Pertama kali dipertemukan, penulis tidak menyangka pemilik nama sebenar Muhammad Azlan Abdullah @ Ali, 32, merupakan seorang usahawan berjaya yang telah pun bergelar jutawan. Dia yang hadir bersama isteri dan anak-anak kelihatan cukup sederhana. Bahkan, sepanjang sesi fotografi berlangung, Muhammad Azlan ternyata sangat ramah dan bersikap rendah diri.
Ikon Usahawan Muda yang kisah hidupnya dibukukan dengan judul ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ ini memegang prinsip, menjadikan kemiskinan sebagai motivasi manakala kekayaan sebagai inspirasi.
“Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti. Saya juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidup yang berasal dari keluarga miskin tegar dan kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada bagaimana hubungan kita dengan Allah S.W.T. Jika kita ada masalah hubungan dengan Allah, rezeki sempit. Sememangnya sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun Allah melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” kata peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini, membuka bicara.
Muhammad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikta Al Amin Properties Sdn Bhd
Digelar ‘Kasut Mulut Buaya’
Anak kelahiran Besut, Terengganu ini, akui hidupnya sejak kecil sangat susah. Namun ibu dan ayahnya tidak pernah lelah untuk menghantar mereka seramai 16 adik beradik ke sekolah.
“Saya sangat menghargai jasa emak iaitu Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan.
“Saya masih ingat sewaktu zaman sekolah rendah biasanya bila tak mampu bayar yuran, pihak PIBG akan tolong bayarkan. Maklumlah saya ni murid miskin jadi sering kena buli dengan murid yang hidup senang. Saya ke sekolah dengan memakai kasut koyak, kami adik beradik cuma ada sepasang kasut sekolah. Dalam setahun kami hanya akan pakai sepasang kasut itu saja dan saya akan pakai walaupun kasut saya itu koyak sehinggakan kawan-kawan panggil saya dengan gelaran ‘kasut mulut buaya’,” ungkap Muhammad Azlan yang tidak pernah patah semangat untuk meneruskan alam persekolahan walaupun kehidupannya susah.
Emak Menangis, Ulat Jatuh Daripada Poket Baju
Fasa kehidupan paling menyedihkan apabila dia bekerja sebagai pengutip sampah dan daripada situlah yang membuatkan Muhammad Azlan mula mengorak langkah untuk menjadi seorang yang berjaya. Bapa kepada empat orang anak ini juga sentiasa mengingati pesanan ibunya walau di mana dia berada mesti menjaga tiga perkara iaitu yang pertama jaga solat, kedua jaga al-Quran dan ketiga bersikap jujur serta amanah.
Tatkala diminta mengulas mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam fasa kehidupannya yang sukar iaitu menjadi pengutip sampah, Muhammad Azlan begitu bersemangat untuk berkongsi dengan pembaca.
“Saya bekerja di bawah sebuah syarikat kontraktor pembersihan selama enam bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005 ketika usia saya sekitar 19 tahun. Saya selalu bawa balik makanan kurang elok yang dah diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam, ikan dan sayur untuk keluarga.
“Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis. Saya tanya kenapa menangis, dia cakap dia melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh baju saya itu.
“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya yang menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar. Kemudian saya berhenti kerja. Saya datang ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah restoran makanan segera yang terletak di Ampang. Selang beberapa bulan kemudian saya bekerja sebagai buruh binaan di Taman Melawati. Kemudian saya pulang ke kampung dan sambung pelajaran,” ungkapnya.
Ads
Nekad Berhenti Belajar
Ketika menyambung pelajaran di Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Bachok, Muhammad Azlan, sudah mula mencari wang poket sendiri. Malah dia juga pernah mengusahakan kebun jagung.
“Saya pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar secara bersendirian berhampiran KIST sewaktu saya belajar di sana. Apabila kebun jagung itu membuahkan hasil, saya nekad untuk berhenti belajar supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada bisnes kebun jagung. Namun takdir Allah mengubah segala-galanya. Ribut kuat melanda Bachok lalu memusnahkan segalanya dengan sekelip mata.
“Pada waktu itu, jagung-jagung sudah mula menguning. Saya terduduk. Harapan saya untuk meraih untung hancur berkecai, satu-satunya motosikal buruk yang saya miliki terpaksa dijual untuk melunaskan hutang sewa tanah. Selepas itu, saya hanya berjalan kaki jika nak ke mana-mana.
“Pada waktu itu, hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya dan saya rasakan berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan. Saya hilang kebun, hilang status sebagai pelajar dan tidak miliki pekerjaan. Hanya Allah disisi saya. Saya pujuk hati, mempercayai takdir Allah,” luah Muhammad Azlan.
Titik Perubahan
Muhammad Azlan menerangkan pada waktu itu hanya ibunya saja yang tidak memarahi dirinya.
“Bila mak dan ayah tahu saya berhenti belajar, hanya mak yang tak marah saya, tapi mak mahu saya berikan yang terbaik, Saya beritahu mak, saya kena keluar merantau. Saya beritahu pada mak saya tak akan pulang jika saya tak berjaya kecuali mak sakit.
“Saya tak akan lupa, segalanya bermula pada Ramadan 2010. Saya bertekad meninggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 yang diberikan oleh mak, dengan harapan dapat mengubah nasib diri dan kelurga. Ketika itu saya meminta mak agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaan saya. Saya yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu.
Ads
“Selepas melangkah keluar, kawan saya telah berikan motor dan saya lari ke wakaf sawah padi. Tak tahu nak buat apa, saya pergi ke sebuah kedai dan perhatikan siapa yang boleh belanja saya makan.
“Tatkala itu saya nampak seorang yang saya kenal. Saya tengok Cikgu Halim Md Saman (bekas cikgu saya), saya ceritakan semuanya pada dia. Cikgu minta jualkan tanah miliknya. Pada hari pertama, saya berjaya jual dua lot tanah dan ketika itu saya dapat RM4,000. Saya ambil RM2,000 untuk belanja bekerja dan RM2,000 pula saya infak pada orang,” ungkap Muhammad Azlan yang kemudian membina kehidupan baru selepas bertemu dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan yang membuka jalan rezeki kepada dirinya dalam bidang hartanah.
Bersama keluarga tersayang.
Amalan Jemput Rezeki
Muhammad Azlan akui terdapat beberapa amalan yang membantunya untuk mendapatkan rezeki yang luas. Antaranya, dia mengakui bahawa dia tidak akan memulakan sesuatu kerja selagi belum bersedekah.
“Alhamdulillah, rezeki dating mencurah-curah.Kisahnya, saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mahu menjual tanah seluas lima ekar di Kg.Raja Besut dengan harga serendah RM428,000. Saya memecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Urus niaga itu bernilao RM1.5 juta. Dalam masa setahun itulah, seorang budak miskin Berjaya jadi jutawan,” kata Muhammad Azlan yang menjadikan Cikgu Ramli iaitu orang yang bertanggungjawab mendidik dan mendorong dirinya dalam bidang perniagaan sebagai mentor.
Tujuh Tip
Muhammad Azlan juga turut berkongsi tujuh tip amalan yang dilakukan agar rezeki sentiasa dekat dengan diri.
“Pertama saya sangat menjaga kebajikan mak dan ayah saya serta keluarga terdekat. Kedua, tak tinggalkan al-Quran walaupun sehari dalam hidup saya. Yang ketiga, istiqamah dalam amalan sedekah tak kira sedikit atau banyak wajib dilakukan setiap hari. Keempat, rutin Solat Dhuha setiap hari, kelima berbaik sangka, keenam memanjangkan silaturrahim dan ketujuh bersikap pemaaf terhadap kawan atau lawan,” kongsinya.
Terangnya lagi disebalik kejayaan dirinya sebenarnya ada dua wanita dalam dirinya yang amat penting.
Ads
“Pertama ialah ibu saya yang sentiasa mendorong saya untuk pergi ke depan. Kedua, isteri saya Nurul Fitriyah Mohd Sabri, 32, yang sentiasa menyokong penuh gerak kerja saya, memberikan sokongan dan tidak pernah letih bersama saya,” terang bapa kepada Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 tahun.
Buku Motivasi Rahsia Kejayaan
Ikon usahawan berjaya ini juga menerangkan kini dia hadir dengan sebuah Buku Motivasi dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.
“Buku ini mengisahkan seratus peratus kehidupan realiti yang saya bermula dari bawah sampai sekarang. Dimana saya melalui liku-liku hidup dan turut berkongsi rahsia-rahsia bagaimana untuk berjaya. Semuanya diabadikan dalam buku ini,” terang Muhammad Azlan.
Buku motivasi ini berharga RM35 senaskah dan RM10 kos penghantaran. Boleh dibeli secara Online di laman web muhammadazlan.com dan hubungi di nombor telefon 013 288 9442, 013 240 9443 dan 013 226 9442 . Buku ini mengandungi 360 mukasurat sarat dengan gambar dan kisah. Boleh didapati di semua kedai buku. Selain itu mereka yang berminat juga bolehlah layari Facebook Muhammad Azlan Al-Amin.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Ikon Usahawan dan jutawan muda ini, baca sambungannya didalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Sedikit rahsia didik anak, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, 33, dan isteri Rahayu Abbas, 38, cukup bertuah kerana dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang cukup bijak dan comel.
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak, mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka, Arrianshah Akid atau mesra dipanggil Arrian, 5, dan Andrashah Iman atau mesra dipanggil Andra, 2, mempunyai karektor yang berbeza.
Cara Didik Anak, Bukan Niat Nak Menunjuk
“Tujuan utama saya bukanlah nak menunjuk-nunjuk kisah kehidupan kami sebagai selebriti. Siapalah saya, bahkan saya dan keluarga bukanlah selebriti yang punya nama besar. Di sini, saya cuma mahu berkongsi dengan orang luar mengenai idea mendidik anak-anak. Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa tapi ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza. Sebenarnya saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok lagi.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia juga sama seperti ibu bapa yang lain.
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak belajar tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet, bagaimana untuk membentuk anak-anak kita. Dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya ‘trial and error’. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka,” ungkap Ayu yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya dan teringin untuk memiliki anak perempuan pula.
1. Berbual-bual
Apabila sering berbual-bual dengan anak walau pun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti dan faham, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Mereka sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2. Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usiasetahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3. Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun mereka masih belum mengerti/faham? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4. Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya. Ini yang Ayu lakukan kepada Arrian.
5. Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6. Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7. Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira
Hargai Isteri
Itu sedikit perkongsian dalam bab mendidik anak, tetapi Tomok juga dedah cara terbaik menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Haaa… kalau Tomok sediri, dia kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti bila berkesempatan.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.” Ujarnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allah sebaik-baik perancang. Biar pun sedari awal, Hazama hanya menginginkan majlis perkahwinannya diadakan secara kecil-kecilan dan diraikan bersama keluarga terdekat.
Namun atas kehendakNya, segala yang dirancang beralih kepada sebuah perkahwinan yang grand. Paling penting majlis perkahwinan Hazama Ahmad Azmi, 33 tahun, dan Gernervie Kam, 37 tahun merupakan hadiah terbesar buat ibunya yang selama ini menanti Hazama menamatkan zaman bujang.
Uniknya, persiapan majlis perkahwinan Hazama dan pemuzik Genervie hanya mengambil masa seminggu. Oleh kerana keputusan yang diambil hanyalah di saat-saat akhir, jadi Hazama hanya beranggapan majlis ala kadar sahaja mampu dilaksanakan untuk meraikan pernikahan mereka berdua. Tarikh tersebut merupakan tarikh terbaik buat mereka berdua kerana selepas ini masing-masing sibuk dengan aktiviti seni masing-masing.
Berperwatakan matang, peramah dam mudah mesra merupakan tiga karektor Genervie yang mencairkan hati Hazama untuk melamarnya sebagai suri hati. Berkenalan dan bercinta selama tiga tahun bermula penghujung tahun 2012 membuatkan anak seni ini benar-benar mengenali hati budi Gernervie.
“Sebenarnya saya memilih Gernervie bukan kerana siapa dia, sebaliknya bagaimana dia menerima keluarga saya. Saya tidak kisah siapa dia dengan saya, sebaliknya jika dia pandai mengambil hati keluarga saya terutama ibu, bermakna dialah wanita yang saya cari selama ini.
‘Sepanjang ibu saya sakit tahun lalu, dialah yang datang menghulurkan bantuan dan memberi semangat pada saya. Menjaga ibu di hospital, kebaikan dirinya bukan sahaja menarik minat saya, malah seluruh ahli keluarga saya.
“Keluarga saya memang menyokong saya untuk menyunting Genervie sebagai isteri. Dia yang dicari selama ini telah muncul di depan mata,” jelas Hazama panjang lebar.
SOAL NAK ANAK – HAZAMA
Sebagai lelaki, pastinya menjadi idaman buatnya untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat. Tetapi siapa dirinya untuk mengatur segalanya mengikut kehendak dan percaturan diri sendiri. Bagi Hazama dan pasangan, mereka serahkan soal anak kepada Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Agak-agak ada tak peminat anak saudara Anzalna Nasir, si kembar The Angguns atau nama sebenar mereka Anggun Darleesa dan Anggun Darleena Mohd Azwan di kalangan pembaca MW?
Haaa… sebelum Anzalna post gambar dan video mereka dalam IG, The Angguns ini dah ada pengikutnya sendiri. Malah mereka juga telah mendapat beberapa tajaan.
“Sebaik The Angguns ini dilahirkan, keterujaan followers semakin bertambah. Ramai yang mahu menaja mereka. Saya tahu setiap hari ada sahaja orang yang akan menghantar barang atau produk untuk menaja The Angguns.
“Saya tahu The Angguns ini ada peminat kerana apabila kami keluar bersama, sudah pasti The Angguns menjadi tumpuan.”
“Kelahiran mereka ini amat menggembirakan keluarga kami. Kehadiran mereka menceriakan keadaan. Kalau pada ketika itu kita ada masalah dan tiba-tiba The Angguns ini ada di hadapan mata, seperti terlupa masalah yang sedang dihadapi. Sejak adanya The Angguns ini ia telah mengubah hidup kami semua. Ia juga telah merubah perangai emaknya, Diana.
Bila Tengok ‘Anak Buah’, Bukan Senang Nak Besarkan Anak
Akui Anzalna, kehadiran anak-anak buahnya itu boleh dikatakan sebagai cara melatih dirinya bergelar ibu pada suatu hari nanti.
“Saya perhatikan mereka dan saya sedar agak susah juga untuk membesarkan anak. Sekurang-kurangnya saya boleh belajar daripada pengamatan itu. Saya dan suami sebenarnya memang sengaja menghabiskan tahun-tahun awal perkahwinan untuk kami berdua sahaja.
“Malah emak mentua saya juga pernah berkata, biarlah kami berdua nikmati masa berdua ini dahulu. Tidak perlu tergesa-gesa menambah ahli keluarga dan tidak perlu tertekan untuk segera menimang cahaya mata.
Tak Sedia Ada Anak Atau Macam Mana?
“Saya bukannya tidak mahu anak tetapi mahu habiskan masa berdua terlebih dahulu. Ditambah pula kami berdua jenis yang suka travel. Pada tahun lepas kami telah menghabiskan masa travel ke beberapa buah Negara berdua. Pada tahun ini kami berharap dapat travel berdua lagi,” akuinya lagi dia dan suami tidak ada masalah dalam hal berkaitan anak.
“Kami sebelum kahwin telah melakukan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya. Tidak ada masalah pada kami berdua. Cuma kami belum ada rezeki untuk mendapat anak. Lagipun saya selalu sibuk dan tidak fikir serius mengenai anak.”
Anzalna dan suaminya Hanif dikategorikan sebagai pasangan suami-isteri yang sama cantik dan sama padan. Berikutan dengan itu jugalah sudah pasti ada cabaran perlu dihadapi dalam memastikan rumah tangga sentiasa bahagia.
“Kami berdua mempunyai perangai yang sama. Jadi apabila dia buat benda yang saya tidak suka, dia tahu saya tidak suka. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami boleh saling faham-memahami. Apabila kami telah memahami diri masing-masing, itu yang menyukarkan kami untuk bergaduh. Itulah yang buat kami bahagia,” ujarnya.
Jelasnya lagi, suaminya tidak pernah menghalang dia untuk melakukan apa sahaja. Namun sebagai seorang isteri, Anzalna tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri untuk melayan suaminya itu sebaik mungkin.
“Saya suka memasak. Malah saya suka mencuba resipi yang terdapat Facebook. Boleh dikatakan masa cuti saya gunakan untuk memasak. Suami saya pula jenis makan ikut masa sebab itu saya suka memasak,” tambah Anzalna.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...