Demi kandungan Ayu Raudhah, 33 tahun telah mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari dunia lakonan sehingga dia selesai proses berpantang.
Dua orang anak mereka, Muhammad Aisy Qaiser yang kini berusia 4 tahun dan Muhammad Aisy Aryann, 3, tidak meragam. Ini memudahkan Ayu dan Zaquan menyediakan juadah.
“Kami tidak pernah merancang dalam soal keluarga. Malah berita kehamilan ini juga hadir dalam waktu yang tidak disangka. Semuanya diserahkan kepada rezeki. Ketika tahu mengandung juga saya sedang sibuk dalam penggambaran sebuah telefilem. Memang ini suatu berita yang gembira sebenarnya. Selepas kelahiran anak kedua, tiga tahun lalu, rasanya ini waktu yang tepat untuk kami.
Ads
“Kandungan saya sudah lima bulan, ikutkan pengalaman kali ini memang berbeza. Saya mengalami alahan yang teruk, lantaran saya hanya berehat di rumah dan tidak boleh ke mana-mana kerana tidak larat. Mujur suami banyak membantu. Mungkin disebabkan faktor umur juga, ketika ini saya sudah berumur 33 tahun jadi sebab itu ada perbezaan.
“Ketika mengandungkan anak pertama dan kedua memang saya sangat bertenaga. Namun kali ini saya dapat rasakan yang badan sangat tidak bermaya dek kerana alahan yang agak teruk. Saya sering sakit kepala dan muntah-muntah sehingga rasa tak tentu arah,” ujar Ayu yang kelihatan begitu jelita walaupun sedang mengandung.
#Pray For Baby Girl
Bila ditanya tentang jantina anak, Ayu memohon doa agar dia dikurniakan anak perempuan. Ketika ditemubual Ayu dan suami masih belum pasti mengenai jantina anak ketiganya. Pasangan ini tidak nafikan memang begitu kepingin kehadiran anak perempuan.
“Melihat keletah anak saudara saya iaitu anak kepada Che Ta, tidak dinafikan saya juga mengidam untuk mempunyai anak seperti Aaisyah Dhia Rana. Maklumlah saya dah ada dua orang anak lelaki jadi kali ini harap sangat dapat perempuan boleh jadi kawan saya. Jadi tolonglah doa ya, #prayforbabygirl.
Ads
“Sepanjang mengandung saya lebih fokus pada suami dan anak-anak. Bila hujung minggu pula saya akan turun ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan keluarga dan urusan perniagaan lain. Bagi saya keluarga paling utama dan merupakan tulang belakang buat saya,” ujar Ayu yang tidak boleh duduk diam dan akan pastikan rumahnya sentiasa kemas.
Menyentuh tentang ragam anak-anaknya, Ayu menjelaskan sebagai seorang ibu dia mahu melayan anak-anak dengan cara yang terbaik. Namun dia akui lebih garang berbanding suaminya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 30 tahun.
Ads
“Sepanjang jadi ibu pada saya nak kawal anak-anak paling sukar. Sebabnya kita perlu kawal emosi sendiri dan kalau boleh tak nak marah-marah. Antara saya dan Zaquan, saya garang sedikit dengan anak-anak. Zaquan pula sangat manjakan anak-anak.
“Zaquan jarang ada masa dengan anak-anak sebab jadual latihannya yang terlalu padat. Dalam sehari dua kali dia akan berlatih bermain bola sepak. Anak-anak memang rapat dengan saya. Tapi bila daddy dia balik, memang diorang akan melekat dengan Zaquan. Masa itulah mereka akan bermanja dengan daddy mereka. Zaquan juga sangat manjakan anak-anak dalam masa yang sama sebenarnya sebagai ibu bapa kita tak boleh terlalu ikutkan sangat kehendak anak-anak,” sambung Ayu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Konsert Soul Sisters yang menggandingkan tiga penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar, Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz telah pun berlangsung cemerlang pada 5 dan 6 April lalu. Tiket yang dijual menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) laris sungguh jualannya.
Tribute Soul Sisters khusus buat kumpulan Feminin, menjadi segmen mengujakan sepanjang berlangsungnya konsert yang mengambil tempat di Panggung Sari Istana Budaya. Selain paduan vokal gemersik yang harmoni, ketiga-tiga mereka harus berbangga kerana meski masa beredar, dan muncul pula wajah-wajah baru menyeri industri seni suara…mereka masih kekal relevan di kelas yang tersendiri.
Ketika sesi temu bual dan fotografi ini diaturkan, ketiga-tiga mereka berkongsi debaran, persiapan dan bercerita mengenai sisi lain kehidupan mereka dari sorot lampu limpah dunia glamor. Bersama MW mereka saling berkongsi kisah perihal status sebagai ibu, karier nyanyian dan siapa Misha, Sarah & Noryn.
Naluri Sang Penyanyi Misha Omar
Bakat seninya digali oleh komposer popular Allahyarham Adnan Abu Hassan dan menjadi salah seorang finalis “Bintang RTM” 2001. Bersaing bersamanya di pentas yang sama adalah Siti Sarah Raissuddin dan Azharina. Walau tidak merangkul kemenangan membanggakan ketika itu, bakatnya telah membawanya terus cemerlang sehingga ke hari ini.
“Bekerja keras, jangan sombong dan sentiasa berusaha untuk menggali lagi ilmu baru adalah pegangan saya sejak 17 tahun lalu. Saya juga membataskan diri dari gosip dan sejujurnya saya tidak punya teman akrab ataupun BFF dalam kelompok selebriti. Komitmen saya terhadap keluarga membataskan saya untuk berlama-lama usai urusan kerja selesai.
“Berkolaborasi bersama nama-nama besar seperti yang terbaru berkongsi pentas bersama Siti Sarah Raissuddin dan Noryn Aziz baru-baru ini mencatat rekod manis buat saya secara peribadi. Mereka sendiri sudah dikenali dengan kemampuan vokal masing-masing yang memukau dan saya berharap bakal ada lagi projek seumpamanya di masa depan,” luahnya merendah diri.
Mangsa Komentar Keterlaluan Netizen
Terdahulu nama Misha terpalit dengan komentar kelaluan netizen, apabila kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL 33) didakwa ada unsur penggunaan sihir. Misha kemudian membuat laporan polis dan menuntut kenyataan maaf daripada individu yang membuat tuduhan tersebut.
“Sebaran status di laman Twitter itu , mendakwa saya melakukan perbuatan khurafat dan melibatkan penggunaan sihir untuk AJL 33. Kenyataan itu mencalarkan reputasi saya yang dijaga baik selama 17 tahun dalam bidang seni suara. Sejujurnya tuduhan ini menjejaskan perasaan saya, keluarga dan memberi kesan kepada karier saya. Tindakan ini dibuat bagi memberi pengajaran kepada semua agar berhemah apabila menggunakan media sosial,” jelas Misha berkenaan tindakan tegas berkenaan isu tidak benar dikaitkan dengannya.
Noryn Pilih Sahabat Yang Jujur Dan Ikhlas
Antara tiga orang ‘soul sisters’ ini, Noryn Aziz boleh dikatakan yang paling tua. Dia menganggap Misha dan Siti Sarah sebagai adik-adiknya. Namun begitu dia ‘respect’ bakat yang dimiliki oleh mereka.
“ Melihatkan bakat mereka itu membuatkan saya perlu berlatih dengan gigih juga untuk sama tahap dengan mereka. Mereka ada kelebihan mereka yang tersendiri. Saya juga ada kelebihan sendiri. Jadi apabila kami digabungkan untuk bekerjasama dalam konsert ini, kami saling lengkap-melengkapi.
“ Saya tahu Misha dan Siti Sarah nama besar dalam ‘mass market’ jika dibandingkan dengan saya. Saya lebih kepada persembahan korporat dan ada peminat saya tersendiri. Jadi benda itu tidak boleh dijadikan alasan untuk saya berada di belakang kerana orang tidak mengenali saya. Saya perlu sebaris dengan mereka dan jadi yang terbaik.
“ Banyak yang saya belajar dari mereka jika mahu masuk ‘mass market’. Sebelum ini saya seorang yang pemalu dan kurang bercakap. Mereka ajar saya jadi lebih berani.”
“ Setiap insan mempunyai sahabat yang boleh dijadikan tempat untuk berkongsi cerita sedih dan gembira. Walaupun bergelar selebriti yang mengenali ramai rakan artis, namun bagi Noryn sendiri, mereka yang bergelar sahabat dalam dirinya adalah orang biasa dan tidak terlibat dalam bidang seni.
“ Mereka selalu menghormati apa yang saya buat. Bagi saya dalam memilih sahabat, paling penting adalah ikhlas dan jujur. Kita tidak ada niat yang pelik di sebaliknya. Kita perlu saling menghormati. Sukar untuk mencari sahabat apabila usia sudah mencecah 40-an. Percayalah adik-adik yang berumur 20-an dan 30-an, apabila berumur 40-an, sukar mencari sahabat. Biar kita tidak ada kuantiti tetapi yang penting kita ada kualiti,” ujar penyanyi cantik ini.
Siti Sarah Pernah Kehilangan Suara
Dalam kesibukannya menguruskan karier nyanyian dan keluarga, Sarah tidak lokek bercerita tentang pengalaman yang pernah kehilangan suara. Perkara ini yang menjadi punca dirinya menyepi sebelum ini. Oleh itu secara peribadi dia sangat bersyukur dengan apa yang dilaluinya kini.
Mungkin orang di luar sana beranggapan Sarah hilang minat untuk menyanyi lagi, namun sebenarnya wanita ini diuji dengan kehilangan suara selema beberapa tahun selepas melahirkan anak. Malahan ini bukan perkara ini berlaku, tetapi sudah dua kali.
“Sudah tentu saya terfikir yang karier nyanyian saya akan berakhir apabila suara saya mula hilang ketika melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni. Selepas melahirkan anak kedua iaitu, Dzahira Talita Zahra, suara saya saya makin teruk.
“Hilang suara ini buatkan saya hanya sekadar boleh menyanyi. Tatkala menyanyi saya tidak mampu mencapai nota tinggi dan rendah. Kesannya saya memang rasa rendah diri dan tertekan. Maklumlah selama ini saya bergantung kepada kelebihan suara bukanlah paras rupa dalam bidang nyanyian.
“Tetapi saya tetap berusaha untuk mendapatkan kembali suara saya selepas melahirkan anak ketiga, Ariq Matin. Untuk pengetahuan semua, ketika menyertai GV3, suara saya masih belum pulih sepenuhnya.
“Oleh itu, untuk kembalikan semula vocal saya, saya mempelajari Teknik vocal yang betul dengan guru vocal iaitu Ernie Zakri. Alhamdulillah hampir setahun, suara saya kembali semula,” ceritanya terharu.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh tiga diva bersuara emas ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi April, Volume 2 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin, Nur Syazwani Mehat & Julie Roshana Akma Shafee Foto: Ahmad Shahir Osman Video: Shahrinizam Othman Tajaan Pakaian: Anuar Faizal (Instagram: Anuar Faizal Of Adesignhouse)
Agak-agak ada tak peminat anak saudara Anzalna Nasir, si kembar The Angguns atau nama sebenar mereka Anggun Darleesa dan Anggun Darleena Mohd Azwan di kalangan pembaca MW?
Haaa… sebelum Anzalna post gambar dan video mereka dalam IG, The Angguns ini dah ada pengikutnya sendiri. Malah mereka juga telah mendapat beberapa tajaan.
