Penunggang motosikal meninggal dunia tercampak dalam parit, kemalangan babit dua motosikal. Seorang lelaki berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia selepas tercampak ke dalam parit dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Parit Buntar ke Sungai Bogak, pagi Selasa.
Penunggang Motosikal Meninggal Dunia Tercampak Dalam Parit, Kemalangan Babit 2 Motosikal
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.08 pagi. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal iaitu Yamaha LC dan Honda EX5 yang dipercayai bertembung.
Ads
“Penunggang Yamaha LC, lelaki berumur 58 tahun, tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Manakala, seorang lagi penunggang motosikal Honda EX5, lelaki berusia 44 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambah Sabarodzi, ketua operasi membuat penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan pemberian rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.
Jenazah mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Parit Buntar menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan susulan.
Operasi yang melibatkan lapan anggota, satu jentera bomba dan satu unit EMRS itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.00 pagi.
Mayat tiga beranak ditemui mereput di dalam rumah, anak lelaki autistik. Tiga mayat yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Bukit Kristal di sini pada Selasa.
Difahamkan, laporan mengenai kejadian diterima daripada salah seorang jiran mangsa sekitar jam 5 petang selepas terhidu bau busuk di kawasan perumahan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan polis ke rumah tersebut menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan telah meninggal dunia.
Seorang jiran yang ditemui memaklumkan bahawa rumah itu didiami oleh pasangan suami isteri dan seorang anak lelaki autistik berusia lingkungan 30-an.
“Jumaat lepas dia datang ke rumah saya untuk beri makan anjing. Selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Saya sangka mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan. Kali terakhir berjumpa dengan mereka ialah pada Jumaat lalu.
“Hinggalah petang tadi, jiran sebelah rumah mereka menghubungi polis selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dan bomba telah ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan.
Mohamad Hatta berkata pemeriksaan forensik menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.
“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Che Ta tak mahu ‘bermusuh’ dengan bakal menantu, “Cerewet dengan menantu, nanti dia takut nak balik rumah kita.” Pelakon popular, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, mengakui dirinya bukanlah seorang bakal ibu mentua yang cerewet dalam mendidik keharmonian rumah tangga.
Sebaliknya, dia lebih memilih untuk menyemai kasih dan menjaga hubungan baik dengan bakal menantu demi kesejahteraan keluarga.
“Saya bukan sejenis mak mentua yang cerewet. Kalau nak cerewet dengan menantu, takut nanti anak kita tak nak balik rumah kita.
Nak pikat anak kita, kena pikat dulu menantu,” ujar Che Ta.
Pelakon yang sinonim dengan watak Kiah Pekasam itu turut mendedahkan bahawa pendekatannya terhadap bakal menantu banyak dipengaruhi oleh pengalaman peribadi bersama bekas ibu mentuanya.
“Saya belajar daripada pengalaman bersama bekas ibu mentua saya dulu. Dia tidak pernah menyuruh dan memaksa saya.
Contohnya dia akan cakap hari ini mama buat pulut kuning, teringat kat Rozi, Rozi kan suka. Secara tidak langsung dia nak suruh saya balik rumah dia.
Jadi saya belajar semua benda tu daripada dia dan saya akan gunakan cara yang sama untuk bakal menantu saya nanti,” katanya lagi.
Untuk makluman, sekitar Ogos tahun lalu, Che Ta pernah berkongsi perihal persiapan merisik bakal menantunya yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan anak sulungnya, Ammar Effendy, 29. Pasangan ini dijangka akan bernikah dalam masa terdekat.
Campak bayi baru lahir dari tingkap apartmen, wanita menangis teresak-esak di mahkamah. Keputusan akhir melibatkan seorang wanita muda yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh bayi perempuannya lima tahun lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Hakim Rofiah Mohamad menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh baharu untuk menyampaikan keputusan, bagi memberi ruang kepada mahkamah meneliti secara menyeluruh laporan sosial tertuduh, hujahan daripada pihak pendakwaan serta rayuan oleh barisan peguam bela.
