Polis sahkan duda mangsa tikam ada hubungan sulit dengan isteri suspek. Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menikam seorang individu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isterinya dalam satu insiden di Taman Sri Pagi, Isnin lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati wanita tersebut mengenali mangsa sejak sebulan lalu.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian kerana mangsa yang berusia 28 tahun itu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada suspek.
“Kami difahamkan, isteri suspek sudah berkenalan dengan mangsa sejak sebulan lalu melalui laman sosial.
“Bagaimanapun, pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, suspek berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing turut mengesahkan dia bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Mengulas mengenai penyebaran maklumat kes di media sosial, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penularannya kerana ia melibatkan sensitiviti serta masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki yang menggunakan nama akaun Facebook Bro Stylo mendakwa suspek merupakan adiknya dan meminta netizen tidak meninggalkan komen negatif tanpa mengetahui keadaan sebenar. Katanya, adiknya bekerja keras dengan melakukan tiga pekerjaan demi menanggung keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam di hadapan sebuah rumah akibat perselisihan faham berunsur cemburu. Kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu menyaksikan suspek ditahan dengan bantuan orang awam, manakala mangsa ditemui terbaring di hadapan pagar rumah.
Sumber: Harian Metro dan Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Duda Maut Ditikam Di Hadapan Rumah, Baru Dua Minggu Bertunang
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE