Suami isteri ini ke sebuah kedai dobi, di sana dia bertemu dengan seorang ibu yang sedang mendobi pakaian anak menantu ibu ini. Tanpa sengaja, ibu tadi meluahkan rasa hati sayu dengan sikap anak menantu tak kenang budi yang duduk sekali dengannya.
Macam-macam rasa bercampur baur saat membaca perkongsian Ws Adli W Muhammad ini. Apabila anak-anak mula menjadikan ibunya hamba, maka hilanglah nikmat bakti pada orang tua dalam hidup seorang anak itu. Awas ya! anda sebenarnya sedang menempah satu tiket ke alam seksa kubur yang amat berat.
Seorang Ibu Tua Dan Kedai Dobi Layan Diri
Sejak beberapa hari lalu, cuaca tidak menentu di kawasan kami. Disebabkan itu, saya dan isteri membasuh baju di rumah, kemudian bawa baju yang belum kering tu ke kedai dobi layan diri untuk dikeringkan.
Saya suka pergi sebelah pagi. Sebab pagi jarang orang ada. Tak lah berebut nak guna dan menunggu lama. Biasanya, kalau saya pergi, memang kami sahajalah yang adanya.
Jadi, hari itu saya dan isteri pun pergi ke satu kedai dobi ni. Masa sampai, saya lihat ada seorang makcik di dalamnya. Duduk di atas kerusi sambil sebelah tangan sedang memegang telefon. Ralit makcik tu menghadap telefon bimbitnya.
Saya masuk dan memberikan salam. Makcik mengangkat muka, menjawab salam dan memberikan senyuman kepada kami berdua.
Saya tengok pada mesin, makcik gunakan dua mesin basuh. Dalam hati saya, agaknya banyaklah tu dibasuhnya. Sedang isteri mengisi pakaian kami dalam mesin dryer, saya pula menukar duit kertas.
Selesai, saya dan isteri pun duduk sepertimana makcik.
Makcik mula memandang kami. Senyum. Kami membalas.
Kemudian, isteri saya pun bertanya “Seorang je makcik?” Makcik menjawab kembali “Ya seorang sahaja. Yang lain sedap tidur lagi.”
Puas Dah Berdepan Nasihat Panas Duduk Dengan Orang Tua
Kami berdua tersenyum. Saya lihat jam di telefon, dah jam 7.00 pagi. Lambat belaka bangun agaknya anak-anak dia.
Isteri saya bertanya lagi “Makcik duduk mana?” Makcik menjawab dengan mengatakan dia duduk di sebuah kampung yang memang kami tahu mana tempatnya.
Makcik pula bertanya “Duduk mana ni? Kerja apa?” Isteri saya menjawab “Duduk di Paya Pulai makcik. Duduk dengan mak dan ayah. Suami saya cikgu sekolah rendah, saya cikgu KAFA” Makcik senyum. Makcik berkata lagi “Oh, duduk dengan orang tualah ya? Macamana, okey ke?”
Isteri menjawab “Alhamdulillah makcik. Okey. Seronok pun seronok. Dulu, masa muda-muda duduk jauh dengan mak dan ayah. Ini dah ada peluang, mak dan ayah minta tinggal dengan dia orang.” Isteri saya tertunduk malu menjawab.
Maklumlah, kami dah puas berhadapan dengan orang yang mengata-ngata pasal duduk dengan orang tua sendiri ni. Manalah tahu, kot-kot makcik pun nak bagi nasihat panas macam orang lain.
Makcik berkata “Boleh ke encik duduk dengan mak mentua? Mak mentua kan, ke mak tu mak kandung?” Saya pun menjawab “Tu mak mentua saya. Alhamdulillah, kami senang hati duduk dengan mak ayah kami. Mak ayah kami pun alhamdulillah, tak ada masalah. Kalau pergi mana lama-lama bercuti, adalah dia orang menelefon minta kami balik segera, sunyi katanya. Hehe”.
Makcik diam. Kepalanya tertunduk. Mukanya sayu.
Anak Menantu Makcik Semua Pemalas..
Dia berkata perlahan “Untunglah. Makcik tak macam tu” Saya dan isteri memandang sesama. Kemudian saya bertanya “Kenapa makcik?”
“Makcik ni, semua benda makcik buat. Anak menantu dua pasang duduk dengan makcik. Cucu ada 7. Masalahnya, semua pemalas. Masak malas, basuh baju malas, kemas rumah malas, semualah malas. Makcik ni bukan rajin juga, tapi tak lah semalas dia orang tu.
“Balik kerja, tahu cari makan kat dapur. Pepagi, tanya mana baju anak dia orang. Mana skaf, mana seluar, mana tali pinggang. Semua tanya makcik. Itu belum pakaian dalam bakul. Selagi makcik tak bawa keluar ke mesin basuh, selagi tu lah duduk dalam bilik.
“Ini kita dah basuh, lipat pun malas. Penuh atas kerusi di ruang tamu. Dahlah lipat malas, nak mengalihkannya pun tidak. Semua makcik kena buat. dia orang tahu, bila lapar cari makan di dapur. Kemudian duduk depan tv, tengok cerita macam-macam.
“Dah tu, satu benda lagi, binatang tulah. Menghadap telefon siang malam. Gelak-gelak. Entah apa-apa. Duduk beramai-ramai menghadap benda alah tu. Kita ni, nak berborak pun tak dilayan. Sepatah, dijawab sepatah. Banyaknya, bila ditanya, tak berjawab. Senyum sorang-sorang depan telefon.
“Agaknya, memang kiamat dah nak dekat. Ni lah salah satunya. Mak ayah jadi hamba anak-anak.” jelas makcik dalam nada suara sederhana kuat. Kekal memandang ke lantai.
Saya dan isteri terdiam. Kelu.
Kalau Mak Tegur.. Anak Menantu Tarik Muka, Lepas Marah Dekat Anak
Saya kemudian bertanya lagi “Makcik tak tegur ke? Tak kan biarkan sahaja macam tu?”
“Nak tegur apanya. Tegur karang tarik muka. Tak nak makan. Jadi membazir pula makanan tu kita masak banyak-banyak. Bila kita kata kita letih, dia siap suruh kita masuk tidur. Pergi berehat katanya. Kita ni masuklah bilik, tidur. Ingatkan bila bangun semua jadi eloklah.
“Tak juga. Macam itulah gayanya. Makcik pernah berkeras sekali. Tapi anak-anak dia orang jadi mangsa. Nak marah beria ke kita dia tak berani. Jadi marah anak-anak. Pukul anak-anak. Suruh anak-anak buat itu ini. Perintah macam-macam. Tak jadi kita menengoknya. Sakit dada ni.” makcik mengeluh panjang selepas bercakap begitu.
Saya dan isteri memandang sayu kepada makcik. Perlahan saya bercakap, tapi boleh didengari “Maaf makcik. Saya rasa makcik ni berlembut sangat dengan anak makcik tu. Tak boleh dibiarkan. Yang merananya badan makcik. Makcik bukan daya pun nak buat semua.
Lagi satu, makcik memang tak payah beria nak buat semua tu. Biarkan sahaja. Bertimbun baju sampai tinggi gunung ke, lantaklah. Pandailah dia orang membasuhnya.
Makcik kena keras sikit. Jangan bagi muka. Bab dia pukul anak tu, makcik sound direct sahaja. Jangan simpan-simpan. Susah-susah, makcik suruh sahajalah anak makcik tu duduk tempat lain.
Tak salah makcik nak tolong. Tapi tolong tu pun kena beringat. Tak salah makcik nak masak untuk mereka, tapi yang lain tu, pandai-pandailah dia orang semua ambil kerja tu.
Dah Duduk Dengan Mak Ayah, Takkan Nak Suruh Semua Diaorang Buat
Masalahnya, kita suka diam. Pendam. Lepas luahkan perasaan pada dinding, pada siling. Duduk baring termenung fikirkan hal begini. Perangai orang kita ni, tak berani nak tegur depan-depan. Bukan makcik sahaja, kami pun sama. Tegur salah, tak tegur pun salah. Sibuk nak jaga hati orang. Bimbang hati orang lain terluka.
Padahal, diri kita ni bukan sekadar terluka, dah terbelah bagai dah hatinya. Patutnya, kita sama-sama kena faham. Semua dah besar. Kepala otak pun baik berfungsi. Bukan gila.
Dah duduk dengan mak dan ayah, tak akan semua benda dia orang nak buat macam kita kecil-kecil dulu. Kitalah ambil tanggungjawab pula. Basuh baju sendiri. Kemas rumah. Biar mak dan ayah tu berehat. Makan pakai mak ayah pun anak-anak kena jaga. Beli. Belanja. Dah namanya duduk sekali.
Biar mak ayah melayan riuh-rendah suara cucu. Biar dia orang lapang hati menghadap muka kita. Biar dia orang gembira lihat kita sepertimana melihat wajah kita kecil-kecil dulu. Bagi mak ayah rehat. Sudah-sudahlah nak bagi mak ayah buat macam-macam.
Makcik kena berkeras. Tak boleh dibiarkan. Sampai bila nak macam ini? Pakaian tu, pakaian dia orang ke?” saya menutup bicara dengan soalan kepada makcik.
Suasana sepi. Sunyi. Yang berbunyi hanyalah mesin-mesin basuh dan kipas di atas.
“Ya, semua dalam mesin tu dia orang punyalah. Makcik dah tak daya. Makcik pergilah sini. Encik, dik, maaflah makcik berkongsi hal keluarga sendiri. Buka aib keluarga sendiri. Tak terniat pun. Apa yang encik cakap tu, nanti makcik bincang dengan suami. Memang, memang makcik dah tak daya. Umur pun dah 60 lebih.” tertunduk lagi makcik berkata.
Saya dan isteri sama-sama menundukkan kepala. Selepas itu, kami semua tidak lagi berbicara.
Mak Ayah Bukan Hamba.. Bukan Juga Orang Gaji Kita
Kalian,
Mak dan ayah kita bukan orang gaji kita. Bukan tukang masak kita. Bukan hamba kepada kita. Itulah nikmat agung kurniaan Allah untuk kita semai segala bakti selama mereka masih bernyawa. Mereka telah serahkan segalanya hidup dan mati untuk kita, harta dan wang ringgit membesarkan kita.
Malanglah, andai mereka dijadikan orang-orang suruhan bagi menyenangkan segala kerja kita, memudahkan segala jalan hidup kita. Mereka, insan agung duduknya di atas, bukan boleh dikacau- bilaukan kedudukannya, diremeh tenyehkan hati-hati mereka dengan perilaku yang menghancur-luluhkan hati kedua-duanya.
Mak dan ayah, satu-satunya kurniaan Allah kepada kita. Tidak boleh ditukar ganti, tidak boleh dijual beli. Yang ada hanya untung dan rugi. Untung dan rugi itulah, kita tahu mana letak duduknya.
Selaut kasih kepada mak dan ayah, tetap tidak mampu menandingi segala jasa dan pengorbanan mereka kepada kita.
Sumber/Foto : WS Adli Muhammad, Pengajaran dan peringatan hidup dari seorang ibu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Azabnya kesengsaraan fizikal yang ditanggung oleh anak kecil ini sebelum meninggal dunia akibat hilangya sifat perikemanusiaan seorang manusia.Dipukul dengan objek tumpul sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus, itu penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak 6 tahun, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, sehingga menemui ajal akibat disyaki didera oleh teman lelaki ibunya, kelmarin.
Terbongkar Selepas Bedah Siasat
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar menjalankan bedah siasat ke atas jenazah kanak-kanak malang itu, semalam. Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.
“Mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius, selain ususnya pecah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini.
Azisman berkata mangsa telah meninggal dunia pada 4 pagi Rabu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu. Beliau berkata susulan kematian Mohamad Rayyan, polis telah menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya yang berusia 26 tahun.
“Suspek serta ibu mangsa ditahan petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dan kebanyakannya membabitkan curi motosikal,” katanya.
Azisman berkata, polis telah mendapat perintah tahanan reman selama seminggu ke atas pasangan itu bermula hari ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ditemui Sihat Bulan Lalu
Sementara itu, bapa mangsa, Hairil Khan Azali, 32, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi anak saudaranya pada Rabu.
“Rayyan dibawa ke hospital pada malam Selasa dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
“Saya hanya mengetahui dia dipercayai didera selepas laporan forensik yang dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah pada 8 malam, semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hairil berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya sekitar bulan lalu dan ketika itu keadaannya masih sihat.
“Saya berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu. Saya kerap berjumpa dengan Rayyan sebelum ini kerana dia tinggal dengan bekas mentua di Kampung Abi, di sini.
“Namun, sebulan lalu saya tidak dapat berjumpa dengannya selepas bekas isteri membawa Rayyan keluar dan tinggal dengan kekasihnya.
“Tetapi saya tak tahu di mana mereka tinggal kerana bekas mentua saya pun tidak dimaklumkan,” katanya.
Menurutnya, jenazah anaknya selamat dikebumikan tengah malam tadi Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim.
Semoga anak kecil ini dicucuri rahmat dan berbahagia disyurga hendaknya. Pesanan buat para wanita mahupun mak-mak, jangan sesekali sanggup ‘korbankan’ anak, pejamkan mata yang berlaku demi cinta buta. Anak kecil seharusnya disayangi dan dilindungi bukannya dijadikan tempat melepaskan segala amarah dan rasa benci.
Bila PM lanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, ini peluang keemasan untuk para ibu. Manfaatkan masa PKP, atur strategi padu latih anak berpuasa sambil mak-mak ganti puasa.
Pertama kali puasa mesti rasa berat sangat nak mulakan langkah pertama. Mak-mak kena pandai beli jiwa anak. Mula-mula, terangkan dulu kenapa mereka kena berpuasa dan kelebihan puasa. Bila anak dah faham, barulah mereka sedang hadam.
Puasa Separuh Hari
Jangan paksa anak untuk terus puasa penuh. Tapi mulakan berperingkat. Permulaan, ajar anak berpuasa 1 ke 2 jam sehari. Hari seterusnya tambah kepada 2 ke 4 jam.
Kemudian latih anak berpuasa separuh hari. Bila kita mulakan perlahan-lahan, anak tidak terkejut dan tubuh mereka menerima perubahan ini.
Bila tengok anak dah steady, baru latih mereka puasa penuh. Hari pertama nak dapat mereka puasa penuh, memang kena tahan telinga. Ada yang menangis dan merayu nak berbuka sebab tak tahan lapar.
Pujuk elok-elok, dalam masa yang sama pantau keadaan anak. Kalau mereka nampak lemah sangat, mungkin mereka belum bersedia. Biarkan mereka berbuka dan cuba lagi esok sehingga akhirnya anak-anak berjaya puasa penuh.
Bagi Hadiah
Bila sentuh bab ini, mak kena ada strategi padu. Selain janjikan menu bersahur dan berbuka ikut taste anak, mak-mak juga kena pandai psiko anak-anak.
Jangan lupa sorok makanan , sebaiknya kosongkan peti ais seketika. Mak-mak pun janganlah menonton rancangan masakan, itu mengundang namanya.
Bagi motivasi berterusan dan beri hadiah bila anak berjaya puasa penuh. Mula-mula memang anak buat sebab nak hadiah tapi bila mereka meningkat remaja, keikhlasan akan datang sendiri.
Ganti Puasa Sambil Teman Anak
Cara yang paling berkesan, bila mak cakap mak pun buat. Action speak lauder, anak akan lebih meniru perbuatan kita berbanding mendengar cakap. Jadi marilah kita ganti puasa berjemaah sambil teman anak-anak.
Saya pasti anak akan lebih bersemangat bila tahu mak pun berpuasa. Mereka rasa dihargai dan tidak keseorangan melalui ujian melengkapkan puasa. Jangan lupa ajar anak niat puasa ye, mak-mak pun sama. Selamat berjuang!
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang Semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan hanya memiliki anak perempuan dan tidak mempunyai anak lelaki.Rupanya ia ada hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana terdapat kajian daripada aspek biologi mendedahkan bahawa melahirkan ramai anak lelaki boleh memendekkan jangka hayat si ibu.
Perkara ini dikongsikan oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy sebagai rujukan;
ANAK LELAKI MEMENDEKKAN USIA IBU. BENARKAH?
Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan.
Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.
Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.
Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.
3 Punca Utama
Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang keputusan ini adalah
1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.
2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.
3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.
Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.
‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.
Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.
Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya. Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.
Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti. Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.
Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Sesungguhnya urusan jodoh, anak dan ajal kematian merupakan ketentuan daripadaNya.Bersyukurlah dikurniakan anak tak kira lelaki mahupun perempuan, persiapkanlah diri mereka agar menjadi anak yang soleh, solehah agar mampu menjadi ‘bekalan’ dan saham akhirat buat kita bila telah tiada nanti.
Ibu kepada mangsa tragedi pembunuhan pelajar Bandar Utama mendedahkan anaknya ditikam lebih 200 kali. Beliau menafikan dakwaan palsu dan menyeru agar kejadian tragis ini tidak berulang di sekolah lain.