Bukan mudah sebenarnya untuk menggenggam segulung ijazah, apatah lagi telah memasuki usia warga emas.Faktor kesihatan, kecerdasan mental, kegigihan, ketekunan dan semangat untuk belajar tanpa menghiraukan pandangan negatif daripada orang lain sangatlah diperlukan demi kejayaan.

Buat wanita yang ketika ini mungkin terpaksa 'menahan' cita-cita mengejar ilmu demi perkara lain yang lebih memerlukan, mungkin boleh jadikan kisah warga emas ini sebagai sumber inspirasi, yang tidak pernah jemu menuntut ilmu walaupun usia mencecah hampir 9 dekad.

Meskipun sudah berstatus moyang yang mempunyai 38 cicit, namun seorang warga emas berusia 87 tahun membuktikan usia bukan penghalang untuk menggenggam segulung ijazah.

Wan Zainun Wan Abd Manan yang berasal dari Kuala Terengganu dan merupakan bekas pendidik menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Wan Zainun yang bersara sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada tahun 1987 turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Pernah Dipandang Negatif Belajar Usia Emas, Moyang 87 Tahun Terima Ijazah!

Tak Endah Pandangan Negatif

Lebih mesra dipanggil Tok Wan, dia berkata, biarpun pernah menerima pandangan sinis kerana masih belajar pada usia emas namun semua itu dianggap pemangkin semangat untuk membuktikan usia bukanlah halangan.

"Tok Wan memang minat belajar, dalami ilmu kerana dengan belajar buatkan diri rasa lebih sihat kerana otak sentiasa berfikir. Tambahan pula buku sudah jadi kawan karib sejak dulu lagi kerana Tok Wan bekas pendidik.

"Kata-kata hadis 'tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad' juga sentiasa jadi pegangan, kerana itulah Tok Wan tidak endahkan pandangan negatif," katanya.

Teknologi Cabaran Terbesar

Wan Zainun berkata, sepanjang tempoh belajar bermula tahun 2014 lalu, beliau akui menghadapi kekangan tertentu tetapi semua itu tidak pernah lunturkan semangatnya.

"Cabaran paling besar ialah teknologi, Tok Wan tidak tahu gunakan internet.

"Namun atas sokongan seluruh ahli keluarga terutamanya menantu yang sanggup ambil dan hantar Tok Wan ulang alik dari rumah ke kampus, beli buku-buku, bantu cari maklumat di internet, syukur akhirnya Tok Wan berjaya," katanya yang telah kehilangan suami pada tahun 2000.

Pernah Dipandang Negatif Belajar Usia Emas, Moyang 87 Tahun Terima Ijazah!

Pemangkin Semangat Buat Cucu Cicit

Tambah Wan Zainun yang turut mempunyai tujuh anak serta 29 cucu itu, kejayaannya itu diharapkan menjadi pemangkin semangat kepada cucu cicitnya agar sentiasa mencintai ilmu selain contoh kepada warga emas seusianya agar tidak jadikan umur sebagai halangan untuk belajar.

"Apabila kita sentiasa belajar ia akan jadikan kita sentiasa berfikir sekaligus jadikan diri semakin sihat. Jika keadaan mengizinkan, Tok Wan berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi lagi selepas ini," katanya.

Pernah Dipandang Negatif Belajar Usia Emas, Moyang 87 Tahun Terima Ijazah!

Pada majlis konvokesyen berkenaan seramai 3,450 graduan menerima skrol masing-masing pelbagai peringkat pengajian yang disampaikan Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah.

Hadir sama Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Professor Datuk Dr Mansor Fadzil dan pada majlis tersebut juga kartunis terkenal, Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni (Seni Kreatif).

MW: Jutaan tahniah buat wanita warga emas ni. Ternyata faktor usia bukanlah penghalang dalam menambah ilmu didada.Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat generasi muda dan wanita bahawa tidak pernah terlewat dalam mengejar cita-cita.

Sumber: Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI