
Dalam suasana pagi yang tenang di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis, lebih 100 peserta berkumpul bukan sekadar untuk berbasikal, tetapi untuk mengayuh harapan, menggerakkan misi kasih.
Itulah semangat yang mengiringi penganjuran Program Kayuhan Sejuta Kasih PTPTN 2025, kali kedua dianjurkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Istimewanya, program yang penuh makna ini mendapat perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang turut menyempurnakan Perlawanan Persahabatan Woodball Piala PTPTN 2025, sekali gus memartabatkan program CSR PTPTN sebagai platform menyantuni komuniti dan golongan yang memerlukan.
Mengayuh Bersama Demi Masyarakat
Kayuhan Sejuta Kasih tahun ini menyatukan pelbagai pihak daripada pemimpin negeri, ketua agensi, ahli akademik hingga NGO berganding bahu menjayakan acara ini. Antara yang turut serta ialah YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim (Pengerusi PTPTN), Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid (Ketua Eksekutif PTPTN), serta wakil-wakil kerajaan negeri, UiTM Perlis, polis dan sukarelawan komuniti.
Apa yang menjadikan program ini lebih menyentuh ialah penyampaian sumbangan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berupa kotak makanan kepada tiga keluarga asnaf, pembukaan akaun Simpan SSPN Prime untuk tiga orang anak asnaf dan sumbangan khas kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah, melibatkan wang tunai dan akaun SSPN kepada 60 pelajar tahfiz.
Langkah ini menyerlahkan keprihatinan institusi terhadap pendidikan dan kelangsungan hidup komuniti yang memerlukan.
SSPN: Tabung Ilmu, Pelindung Masa Depan
Simpanan pendidikan melalui Simpan SSPN Prime bukan sekadar instrumen kewangan. Ia kini menjadi satu bentuk pelaburan sosial yang memberi manfaat pelepasan cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful, dan Geran Sepadan sehingga RM10,000.
Lebih dari itu, ia mencerminkan cita-cita Malaysia MADANI untuk mewujudkan generasi celik pendidikan dan berdaya tahan kewangan.

Bantuan Lestari Siswa MADANI: RM17,500 Untuk Harapan Anak Bangsa
Program ini turut menyaksikan penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM17,500 kepada 35 orang pelajar kurang berkemampuan dari UniMAP, UiTM Perlis dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Setiap pelajar menerima bantuan sara hidup one-off sebanyak RM500, disalurkan terus ke akaun bank mereka.
Bagi pelajar wanita dan ibu bapa pelajar, bantuan ini bukan sekadar angka. Ia adalah jaminan bahawa masih ada tangan-tangan yang mahu membantu anak-anak menjejak kaki ke menara gading tanpa terbeban dengan kekangan kewangan.
Pada program yang sama, pemenang Perlawanan Persahabatan Woodball Piala
PTPTN 2025 yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UiTM Cawangan Perlis turut
diraikan sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
PTPTN komited dalam membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak bagi melaksanakan program CSR dan menyerbarluas manfaat Simpan SSPN yang memberi manfaat kepada komuniti.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI