Sebagai wanita adalah penting mengetahui jenis warna darah haid yang dialami pada setiap bulan kerana ia menentukan tahap kesihatan yang dihadapi.Hakikatnya, warna darah haid mempunyai maksud yang tersendiri. Rupa-rupanya, setiap warna yang berbeza menerangkan apa yang kurang dan apa yang terlebih dalam badan kita.
Ini antara simbolik warna tersebut;
1. Warna Merah Jambu
Jika warna darah ke arah merah jambu atau ‘pinkish’, ini bermakna anda mengalami tahap estrogen yang rendah. Kajian menunjukkan bahawa jika anda mempunyai tahap estrogen yang rendah, ini bermakna anda terlebih bersenam. Bila terlebih bersenam, ia akan menjejaskan peredaran haid anda. Jangan ambil mudah kerana, tahap estrogen yang rendah boleh menyebabkan anda mengalami osteoporosis jika tidak dirawat dengan segera. Jadi, selepas ini kalau agak-agak nak dekat dengan ‘period’ tu, kurangkan aktiviti bersenam ya!
2. Warna Cair
Warna darah haid yang cair ini bermaksud bahawa anda kekurangan nutrisi. Kajian dari Mount Sinai School of Medicine di New York mengatakan bahawa jika darah haid adalah cair dan seperti cecair, ini bermakna anda telah tergolong dalam kalangan orang yang boleh mendapat penyakit anemia. Tambah pula jika semakin hari semakin cair darah haid tersebut. Oleh itu, kalau keadaan berlarutan, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.
Ads
3. Warna Coklat Gelap
Kurang membuang air kecil adalah salah satu penyebab kenapa darah haid berwarna coklat gelap. Ini kerana, darah yang berlebihan akan lebih lama tersimpan dan tidak melalui proses pembuangan air kecil. Jangan risau, situasi ini adalah normal. Kitaran dan warna haid bagi setiap wanita itu adalah berlainan. Jika anda dapati darah haid berwarna coklat gelap, ketahuilah bahawa ini adalah proses biasa pada awal haid dan hujung kitaran haid.
Ads
4. Warna Merah Gelap
Warna merah gelap dan tekstur ala-ala jem strawberi adalah salah satu warna darah haid yang akan dialami oleh wanita. Ini bermaksud bahawa anda mempunyai tahap progesterone yang rendah dan tahap estrogen yang tinggi. Jika ketulan darah agak besar dari kebiasaan, ini bermakna anda mengalami ketidakseimbangan hormon yang tinggi. Jadi, disarankan untuk anda mengurangkan kadar pengambilan produk tenusu, kacang dan makanan manis untuk tengok perbezaannya. Jaga-jaga, jangan sampai berlakunya ‘uterine fabroids’.
5. Warna Campuran Merah & Kelabu
Jaga-jaga, jika anda mempunyai darah haid yang berwarna merah bercampur kelabu, anda perlu mendapatkan rawatan doktor dengan cepat. Ini kerana, kemungkinan besar anda telah terjebak dengan apa yang dipanggil STD iaitu ‘sexually transmitted infection’. Ini bermaksud anda boleh berjangkit dengan kuman tanpa disedari dan begitu juga pasangan anda. Jangan berlengah lagi, cepat-cepat dapatkan rawatan doktor.
Ads
6.Warna Merah Terang
Ini adalah warna yang diidamkan oleh semua wanita! Jika darah haid anda berwarna merah terang dan kelihatan seperti jus buah ceri, ini bermakna anda mempunyai tahap kesihatan dan kitaran haid yang normal. Memang setiap wanita mungkin akan mempunyai pengalaman haid yang berbeza tetapi jika anda mempunyai darah haid sebegini secara konsisten, ini bermakna anda mengalami tahap hormon yang normal.
Nampak macam senang, hakikatnya ujian wanita yang kahwin dengan duda itu besar cabarannya. Tak mudah untuk mereka. Selain menjaga suami, dia juga perlu berbaik-baik dengan anak tirinya.
Dan anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka. Sebab itulah, wanita yang berkahwin dengan duda perlu faham garis panduan ini.
5 Tip BAHAGIA Untuk Wanita Yang Kahwin Dengan Duda
Satu : Belajar Menjadi Ikhlas
Benarkan, yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa.
Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Dua : Jujur Pada Diri Sendiri
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya.
Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Tiga : Dekatkan Jurang
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar.
Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Empat : Pupuk Rasa Kasih
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja.
Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Lima : Bersabar Dan Bertenang
Jika duda yang anda kahwini itu kematian isteri, anda selamat kerana tidak perlu berbalah dengan bekas isterinya. Jika bercerai hidup, bertahanlah.
Apa pun kawal diri anda dan jangan sengaja mengungkit kisah silam suami anda. Ketika bersama anak-anak, jangan ‘apikan’ anak-anak agar membenci ibu mereka. Oh! itu paling bahaya sekali.
Belajar Terima Hakikat, Anda Ibu Ekspres
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu ekspres kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja.Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.
Perlu Kental & Sabar Melayan Emosi Seorang Duda
Berkahwin dengan seorang duda yang sudah beranak pinak membuatkan anda perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati mereka. Benarkah begitu? Atau ada cara lain yang lebih relaks dan tak perlu terkocoh-kocoh merebut cinta suami yang satu ini.
Bertenang, sebenarnya tak perlu bersusah payah. Biarpun mereka ada anak-anak, andai suami sudah melafazkan kata cinta bermakna andalah pilihan utama di hati. Jaga makan minumnya dan belajarlah santuni emosinya.
Layan suami dengan perasaan kasih, jadilah isteri yang mendengar kata dan bijaksana. Anda juga perlu tahu bilakah masanya perlu bertolak ansur. Yang mana suami boleh membahagikan ruang untuk anda dan juga anak-anaknya. Jangan terlalu tamak.
Ya, anda isterinya. Namun, anak-anak juga perlukan kasih seorang ayah. Dalam masa yang sama, mereka juga perlukan belaian mesra seorang ibu. Lengkapilah hidup keluarga baru anda itu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kongsi Sasha di laman akaun Instagramnya, “sebaik sahaja pulang ke rumah dari pusat vaksin kami berdua berasa letih, mengantuk dan sakit kepala,”
Beberapa hari lalu, pelakon dan penyanyi Sasha Saidin dan suaminya, Sirhan Wahab telah menceritakan pengalamannya selepas menyempurnakan suntikan dos kedua bagi vaksin yang sama.
Sasha bersama suaminya.
Sasha & Suami Lengkapkan Vaksin Sinophharm
Untuk rekod, hujung Disember lalu, penyanyi Sasha merupakan antara rakyat Malaysia terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm di Hospital Emirates Field, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Alhamdullilah, kami telah melengkapkan vaksin Sinopharm selepas 21 hari suntikan vaksin pertama dilakukan. Kami turut dimaklumkan suntikan dos kedua ini lebih kepada booster.
“Selepas suntikan yang pertama kami tidak mengalami demam ataupun alergi, namun suntikan kedua ini pula sebaliknya.
“Sebaik sahaja pulang ke rumah dari pusat vaksin kami berdua berasa letih, mengantuk dan sakit kepala,” tulisnya.
“Saya & Sirhan Dalam Keadaan Baik, Lakukan Rutin Seperti Biasa”
Sasha juga menerangkan bagi mengatasi kelesuan yang dialami, dia dan suami tidur seketika dan kondisi kembali pulih.
“Setakat ini saya dan Sirhan dalam keadaan baik dan boleh melakukan rutin harian seperti biasa pada hari ini (semalam).
“Justeru, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan UAE atas inisiatif berterusan memerangi pandemik Covid-19, sekali gus menawarkan vaksin percuma kepada semua residen di sini,” kongsinya lagi.
Kakak kepada Zain Saidin ini juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE yang menawarkan vaksin percuma kepada penduduk di sana,
Terdahulu, Sasha yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, keputusannya mengambil suntikan vaksin jenis Sinopharm kerana keberkesanannya sebanyak 86 peratus. Tambahan pula, setelah mendapat berita mengenai kemunculan mutasi baharu Covid-19.
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...