“Sebaik The Angguns ini dilahirkan, keterujaan followers semakin bertambah. Ramai yang mahu menaja mereka. Saya tahu setiap hari ada sahaja orang yang akan menghantar barang atau produk untuk menaja The Angguns.
“Saya tahu The Angguns ini ada peminat kerana apabila kami keluar bersama, sudah pasti The Angguns menjadi tumpuan.”
“Kelahiran mereka ini amat menggembirakan keluarga kami. Kehadiran mereka menceriakan keadaan. Kalau pada ketika itu kita ada masalah dan tiba-tiba The Angguns ini ada di hadapan mata, seperti terlupa masalah yang sedang dihadapi. Sejak adanya The Angguns ini ia telah mengubah hidup kami semua. Ia juga telah merubah perangai emaknya, Diana.
Bila Tengok ‘Anak Buah’, Bukan Senang Nak Besarkan Anak
Akui Anzalna, kehadiran anak-anak buahnya itu boleh dikatakan sebagai cara melatih dirinya bergelar ibu pada suatu hari nanti.
“Saya perhatikan mereka dan saya sedar agak susah juga untuk membesarkan anak. Sekurang-kurangnya saya boleh belajar daripada pengamatan itu. Saya dan suami sebenarnya memang sengaja menghabiskan tahun-tahun awal perkahwinan untuk kami berdua sahaja.
“Malah emak mentua saya juga pernah berkata, biarlah kami berdua nikmati masa berdua ini dahulu. Tidak perlu tergesa-gesa menambah ahli keluarga dan tidak perlu tertekan untuk segera menimang cahaya mata.
Tak Sedia Ada Anak Atau Macam Mana?
“Saya bukannya tidak mahu anak tetapi mahu habiskan masa berdua terlebih dahulu. Ditambah pula kami berdua jenis yang suka travel. Pada tahun lepas kami telah menghabiskan masa travel ke beberapa buah Negara berdua. Pada tahun ini kami berharap dapat travel berdua lagi,” akuinya lagi dia dan suami tidak ada masalah dalam hal berkaitan anak.
“Kami sebelum kahwin telah melakukan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya. Tidak ada masalah pada kami berdua. Cuma kami belum ada rezeki untuk mendapat anak. Lagipun saya selalu sibuk dan tidak fikir serius mengenai anak.”
Anzalna dan suaminya Hanif dikategorikan sebagai pasangan suami-isteri yang sama cantik dan sama padan. Berikutan dengan itu jugalah sudah pasti ada cabaran perlu dihadapi dalam memastikan rumah tangga sentiasa bahagia.
“Kami berdua mempunyai perangai yang sama. Jadi apabila dia buat benda yang saya tidak suka, dia tahu saya tidak suka. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami boleh saling faham-memahami. Apabila kami telah memahami diri masing-masing, itu yang menyukarkan kami untuk bergaduh. Itulah yang buat kami bahagia,” ujarnya.
Jelasnya lagi, suaminya tidak pernah menghalang dia untuk melakukan apa sahaja. Namun sebagai seorang isteri, Anzalna tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri untuk melayan suaminya itu sebaik mungkin.
“Saya suka memasak. Malah saya suka mencuba resipi yang terdapat Facebook. Boleh dikatakan masa cuti saya gunakan untuk memasak. Suami saya pula jenis makan ikut masa sebab itu saya suka memasak,” tambah Anzalna.
Tidak dinafikan, ramai yang mempercayai bahawa dugaan bertunang adalah satu fasa yang cukup getir dalam sesebuah perhubungan. Manakala bagi Elfira Loy dirinya menganggap ia sebagai salah satu ujian.
Dia percaya apabila ramai di luar sana mengatakan tempoh pertunangan akan terselit dengan dugaan bertunang tetapi segalanya berbalik kepada soal jangkaan.
Kunci Dalam Hubungan
Hakikatnya paling asas dalam sesebuah hubungan, kunci asasnya adalah berbalik kepada kepercayaan terhadap pasangan. Sebagai tunang, Elfira meletakkan dirinya dalam keadaan bersedia.
Dirinya dan Sufian sedari awal telah mempersiapkan diri sebelum menghadapi dugaan yang mendatang. Setiap ujian yang mendatang juga menjadi kayu pengukur bagi kesabaran mereka berdua. Sejak tempoh mereka rapat lagi pasangan ini diuji dengan pelbagai perkara, namun sikap matang pasangan ini membuat mereka bijak mengawal emosi.
“Walaupun pendek jangka masa kami berkenalan, tetapi kami tetap diuji. Ada dugaan yang datang, malah saya pernah dilabel menjadi perampas. Hakikatnya bukan begitu. Begitu juga dengan kontroversi Sufian dituduh kononnya mengganggu isteri orang melalui aplikasi Bigo pada Jun lalu.
“Namun setiap apa yang berlaku kami hadapi dengan tenang, paling penting kami cuba berkomunikasi dengan baik. Komunikasi memang penting dan kita perlu jujur. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena, kita cuba jelaskan secara berdepan.
“Sebenarnya dalam hubungan ini, kita juga tidak boleh terburu-buru membuat andaian dan mungkin ujian yang datang itu adalah tanda Tuhan ingin menguji sejauh mana kesabaran kita. Malah dalam hubungan juga, jika kita boleh menerima seseorang itu dalam keadaan baik dan buruk, maka insya-Allah ikatan yang terjalin akan terus ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi.
Tidak Mahu Terlalu Lama Bercinta
Lamaran Sufian dengan membawa jambangan 23 kuntum bunga ros pada 8 Mac lalu ketika Elfira genap usia 23 tahun tepat jam 12 tengah malam sesungguhnya membuktikan Sufian benar-benar serius dalam hubungan yang terjalin. Tarikh keramat tersebut juga menjadi titik tolak untuk kami serius menjalinkan hubungan yang lebih rapat.
Setelah beberapa bulan menyulam cinta dengan restu insan terdekat, Syawal lalu membuktikan Sufian mengambil langkah berani dengan menghantar rombongan merisik dan akhirnya Oktober lalu menjadi detik indah iaitu hari pertunangan Elfira dan Sufian. Kurang enam bulan dari sekarang, pasangan ini merencanakan untuk tamatkan zaman bujang di bulan kelahiran Elfira.
“Kami merancang untuk berkahwin pada Mac 2018, namun tarikhnya masih belum pasti memandangkan kami tidak rancang apa-apa lagi termasuklah mencari dewan atau konsep perkahwinan. Tetapi jika diikutkan memang saya tidak mahu terlalu lama bercinta dan kalau boleh dalam masa kurang setahun kami bersatu.
“Nampaknya Allah makbulkan apa yang saya mahukan. Malahan itulah juga tempoh yang ibu saya berikan untuk seseorang lelaki mengenali saya. Jadi saya harap semua orang doakan yang baik-baik untuk saya dan Sufian. Semoga apa yang kami rancang berjalan lancar,” ungkap Elfira lagi.
Patutlah Elfira Terpikat…
Menurut Elfira, sejak kali pertama dirinya didekati Sufian lagi, dirinya dapat merasakan Sufian sangat ikhlas untuk mengenalinya. Hubungan mereka dimulakan dengan cara baik. Segalanya dipermudahkan Allah apatah setelah hubungan mereka berdua mendapat restu ibu bapa sejak di awal perkenalan lagi.
Malah perkara pertama yang dapat Elfira dapat katakan sesuatu yang membuatkan hatinya terpikat dengan Sufian adalah kesabaran yang ada pada dirinya. Kesabaran adalah aset termahal sekali, malah jika setiap dugaan yang mendatang jika dihadapi dengan sikap sabar maka segalanya akan berjalan dengan lancar dan ditempuhi dengan mudah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...