“Pernah Kata Nak Meninggal Masa Kecil Supaya Masuk Syurga” – Luahan Bapa Kanak-Kanak Lemas Dalam Lubang Kumbahan. Bapa kepada murid tahun tiga yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng berkongsi bahawa anaknya pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia ketika masih kecil agar dapat masuk syurga.
“Pernah Kata Nak Meninggal Masa Kecil Supaya Masuk Syurga” – Luahan Bapa Kanak-Kanak Lemas Dalam Lubang Kumbahan
Khairol Rizal Mustafar, 42, berkata anaknya, Allahyarham Abdul Fattah, 9, pernah bertanyakan soalan mengenai perkara itu sebelum ini.
“Sebelum ini Allahyarham Abdul Fattah, 9, pernah bertanya kepadanya sekiranya kanak-kanak boleh terus ke syurga apabila meninggal dunia.
“Saya jawab soalan dia, sebelum dia beritahu nak meninggal masa kecil, boleh terus ke syurga.
“Dah lama juga dia tanya soalan ini, tetapi rasanya dalam tahun ini juga. Itulah antara momen yang saya ingat mengenai arwah,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mangsa maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolah sekitar jam 10 pagi.
Ads
Menurut Khairol Rizal yang juga seorang guru Kafa, beliau berada di sekolah berkenaan ketika kejadian kerana memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Hari ini ada hari sukan, masa di pentas ada dengar kecoh mengatakan seorang murid terjatuh ke dalam lubang tetapi belum pasti betul atau siapa yang terjatuh. Saya kemudiannya mencari arwah dan adiknya.
“Dalam masa sama sekolah juga memeriksa kehadiran murid. Saya jumpa anak ketiga, namun tidak menemui arwah, dan selepas itu seorang rakan arwah beritahu Abdul Fattah terjatuh, sebelum seorang guru turut maklumkan perkara sama.
Ads
“Saya bergegas ke lokasi dan dapati dia sudah dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan,” jelasnya.
Ditanya lanjut, Imam 2 Masjid Kariah Lenggeng itu berkata, beliau tidak mengetahui secara tepat bagaimana anaknya boleh terjatuh ke dalam lubang tersebut dan menyerahkan siasatan penuh kepada pihak polis.
Ads
Tambahnya lagi, beliau belum memutuskan sebarang tindakan terhadap pihak berwajib kerana masih dalam keadaan terlalu sedih dan memerlukan masa untuk bertenang terlebih dahulu.
Doa seorang ibu anak jadi mangsa nafsu serakah bertopeng Ustaz termakbul, Fathi Naim dipenjara 15 tahun. Allah sentiasa bersama orang yang benar.
Doa seorang ibu yang mencari keadilan buat anak perempuannya yang menjadi mangsa serakah seorang bergelar “Ustaz” akhirnya termakbul apabila penceramah bebas, Fathi Naim semalam dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol mangsa yang berusia 13 tahun ketika itu.
Memiliki tiga isteri dan lapan anak, semalam Hakim Mahkamah Seksyen Klang, Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali Ustaz Fathi Naim selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan. Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai sakit slipped disc selain perlu menanggung tiga isteri serta lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.
Di sebalik berita penceramah bebas ini dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rogol mangsa bawah umur, peguam Nor Zabetha yang berjuang bersama ibu kanak-kanak ini berkongsi bagaimana si ibu terpaksa menghadapi pelbagai fitnah dan tekanan. Namun syukur, walau diawalnya penuh keperitan dan ujian tapi Allah bersama mereka. Ikuti catatan dari peguam Nor Zabetha mengenai kisah ibu ini.
Tadi petang ketika, si ibu mangsa menghubungi saya sebelum saya menjawab, saya terdengar sendiri si ibu sedang menyuarakan kesyukuran dengan individu di sebelah “Alhamdulillah, macam-macam fitnah yang kita kena..”, dia berhenti bila saya menjawab salam.
Dia sambung perbualannya dengan saya, “Alhamdulilah. Dia dihukum puan 15 tahun penjara”.
Saya ingat kali pertama si ibu hubungi saya. Dia jadi susah hati dan gusar. Macam-macam tuduhan dia terima.
Orang tuduh dia jual anak dan menggunakan anaknya baru 13 tahun memerangkap ustaz kononnya dan menjual anaknya untuk habuan.
Tak cukup anaknya dimangsakan diantun secara seksual tanpa pengetahuannya. Bila dia tahu dan dia meneruskan tindakan undang-undang, dituduh pula dia menjual anak. Dia digambarkan ibu yang jahat dan kejam.
Sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Siapalah yang mahu percaya ceritanya berbanding si ‘ustaz’ itu. Dia tidak popular. Dia tidak pandai menarik ‘audience’ atau bermain naratif.
Semuanya bermula dengan anak ini bertanyakan soalan di media sosial pada penceramah ini tentang hukum dan dia diminta untuk hubungi whatsapp.
Lelaki ini telah menodai anaknya ketika berusia 13 dan/atau 14 tahun, tak lama dari tarikh perkenalan mereka.
Saya masih ingat lagi bagaimana kes ini dulu ditertawakan oleh warganet yang tidak bertanggungjawab. Bila Fathi Naim dituduh dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, hal ini menjadi jenaka pula.
Ada yang menulis di posnya bahawa kalau berkali-kali kejadian itu, entah-entah ustaz yang dirogol gadis 14 tahun.
Kemudian diselang-seli komen, “14 tahun macam kereta Myvi baru keluar kilang”.
Biadap dan bodoh! Tiada apa yang kelakar untuk mentertawakan atau berjenaka dengan kesalahan jenayah. Sedang Fathi Naim dituduh dengan 9 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang dan 1 pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Apa yang lucu bila siasatan dan pertuduhan dimulakan di mahkamah? Sudah ada elemen jenayah, jadi tak kelakar memperlekehkan mangsa.
Kali pertama si ibu hubungi saya “Puan saya tak percaya dekat orang, saya hendak dapatkan keadilan. Macam-macam orang fitnah saya”, si ibu sangat tertekan. Saya ambil kes ini secara pro bono. Saya kalau bab hati seorang ibu ini, memang lemah.
Waktu kes ini dilaporkan, pelbagai naratif pembelaan pada si ustaz ini. Ibu jual anak, ustaz terperdaya. Saya tidak boleh tularkan atau terlalu menulis tentang kes ini, saya bimbang identiti anak ini terlalu didedahkan. Bimbang memberi kesan kepada pemulihannya dan masa depannya.
Sejak 2022 sementara menanti keputusan ini. Fathi Naim masih kekal memberi ceramah-ceramah. Masih dijemput memberikan khutbah Jumaat di atas mimbar di masjid-masjid. Saudara Firdaus Wong pernah menulis tentang ini.
Pada May 2023, kami menerima perkhabaran mengejutkan bahawa pertuduhan terhadap Fathi akan digugurkan kerana surat representasi oleh peguam yang mewakili Fathi pada ketika itu. Saya lihat surat tersebut tidak dinyatakan pertuduhan yang mana.
Saya terus hubungi si ibu dan maklumkan status. Saya juga pada ketika ini, panggil team JusticeforBella untuk bermesyuarat dan kami fikirkan rangka dan cara terbaik.
Banyak perkara kita kena ambil berat. Mangsa kanak-kanak. Bimbang juga tentang identiti mangsa dengan gaya penerimaan netizen ada yang mengejek dan mempersendakan mangsa.
Firma saya merangka surat rayuan agar dipertimbangkan semula keputusan. Kami rangka segala kronologi berdasarkan perbualan, bagaimana anak ini diantun. Pertemuan rahsia yang diaturkan oleh tertuduh, bagaimana dia diajar menipu itu dan ini. Bagaimana anak ini diajar tentang perkara sumbang langkah demi langkah. Dari anak yang naif terus menjadi seperti apa yang dibentuk.
Kami nyatakan segala alasan-alasan kenapa tertuduh perlu dibicarakan. Kami emailkan segera kepada Jabatan Peguam Negara.
Saya jadi panik, bagaimana kesalahan begini akan dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan? Bagaimana jika dibiarkan terus mempunyai akses untuk bertemu wanita dan kanak-kanak.
Waktu saya hubungi si ibu tentang perkhabaran pertuduhan ini, si ibu seperti hilang arah. Dia sedih. Dia kecewa. Ada ketika saya rasa bimbang, bila tak dapat hubungi si ibu kerana bimbang keadaan dirinya.
Alhamdulilah dalam masa 24 jam, email rayuan kami terus dibalas. Pendakwaraya memaklumkan ada beberapa pertuduhan dan hanya 1 pertuduhan sahaja digugurkan kerana kurang pembuktian.
Fuh! Lega. Alhamdulilah. Akhirnya hari ini telah diputuskan oleh mahkamah. Penjara 15 tahun dan 3 sebatan bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lalu.
Terima kasih team pendakwaraya! Kalian hebat membawa tertuduh ke muka pengadilan. Kita bimbang penjenayah pedofilian terus berleluasa dan menggunakan topeng agama untuk mencari mangsa. Tambah pula mereka bijak bermain dengan membina naratif dan mendapat sokongan awam.
Ada beberapa lagi 6 pertuduhan terhadap tertuduh ini.
Semoga keadilan sewajarnya dan anak-anak kita dijauhkan dari pemangsa. Kita pantau anak-anak kita. Kredit :- Peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Kes hibah RM1 juta, adik dedah kakak terpaksa tanggung kos guaman ratus ribu untuk lawan kes. Masih ingatkan tentang kes seorang balu anak lima yang memperoleh hibah bersyarat (Hibah Nomination) bernilai RM1 juta dari arwah suami.
Kes ini menarik perhatian ramai selepas adik wanita berkenaan, Shahrul Sabri, mendedahkan di threadsnya bahawa hibah RM1 juta yang diterima kakaknya telah dicabar keluarga mentua di Mahkamah Tinggi Sivil.
Orang ramai rata-rata terkejut apabila mengetahui pemberian hibah takaful bersyarat boleh dicabar di Mahkamah Tinggi Sivil yang sebelum ini diiktiraf sah oleh Mahkamah Syariah.
Menyentuh perkembangan terkini hibah bersyarat RM1 juta ini, sekali lagi ia menjadi tumpuan kerana kes akan mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 25 September 2025 jam 9 pagi.
Berkongsi berita terkini di threadsnya, Shahrul Sabri memaklumkan perjuangan kakaknya untuk mengekalkan hibah RM1 juta itu menempuh jalan penuh liku.
#Hibah1juta. Baru dihubungi peguam. Katanya kos untuk lawan kes ni mencecah ratusan ribu ringgit. Kesan kes ini kalau tak dilawan, keseluruhan industri takaful akan musnah. Tapi yang kena tanggung kos ini kakak saya,”katanya semalam.
Jelasnya lagi, perjuangan kakaknya membesarkan anak-anak seramai lima orang dengan berniaga kecilan di jalanan bukan mudah namun kini perlu melalui perjuangan sendirian.
“Sepatutnya industri yang berbilion ini melindungi pelanggan. Bukan seorang balu yang terpaksa pikul beban mempertahankan sistem mereka,” tambahnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bunuh bapa kandung kerana tak puas hati pembahagian harta, lelaki didakwa. Seorang lelaki menganggur berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya dalam kejadian Sabtu lalu.
Tertuduh, Iznan Syahir Mohammad Tasnim, yang hadir dengan memakai kurta ungu, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Arunjothy. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri pada jam 3.01 pagi, 13 September lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara sepanjang hayat, atau hukuman penjara bagi tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perselisihan mengenai harta dipercayai menjadi punca seorang warga emas maut selepas ditikam anak lelakinya di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Ridzuan Khalid, berkata mangsa ditemui terbaring di ruang tamu rumah dengan kesan tikaman sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.
Beliau menambah, anak mangsa telah diberkas pihak polis dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kemalangan ngeri yang meragut enam nyawa di Kampung Baru Pinang Tunggal meninggalkan kesan mendalam buat seorang wanita, Siti Nur Atikah Ahmad Shukri, 40.