
Suasana duka menyelubungi Sekolah Menengah di Bandar Utama apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas disyaki ditikam oleh rakan sekolahnya sendiri, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti senjata sebenar yang digunakan dalam kejadian tragis itu.
“Kami menemui dua senjata di lokasi — sebuah pisau dan satu lagi dipercayai kerambit. Namun, kami masih menunggu laporan forensik dan bedah siasat untuk menentukan senjata sebenar yang menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan rasmi dikeluarkan.
Tangisan di Luar Bilik Forensik
Di Jabatan Patologi dan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), suasana bertukar pilu apabila ahli keluarga mangsa tiba sekitar jam 1 tengah hari. Wajah sugul dan mata yang bergenang air mata menggambarkan kehilangan yang tidak terucap dengan kata-kata.
Ahli keluarga enggan memberi sebarang kenyataan kepada media dan hanya berharap proses bedah siasat berjalan lancar agar punca sebenar kematian anak mereka dapat dikenal pasti.
Beberapa rakan sekolah turut kelihatan hadir pada petang yang sama, berpelukan dan menangis dalam diam kerana masih terkejut dengan kehilangan mendadak seorang teman yang mereka temui setiap hari di kelas.

Polis Tubuh Pasukan Khas
Pihak polis telah menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pasukan forensik dan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi menyiasat dari semua sudut termasuk motif, latar belakang suspek serta kronologi penuh kejadian.
“Kami sedang merakam keterangan pelajar dan guru yang berada di lokasi. Jika boleh, kami mahu menyelesaikan siasatan ini dengan segera dan telus,” ujar Shamsudin lagi.
Beberapa ibu bapa yang ditemui turut meluahkan rasa bimbang, memandangkan kejadian itu berlaku di kawasan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
Pentadbir sekolah dipindah ke PPD
Sementara itu, pentadbir yang bertugas di sekolah pelajar maut ditikam dilaporkan akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu siasatan sehingga proses itu selesai.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, selain itu, pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling turut digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.
KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia kerana ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada hari ini.
Jelasnya lagi, KPM akan bersama dengan ahli keluarga untuk memberi sokongan dan apa juga bantuan yang diperlukan dalam menempuh saat getir ini.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI