air ketuban saya itu perlu dihantar ke Amerika Syarikat untuk diuji. Saya beritahu doktor saya tidak ada duit sebanyak itu. Ditambah pula pada ketika itu saya ada tiga orang lagi anak-anak yang sedang bersekolah.
” Ketika kandungan berusia 7 hingga 8 bulan, pemeriksaan yang dilakukan mendapati bacaan kepala anak saya itu terlebih dari carta yang ada pada doktor. Doktor mahu juga mengambil air ketuban, tetapi dia kata saya perlu bayar.
Ads
” Saya menolak kerana tidak ada duit. Doktor memberitahu jika saya tidak beri, risikonya anak akan cacat dan sebagainya. Saya beritahu pada doktor, saya terima anak saya seadanya.”
Ketika kandungannya 35 minggu, doktor memberitahu Zuraini perlu bersalin dan pembedahan perlu dilakukan. Pada 2 Mac 2016, Muhamad Rais telah dilahirkan secara pembedahan.
Buang Shunt Lama Ganti Shunt Baru
Kehidupan Muhamad Rais selepas dilahirkan tidak semudah yang disangka. Selepas dilahirkan anaknya itu terus dimasukkan ke dalam ICU kerana mengalami masalah pernafasan. Selama seminggu Muhamad Rais berada dalam ICU. Doktor mendapati saluran pernafasan Muhamad Rais sempit dan pembedahan perlu dilakukan.
“ Dua minggu kemudian pembedahan memotong saluran pernafasan dilakukan. Satu alat diletakkan bagi merenggangkan sedikit saluran pernafasan yang sempit itu. Selepas itu anak saya duduk di hospital selama 3 bulan.”
Ads
Keluar hospital tidak bermakna masalah telah selesai. Muhamad Rais perlu kerap kali dibawa berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan susulan.
“ Ketika berusia 10 bulan, doktor mendapati lilitan kepala anak saya itu berukuran 68 cm. Kepala anak saya lebih besar dari badan. Doktor melakukan x-ray dan mendapati air bertakung di dalam kepala. Terus anak saya ditahan di wad.
” Selepas itu pembedahan membuang air dan memasang satu alat iaitu VT Shunt di dalam kepala. VT Shunt akan bertindak sebagai penyedut air. Doktor kata anak saya tidak ada saluran air dalam kepala. Seumur hidup dia perlu pakai VT Shunt itu untuk membuang cecair berlebihan daripada kepalanya.”
Selama 3 tahun, Muhamad Rais telah dibawa berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Dia aktif seperti biasa. Bersyukur Zuraini dengan keadaan anaknya itu.
Namun pada 29 Disember 2018, Muhamad Rais mula muntah-muntah dan tidak aktif. Dia terus dibawa ke hospital.
Ads
“ Doktor pakar memberitahu VT Shunt yang ada tidak boleh lagi berfungsi. Ia perlu dicabut. Sementara itu Shunt baru perlu dimasukkan. Pada 4 Januari 2019 lalu, Muhamad Rais telah dimasukkan ke wad.
” VT Shunt yang digunakannya itu telah dibuang dan diganti dengan Shunt yang baru. Shunt bermagnetik ini berharga RM3500.Doktor memberitahu Shunt ini boleh tahan sehingga Muhamad Rais besar. Sekali lagi saya dan suami mengumpul duit untuk membayar kos pembedahan tersebut.”
Banyak perubahan Muhamad Rais setelah Shunt bermagnetik ini dipasang. Lilitan ukuran kepalanya telah semakin berkurangan. Kini Zuraini dan keluarganya mampu bernafas lega seketika. Namun dalam pada itu melihatkan anak semakin membesar, Zuraini semakin risau kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada anaknya kelak.
Berhenti Kerja Demi Jaga Anak
Dahulu apabila mengetahui anaknya tidak sama seperti anak-anaknya yang lain, Zuraini sedikit kecewa. Tetapi kini Zuraini sudah dapat menerima hakikat keadaan kesihatan anaknya ini. Namun dia sedar di luar sana ada juga ibu bapa yang turut memiliki anak dalam keadaan yang sama seperti anaknya. Apa yang mampu Zuraini katakan kepada ibu bapa ini adalah bersabar.
“ Suami menasihatkan saya agar redha dengan apa yang Tuhan berikan kepada kami. Saya terima seadanya apa yang berlaku pada anak saya ini. Nasihat saya kepada ibu bapa yang dapat anak sebegini kena tumpukan perhatian kepada anak mereka kerana anak ini masih kecil mereka tidak boleh bercakap. Jadi kita faham anak ini agar mudah kita tahu dia sakit atau tidak.
” Tidur ibu bapa anak sebegini tidak cukup lama kerana banyak perkara tidak dijangka boleh berlaku pada anak. Anak sebegini mudah tersedak. Dan kalau secara tiba-tiba air bertakung di kepala, muka anak akan berubah jadi biru. Ibu bapa jangan tidur lena. Mereka kena berkorban demi anak.
Pesan saya, kalau dapat anak sebegini, ibu kalau boleh jangan bekerja. Saya sendiri terpaksa berhenti kerja dan mengorbankan kerana perlu menjaga anak. Sejak tiga tahun lalu keluarga kami ini hanya bergantung pada suami untuk mencari rezeki.”
Zuraini bersyukur anak-anak sanggup bantunya menjaga Muhamad Rais
Sumbangan Seikhlas Mungkin
Ingin bantu keluarga ini, bolehlah memberi sumbangan pada akaun CIMB 7010743104 Zuraini Sulaiman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tahniah buat selebriti Yatt Hamzah yang selamat melahirkan anak perempuan ketiga seberat 3.33 kilogram (kg) di sebuah pusat perubatan di sini, pada jam 12.10 tengah hari, kelmarin.Meskipun kandungannya overdue dan menghadapi ujian kesukaran sewaktu melahirkan anaknya, namun yatt tetap positif dan alhamdulillah segalanya selamat.
Yatt memberitahu, dia dan anaknya berada dalam keadaan baik dan berkongsi didalam laman instagram beliau.
“Kami sekeluarga menzahirkan rasa syukur atas kelahiran puteri kami yang ketiga ini.
“Jutaan terima kasih atas doa dan sokongan semua terutama keluarga, rakan dan pihak yang mendoakan termasuk pengikut media sosial,” luah Yatt melalui coretan di Instagram.
Yatt atau nama penuhnya, Haryati Hamzah berharap anaknya membesar menjadi insan yang baik.
“Mohon doakan agar anak ini jadi seorang mujahidah yang solehah dan hafizah al-Quran. Semoga dia menjadi hambaNya yang faqih lagi muttaqin,” katanya.
Sementara itu Yatt juga ada, menceritakan detik-detik yang mencabar sewaktu kelahiran anaknya yang ketiga ini.
“Sungguh, 1 hari yang sangat mencabar. Masuk ubat induce pukul 1 pagi 1 April malam tadi. Lepas 5 minit terus sakit datag menyerang, makin lama makin kerap, makin panjang & makin kuat sakitnya sampai satu tahap rasa macam nak pecah dan meletop rahim peranakan tu. Allahuakbar, Allah saja yang tahu sakitnya macam mana. Tak boleh tidur sepanjang malam bertarung dengan sakit demi melahirkan anak #babyYH secara normal. Mudah-mudahan jadi khafarah cuci dosa Bonda si pendosa ini.
Lepas Subuh dalam Jam 7 pagi, nurse datang check bukaan baru 3 cm. Allahu sakit sepanjang malam hanya progress 1 cm je. Sebelum induce bukaan 2 cm. Lepas induce 3 cm. Alhamdulillah itu bahagian saya. Lain ibu, lain rezekinya.
So dalam pukul 8.30 pagi saya dipindahkan ke Labour Room untuk masukkan water induce yang lebih kuat bagi cepatkan lagi bukaan. Masuk je air tu dalam saluran darah, Allahu terus sakit contraction menyerang 3 kali ganda lebih kuat, lebih lama dan lebih kerap dari yang diharungi sepanjang malam tadi. Lepas tu, air ketuban dipecahkan untuk lajukan lagi progress. Dan selepas tu.. Ya Allah sakitnya Allah je tahu. Wallahi tak tertanggung.
Syukur Alhamdulillah. Inilah nikmat sakit yang hanya wanita bergelar ibu dapat rasakan. Hanya seorang IBU diberikan KEISTIMEWAAN ini. Maka beruntunglah wahai ibu-ibu, Allah tinggikan darjatmu di sisiNya. Bersyukurlah.
Mingguan Wanita ucapkan tahniah diatas kelahiran puteri yang ketiga. Semoga membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah, kebangaan ibu dan ayah. Selamat berpantang Yatt!
Yatt bernikah dengan juruvideo, Mohammad Zulfadhli Khairuddin pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata Suci Humaira Iqlima,1. Daripada perkahwinan lalu, Yatt memiliki anak perempuan, Suci Hanania Malika, 8.
Lalat hitam? Siapa hendak tengok lalat hitam? Apa kegunaan lalat hitam ini? Itulah persoalan yang keluar daripada mulut Dr. Zubaidah Ya’cob apabila ditawarkan menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya.
Tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan mengenai lalat hitam, Dr Zubaidah pun melibatkan diri dalam bidang kajian yang pernah dianggap ‘kerja gila’ oleh mereka yang mengenalinya. Kini telah lapan tahun Dr Zubaidah ‘hidup, makan dan tidur’ dengan lalat hitam.
Pakar
Masih ada lagi yang tidak memahami ketaksubannya pada lalat hitam. Namun di sebalik semua itu, Dr. Zubaidah berasa puas kerana penglibatan secara tidak langsung pada peringkat awal itu telah melayakkan dirinya kini menjadi pakar lalat hitam di Malaysia.
Kisah Dr. Zubaidah dan lalat hitam bermula pada tahun 2010. Pada tahun 2006, dia menjalankan penyelidikan terhadap ekologi burung hutan demi mahu bagi mendapatkan Ijazah Sarjana. Selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana pada tahun 2010, dia mula mencari kerja.
“ Kebetulan ketika itu seorang pensyarah di Universiti Malaya memberitahu bahawa mereka memerlukan seorang penyelidik untuk membuat kajian mengenai lalat hitam di Malaysia. Penyelidik ini akan membantu Penyelidik dari Jepun Profesor Hiroyuki Takaoka yang melakukan penyelidikan tersebut di Malaysia.
“ Saya tanya kepada Prof Hiroyuki kenapa lalat hitam dan apa keistimewaannya serangga ini? Terus Prof. Hiroyuki menunjukkan lalat hitam kepada saya. Betapa terkejutnya apabila melihat lalat hitam lebih kecil daripada lalat biasa yang kita lihat selama ini. Saiz lalat hitam dewasa itu adalah 3 hingga 6 milimeter. Ia hanya dua kali ganda daripada agas,” ujar Dr. Zubaidah berkongsi titik penglibatannya dengan lalat hitam.
Daripada penjelasan yang diberikan oleh Profesor Hiroyuki barulah Dr. Zubaidah mengetahui sedikit sebanyak mengenai lalat hitam.
“ Lalat ini di Afrika, apabila ia menggigit manusia, ia akan melepaskan cacing pada kita Apabila cacing itu menggigit, ia akan melepaskan anak cacing di bawah kulit manusia. Apabila cacing jantan dan betina bertemu, ia akan mengawan dan menghasilkan jutaan anak cacing. Anak-anak cacing ini berpotensi untuk bergerak ke seluruh badan sehingga ke mata dan menyebabkan kebutaan,” jelasnya.
Profesor Hiroyuki yang kini berusia 73 tahun dengan penuh sabar mengajar Dr. Zubaidah. Wanita berusia 36 tahun ini yang pada mulanya bermula sebagai pembantu penyelidik pada tahun 2010 telah mendaftar untuk melakukan PhD pada tahun 2014. Pada tahun 2017 dia telah berjaya memperolehiPhD dan sekali gus telah dilantik menjadi Pensyarah Kanan Penyakit Berjangkit Tropika dan Pusat Pendidikan Universiti Malaya.
Paksa Suami Teman Cari Lalat Hitam
Kesabaran adalah perkara penting yang dipelajari oleh Dr. Zubaidah dalam mengkaji lalat hitam di Malaysia. Tidak hairanlah jika tiga buah peti sejuk di makmalnya dipenuhi dengan sampel-sampel lalat hitam.
“ Saya belajar menjadi sabar dan pupuk minat untuk mencarinya di seluruh Malaysia sebab tidak ada orang yang buat kajian mengenainya di Malaysia. Pencarian itu membuatkan saya perlu pergi ke banyak tempat seperti ke Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Murut dan seluruh negeri di Malaysia.
“ Semasa mencari pensampelan dalam penyelidikan PhD, saya perlu menjelajah 18 sungai di Cameron Highlands selama dua tahun. Bila rasa penat, ada juga rasa hendak ‘give up’. Tetapi bila ingat lagi ini PhD, saya teruskan juga sehingga habis.
“ Paling menarik dalam pencarian lalat hitam ini apabila saya berpeluang menjelajah di seluruh Malaysia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuklah Vietnam, Indonesia, dan Thailand.
“ Di 180 sungai di Malaysia di mana saya mencari lalat hitam ini, semua sungai itu adalah habitat semula jadi pupa dan larva lalat hitam. Lalat hitam ini terdapat di dalam air sungai dan air terjun yang bersih. Dalam masa yang sama kita boleh tahu bahawa semua sungai yang ada di Malaysia ini dalam prestasi yang bagus. Kehadiran lalat hitam itu sebagai petunjuk bahawa sungai itu bersih tanpa sebarang serangga perosak lain,” terang Dr. Zubaidah.
Sehingga kini Dr. Zubaidah masih tidak dapat lagi menemui spesies lalat hitam yang menghisap darah manusia. Tetapi Dr. Zubaidah telah menjumpai lalat hitam menghisap darah haiwan iaitu babi hutan.
Dalam mencari lalat, suaminya Nor Azhar Jamil adalah peneman setia Dr. Zubaidah dalam mencari lalat. Suaminya merupakan kakitangan sokongan di UM, namun setiap kali Dr Zubaidah melakukan pencarian, suaminya akan mengambil cuti untuk menemani.
“ Suami terpaksa bertolak-ansur dengan saya. Kami banyak habiskan masa di lapangan pencarian. Kalau di Cameron Highlands hari itu seminggu kami di dalam hutan. Pencarian kami tidak mengira masa termasuklah selepas hari raya puasa. Kami redah semua. Nasib baik kami tidak memiliki anak lagi. Allah itu Maha Besar. Dia tahu apa yang terbaik buat kami. Disebabkan saya juga suami terpaksa mendaki Gunung Kinabalu hingga ke puncak.
“ Proses mencari lalat itu agak lama. Kami akan berjalan di sepanjang sungai mencari sampel. Setelah jumpa saya akan berhenti pada satu tempat untuk membuat sedikit kajian. Hanya apabila hari telah gelap dan kami tidak mampu berjalan barulah kami akan berehat dan tidur.
“ Sepanjang menjelajah Malaysia, saya bersama suami telah berjaya menjumpai 20 spesies baru lalat hitam. Kebanyakan spesies baru ini dinamakan dengan nama mereka yang paling saya hormati,” luahnya lagi.
Kepuasan sebenar Dr. Zubaidah dalam pengkajiannya ini adalah apabila ada orang cakap bahawa dia adalah pakar lalat hitam di Malaysia. Malah katanya jika ada yang mahu melihat hasil kajiannya bolehlah membaca jurnal-jurnal bertaraf antarabangsa yang telah diterbitkan.
“ Saya tidak menafikan apa yang saya buat ini memang membosankan di kaca mata orang biasa. Tetapi dalam bidang penyelidikan kita dianggap hero sebenarnya. Hero maknanya orang awam tidak akan tahu dan kepentingan kajian ini selagi tidak terkena pada batang hidung mereka.
“ Sebagai contoh, hanya setelah disahkan mengalami demam denggi baru orang awam ambil tahu kepentingan mengelakkan diri daripada nyamuk aedes. Sebab itu saya fokus pada lalat hitam. Saya rasa saya berjaya buat benda orang lain tidak mampu buat,” akhirinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pelakon kecil molek berwajah comel Sari Yanti Dato’ Mohamad Nazari,33 atau lebih dikenali sebagai Sari Yanti telah selamat melahirkan cahaya mata malam tadi. Ia merupakan kelahiran anak ketiga bagi Sari Yanti yang sebelum ini telah memiliki dua orang anak lelaki iaitu Barr Al Aliy,8 dan Basit Al-Haq,6 hasil perkahwinan terdahulu.
Dengan ini, Mohd Nadzri Zainal Abidin,33 atau lebih dikenali sebagai Jep Sepahtu,Jep Sepahtu suami kepada Sari Yanti, telah selamat bergelar abah dengan kelahiran ini.Berkongsi kegembiraan dan pengalaman yang tidak dilupakan, Jepp mengucapkan rasa kesyukuran diatas kelahiran anaknya serta berterima kasih atas ucapan dan doa yang diterima serta ada memuat naik kata-kata berikut didalam posting terbaru instagram beliau;
“Allahuakbar. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih atas ucapan serta doa yang tak henti-henti buat kami. Pengalaman yang tak boleh dilupakan. Tq sayang @sariyanti “❤️ #BabyGirl #AnakAbah #Abah
#Babygirl
Meskipun tidak mengumumkan secara rasmi jantina anak mereka, namun menerusi #babygirl yang ditulis, menunjukkan kemungkinan pasangan selebriti ini telah menimang cahayamata seorang puteri.
Sari Yanti, 34,terkenal menerusi peranannya sebagai Kaisara dalam sitkom Kisah Kaisara. Manakala, Jepp Sepahtu merupakan bekas anggota Kumpulan Sepah yang menjuarai Raja Lawak 3 dan Maharaja Lawak 2011. Pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada 25 Februari 2017.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Jepp Sepahtu dan Sari Yanti. Semoga kelahiran bayi comel ini, mengikat kasih sayang, menambah kebahagiaan dan melimpahkan rezeki yang melimpah buat keluarga.Selamat berpantang Sari Yanti!
Kisah menyentuh hati seorang nenek memangku jenazah bayi meredah banjir sejauh 3km menaiki pacuan empat roda demi menyempurnakan pengebumian. Ketabahan keluarga ini mengundang sebak.