“Selepas mendengar rayuan, laporan sosial tertuduh serta hujah daripada pihak pendakwaan, mahkamah mendapati adalah amat susah untuk membuat keputusan terhadap kes ini.
“Oleh demikian, mahkamah memerlukan masa untuk meneliti kesemuanya iaitu laporan sosial, rayuan dan hujah pendakwaan sebelum membuat keputusan terhadap kes ini.
“Maka, saya menetapkan mahkamah akan bersidang semula pada 8 Ogos ini untuk keputusan akhir kes,” kata beliau ketika prosiding berlangsung pada Jumaat.
Sesi mahkamah pada awalnya ditangguhkan seketika apabila tertuduh, M Santhiea, 23, tidak dapat menahan perasaan sejurus gambar bayi dan barang-barang bukti dikemukakan. Dia kelihatan menangis teresak-esak dan ditenangkan oleh peguamnya, RSN Rayer, serta ibunya sebelum prosiding disambung semula.
Dalam pembelaannya, Rayer memohon agar mahkamah mempertimbangkan latar belakang tertuduh yang ketika kejadian baru berusia 18 tahun dan masih menuntut di sebuah kolej swasta.
“Tertuduh telah ditahan reman selama empat bulan di penjara dan hukuman itu telah memberi satu pengajaran kepada tertuduh dan keluarga.
“Selain itu, ketika kejadian, tertuduh cuba membunuh diri selepas melahirkan bayinya kerana takut untuk menghadapi keluarganya terutama ibu bapa.
“Oleh itu, saya mohon mahkamah menggantikan hukuman penjara kepada bon berkelakuan baik berikutan tertuduh merupakan seorang pesalah muda dan telah menghadapi ‘living in hell’ akibat perbuatannya itu,” hujah Rayer.
Namun begitu, pihak pendakwaan berpendirian bahawa kepentingan awam tidak boleh diketepikan dalam kes ini, memandangkan ia melibatkan kematian seorang bayi yang baru dilahirkan.
“Bayi tersebut disahkan masih hidup sewaktu dilahirkan. Dalam mempertimbangkan kes ini, pihak pendakwaan ingin menegaskan bahawa faktor kepentingan awam perlu diberi keutamaan, memandangkan mangsa ialah seorang bayi yang tidak mampu bersuara atau mempertahankan diri.
“Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan mesti mencerminkan betapa seriusnya kesalahan ini, agar menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat serta pencegahan kepada mana-mana pihak daripada mengulangi kesalahan yang sama.
“Mahkamah telah diarahkan untuk meneliti sebab kematian bayi serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kes ini. Tertuduh didapati telah membuang bayi tersebut dengan cara yang tidak berperikemanusiaan, melemparkan bayi melalui tingkat bangunan. Sekiranya bayi tersebut dibiarkan hidup, dia kini berusia lima tahun,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan.
Kes ini berpunca daripada kejadian pada 10 Julai 2020, apabila tertuduh didakwa membuang bayi perempuannya dari tingkap sebuah unit kediaman di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam, sekitar jam 8.25 pagi. Ketika itu, dia baru sahaja melahirkan anak dan dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat komplikasi serta kehilangan darah serius.
Pada awalnya, M Santhiea didakwa mengikut pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan itu digugurkan dan diganti dengan Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang merangkumi kesalahan infantisid iaitu membunuh anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat perubahan hormon selepas bersalin.
Jika disabit kesalahan di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sepanjang tempoh siasatan, tertuduh ditahan reman selama empat bulan kerana tidak dibenarkan ikat jamin. Namun selepas permohonan dibawa ke Mahkamah Rayuan, dia dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM90,000 serta tertakluk kepada beberapa syarat ketat seperti larangan meninggalkan negeri dan perintah berkurung selama 12 jam setiap hari.
Mahkamah akan menyambung semula prosiding bagi keputusan muktamad pada 8 Ogos ini.
Astro, Home of Drama, sekali lagi mengangkat semangat Ramadan dengan tema “kebangkitan wanita” melalui naskhah megahit Siti Rosmizah, Andai Itu Takdirnya 2, lakonan Hanna...