bersalin pembedahan

Bukan semua wanita berpeluang melahirkan anak secara normal. Atas faktor-faktor tertentu, seperti kehamilan berisiko menyebabkan wanita terpaksa melahirkan anak secara pembedahan Caesarean.Namun demikian ia sedikit pun mengurangkan ‘darjat’ serta pengorbanan besar seorang wanita demi melahirkan anak-anak dengan selamat.

Dalam kes tertentu, ada wanita yang HANYA boleh bersalin secara pembedahan Caesarean.Apabila melalui prosedur ini, had yang dibenarkan untuk kelahiran anak adalah hanya sebanyak 3 kali. Pastinya ia bukan saja-saja, ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan Caesarean berulang dihadkan jumlah ini.

Jemput baca pesanan dan perkongsian ilmu oleh Jururawat Terlatih, Bel Nawhen  sebagai rujukan;

“Kenapa saya baca kt facebook si polan tu, multiple caesarean boleh beranak normal?”

“Saya ada baca facebook sipolan tu pula, boleh je lebih 3 kali caesarean”

1. Jika sipolan tu bercakap hanya berdasarkan hearsay. Tak payah percaya.
2. Jika sipolan tu caesarean pun tak pernah, tak perlu percaya.
3. Jika sipolan tu bukan doktor yang ada kepakaran o&g dan bidang berkaitan, tak perlu percaya.
4. Jika sipolan tu, pandang rendah ibu caesarean dan terlalu memuliakan yang melahirkan normal, tak payah dengar cakap dia.

Pesan Jururawat Ini, Caesarean Berulang Banyak Risikonya, Ada Sebab Hanya Dibenarkan 3 Kali!

Ads

Risiko Caesarean

Caesarean berulang ada banyak risiko dia. Sebab itu hanya 3 kali caesarean sahaja dibenarkan.

Rahim anda bukan duduk sendirian berhad di dalam kaviti dia. Dia berjiran dengan usus dan punci kencing. Memang laga-laga pipilah senang cakap. Tapi, bila dah kerap caesarean, mereka ni bukan takat boleh laga pipi, boleh melekat antara satu sama lain, silap-silap poligami sesama mereka pula. Rahim poligami dengan pundi kencing atau usus. Dah jadi cinta 3 segi. Pakar pun ‘bercinta’ nak leraikan perlekatan tu.

Bila lekat, adalah potensi luka atau cedera waktu nak pisahkan. Kalau melekat macam kembar siam, boleh sampai terpotonglah usus dan pundi kencing. Kena repair pula. Panggil doktor pakar pembedahan pula. Akibatnya kena pakai tiub kencing untuk tempoh masa tertentu sebab nak bagi masa untuk pundi kencing sembuh. Kalau usus kena, teruk melekat, nak pakai beg najis ke?

Ads

Sebab itu kita hadkan kehamilan untuk 3 kali sahaja bagi kes 3 caesarean. Kali keempat, macam-macam boleh jadi.

Bukan tidak ada kes caesarean kedua pun kes perlekatan dia sangat teruk hingga makan masa berjam-jam nak leraikan masalah yang melanda.

Leraikan perlekatan (adhesion) ni bukan macam leraikan simpulan kasih atau masalah yang kusut. Dalam kavity abdomen, otot serta rahim ada banyak salur darah. Nak hentikan perdarahan tu satu hal. Eh, nurse pun berpeluhlah selagi tak berhenti berdarah. Lepas tu, ada pula parut-parut di kawasan pembedahan lama. Itu yang makan masa lama proses pembedahan.

Ads

Pesan Jururawat Ini, Caesarean Berulang Banyak Risikonya, Ada Sebab Hanya Dibenarkan 3 Kali!

Nasihat saya:

1. Dengar nasihat pakar. Mereka dah selia dan rawat banyak kes mengikut tempoh perkhidmatan mereka.
2. Bersyukur dengan rezeki zuriat yang ada. Nak 1 team bola sepak pun, fikirkan kesihatan diri sendiri dan kualiti zuriat yang boleh kita capai melalui didikan sempurna.
3. Suami pula, jangan pentingkan diri sendiri. Tidak kurang kejantanan kalau ada 3 anak.
4. Isteri pun belajar terima kekurangan dan kelebihan diri. Caesarean tidak langsung mengurangkan sifat keibuan anda.
5. Jangan layan krt dan info ibu hamil mengarut.
6. Jangan dengar cakap orang.

#BelNawhen
Jururawat Terlatih Anda

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para wanita. Ceduk ilmu dan dengarlah nasihat daripada yang pakar yang berpengalaman. Jangan gadaikan nyawa sendiri, semata-mata untuk memenuhi keinginan diri sendiri mahupun suami kerana nyawa tiada galang ganti.

Sumber: Bel Nawhen

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI